Memaparkan catatan dengan label myMetro. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label myMetro. Papar semua catatan

Rabu, 29 Oktober 2014

Amri Idamkan Hatrik Di Pentas Final

Johor Bahru: Pemain berpengalaman, Mohd Amri Yahyah (gambar) tidak mahu melepaskan peluang mendakap Piala Malaysia buat kali ketiga dalam kariernya Sabtu ini.

Andai berjaya menumbangkan Pahang pada final di Stadium Nasional Bukit Jalil berkenaan, Amri jelas mencapai kepuasan tersendiri.

“Piala Malaysia itu bakal menjadi kejuaraan ketiga saya sekali gus melengkapkan koleksi kejuaraan Liga Super, Piala FA dan Sumbangsih yang sudah dimenangi sebanyak tiga kali sepanjang berkecimpung dalam kancah bola sepak tempatan,” kata pemain tengah Johor Darul Ta’zim (Johor DT) itu.

Ketika mewakili Selangor selama 13 tahun, Amri menjulang semua kejuaraan berkenaan bermula 2001 hingga 2010 dan kejayaan membantu Johor DT muncul juara Liga Super musim ini melengkapkan kejayaan diraih pada 2009 dan 2010.

Lebih istimewa pemain kelahiran Tanjung Karang itu berusia 33 tahun musim ini.

“Ia bakal menjadi final impian buat saya. Memang saya teruja selepas 12 tahun menanti kerana final ini adalah salah satu sasaran saya bersama pasukan baru.

“Saya harap rakan sepasukan dapat memberikan komitmen tinggi untuk perlawanan ini,” katanya yang menyertai Harimau Selatan pada musim ini.

Amri pernah menjulang Piala Malaysia pada 2002 dan 2005.

Mengenai ketiadaan kapten dan tonggak pertahanan, Mohd Aidil Zafuan Abd Radzak, Amri menjelaskan ketiadaannya umpama ‘sebuah kapal tanpa nakhoda’.

“Saya harap sesiapa saja yang menggantikannya mampu memberikan komitmen dan membuka laluan untuk kemenangan kami dengan bermain bersungguh-sungguh,” katanya.

'Messi' Kedah Bersama Harimau Malaya


Kelana Jaya: Kecil jangan disangka anak, itulah yang ingin dibuktikan pemain muda, Farhan Roslan sebaik saja mendapat panggilan pengendali skuad kebangsaan, Dollah Salleh bagi persiapan Piala Suzuki AFF 2014 bulan depan.

Farhan yang baru berusia 17 tahun berjaya memikat Dollah terutama ketika saingan suku akhir dan separuh akhir Piala Malaysia baru-baru ini bersama pasukan negeri kelahirannya, Kedah.
“Ini pengalaman baru buat saya kerana dapat panggilan skuad kebangsaan,” kata pemain yang digelar ‘Messi Kedah’ itu selepas sesi latihan di Wisma Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) semalam.

Pemain kelahiran Alor Setar itu berkata, dia memang mengimpikan untuk mewakili Malaysia dan sekarang ini situasi itu ibarat bulan jatuh ke riba.

“Saya cuba buat yang terbaik walaupun saya bersaiz kecil, saya akan memberi tentangan kepada mereka yang lebih senior dan besar dari saya.

“Tidak ada masalah jika seseorang pemain itu bertubuh kecil, namun saya akui sedikit gementar bila berlatih bersama pemain senior,” katanya.

Farhan yang akan menjangkau usia 18 tahun pada 3 Disember ini mengakui, aksi cemerlang pada separuh akhir ketika menentang Pahang menjadi punca utama dia dipanggil berlatih bersama skuad Harimau Malaya.

“Saya akan tunjukkan kepada jurulatih apa yang saya ada, saya mempunyai keyakinan untuk melakukan yang terbaik dalam skuad kebangsaan,” kata pemain yang menjadikan Lionel Messi sebagai idolanya.

Selain berasa puas dapat dipanggil berlatih bersama skuad kebangsaan, Farhan juga tidak sabar untuk bergandingan bersama idolanya dalam kalangan pemain tempatan, Safiq Rahim.

Safiq masih belum menyertai kem latihan skuad ke bangsaan kerana perlu menyelesaikan tugas penting mem bantu pasukannya, Johor Darul Ta’zim (Johor DT) bersaing dalam perlawanan akhir Piala Malaysia 2014 menentang Pahang Sabtu ini.

Conti Sedia Bedil JDT


Temerloh: Penyerang import Pahang Matias Conti melaungkan amaran betapa dia masih dahagakan kejuaraan Piala Malaysia dan bersedia untuk ‘membedil’ kubu Johor Darul Ta’zim (Johor DT) pada aksi final di Stadium Nasional Bukit Jalil Sabtu ini.

Pemain kelahiran Santa Fe, Argentina itu sudah membuktikan dia kini berada di prestasi terbaik dengan melakukan hatrik ketika membantu skuad Tok Gajah menewaskan Kedah 5-0 pada aksi separuh akhir kedua untuk menempah tiket ke final buat kali kedua berturut-turut menerusi agregat 6-3.

Biarpun sedar bakal ‘dirantai’ pertahanan skuad Harimau Selatan, Conti tetap berharap mampu mengulangi kejayaan tahun lalu apabila dia menyumbat gol tunggal kemenangan menewaskan Kelantan 1-0 di perlawanan akhir.

“Kami mahu menang. Kami akan berikan yang terbaik kerana ini perlawanan terakhir musim ini. Kami adalah juara bertahan dan sudah pasti mahu mengekalkan trofi itu,” katanya yang sudah meledak lima gol sepanjang kempen Piala Malaysia ini.

Conti, 24, yang dijangka bergandingan bersama ‘orang besi’ Dickson Nwakaeme di bahagian serangan pasti dapat menghidu kelemahan juara Liga Super Johor DT yang kehilangan tonggak pertahanan tengah Mohd Aidil Zafuan Abd Radzak kerana penggantungan perlawanan.

Namun dia tidak mahu memperkecilkan pihak lawan kerana menganggap pasukan lawan itu tetap memiliki pertahanan mantap.

