Memaparkan catatan dengan label Berita Harian Online. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label Berita Harian Online. Papar semua catatan

Rabu, 12 Jun 2013

Shahidan dakwa FAM guna peraturan undang-undang tidak siuman


Shahidan dakwa FAM guna peraturan undang-undang tidak siuman

Kuala Lumpur: Menteri di Jabatan Perdana Menteri (JPM), Datuk Seri Shahidan Kassim menyifatkan peraturan digunakan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) sebagai undang-undang tidak siuman. 
Bekas Presiden Persatuan Bola Sepak Perlis (PFA) itu berkata, ini kerana FAM bersikap pilih kasih kerana tidak mengambil tindakan terhadap Presiden Persatuan Bola Sepak Negeri Johor (PBNJ), Tunku Ismail Sultan Ibrahim, Penasihat Persatuan Bola Sepak Kelantan (KAFA) Tan Sri Annuar Musa dan jurulatih, Datuk K Rajagobal yang mengkritik bertalu-talu badan induk bola sepak negara itu. 
Orang tolong dia (FAM), terima kasih pun tidak, tapi nak hukum, ini undang-undang tidak siuman, kerana saya tolong, ucaplah terima kasih, walaupun undang-undang kata saya tak boleh tolong... kalau tak boleh tolong, pasal apa mahu kacau saya?" Datuk Seri Shahidan Kassim, Menteri di Jabatan Perdana Menteri.

Sebaliknya, beliau digantung 30 bulan dan denda RM39,000 Februari lalu selepas didapati bersalah atas empat pertuduhan, termasuk mengeluarkan kenyataan yang menyalahi Artikel 88 FAM.

Yang terbaru, beliau akan dibicarakan kerana mempersoalkan kegagalan badan induk bola sepak negara itu membantu PFA yang kini menghadapi masalah kewangan untuk membayar gaji pengurusan dan pemain.

Kenapa kacau saya
“Orang tolong dia (FAM), terima kasih pun tidak, tapi nak hukum, ini undang-undang tidak siuman, kerana saya tolong, ucaplah terima kasih, walaupun undang-undang kata saya tak boleh tolong... kalau tak boleh tolong, pasal apa mahu kacau saya.

“Kenapa PFA kacau saya kalau saya tidak boleh campur tangan, Annuar Musa keluar kenyataan hari-hari dia tak kata apa, kemudian Rajagopal tak kena gantung, Tunku Mahkota Johor gantung sikit tapi bila kena pada saya, macam-macam.

“FAM ingat saya rakyat marhain yang boleh dibuat macam-macam,” katanya kepada pemberita selepas majlis taklimat kepada Ahli Parlimen Dewan Rakyat Parlimen Ke-13, di Parlimen, semalam.

Beliau kesal kerana walaupun tahu PFA sudah tidak ada duit untuk membayar gaji pemain, FAM tidak menghulurkan bantuan.

“Orang yang bercakap ini tidak pernah mengkaji, hanya bercakap saja... sudahlah, pecatlah dan gantung saya seumur hidup....boleh ‘blah’ lah kata pada dia (FAM),” katanya yang turut mengajak rakyat supaya sama-sama mengkritik tindakan FAM yang disifatkannya sebagai pelik. 

Shahidan mendakwa setiap minggu beliau terpaksa mengeluarkan perbelanjaan lebih RM11,000 bagi membolehkan PFA membayar gaji pengurusan dan pemain.

“Sekarang beratus ribu ringgit diambil sejak saya digantung, FAM tak tolong PFA... macam mana saya tak bagi, mereka tak ada duit, saya pemimpin Barisan Nasional (BN) sentiasa pegang janji.. mereka pemimpin apa, pemimpin penyamun ke?,” katanya.

Apapun sebenarnya Shahidan tidak boleh memegang jawatan dalam mana-mana persatuan sukan di negara ini selepas dilantik sebagai Menteri di JPM dan sekiranya FAM menggantung seumur hidup bekas Menteri Besar Perlis itu, ia tidak membawa apa-apa makna pada dirinya.

