Memaparkan catatan dengan label Utusan Online. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label Utusan Online. Papar semua catatan

Isnin, 23 September 2013

Sarawak (6) - (1) Perak

Gol pertama Sarawak yang diperoleh menerusi Bobby Gonzales hanya seawal tujuh minit selepas permainan bermula nyata melemahkan moral pemain-pemain Perak, yang akhirnya diaibkan dengan kekalahan 6-1 dalam perlawanan terakhir Kumpulan D Piala Malaysia, kelmarin.

Ketua Jurulatih Sarawak, Robert Alberts berkata, kelemahan tersebut dapat dilihat dengan jelas berdasarkan rentak permainan pemain skuad Seladang yang mulai goyah sebaik ketinggalan di tempat lawan, kelmarin.

Katanya, peluang tersebut digunakan sebaik mungkin oleh pemain-pemain Bujang Senang untuk menambah jaringan menerusi Zamri Morshidi dan hatrik Muamer Salibasic, selain satu gol sendiri pemain Perak, Khairi Kiman.
"Strategi Sarawak untuk mendapatkan gol di awal permainan nyata membuahkan hasil. Sejak mula lagi kami memang mahu mencari jaringan pantas untuk memberi tekanan kepada lawan.

"Saya boleh nampak, sebaik Bobby membuka jaringan buat tuan rumah, permainan lawan mulai goyah dan mereka nampak cukup tertekan.

"Saya juga tidak menolak faktor kecederaan pemain Perak dan kesilapan penjaga gol pasukan itu memberi kelebihan kepada Sarawak untuk meraih lebih banyak gol," katanya kepada pemberita selepas perlawanan di Stadium Negeri Petra Jaya, kelmarin.

Kejayaan menumpaskan pasukan Seladang 6-1, berjaya menebus kekalahan 1-2 kepada pasukan itu dalam aksi pembukaan Kumpulan D.

Mengulas lanjut mengenai perlawanan kelmarin, Alberts berkata, karakter yang ditunjukkan oleh pemain Sarawak serta corak permainan mereka memang berhak mendapat pujian.

Sarawak memanfaatkan semua peluang terhidang dan tidak melakukan banyak kesilapan dalam laluan mencipta kemenangan besar.

Bagaimanapun pengendali kelahiran Belanda itu menegaskan, banyak lagi aspek yang perlu diperbaiki oleh anak-anak buahnya sekiranya ingin melangkah lebih jauh dalam kempen Piala Malaysia.

Sarawak menempah pertemuan suku akhir dengan pasukan berstatus kelab, Sime Darby FC, yang layak selaku naib juara Kumpulan A di belakang Angkatan Tentera Malaysia (ATM).

Biarpun pada awalnya kurang diberi perhatian, namun Sime Darby mula mencuri tumpuan dengan kejayaan mengetepikan gergasi Merah Kuning, Selangor dan Johor yang turut menganggotai Kumpulan A.

"Kita menang ke atas Perak kerana pemain menampilkan aksi yang sangat menarik, namun apabila berdepan pasukan yang mempunyai skil individu, pemain Sarawak perlu beraksi dengan lebih baik.

"Semestinya kita tidak boleh dibolosi oleh gol-gol mudah dalam perlawanan akan datang," katanya.

Sumber : Utusan Online

Selasa, 9 Mac 2010

Keputusan SPM, STAM 11 Mac

KUALA LUMPUR 4 Mac - Keputusan peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan Sijil Tinggi Agama Malaysia (STAM) 2009 akan diumumkan pada 11 Mac ini.

Ketua Pengarah Kementerian Pelajaran, Tan Sri Alimuddin Mat Dom berkata, calon-calon kedua-dua peperiksaan tersebut boleh mendapatkan keputusan berkenaan di sekolah masing-masing mulai pukul 10 pagi.

"Calon persendirian pula akan mendapat keputusan mereka melalui pos yang akan dihantar oleh Jabatan Pelajaran Negeri," katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Beliau berkata, analisis keputusan peperiksaan tersebut juga akan dibentangkan pada hari yang sama di Kementerian Pelajaran.

Sejumlah 465,853 calon mengambil SPM dan 6,920 lagi menduduki STAM tahun lalu.

Pemberian insentif galak guru bekerja keras - NUTP

KUALA LUMPUR 8 Mac - Pemberian insentif kepada semua pengetua, guru besar dan guru yang berupaya meningkatkan pencapaian sekolah dari semasa ke semasa dianggap sebagai langkah yang tepat pada masanya.

Presiden Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan (NUTP), Hashim Adnan berkata, pengumuman tersebut adalah inisiatif yang akan membakar semangat kepada guru untuk terus bekerja keras.

"Ini adalah sesuatu yang menarik, saya cukup bersetuju dengan cadangan Timbalan Perdana Menteri yang mahukan kecemerlangan dalam bidang pendidikan terus dilakukan oleh guru-guru.

