Jumaat, 18 Mei 2012

Coretan Hati Si Pelaku Dosa

Ya Allah..
Hari ini, aku memungkiri lagi janji taubatku
Aku kembali mengulangi kesilapan lalu
Aku merelakan diriku dibuai godaan Nafsu
Aku biarkan diriku ditipu pujukan Syaitan

Sudah berkali-kali aku menzalimi diriku sendiri
Sudah berkali-kali aku merosakkan imanku sendiri
Walaupun aku sedar Engkau Maha Melihat
Walaupun aku sedar adanya Malaikat pencatat
Walaupun aku sedar dosa mengundang azab

Entah apa sudah jadi dengan diriku ini
Terasa Iman dijiwa semakin parah
Semakin lemah dan semakin rosak
Ketakutanku terhadap azabMu semakin kurang
Semakin pudar seakan lenyap

Aduh..teruknya diriku..

Ya Allah
Berilah aku kekuatan dan petunjuk
Agar mampu kutewaskan rayuan Nafsu dan Syaitan
Yang sangat hebat membinasakan diriku
Sangat bijak menjauhkan diriku daripadaMu
Sehingga aku lalai dalam urusan kehidupanku
Sehingga aku lupa dan tidak peduli akan kehidupan selepas matiku

Ya Allah
Bagaimanalah kedudukanku disisiMu?
Adakah diriku yang penuh dosa ini akan terselamat di akhirat sana?
Adakah aku antara manusia yang bakal memenuhi Neraka Jahanam?
Lalu aku hidup dalam binasa celaka buat selamanya?

Aku tidak mahu ya Allah
Aku tidak mahu masuk dalam golongan itu!
Aku tidak mahu hidup senang di dunia tapi sengsara di akhirat!
Aku tidak mahu...

Ya Allah..
Maafkanlah diriku
Tolong maafkan diriku
Ampunkanlah segala dosa yang aku kerjakan selama ini
Ampunkanlah segala dosa yang aku anggap remeh selama ini
Terlalu banyak..tidak terhitung..
Ampunkanlah Ya Allah
Ampunkanlah Ya Allah
Bersihkanlah diriku ya Allah
Sesungguhnya aku sangat berkehendak akan SyurgaMu!!

Aku merayu penuh harap
Lindungillah diriku daripada mengulangi kembali dosa lalu
Suburkanlah kekuatan iman dalam tekadku
Agar aku mampu mengusahakan yang terbaik dalam hidupk
Semata-mata untuk beroleh Syurga FirdausMu

Redhailah diriku Ya Allah
Redhailah keluargaku Ya Allah
Redhailah sahabat-sahabatku Ya Allah
Rahmatilah kami Ya Allah..
Rahmatilah..
Rahmatilah..

Duhai jiwa yang resah..
hayatilah pujukan murni daripada Allah ini..

Jumaat, 11 Mei 2012

Kisah Abu Yazid Al Bustami dan Paderi Gereja Samaan

Abu Yazid Al Bustami merupakan seorang ahli Sufi yang dikejutkan oleh mimpinya supaya pergi ke gereja Samaan. Tiga kali mimpinya itu berulang. Lalu ia bersiap dengan pakaian dan cara yang diberitahu dalam mimpinya.

Ia masuk ke gereja Samaan tanpa diketahui oleh Paderi-paderi yang hadir. Dia bersama-sama paderi lain menanti kedatangan ketua Paderi. Setelah ketua Paderi datang, ketua Paderi itu tidak dapat berucap. Dia tahu ada orang lain, orang Islam di dalam gereja itu. Katanya, " ada orang yang percaya kepada Syariat Muhammad di dalam gereja ini."

Semua paderi menjadi gempar dan mereka menghendaki orang itu di bunuh. Namun ketua paderi mencegahnya, sebaliknya ketua paderi meminta orang itu bangun supaya mereka dapat mengenalinya. Abu Yazid Al-Bustami pun bangun, tanpa rasa takut.

Menjawab 50 pertanyaan bertanya 1 pertanyaan.

Ketua paderi berkata, "Wahai pengikut Muhammad, saya akan mengajukan pertanyaan kepada kamu. Jika kamu dapat menjawab semuanya dengan benar, maka saya akan mengikuti agama kamu. Namun jika kamu tidak dapat menjawabnya, maka kami akan membunuhmu."

Jawab Abu Yazid, "Baiklah! Tanyakan apa saja yang kamu ingin tanyakan."

Ketua paderi itu mengemukakan 50 pertanyaan bertubi-tubi dan kemudian Abu Yazid menjawabnya dengan tepat.

Kata Abu Yazid, "Saya sudah jawab semua pertanyaan tuan. Sekarang apakah ada lagi pertanyaan-pertanyaan yang lain?"
Semua pendeta menjawab, "tidak ada lagi,"

Kemudian Abu Yazid mengemukakan pertanyaan kepada mereka. "Beritahu saya kunci Syurga dan Neraka langit."