Isnin, 29 April 2013

Perak Vs Johor Darul Takzim 27.04.2013


Suasana tegang antara penyokong Perak dan Johor DT selepas perlawanan di Stadium TLDM, Lumut, malam kelmarin.
Tindakan penyokong serbu ke dalam padang jadi perhatian FAM

Kuala Lumpur: Kemenangan bergaya ke atas Johor Darul Takzim (DT) 3-0 di Stadium TLDM, Lumut malam kelmarin mungkin terpaksa dibayar dengan harga mahal oleh Perak gara-gara tindakan penyokong mereka menyerbu masuk ke dalam padang bagi meraikan gol bersama pemain import, Paolo Rangel. 
Ini kerana tindakan yang boleh mengancam keselamatan itu mungkin menyebabkan Persatuan Bola Sepak Perak (PAFA) dikenakan denda atau larangan beraksi di depan penyokong sendiri oleh Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM). 
Kita sedang menuju era bola sepak profesional, jadi selain pengurusan liga, peminat juga perlu bersikap ke arah itu,” Datuk Taufek Abdul Razak, Pengerusi Jawatankuasa Tatatertib FAM

Namun, Pengerusi Jawatankuasa Tatatertib FAM, Datuk Taufek Abdul Razak enggan mengulas kerana masih belum mendapat laporan insiden itu, sebaliknya menasihatkan penyokong jangan berterusan menghukum persatuan sendiri dengan melakukan perbuatan yang boleh menyebabkan kelab atau negeri didenda.

Menurutnya, FAM seboleh-bolehnya tidak mahu menyusahkan persatuan negeri dengan denda atau larangan bermain di depan penyokong, tetapi jika berlaku insiden yang boleh mengancam keselamatan, badan induk itu terpaksa bertindak tegas.

“Kita sedang menuju era bola sepak profesional, jadi selain pengurusan liga, peminat juga perlu bersikap ke arah itu,” kata Taufek ketika dihubungi semalam.

“Sekarang ini masih ada beberapa lagi kes yang belum dibicarakan, dan semalam (kelmarin) saya diberitahu ada insiden lagi dalam saingan Liga Super (penyokong Perak menyerbu masuk padang),” katanya. 
Menurut Taufek antara kes yang belum dibicarakan ialah insiden pergaduhan antara pemain Selangor dan FELDA United di Stadium Shah Alam 13 April lalu serta perlawanan suku akhir Piala FA antara Sarawak dan Kelantan yang terhenti kira-kira 20 minit akibat gangguan penyokong di Stadium Negeri, Kuching. “Semua kes akan dibicarakan selepas Pilihan Raya Umum nanti.” 

Tanggung akibat

Sementara itu, Presiden PAFA, Datuk Zainol Fadzi Paharuddin kesal dengan tindakan segelintir penyokong dan mengakui pihaknya kini perlu menanggung akibat dengan tindakan liar mereka itu.

“Kami tidak menjangka insiden itu akan berlaku kerana sebelum ini penyokong Perak tidak pernah bertindak liar. Kelab penyokong perlu mengawal tingkah laku mereka supaya tidak terlalu emosional. Saya faham perasaan penyokong yang terlalu gembira, namun atas alasan apapun mereka tidak sepatutnya menyerbu masuk ke dalam padang,” katanya.

Katanya, PAFA sudah mengambil langkah sewajarnya untuk mengadakan kawalan di sekeliling stadium semasa perlawanan itu tetapi tidak mampu menghalang tindakan penyokong.

“Kami kini hanya menunggu surat dari FAM mengenai insiden itu dan terpaksa akur dengan keputusan badan induk itu,” katanya.

Dalam kejadian itu, segelintir penyokong di penjuru kiri bertentangan dengan tempat duduk utama stadium melompat pagar paras pinggang dan menyerbu masuk ke dalam padang kerana terlalu teruja dengan jaringan kedua Rangel pada minit ke-66.

Sebelum itu, pemain import baru berkenaan turut meledak pada minit 12 dan 88.

Rabu, 17 April 2013

Skuad Penyu idam aksi final Piala FA

Shah Alam: Saingan sengit hingga penentuan penalti membolehkan Johor Darul Takzim (DT) mara ke separuh akhir Piala Malaysia menewaskan Selangor di Stadium Shah Alam, malam tadi.