"Sebelum ini hanya pengetua atau guru besar yang dapat insentif daripada kejayaan yang dihasilkan oleh sekolah, jadi ini tidak sepatutnya kerana kejayaan datangnya daripada kesungguhan guru yang ditugaskan," katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.

Semalam, Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin mengumumkan untuk memberi insentif termasuk kenaikan pangkat kepada guru yang terlibat meningkatkan pencapaian sekolah.

Beliau yang juga Menteri Pelajaran berkata, pemberian tersebut perlu diberikan secara menyeluruh kerana kejayaan sesebuah sekolah bukan hanya bergantung kepada seorang pengetua atau guru besar tetapi membabitkan kerjasama semua guru.

Menurut Muhyiddin, maklumat berhubung pelaksanaan insentif baru itu akan diperincikan menerusi Pelan Menambah Baik Sekolah-Sekolah yang akan diumumkan pada 16 Mei ini.

Sementara itu tokoh pendidik, Tan Sri Abdul Rahman Arshad pula berkata, pemberian insentif ini kena pada tempatnya kepada guru-guru yang bekerja keras.

"Ini adalah pengiktirafan yang sepatutnya diberikan kepada guru-guru yang tidak henti-henti mahukan kejayaan daripada anak didiknya, pengiktirafan ini perlu diberikan kepada golongan guru-guru tersebut.

"Dengan adanya insentif tersebut, kejayaan yang direncanakan oleh guru-guru terbabit akan dianggap satu kejayaan yang begitu besar dan paling bermakna," ujarnya.

Bagi Pengerusi Persatuan Ibu Bapa dan Guru Nasional, Profesor Madya Dr. Mohd. Ali Hassan pula, pihaknya begitu menyokong dengan pengiktirafan yang telah dicadangkan itu.

"Sebenarnya guru-guru lain juga memberi kesungguhan mereka terhadap sesuatu kejayaan yang telah dikecapi, tidak adil bagi saya jika hanya pengetua atau guru besar yang dapat pengiktirafan.

"Tanpa kerjasama guru-guru, kejayaan mungkin tidak akan dikecapi oleh pihak sekolah," katanya.

Guru patut bergilir ke luar bandar

KUALA LUMPUR 8 Mac - Para guru perlu menganggap penempatan di kawasan luar bandar sebagai khidmat negara, kata Setiausaha Agung Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan (NUTP), Lok Yim Pheng hari ini.

Dengan perubahan paradigma ini, tempoh perkhidmatan mereka di kawasan luar bandar akan lebih bermanfaat dan berhasil kerana mereka akan dapat menjalankan tugas dan tanggungjawab mereka dengan penuh minat, katanya.

Melalui sistem itu, NUTP berharap kerajaan akan membenarkan guru terbabit dipindahkan selepas mereka mengajar dua hingga tiga tahun di sekolah luar bandar.

"Apa yang berlaku sekarang ialah sebaik sahaja guru berkenaan ditempatkan untuk mengajar di kawasan luar bandar, mereka dilupakan dan dibiarkan di situ selama bertahun-tahun lamanya," katanya.

"Ini yang kami mahu elakkan dan akan menggesa Kementerian Pelajaran merumuskan sistem giliran yang adil dan saksama di mana semua guru baru diberi peluang mengajar di sekolah di luar bandar," katanya.

Katanya, NUTP yang mewakili 160,000 guru "menyokong penuh langkah kerajaan untuk mewajibkan guru baru ditempatkan di sekolah luar bandar."

Bagaimanapun, kesatuan itu berharap kementerian akan membincangkan butiran terperinci mengenai cadangan itu dengan pelbagai wakil dan persatuan guru.

Minggu lepas, Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin, yang juga Menteri Pelajaran berkata kerajaan sedang menimbangkan untuk mewajibkan guru mengajar sekurang-kurangnya tiga hingga lima tahun di sekolah luar bandar dan pedalaman.

Kerajaan menawarkan ganjaran dan insentif lain untuk menarik guru supaya mengajar di kawasan luar bandar.
Pada ketika ini, guru yang mengajar di luar bandar dibayar elaun bertugas di pedalaman antara RM500 hingga RM1,500. - Bernama

Bank Rakyat bantu pelajar luar bandar

BANK Kerjasama Rakyat Malaysia Bhd (Bank Rakyat) melalui Yayasan Bank Rakyat akan memberi tumpuan meningkatkan pencapaian keputusan peperiksaan pelajar terutama di kawasan luar bandar.

Bagi mencapai matlamat itu, Pengurus Besar Yayasan Bank Rakyat, Abdul Lidzam Muhammad Alias, berkata kerjasama dilakukan dengan Berita Harian Sdn Bhd bagi menganjurkan seminar teknik menjawab soalan peperiksaan Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR), Penilaian Menengah Rendah (PMR) dan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) kepada pelajar terbabit.


“Seminar berkenaan mampu memberi peluang kepada pelajar terutama di kawasan luar bandar memahami teknik menjawab soalan, sekali gus meningkatkan pencapaian mereka di dalam peperiksaan awam.