“Semua pasukan di Malaysia mempunyai pertahanan bagus. Johor DT juga bagus dan begitu juga kami,” katanya yang mahu memastikan Pahang juara berganda musim ini selepas menjulang Piala FA Jun lalu.

Dalam pada itu final kali ini juga bakal mempertemukan penyerang Argentina terbaik dalam Liga Malaysia iaitu Conti dan Luciano Figueroa serta Jorge Pereyra Diaz dari Johor DT.

“Figueroa dan Diaz pemain Argentina yang bagus dan mereka mempunyai persefahaman baik antara mereka. Tapi saya akan berikan yang terbaik untuk kemenangan Pahang,” katanya.

Sumber : Harian Metro

Rabu, 29 Mei 2013

Piala FA : JDT VS Pahang, Ditunda


SULTAN Ahmad Shah (dua dari kiri) berbincang dengan pegawai perlawanan.
 
Dua penyokong Pahang dan Johor Darul Takzim (JDT) cedera terkena objek dibaling individu tidak bertanggungjawab pada aksi separuh akhir kedua Piala FA yang melakar episod mendukacitakan di Stadium Darul Makmur, malam tadi.

Seorang wanita dipercayai penyokong Pahang terpaksa dibawa keluar polis selepas mata kanannya cedera terkena objek dibaling ketika dia dan lebih 7,000 penyokong tuan rumah terpaksa duduk di trek gara-gara stadium skuad Tok Gajah itu penuh sesak.

Seorang penyokong Johor DT pula memegang kepalanya selepas terkena balingan objek sekali gus menghidangkan risiko besar buat Persatuan Bolasepak Negeri Pahang (PBNP) terhadap tindakan yang boleh dikenakan Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) yang pasti berang dengan insiden ini.

Pertemuan yang diungguli Johor DT hasil kemenangan 1-0 di Stadium Larkin, Sabtu lalu itu gagal dimulakan mengikut jadual sebenar selepas 7,000 penyokong tuan rumah memenuhi trek, memaksa semua pihak terbabit mengadakan mesyuarat tergempar mencari jalan penyelesaian serta-merta.

Perlawanan dijadual bermula 8.45 malam tertangguh satu jam 40 minit sebelum pengadil perlawanan membatalkan aksi itu pada jam 10.25 malam.

Untuk rekod, Stadium Darul Makmur hanya mampu menampung 35,000 penyokong tapi 42,000 penyokong kedua-dua pasukan dianggar membanjiri stadium yang pernah menyaksikan anak didik Dollah Salleh menewaskan Johor DT, 3-2 pada saingan Liga Super, beberapa bulan lalu.

Bagi meredakan keadaan, Sultan Pahang yang juga Presiden FAM Sultan Ahmad Shah serta Presiden PBNP Tengku Abdul Rahman Sultan Ahmad Shah turun bertanyakan situasi sebenar kepada barisan pegawai perlawanan selain bertemu penyokong Tok Gajah di trek.

Berdasarkan peraturan Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA), setiap perlawanan tidak boleh dilangsungkan andai ada penyokong pasukan duduk terlalu hampir dengan padang kerana dibimbangi bakal mencetuskan keadaan tidak selesa pemain yang pastinya risaukan keselamatan masing-masing.

PASUKAN Simpanan Persekutuan (FRU) dan polis bekerja keras menghalang penyokong yang menyerbu masuk ke padang sejurus perlawanan separuh akhir antara Pahang dan Johor Darul Takzim dibatalkan dengan tarikh baru akan diumumkan kemudian.  

 SULTAN Pahang, Sultan Ahmad Shah mencemar duli turun ke trek bagi memantau sendiri keadaan penyokong yang begitu ramai menyaksikan separuh akhir kedua Piala FA antara Pahang dan Johor Darul Takzim, di Stadium Darul Makmur. 

PENYOKONG Pahang yang cedera selepas terkena objek yang dibaling.

Malam tadi PENGULAS SUKAN RTM TV1, menyatakan bahawa ini adalah situasi pertama kali dalam sejarah bola sepak MALAYSIA berlaku keadaan sedemikian, dimana penonton melimpah sampai ike trek. TAPI, adakah anda lupa bahawa keadaan yang sama pernah berlaku ketika Sarawak VS Kedah, 1988 sehinga perlawanan terpaksa ditunda dan diadakan Singapura? Adakah PENGULAS sukan RTM TV1 itu terlupa atau sememangnya Provokasi daripada pihak media keatas pasukan NGAP SAYOT?

Piala FA : Tegergganu VS Kelantan 28.05.2013


PEMAIN Terengganu, Mohd Ashari, diasak Mohd Daudsu pada pertemuan separuh akhir kedua Piala FA, di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah, Kuala Terengganu. Terengganu menang 4-2. Tapi, Kelantan layak ke akhir selepas menang dengan agregat 6-5

Kelantan berpeluang mempertahankan kejuaraan Piala FA musim ini apabila menundukkan Terengganu dengan agregat 6-5 pada separuh akhir kedua walaupun tewas 2-4 di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah, petang semalam.

Bagaimanapun, pelawat terpaksa mengerah kudrat hingga masa tambahan untuk melangkah ke final buat kali ketiga berturut-turut hasil jaringan penyerang import, Dickson Nwakaeme yang mudah menolak masuk menewaskan penjaga gol Mohd Shamirza Yusof pada minit ke-117 masa tambahan.

Terengganu perlu menyalahkan diri sendiri apabila gagal mengambil kesempatan daripada kelebihan mendahului 4-0 sebelum Obinna Nwaneri menjaringkan gol sulung Kelantan pada minit ke-94 yang menjadikan kedudukan agregat terikat 5-5.

Sebelum itu, Terengganu membuka jaringan pada minit keempat apabila pemain pertahanan Vincent Bikana menyempurnakan sepakan percuma dari jarak 25 meter untuk menewaskan penjaga gol Kelantan, Khairul Fahmi Che Mat.

Pemain sayap G Puaneswaran menanduk masuk gol kedua tuan rumah pada minit ke-26 sebelum Effa Owona menghasilkan gol ketiga pada minit ke-70 manakala Abdul Manaf Mamat mengukuhkan kedudukan Terengganu dengan jaringan minit ke-92.