Kemenangan 2-1 diraih Selangor pada suku akhir pertama gagal dipertahankan apabila pelawat berjaya bangkit mencatatkan kemenangan 2-1 sekali gus menjadikan kedudukan agregat terikat 3-3.

Tambahan masa 30 minit turut gagal menentukan pemenang dan penentuan sepakan penalti menyaksikan Johor DT mencatatkan kemenangan 4-2 menerusi sepakan penalti.

Penjaga gol Johor DT Muhd Al Hafiz menjadi wira apabila menyelamatkan sepakan Mahali Jasuli dan K Gurusamy dengan empat pemain pelawat berjaya menggegar gawang Norazlan Razali.

Keputusan itu membolehkan anak buah Fandi Ahmad bertemu Pahang di separuh akhir yang dijadual berlangsung penghujung bulan depan.

Disaksikan kira-kira 40,000 penyokong, Selangor yang menurunkan barisan terbaik mengasak sejak awal dengan Francis Forkey Doe dan Mohd Amri Yahyah mencetuskan kegerunan kepada pelawat.


MAHALI (kanan) jaring gol pembukaan.

Bagaikan tidak terdaya menahan asakan tuan rumah, gawang Johor DT akhirnya dibolosi menerusi gandingan Mahali dan Amri yang saling bertukar hantaran untuk mencipta gol pendahuluan pada minit ke-29.

Bagaimanapun pengadil perlawanan, Lismatio Mohem Mohd Tisan menjadi tumpuan apabila sesetengah keputusannya dipersoal penonton dalam beberapa insiden kekasaran yang berlaku pada babak kedua.

Ketiadaan Doe pada awal babak kedua kerana kecederaan membuka ruang kepada pelawat menguasai perlawanan terutamanya dengan kemasukan Leonel Nunez dan Mohd Safee Sali untuk menguatkan jentera serangan Harimau Selatan.

Beberapa gerakan berbahaya Johor DT berjaya dipatahkan Norazlan di gawang Selangor namun akhirnya dibolosi pada m-66.

Percubaan cantik dari luar kotak penalti membolehkan Nunez menggegar gawang untuk membangkitkan semangat pelawat terus memburu gol.

Akhirnya ia membuahkan hasil apabila Nunez yang tampil buat kali pertama untuk Johor DT meledak sekali lagi pada m-86 untuk menjadikan keputusan akhir 2-1 dan menyamakan agregat 3-3.

Khamis, 31 Januari 2013

Pengadil Punca Gaduh



Kuala Lumpur: Pergaduhan membabitkan pemain Selangor dan Tentera ketika aksi pusingan pertama Piala FA di Stadium Shah Alam, Jumaat lalu, berpunca daripada kesilapan pengadil perlawanan, Amirul Izwan Yaccob melayangkan kad merah kepada pemain tengah Red Giants, Shukur Jusoh.

Ia bukan disebabkan provokasi penyerang Selangor, Afiq Azmi atau tindakan pemain Tentera, Shukor Adan menolak kepala Shukur selepas pemain itu enggan keluar padang. Amirul, 27, yang bergelar pengadil antarabangsa sejak tahun lalu menjadikan situasi pada perlawanan itu panas tiba-tiba apabila bertindak melayangkan kad merah kepada Shukur pada minit ke-117, tetapi seminit kemudian selepas menyedari kesilapannya, membenarkan pemain Selangor itu masuk semula ke padang.
Setiausaha Kehormat Persatuan Bola Sepak Angkatan Tentera (PBAT), Kol Abdul Rani Abdul Rahim, berkata jika pengadil tidak melakukan kesilapan melayangkan kad merah, sudah tentu tidak berlaku pergaduhan.

“Ini berpunca daripada kesilapan pengadil...jika tidak, sudah tentu tiada masalah pergaduhan berlaku dan perlawanan akan berakhir dengan suasana biasa tanpa kira siapa menang atau kalah.

“Lagipun Selangor dan Tentera tak pernah bermusuh dan hubungan kami sebelum ini sememangnya baik,” katanya ketika dihubungi, semalam.