“Bank Rakyat sentiasa memberikan yang terbaik bagi meningkatkan kecemerlangan akademik pelajar, “ katanya ketika ditemui selepas merasmikan Seminar Skor A UPSR anjuran Bank Rakyat dengan kerjasama Berita Harian Sdn Bhd di Institut Latihan Perindustrian (ILP) Sandakan, Sabah.

Turut hadir, Pengurus Yayasan Bank Rakyat, Rafidah Yaakob, Pengarang Pendidikan Berita Harian, Zainor Said, Pengurus Bank Rakyat Cawangan Sandakan, Hamza Ali dan Pegawai Pelajaran Daerah (PPD) Sandakan, Sharif Mahada Sharif Attar.
Seramai 270 pelajar UPSR dari 21 sekolah di Sandakan menyertai seminar sehari itu. Antara sekolah terbabit ialah Sekolah Kebangsaan (SK) Tanjung Papat 2, SK Sibugal Besar, SK Batu 16 Gum-Gum, SK Bandar 2 dan SK Bukit Garam.

Abdul Lidzam berkata, Bank Rakyat dengan kerjasama Berita Harian sudah menganjurkan seminar berkenaan sejak 2003 dan merancang menambah lagi bilangan seminar pada masa depan.

“Terdapat 53 siri seminar bertujuan mendedahkan peserta mengenai strategi mengulang kaji pelajaran dan menjawab soalan peperiksaan secara tepat dan berkesan bagi mata pelajaran Sains, Matematik dan Bahasa Inggeris, “ katanya.

Sementara itu, guru SK Tanjung Papat 2, Duloress Juanico mencadangkan penganjur supaya menambah masa setiap sesi ceramah, terutama bagi mata pelajaran penting bagi meningkatkan pemahaman calon.
"Maklumat diperoleh dalam seminar ini sangat berguna untuk membolehkan mereka membuat persediaan menghadapi peperiksaan September depan," katanya.

Ghani Uyong dari SK Batu 16 Gum-Gum, berkata usaha Bank Rakyat melaksanakan tanggungjawab sosial itu harus dicontohi institusi kewangan lain.

"Saya harap Bank Rakyat dan Berita Harian membuka peluang kepada lebih murid untuk menyertainya," katanya.

Rabu, 3 Mac 2010

51 negara bersaing rebut Piala Perdana Menteri

PERTANDINGAN Pidato Antarabangsa Bahasa Melayu Piala Perdana Menteri 2010 (PABM 2010) bakal menyaksikan 56 peserta akan mengambil bahagian mewakili 51 negara yang berlangsung selama empat hari mulai kelmarin, di Pusat Persidangan Putrajaya (PICC), di Putrajaya.

Program yang diadakan masuk tahun keempat itu sebelumnya dianjurkan bagi merebut Piala Timbalan Perdana Menteri bagaimanapun dinaikkan taraf kepada Piala Perdana Menteri mulai tahun ini. Majlis kemuncak pertandingan itu akan disempurnakan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, di PICC, Jumaat ini.

Pertandingan anjuran Kementerian Pengajian Tinggi, Kementerian Pelajaran, Kementerian Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan serta Kementerian Pelancongan itu dibahagikan kepada dua kategori iaitu kategori nusantara dan kategori antarabangsa.



KPT dalam kenyataannya berkata, kategori nusantara dianggotai peserta dari negara pengamal Bahasa Melayu sebagai bahasa utama seperti Malaysia, Indonesia, Brunei, Thailand dan Singapura.

Bagi kategori antarabangsa pula, penyertaan terdiri daripada anak watan negara berkenaan yang mengambil jurusan bahasa Melayu sebagai kursus elektif di institusi pengajian tinggi yang menawarkan program pengajian Bahasa Melayu.

Setakat ini terdapat 130 institusi pengajian tinggi di 45 negara seluruh dunia menawarkan program berkenaan.
Peserta dari negara berkenaan antaranya, Amerika Syarikat, Argentina, Jepun, China, Korea Selatan, New Zealand, Jerman, Belanda, Vietnam, Ukraine, Romania, Yaman, Mesir dan India akan mengambil bahagian.

Johan pertandingan menerima wang tunai AS$5,000 (RM17,500) serta hadiah sampingan berupa kamus dan buku bahasa Melayu serta hadiah sampingan. Naib johan menerima wang tunai AS$3,000 (RM10,500) dan hadiah iringan manakala tempat ketiga akan membawa pulang AS$2,000 (RM7,00) dan sijil penyertaan.

Sebagai menghargai sumbangan peserta dalam meningkatkan penguasaan mereka dalam pengucapan Bahasa Melayu, penganjur menyediakan cenderamata berupa plak, sagu hati RM1,000 dan sijil penyertaan kepada semua peserta.

PABM bertujuan memartabatkan pengaruh Bahasa Melayu ke peringkat antarabangsa selain memupuk semangat cintakan bahasa kebangsaan di kalangan pelajar institusi pengajian tinggi tempatan serta pelajar antarabangsa yang mengikuti program berkenaan.