Namun, kesilapan Owona yang memberikan sepakan percuma selepas melakukan kekasaran ke atas pemain Kelantan, Mohd Badhri Mohd Radzi dan menyaksikan dia dibuang padang selepas menerima kad kuning kedua kerana membantah keputusan pengadil, memberi peluang kepada skuad The Red Warriors mengheret perlawanan ke masa tambahan apabila gerakan itu disudahkan Nwaneri ketika perlawanan berbaki seminit.

Derita Terengganu bertambah apabila penyerangnya Manaf dibuang padang kerana menyepak pemain pertahanan lawan, Mohd Farisham Ismail di awal babak pertama masa tambahan.

“Pemain kami beraksi agak perlahan terutama pada babak pertama dengan membiarkan tuan rumah menguasai permainan hingga membolehkan Terengganu memperoleh dua jaringan awal.

“Bagaimanapun, bersambung babak kedua pertukaran strategi menampakkan perubahan untuk menyaingi kebangkitan luar biasa tuan rumah dan kami berjaya menewaskan lawan biarpun terpaksa menunggu hingga masa tambahan,” kata jurulatih Kelantan Bojan Hodak. Sementara itu, jurulatih Terengganu E Elavarasan gagal menyembunyikan kekecewaan apabila pasukan bimbingannya melepaskan peluang keemasan untuk mengulangi kejayaan muncul juara piala itu dua tahun lalu.

“Saya kecewa bukan kerana pemain tidak beraksi dengan baik. Pemain sudah menunjukkan corak permainan konsisten dan bagus tapi ketiadaan Owona dan Manaf yang dilayangkan kad merah menyebabkan kita gagal menyaingi lawan pada masa tambahan.

“Saya percaya jika kedua-dua pemain itu masih berada dalam pasukan, Terengganu mampu melakar kejayaan mara ke final musim ini,” katanya.

Sementara itu, suasana di stadium kecoh apabila penyokong yang tidak puas hati dengan mutu pengadilan bertindak mengeluarkan kata-kata kesat kepada pengadil, Suhaizi Shukri yang didakwa berat sebelah.

....

Pengadil yang sama ketika Sarawak tumpas 2 - 0 keatas Kelantan dalam Piala FA pada 16.04.2013 lalu, dimana 3 jaringan dari Sarawak tidak dikira dan dikatakan offside dan penyokong membaling botol ke arash padang lantas menyebabkan permainan terhenti hampir 30 minit, adakah pihak FAM sudah ketandusan pengadil sehinga menetapkan pengadil yang sama semasa Kelantan menentang pihak lawan? Atau sememangnya percaturan daripada pihak yang tidak bertanggungjawab yang ingin menemukan Kelantan Vs JDT di Final?? Atau ini semua provokasi?? 

Khamis, 23 Mei 2013

MSL : Johor Darul Takzim Vs Kelantan 23.05.2013

Johor Darul Takzim (DT) melonjak ke tangga kedua untuk mencabar pendahulu liga, LionsXII selepas menjinakkan Kelantan 2-0 dalam saingan Liga Super di Stadium Larkin, malam tadi.

Pertembungan Johor DT dan Kelantan terpaksa dimulakan lewat 40 minit apabila pegawai perlawanan dan pihak berkuasa bertungkus-lumus mengasingkan penyokong Johor DT dan Kelantan selepas salah seorang penyokong mengalami kecederaan di kepala akibat terkena balingan objek hingga segelintir penyokong skuad Harimau Selatan terpaksa diletakkan di trek stadium bagi menjamin keselamatan mereka.

Tanpa menunggu lama, skuad Harimau Selatan bertali arus mengasak ke kubu The Red Warriors dan hampir membuka tirai jaringan pada minit ke-21 selepas rembatan Nurul Azwan Roya ditampan penjaga gol, Khairul Fahmi Che Mat biarpun bola muntah cuba dicabar Safee Sali.

Tersentak dengan percubaan tuan rumah, The Red Warriors yang beraksi tanpa kelibat tiga tonggak utama, Mohd Badhri Radzi, Indra Putra Mahiyuddin dan Norfarhan Mohammad dan berada di bangku simpanan hampir mencemaskan gawang skuad Harimau Selatan selepas bola rembatan Zairo Anuar Zailani pada minit ke-24 hanya sipi dari pintu gol.
 
Ketika aksi memasuki minit ke-31 peluang terbaik Kelantan mencipta jaringan dipersia-siakan Harris Safwan, berpunca daripada lorongan Ahmad Fakri Sharani yang ditampan penjaga gol tuan rumah, Mohd Al-Hafiz Hamzah.

Ketika babak pertama semakin hampir penghujung, Leonel Nunez terlepas peluang merobek gawang pelawat apabila bola tandukannya pada minit ke-41 dan disusuli seminit kemudian hanya sipi dari gawang selain tindakan pantas Khairul Fahmi menghalang bola daripada menerjah ke jaring.
 
 NORSHAHRUL (tengah) jaring gol pertama Johor DT.

Bermula babak kedua, skuad Harimau Selatan begitu rakus mengasak ke kubu Kelantan dan ketika aksi memasuki minit ke-65, gol yang dinantikan ketua jurulatih Johor DT, Fandi Ahmad menjelma menerusi rembatan deras Norshahrul Idlan Talaha dari luar kotak penalti yang menewaskan Khairul Fahmi.

Selang tiga minit kemudian gol kedua terhasil buat tuan rumah apabila Nurul Azwan yang berada di sudut sukar bertindak melencongkan bola yang menerjah ke jaring bagi menewaskan Khairul Fahmi yang sekadar tergamam di gawang sendiri untuk memastikan kemenangan buat Harimau Selatan.

Sumber : myMetro

Jumaat, 10 Mei 2013

Azan Subuh jadi penyelamat

Rumah pusaka didiami empat beradik musnah dalam kebakaran.
 