Sehubungan itu, beliau menyambut baik hasrat Setiausaha Agung Persatuan Bola Sepak Selangor (FAS), Datuk Hamidin Mohd Amin menyelesaikan masalah itu di luar Jawatankuasa Tatatertib Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM)
“Saya sudah mengadakan perbincangan awal dengan Hamidin dan kami bersetuju untuk menyelesaikan perkara ini secara baik,” katan

Sumber : Berita Harian Online

Selasa, 22 Januari 2013

Lagu Melayu Yuna di AS



Sejak Yuna mengumumkan dirinya dilamar komposer terkenal, David Foster, untuk bernaung di bawah syarikat rakaman Verve Records, ramai yang ingin mengetahui perkembangan berita itu sepenuhnya daripada mulut si empunya diri. 

Bukan calang-calang anak seni mampu mendapat peluang seperti itu. Apatah lagi untuk seorang artis tempatan yang bertudung sepertinya membuatkan berita itu cukup mengejutkan industri hiburan tanah air. 
Justeru, tidak hairanlah andai majlis kenduri kesyukuran untuk meraikan kemenangannya pada Anugerah Juara Lagu ke-27 di Ampang malam kelmarin dipenuhi wakil media yang ingin mengetahui perkembangan lanjut berita gembira itu. 

Mengimbau kembali bagaimana komposer itu mengesan bakatnya, gadis berusia 26 tahun ini berkata semuanya bermula dengan publisiti meluas yang diberikan media ketika dia mula-mula menjejakkan kaki ke Los Angeles, tiga tahun lalu. 

Sebelum ini, memang ada perbincangan untuk mengambil saya sebagai artis rakamannya, iaitu ketika publisiti mengenai kehadiran saya tersebar luas di sana. Namun waktu itu, David belum memegang jawatan tinggi di syarikat rakaman terbabit. 

Bagaimanapun, selepas dia dilantik menjadi Pengerusi Verve Music Group, barulah hasrat itu dapat dilaksanakan. Kebetulan pula kontrak saya dengan syarikat rakaman Fader Label sudah tamat, jadi peluang itu muncul tepat pada masanya, cerita Yuna. 

Imej tudung tiada masalah 
Kata Yuna, walaupun David komposer terkenal, dia tetap memberikan kebebasan untuknya menghasilkan karya sendiri bagi album sulungnya bersama syarikat rakaman itu. 

David memberikan kebebasan untuk saya mencipta lagu sendiri untuk dimuatkan dalam album ini. Tapi tak tahulah jika pada masa akan datang dia berminat untuk menyumbang lagu untuk album ini. Buat masa ini, sudah tiga lagu saya rakamkan. Cuma saya anggap lagu itu sekadar pemanas saja sebelum pembikinan album sebenar. 

Untuk album ini nanti, saya teringin untuk memuatkan sebuah lagu Melayu. Terlanjur ada peluang, sekurang-kurangnya saya dapat mempromosikan lagu Melayu di luar negara, katanya. 
Ditanya bagaimana penerimaan David terhadap imej bertudung yang dibawanya, pantas Yuna menjawab, tokoh muzik terbabit amat terbuka dalam soal itu. 

Imej sebegini bukanlah sesuatu yang baru baginya. Sebelum ini pun dia pernah berkunjung ke Malaysia dan sudah biasa dengan pemandangan sebegini. Senang bekerjasama dengannya dan saya akui begitu teruja dapat berkolaborasi dengan komposer terkenal sepertinya, tutur pemegang Ijazah Sarjana Muda Undang-Undang Universiti Teknologi MARA ini. 

Mengikat kontrak berdasarkan jumlah album, iaitu tiga semuanya, Yuna berkata album itu bakal berada di pasaran pada pertengahan tahun ini. 

Dalam perkembangan berkaitan, selepas menyumbangkan suara untuk runut bunyi filem Hollywood berjudul Savages, Yuna sekali lagi menjadi perhatian penggiat seni di sana untuk menyanyi dalam filem animasi terbaru berjudul The Croods. 

Lagu berjudul Shine Your Way ini ialah hasil ciptaan komposer yang mencipta skor muzik filem itu dan saya hanya sekadar menyumbangkan suara. Memang saya teruja apabila sekali lagi menjadi pilihan untuk menyumbangkan suara dalam filem animasi ini, katanya. 