Kuala Krai: Azan Subuh menyelamatkan empat beradik daripada rentung selepas abang mereka yang bangun daripada tidur untuk menunaikan solat melihat api membakar dinding bilik tidur rumah mereka di Kampung Laloh, dekat sini,lalu menjerit menyuruh semua adiknya keluar dari rumah, semalam.

Dalam kejadian jam 5.40 pagi, rumah pusaka berusia lebih 30 tahun itu musnah sama sekali dan kerugian dianggarkan RM170,000.

Mangsa Mohd Faizol Mat Jusoh, 22, berkata, dia mendengar jeritan abangnya, Mohd Alias Mat Jusoh, 42, yang memaklumkan dinding bilik tidur terbakar dan menyuruh supaya segera keluar dari rumah.

Katanya, ketika kejadian, hanya mereka berempat berada di rumah kerana ibu mereka Samsiah Hamid, 56, berada di rumah ayah tiri.

“Ketika kebakaran bekalan elektrik terputus. Api marak pantas menyebabkan kami tidak sempat menyelamatkan barangan penting termasuk dokumen pengenalan diri

Sumber : myMetro

Khamis, 18 April 2013

Sarawak Mudah Hilang Bola

Barisan Pemain Sarawak  

Kuching: Penyakit pasukan Bujang Senang yang mudah kehilangan bola menjadi punca kekalahan 0-2 kepada Kelantan pada suku akhir kedua Piala FA di Stadium Negeri, kelmarin.

Jurulatih Robert Alberts berkata, anak buahnya tidak agresif, sering kehilangan bola dan membiarkan Kelantan mencipta jaringan mudah.

“Kami sepatutnya memberi tentangan lebih sengit. Kami memberikan mereka dua gol mudah. Kita boleh lihat perbezaan kualiti antara dua pasukan dari dua liga berbeza,” katanya.

Sarawak adalah pasukan Liga Perdana sementara Kelantan dari Liga Super.

Kelemahan itu sering dibangkitkan Alberts terhadap prestasi anak buahnya pada setiap perlawanan.


Sementara itu pemain kelahiran Malaysia yang sebelum ini bermain di Liga Bolasepak Vauxhall, England, Junior Eldstal belum lagi memperlihatkan kehebatan pada aksi pertamanya. Eldstal berkata, dia masih dalam peringkat menyesuaikan diri dengan keadaan.

Isnin, 28 Januari 2013

Ibu Bapa Kongkong Kehidupan



Saya berusia 24 tahun dan kini sedang melanjutkan pengajian dalam bidang kejuruteraan di sebuah institusi pengajian tinggi tempatan.
Saya tidak mempunyai sebarang masalah dalam pelajaran kerana keputusan peperiksaan sentiasa konsisten. 
Cuma, sekarang saya berasa makan hati dengan sikap ibu bapa yang keterlaluan mengongkong hidup saya biarpun pada usia ini saya boleh dikatakan sudah dewasa. 

Saya berasal dari keluarga yang boleh dikatakan senang dengan segala keperluan mencukupi. Walaupun ibu bapa bersikap penyayang, sikap suka mengongkong mereka itu membuatkan saya sangat bosan.

Dunia pergaulan saya hanya di kampus dan rumah semata-mata. Saya selalu ditegah keluar rumah dengan tanggapan boleh membahayakan keselamatan.

Malah, lebih teruk, ibu bapa membelikan saya sebuah permainan video dengan tujuan melekakan saya supaya tidak keluar. 

Jika keluar pun, perlu memberitahu mereka atau mesti berteman yang selalunya daripada kalangan keluarga. 

Saya tahu apa dilakukan mereka tujuannya baik, tapi saya juga mahukan sedikit kebebasan untuk mencorakkan masa sendiri seperti bersama rakan lain menonton wayang dan sebagainya. 

Saya tidak faham kenapa mereka melayan saya seperti budak-budak. Saya bukan anak tunggal malah mempunyai tiga orang lagi adik-beradik yang semuanya meningkat dewasa. Kami semua menerima layanan yang sama. 

Saya bosan dengan keadaan ini. Bantulah saya. 

MAHU BERDIKARI, 
Perlis 

Membaca coretan adik menjadikan Dr memahami dilema yang sedang adik hadapi. Dalam usia adik yang sudah dewasa tapi masih lagi dikongkong, sudah pasti akan meninggalkan konflik dalam diri. 

Apa yang adik lalui ini ada kaitan dengan tahap perkembangan umur diri adik serta gaya asuhan ibu bapa. 

Sikap kontra antara kedua-dua pihak akan mewujudkan konflik kerana tidak terdapat keserasian. 

Umur adik terus meningkat dengan gaya pemikiran dewasa, tapi bagi pihak ibu bapa pula beranggapan adik masih kecil dan memerlukan pemerhatian demi keselamatan diri. 

Percanggahan ini timbul kerana dua generasi iaitu adik dan ibu bapa memandang kehidupan ini dari sudut berbeza. Generasi muda ada matlamat dan perancangannya, begitu juga ibu bapa yang mungkin tidak memahami matlamat itu. 

Bagaimanapun, masih banyak lagi jalan penyelesaian boleh dilakukan selain membuat strategi yang boleh mendatangkan kebaikan bersama. 

Antaranya mengendalikan konflik antara anak dengan ibu bapa menerusi penyelesaian masalah secara bersama. 

Ia bukan mudah kerana masing-masing mempunyai tuntutan sendiri terutama ibu bapa yang bertindak bagi menentukan keberkesanan sesebuah keluarga. 

Mahatma Gandhi pernah berkata, `tiada sekolah setanding rumah tangga bahagia dan tiada guru setanding dengan ibu bapa yang tulus ikhlas dan berhati mulia’. 

Erikson, seorang ahli psikologi terkenal menjelaskan, pada tahap umur adik ini, individu mula membentuk hubungan yang akrab dan rapat terutama dengan rakan berlainan jantina. Mereka mula memikir soal teman hidup, percintaan, hingga membawa kepada dunia perkahwinan. 

Ibu bapa adik mengikut Santrock, seorang ahli psikologi lain, tergolong dalam kategori authoritarian. Ibu bapa jenis ini akan mengenakan peraturan dan hukuman kepada anak mereka. 