Sedia terima jodoh kulit putih 

Jika ada yang mengikuti perkembangan laman sosial bergambar Yuna, iaitu Instagram, pasti akan ada yang perasan kekerapan gambar seorang jejaka Inggeris dipaparkan di situ. Pelbagai aksi dan gaya dapat dilihat dan kebanyakannya memperlihatkan kemesraan Yuna bersama jejaka terbabit. 

Enggan berteka-teki, Yuna diminta memberi penjelasan mengenai lelaki itu dan apakah mereka berdua mempunyai hubungan yang serius? Seakan memahami ke arah mana soalan itu bakal dituju, Yuna menjelaskan lelaki bernama Julian Shcratter itu tidak lebih sekadar teman biasa. 

Dia ialah jurugambar rasmi saya. Kebetulan dia memang teringin datang ke Malaysia, tetapi tidak mengenali sesiapa. Memandangkan kami sudah menjadi kawan, jadi saya mempelawanya mengikut saya dan sekali gus bertindak menjadi jurugambar rasmi saya untuk apa saja acara yang saya hadiri, katanya. 

Diusik pertanyaan apakah dia terima jika Julian ditakdirkan menjadi teman hidupnya, Yuna berkata, semuanya terpulang kepada jodoh.

Soal jodoh, itu semua ketentuan Tuhan dan saya tidak mampu untuk menolaknya jika ditakdirkan satu hari nanti kami bercinta. Keluarga saya tidak pernah menghalang dengan siapa saya berkawan. Bagaimanapun, buat masa ini saya lebih selesa menumpukan perhatian terhadap kerjaya saya yang baru hendak berkembang di sana, tegas Yuna. 

Usah panjangkan kontroversi 

Mengenai kontroversi membabitkan isu penyanyi Uji Rashid yang mendakwa dirinya disingkirkan pada saat akhir daripada membuat persembahan di AJL tempoh hari, Yuna berkata, dia berpegang kepada kenyataan dikeluarkan pihak pengurusannya sebelum ini. 

Saya anggap perkara ini sudah pun selesai apabila pihak TV3 tampil memberikan penjelasan bagi menjernihkan suasana menerusi program Melodi semalam (kelmarin). Lagipun saya tiada di tempat kejadian dan saya rasa kenyataan dikeluarkan pihak pengurusan saya sudah memadai. 

"Tak perlulah dipanjangkan perkara ini dan usah melihatnya sebagai sesuatu yang negatif. Saya percaya semua yang berlaku ada hikmah di sebaliknya, ujarnya.

SPRM sah 'Pegawai palsu'


Kuala Lumpur: Siapa sebenarnya empat pegawai Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) yang menyoal siasat pengadil perlawanan antara Kelantan dan Johor Darul Takzim di Stadium Sultan Muhammad Ke-IV, Selasa lalu?

Persoalan itu timbul selepas Ibu Pejabat SPRM, Putrajaya mengesahkan kepada Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), mereka tidak menugaskan mana-mana pegawai bagi memantau perlawanan itu dan melakukan soal siasat. Setiausaha Agung Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Datuk Azzuddin Ahmad, berkata beliau sendiri menghubungi seorang pegawai tertinggi SPRM, semalam bagi mendapatkan penjelasan lanjut selepas membaca laporan muka belakang BH Sukan, kelmarin. 
Saya baru saja mendapatkan pengesahan daripada Ibu Pejabat SPRM yang mereka tidak menghantar pegawai semasa perlawanan itu. Justeru, pihak SPRM meminta FAM menyerahkan nombor telefon empat pegawai perlawanan (pengadil) bagi membolehkan mereka melakukan siasatan lanjut insiden berkenaan.

Jadi, kita perlu terima lumrah perkara ini berlaku. Mungkin ada pihak tertentu cuba melakukan sesuatu dengan tujuan tertentu, kata Azuddin ketika dihubungi, semalam. 


Selasa, 27 Mac 2012

Banjir 27 Mac


PELAJAR meneruskan sesi pembelajaran walaupun dalam keadaan banjir yang melanda Sekolah Menengah Kebangsaan Tengku Ampuan Rahimah (STAR) Klang, hari ini. Hujan lebat selama 1 jam sejak jam 9 pagi tadi mengakibatkan beberapa kawasan sekolah ditenggelami air. - Foto Osman Adnan

Sumber : Berita Harian Online