Selain itu, ibu bapa authoritarian mahukan anak mereka patuh dan menghormati mereka. Pertuturan lisan antara ibu bapa dengan anak adalah terhad dan kurang digalakkan. 

Jadi persoalan adik bahawa `saya tidak faham kenapa mereka buat saya seperti budak-budak’ ada kaitannya dengan bentuk asuhan keluarga ibu dan bapa adik. 

Beberapa langkah yang digunakan ibu bapa boleh mengurangkan konflik antara anak dengan mereka. Gaya asuhan keluarga yang authoritatif boleh dicadangkan. 

Antaranya, ialah melalui pemberian kasih sayang sejati, peruntukan masa bersama- sama, disiplin kukuh, saling menghormati, didikan kepada perkara yang betul bukan sebaliknya dan layanan mesra.

Selain itu, ibu bapa juga perlu mendengar pendapat dan bersifat realistik serta menggalakkan anak remaja berdikari. 

Seorang anak pula wajib mentaati ibu bapanya dalam semua perkara kecuali dalam perkara maksiat atau kemungkaran kepada Allah.

Sumber : myMetro

Segala-galanya Bola!


'Goooolllll' adalah jeritan paling ramai didengari di kawasan awam. Sama ada di kedai mamak, restoran mewah hinggalah ke hotel lima bintang, semuanya sudah bijak memancing pelanggan dengan menayang perlawanan bola sepak di skrin lebar. Ikuti kajian ringkas MURSHID EUNOS mengenai fenomena remaja ini.

Tidur bola, makan bola dan mandi pun bola! Semuanya pasal bola hingga kini trend menonton bola sudah banyak berjangkit kepada golongan gadis pula. Ramai juga gadis sudah pandai memborong jersi bola sepak dan menggayakannya di warung mamak setiap kali berlangsungnya perlawanan bola secara langsung di kaca televisyen.

Baiknya fenomena ini, ia mendorong minat bersukan dan mengisi masa terluang golongan muda daripada melakukan aktiviti tidak berfaedah. Tapi yang tak manisnya apabila sanggup bengkak mata datang ke pejabat sebab bersengkang mata tengok siaran langsung.

Kerja pun terganggu, fokus hilang dan prestasi serta produktiviti mula merosot. Yang punya kekasih hati pula, ada kalanya minat dan taksub terhadap bola boleh mengundang pergaduhan kerana golongan lelaki lebih pentingkan bola daripada hati si dia.
Apa pun, Gen.Y sendiri memang menggalakkan golongan muda meminati bola. Setidak-tidaknya semangat itu sudah ada walaupun sukan bola sepak kita masih belum terpilih ke Piala Dunia.

Ikuti beberapa fakta menarik yang disediakan Gen.Y berdasarkan kajian yang dilakukan majalah perniagaan Forbes dengan mengambil kira kepada akaun pendapatan, keuntungan dan tahap hutang hingga 2012.

5 kelab paling bernilai
1. Manchester United (England) - RM6.8 bilion
2. Real Madrid (Sepanyol) - RM5.71 bilion
3. Barcelona (Sepanyol) - RM3.97 bilion.
4. Arsenal (England) - RM3.92 bilion.
5. Bayern Munich (Jerman) - RM3.74 bilion

5 kelab terkaya
1) Real Madrid (Sepanyol) - RM1.778 bilion
2) Barcelona (Sepanyol) - RM1.609 bilion
3) Manchester United (England) - RM1.414 bilion
4) Bayern München (Jerman) - RM1.305 bilion
5) Arsenal (England) - RM1.108 bilion

5 pemain termahal
1. Lionel Messi (Barcelona) - RM133.8 juta
2. David Beckham (LA Galaxy) - RM127.7 juta
3. Cristiano Ronaldo (Real Madrid) - RM118.4 juta
4. Samuel Eto'o (Anzhi Makhachkala) - RM94.4 juta
5. Wayne Rooney (Manchester United) - RM83.4 juta

5 pemain terkaya
1. David Beckham (LA Galaxy) - RM650.5 juta
2. Rio Ferdinand (Manchester United) - RM173.5 juta
3. Ryan Giggs (Manchester United) - RM144.5 juta
4. Wayne Rooney (Manchester United) - RM144.5 juta
5. Steven Gerrard (Liverpool) - RM130.1 juta

5 pemilik kelab terkaya
1. Sheikh Mansour (Manchester City) - RM 96.3 bilion
2. Alisher Usmanov (Arsenal) - RM59.7 bilion
3. Roman Abramovich (Chelsea) - RM49.6 bilion
4. Keluarga Liebherr (Southampton) - RM14.5 bilion
5. Joe Lewis (Tottenham) - RM13.5 bilion

5 pengurus kelab terkaya
1. Sir Alex Ferguson (Manchester United) - RM130.1 juta
2. Arsène Wenger (Arsenal) - RM96.3 juta
3. Roberto Mancini (Man City) - RM91.5 juta
4. Steve Bruce (Sunderland) - RM43.3 juta
5. Alex McLeish (Aston Villa) - RM28.9 juta

Artikel ini disiarkan pada : 2013/01/28
Sumber : myMetro

Korban Keseronokan


NOSTALGIA siri tele­vi­syen popular Doo­gie Howser yang popular pada 1989 tetap terpahat dalam ingatannya.
Siri yang mengisahkan kejayaan doktor kanak-kanak itu akhirnya menjadi pencetus cita-cita untuk bergelar doktor dan sejak itu dia juga semakin rajin belajar. 
Kini, anak sulung dua beradik ini belajar dalam bidang perubatan di Mana­gement and Science University (MSU) Shah Alam, Selangor. 

“Siri itu memang meninggalkan kesan mendalam dan menjadi sumber inspirasi bergelar doktor.
“Walaupun ketika itu masih kanak-kanak, inga­tan serta pengaruhnya cukup besar hingga saya sentiasa bercita-cita menjadi doktor.

“Kini, saya sedang me­ngejar impian itu,” katanya. 
Mengimbas nostalgia zaman kanak-kanak, setiap kali guru bertanya cita-cita, semua rakannya mahu menjadi askar dan guru. 

“Tapi saya hendak jadi doktor biarpun guru kata kerjaya itu terpaksa ‘bermain’ darah. 

“Yang terbayang di mata ialah bagaimana bergaya apabila memakai seragam doktor dan peluang bertemu ramai orang,” katanya. 

Bagaimanapun, bekas pe­lajar SMK Seri Perhentian, Pontian, Johor itu berkata, bukan mudah meneruskan pengajian dalam bidang perubatan. 

Mengakui bukan saja perlu mempunyai pencapaian akademik cemerlang malah terpaksa mempunyai keberanian dan kekuatan semangat bukan sedikit. 

“Kekuatan semangat itu bukan sekadar keberanian untuk berdepan darah, mayat malah keupayaan mengorbankan keseronokan serta masa terluang. 

“Hanya mereka yang mengikuti jurusan ini saja tahu betapa seksanya bergelar doktor. 

“Tapi, saya ti­dak pernah menyesal sebab memang ingin jadi doktor. Susah senang saya perlu hadapinya,” kata anak kelahiran Pontian, Johor. 

Berkongsi cabaran uta­ma­nya sebagai pelajar perubatan, paling sukar ialah menjalani latihan praktikal sesi viva (soal jawab dan penilaian). 

“Rasa cemas dan takut memang ada kerana kemampuan akan dinilai dari segenap sudut oleh doktor sebenar dan pesakit sebenar. 

“Pelajar tidak boleh gagal dalam sesi ini kerana boleh memberi kesan terhadap penilaian keseluruhan,” katanya. 

Mahu bergelar doktor pakar suatu hari nanti, dia menganggap bidang perubatan menjanjikan kehidupan lebih baik. 

“Masyarakat sering me­nganggap doktor boleh hi­dup senang. Jika itulah matlamatnya, nilai kemanusiaan akan hilang. 

“Sebaliknya anggaplah ke­pakaran dan bakti doktor sebagai amal jariah selain penghubung kepada pembinaan jiwa dan pengukuhan nilai kemanusiaan,” katanya. 

Di waktu lapang, dia membabitkan diri dalam sukan olahraga yang menjadi terapinya mengatasi tekanan.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/01/28
Sumber : myMetro

Selasa, 22 Januari 2013

Cincin Tersekat Jari OKU


Kuala Lumpur: Seorang remaja orang kelainan upaya (OKU) menahan sakit hampir dua jam selepas cincin yang baru dibeli dan dipakainya tidak dapat dikeluarkan dari jarinya dalam kejadian di Kuala Kubu Baru, di sini, kelmarin.

Cincin yang dipakai di jari tengah tangan kanan mangsa yang berusia 17 tahun itu menyebabkan jarinya bengkak hingga terpaksa dibawa ke hospital, jam 8.30 malam.

Bagaimanapun, cincin itu berjaya dibuka sepasukan anggota bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat Kuala Kubu Baru.

Ketua Operasinya Omar Mohd Yatim berkata, sepasukan bomba bertungkus-lumus selama setengah jam untuk membuka cincin berkenaan menggunakan gergasi besi selepas mangsa dibius pihak hospital.

Katanya, cincin dipakai mangsa gagal dibuka keluarganya sebelum dihantar ke Hospital Kuala Kubu Baru.

“Kami dimaklumkan kejadian itu jam 8 malam dan empat anggota bomba bergegas ke hospital untuk membantu membuka cincin itu.


Sumber : myMetro

Selasa, 17 April 2012

Metro : Dibelasah tanpa sebab


KUALA LUMPUR: Tanpa motif atau sebab tertentu, remaja lelaki dibelasah dengan batang mop hingga patah tangan kiri serta menerima tiga jahitan di kepala, selain dibogelkan dua lelaki yang dipercayai mabuk.

Dalam kejadian di Jalan Klang Lama, di sini jam 2 petang kelmarin, mangsa yang berusia 14 tahun sebelum itu diajak rakannya ke kedai runcit di blok kediaman rumah mereka.

Dia yang enggan mendedahkan identitinya berkata, selepas ke kedai rakannya mengajaknya ke kolam renang pula.

“Saya mengikutnya ke kolam renang tanpa syak tetapi apabila sampai, saya terkejut melihat ada dua lelaki berusia 30-an di situ seolah-olah menunggu kedatangan kami.

“Saya kenal dua lelaki itu kerana mereka juga tinggal di kawasan perumahan kami. Sebaik melihat dua lelaki itu, rakan saya tiba-tiba meninggalkan saya bersendirian di kawasan kolam renang itu,” katanya kepada Harian Metro semalam.

Sumber : myMetro
Oleh Kalidevi Mogan Kumarappa
kalidevi@hmetro.com.my

Selasa, 18 Oktober 2011

Kes Pembuangan Bayi



BETONG: Hanya kerana teman lelaki tidak mahu menerima anak luar nikah dalam kandungannya, seorang pelajar berusia 16 tahun mengelar bayi perempuan baru dilahirkannya sehingga mati dan perut terburai di bilik asrama sekolahnya di sini, semalam.

Kejadian menggemparkan itu berlaku kira-kira jam 7.40 pagi dan pelajar tingkatan empat terbabit dikatakan melahirkan bayi cukup sifat sebelum dia mengelar bayinya yang masih hidup itu dengan pisau pemotong sayur sepanjang 15 sentimeter.

Sumber berkata, sebelum kejadian, pelajar terbabit dikatakan gagal hadir ke kelas sehingga menimbulkan rasa curiga seorang guru lelaki berusia 41 tahun yang kemudian ke bilik asramanya.

Menurutnya, sebaik tiba di bilik pelajar berkenaan, guru itu terkejut apabila mendapati satu mayat bayi perempuan cukup sifat berlumuran darah di atas lantai berhampiran katil suspek.

“Terdapat sekurang-kurangnya tujuh kesan kelaran pada belakang tubuh, leher, tangan, rusuk selain perut bayi itu sehingga menyebabkan isi perut terburai.


Sumber : myMetro

Rabu, 25 Mei 2011

PM ceriakan mangsa tanah runtuh


AMPANG - Kunjungan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dan isteri, Datin Seri Rosmah Mansor ke Hospital Ampang semalam ternyata membawa keceriaan kepada mangsa tragedi tanah runtuh Rumah Anak Yatim dan Anak Hidayah Madrasah Al-Taqwa, Hulu Langat.

Mereka berada di hospital kira-kira 45 minit untuk bertanya khabar dan melihat keadaan mangsa-mangsa berkenaan.

Najib dan isteri yang tiba kira-kira pukul 1 petang disambut oleh Menteri Kesihatan, Datuk Seri Liow Tiong Lai, Timbalannya, Datuk Rosnah Abdul Rashid Shirlin dan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil.

Turut mengiringi ialah anak-anak Najib dan Rosmah iaitu Nor Ashman, 19, dan Nooryana Najwa, 22, serta rombongan Badan Amal dan Kebajikan Tenaga Isteri-Isteri Menteri dan Timbalan Menteri (Bakti), Badan Amal dan Kasih Selangor (Kasih) serta Skuad Sayang Pergerakan Wanita UMNO.

Kehadiran Najib dan rombongan ke Wad 5D itu disambut dengan senyuman oleh mangsa-mangsa dan anggota keluarga mereka terutamanya Mohd. Aizat Khusairi Abdul Halim, 13, yang begitu teruja dengan kehadiran pemimpin nombor satu negara itu.

Najib sempat bertanya cita-cita Mohd. Aizat Khusairi yang tidak henti-henti tersenyum kerana kedatangan Najib itu ibarat impian menjadi kenyataan remaja itu.

"Saya nak jadi askar, terima kasih (Datuk Seri) salam 1Malaysia," katanya yang sudah sekian lama mengimpikan pertemuan dengan Perdana Menteri.

Najib dan isteri turut melawat mangsa yang kini dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) hospital itu iaitu Zulkhairi Aminuddin, 12, Mohd. Izzudin Abdullah @ Ibrahim, 29, dan Md. Izwan Zakaria, 32.

Dalam kejadian tahan runtuh pada pukul 2.15 petang Sabtu lalu, seramai 16 orang termasuk seorang warden rumah kebajikan itu terkorban manakala 37 orang lagi terselamat.

Ketika kejadian, semua penghuni dan penjaga rumah kebajikan itu sedang mengadakan latihan nasyid bagi persiapan akhir majlis sumbangan yang dijadual berlangsung pada pukul 5 petang hari yang sama.

Selasa, 17 Mei 2011

Rahsia Ubi Kayu 2.4 Juta


SHAH ALAM: Alasan dangkal dua ‘pelancong’ lelaki warga Nigeria mendakwa membawa ubi kayu dan keledek dikirim rakan di negara ini, membongkar penemuan 9.64 kilogram (kg) syabu bernilai RM2.41 juta disorok dalam tanaman berkenaan.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor, Asisten Komisioner Nordin Kadir berkata, ketika ditahan di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) dalam serbuan berasingan, semalam dan Sabtu lalu, dua suspek terbabit masing-masing membawa beg plastik berisi ubi kayu dan keledek bersaiz gergasi.


Menurutnya, modus operandi menyorokkan dadah di dalam hasil pertanian itu dikatakan kali pertama dikesan di negara ini.


“Kes pertama pada 14 Mei lalu apabila Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik KLIA menahan suspek berusia 32 tahun di KLIA selepas curiga bungkusan beg plastik berisi ubi kayu dan keledek gergasi dibawa suspek.




“Pemeriksaan lanjut mendapati ada kesan potong yang ditutup dengan lumpur dan tanah. Selepas diperiksa, polis menemui bungkusan plastik dipercayai syabu dalam tanaman itu.

Israel Serang Kapal Malaysia


KUALA LUMPUR: Sebuah kapal misi bantuan kemanusiaan yang ditaja Malaysia untuk rakyat Palestin di Gaza, Palestin, dihalang dua bot tentera laut Israel yang melepaskan tembakan amaran di perairan berhampiran Rafah, awal pagi Isnin waktu Malaysia.
Semua 12 penumpang dan kru, termasuk dua wartawan Malaysia, selamat selepas tentera laut Mesir datang membantu dan mengiringi kapal ‘MV Finch’ ke pelabuhan Al Arish di Mesir, menurut wartawan Bernama, Mohd Faizal Hassan yang berada di atas kapal itu.



Faizal berkata, tentera Israel mengelilingi kapal misi bantuan itu dan mengarahkannya berpatah balik sebelum melepaskan tembakan amaran ke udara, kira-kira tiga batu nautikal berhampiran sempadan Rafah.


Dia menceritakan detik cemas itu ketika menghubungi bilik berita Bernama di sini, melalui panggilan dan SMS menggunakan telefon bimbit dari kapal berkenaan beberapa jam selepas kejadian itu.



Katanya, kejadian berlaku kira-kira 6.05 pagi waktu tempatan (1.05 pagi waktu Malaysia) apabila kapal yang ditaja Yayasan Keamanan Global Perdana Malaysia (PGPF) dihampiri dua bot tentera laut Israel yang mengelilingi kapal MV Finch selama setengah jam sebelum melepaskan empat das tembakan ke udara menggunakan mesingan.




Katanya, satu daripada tembakan itu hampir mengenai kru kapal rakyat Malaysia, Mohd Jaffery Ariffin, menyebabkan semua di atas kapal menjadi cemas dan menyelamatkan diri dengan bersembunyi di dalam kapal.



“Mereka mengarahkan kami berpatah balik ke perairan Mesir. Kami dapat menghubungi tentera Mesir melalui radio untuk mendapatkan bantuan. Sebuah kapal tentera Mesir datang dan bot tentera Israel kemudian beredar dari kawasan berkenaan,” kata Faizal. Daripada 12 orang dalam kapal itu, tujuh rakyat Malaysia manakala yang lain dua kru warga India dan tiga aktivis kemanusiaan iaitu Derek Graham dan Jenny Graham dari Ireland dan Julie Levesque dari Kanada.



Faizal berkata, tindakan tentera Israel itu menyalahi undang-undang antarabangsa kerana melepaskan tembakan kepada orang awam yang tidak bersenjata.

Pulangkan AnakKu!




SUNGAI PETANI: Bagi ‘merampas’ anaknya, seorang lelaki sanggup mengacu pisau terhadap ibu mentuanya sebelum melarikan bayi lelaki berusia lapan bulan itu daripada rumah ibu kepada isterinya di Kampung Permai.

Dalam kejadian kira-kira jam 12.30 tengah malam Khamis lalu, lelaki terbabit, Zulkipli Mohamad, 31, dikatakan bertindak demikian ketika isterinya, Siti Fairuz Abd Wahab, 24, tiada di rumah kerana ke kedai berhampiran.


Selepas beredar bersama anaknya, Muhammad Darwis Ikhram Abdullah, lelaki itu menghantar SMS dengan menyatakan ‘jangan harap hang (awak) nak tengok anak lagi, dia ada dengan aku’ kepada Siti Fairuz.

INI DIA...Siti Fairuz menunjukkan gambar Muhammad Darwis yang dilarikan suaminya.


Siti Fairuz ketika ditemui berkata, sebaik pulang ke rumah, ibunya memberitahu Muhammad Darwis dilarikan suaminya, lalu dia segera berusaha menghubungi Zulkipli melalui telefon bimbit, namun tetapi tidak dijawab lelaki itu.




“Saya meminta bantuan beberapa penduduk dan cuba mencari suami di sekitar kawasan taman perumahan berdekatan, namun gagal. Saya membuat laporan di Balai Polis Sungai Petani.

Khamis, 4 Mac 2010

Saman Nabil RM2

KUALA LUMPUR: Gara-gara mengkritik filem lakonannya sendiri, juara Raja Lawak musim kedua, Ahmad Nabil Ahmad, 27, disaman RM2 juta oleh syarikat yang menerbitkan filem Lu Pikirlah Sendiri De Movie, SDAF Pictures (M) Sdn Bhd.
Mengesahkan perkara itu, pengarah Lu Pikirlah Sendiri, Aminah Rhapor, 44, berkata notis saman berkenaan sudah dihantar kepada Nabil di kediamannya di Sunway Damansara, dekat Petaling Jaya, pada 24 Februari lalu melalui Tetuan Hing & Alvin, Advocates & Solicitors.

Aminah berkata, Nabil diberi masa 14 hari dari tarikh berkenaan untuk memberikan maklum balas serta memenuhi segala tuntutan daripada pihak plaintif ke atasnya.

“Kami terpaksa menyaman Nabil kerana dia melanggar kontrak bersama SDAF. Nabil bukan saja memperlekehkan filem lakonannya sendiri, tetapi juga tidak menjayakan promosi filem ini seperti yang dijanjikan.

“Kesan daripada tindakan Nabil itu, ia memalit imej buruk ke atas filem ini dan menjejaskan reputasi produser serta saya sendiri sebagai pengarah.

“Sebenarnya kami tidak mahu memperbesarkan isu ini kerana ia boleh diselesaikan secara baik. Kalau dari awal Nabil datang berbincang dengan saya mengenai apa yang dia tidak puas hati, perkara ini boleh diselesaikan secara baik.
“Bagaimanapun, selepas Nabil mengeluarkan kenyataan mengkritik dan memperlekehkan filem ini, dia langsung tidak datang berjumpa saya. Paling tidak pun, dia boleh berjumpa produser filem itu, Datuk Suhaimi Othman untuk minta maaf,” kata Aminah kepada Harian Metro (HM), semalam. Beliau berkata, pihaknya memahami jika jadual kerja Nabil padat, namun pelakon itu langsung tidak muncul mempromosikan filem pertama yang dibintanginya bersama Mila AF5 dan Lan Meet Uncle Hussain (MUH) itu.

“Saya tidak minta Nabil datang ke semua lokasi promosi filem kami itu kerana saya pun tahu dia sibuk, tapi kalau dia datang tunjuk muka sekejap pun saya tak kisah. Malah, Pengurus Pemasaran SDAF banyak kali cuba menghubungi Nabil dan pengurusnya, Latif, tapi hampa,” katanya.

Aminah berkata, pihaknya mengambil keputusan menyaman Nabil sebagai peringatan kepada artis lain terutama yang baru menceburi dunia lakonan.

“Apabila kita bekerja dengan syarikat mana pun, sudah tertulis dalam perjanjian tidak boleh mengutuk tempat kita mencari makan. Itu perkara asas dan ia turut terkandung dalam kontrak filem Lu Pikirlah Sendiri De Movie.

“Sebab itu sebelum Nabil menandatangani kontrak berlakon, saya minta dia bawa balik kontrak itu dan baca dengan betul isi kandungannya. Kalau rasa tidak faham, boleh rujuk dengan peguam. “Kalau tak salah saya, Nabil ada membuat kenyataan dia memang tidak tahu yang dia tidak boleh keluarkan kenyataan memburukkan syarikat. Kalau dia membaca kontrak itu dengan teliti, tentu dia akan tahu semuanya ada.

“Memandangkan tindakan Nabil keterlaluan, ia memberi kesan kepada kami dan juga promosi Lu Pikirlah Sendiri. Jadi kami perlu bertindak bagi memastikan perkara seperti ini tidak berlaku lagi. “Di sebalik apa yang berlaku, saya tidak akan serik untuk mengarah filem lagi. Namun, saya akan pastikan selepas ini tidak ada sesiapa pun akan pijak kepala saya lagi,” katanya.

Lu Pikirlah Sendiri De Movie masih ditayangkan di pawagam tempatan dan setakat ini memungut RM2.1 juta. “Saya percaya rezeki ditetapkan Allah S.W.T, tetapi sebagai manusia, kita mesti berusaha untuk mencapai kejayaan. Begitu jugalah misi filem ini. SDAF sudah mengatur pelbagai strategi untuk mempromosikannya, tapi Nabil merosakkannya. “Dari tarikh surat saman dihantar, Nabil sepatutnya sudah menerima surat itu. Bagaimanapun, kami masih belum menerima sebarang panggilan telefon daripada Nabil ataupun pengurusnya, Latif,” katanya.