Tidak seorang pun yang dapat menjawabnya dan mereka mengaku bahawa memang mereka tidak tahu jawabannya. Baru satu pertanyaan sudah tidak dapat dijawab sedangkan Abu Yazid telah menjawab berpuluh pertanyaan. Mereka
meminta ketua paderi menjawab, namun ia membisu.

Katanya, "Bukan saya tidak mau menjawab, tetapi saya takut kamu semuatidak sependapat."

Mereka hairan mendengar kata-kata ketua paderi itu. Akhirnya mereka mendesak juga dan bersedia untuk menyetujui serta menerima kata-kata ketua mereka.

Kemudian ketua Paderi menjawab "Bahwa kunci Syurga dan Kunci langit itu tidak lain ialah "LAILA HAILLALLAH HU MUHAMMAD DARASULULLAH." Tegas ketua paderi.

Mereka semua tersentak, terdiam. Lalu Abu Yazid berkata, "Memang benar kata ketua kamu ini." Semua paderi memeluk Islam, Abu Yazid menuntut janji kepada ketua paderi dan persetujuan pengikut-pengikutnya.

"Sahabat-sahabat sekalian percayalah bahawa apa yang saya ceritakan ini adalah benar. Saya tidak dipaksa oleh siapapun dalam mengucapnya. Memang sudah lama saya fikirkan hendak menyampaikan masalah ini kepada sahabat-sahabat semua, tetapi saya bimbang sahabat-sahabat tidak akan percaya kepada saya lagi. Saya hanya menunggu waktu."

"Dari mana tuan mengetahui perkara ini?" Tanya salah seorang paderi.

"Dari ketua sebelum saya." Jelas ketua paderi.

"Sebelum ketua itu meninggal dunia dia telah bersumpah bahwa perkara yang dikatakan itu adalah benar." Sambung ketua paderi itu.

"Kalau begitu, apa lagi yang kita tunggu!" Ketua paderi dan pengikut-pengikutnya semuanya memeluk Islam disebabkan oleh Abu Yazid. Ilmu Abu Yazid telah menyelamatkan daripada maut. Ilmu ketua paderi telah menyelamatkan daripada kesesatan dan ilmu kedua-duanya telah menutup tabir kejahilan dan menyingkap tabir kebenaran dan Islam!


Berikut ini Pertanyaan Ketua Paderi. Dan Jawaban Abu Yazid Al-Bustami

1. Yang satu tidak ada duanya.
Kewujudan Allah Maha Esa. Dia Tuhan yang tunggal tiada sekutu bagiNya.

2. Yang dua tiada tiganya.
Malam dan siang. Apabila pergi malam datanglah siang dan apabila pergi siang datanglah malam.

3. Yang tiga tiada empatnya.
Kursi, Kalam dan Arash Allah Hu Subhanahu Wa Ta'ala.

4. Yang empat tiada limanya.
Taurat, Injil, Zabur dan Al-Quran.

5. Yang lima tiada enamnya.
Islam telah memfardhukan solat lima waktu : Zohor, Asar, Maghrib, Ishak dan Subuh.

6. Yang enam tiada tujuhnya.
Hari-hari Allah telah menciptakan langit dan bumi. Ini semua tersebut di dalam Kitab-kitab suci juga.

7. Yang tujuh tiada lapannya.
Tujuh petala langit dan tujuh lapis bumi yang disebut di dalam Kitab Suci juga.

8. Yang lapan tiada sembilannya.
Bilangan Malaikat yang memikul Arash Allah Taala yang disebutkan di dalam Kitab Suci (ertinya) : Dan akan memikul Arash Tuhan kamu pada hari (Kiamat) itu adalah lapan Malaikat.

9. Yang sembilan tiada sepuluh.
Bilangan kaum daripada golongan manusia yang menjadi kerosakan bumi Allah, sebagaimana yang tersebut di dalam Kitab Suci (ertinya) : Di dalam kota itu dahulu terdapat sembilan kumpulan yang menjadi perosak bumi, mereka tidak pernah melakukan yang baik.

10. Sepuluh yang sempurna.
Kewajipan puasa sepuluh hari ke atas orang yang berihram haji sebagaimana firman Allah Taala (ertinya): Maka hendaklah ia (orang yang berihram haji) berpuasa tiga hari semasa haji dan tujuh hari setelah balik ke negerinya. Itulah dia sepuluh yang sempurna.

11. Yang sebelas.
Saudara-saudara Nabi Yusof AS.

12. Yang dua belas.
Bilangan bulan dalam setahun.

13. Yang tiga belas.
Mimpi Nabi Yusof AS yang tersebut di dalam Kitab Suci: Sesungguhnya Aku melihat sebelas bintang, matahari dan bulan. Jumlahnya tiga belas.

14. Orang yang berdusta,kemudian dapat masuk Syurga.
Mereka ialah saudara-saudara Nabi Yusof AS. Mereka memberitahu ayah mereka Nabi Yaakob AS bahawa Yusof telah di makan serigala. Mereka membawa pakaiannya yang dilumur dengan darah kambing. Perkara yang mereka lakukan itu adalah suatu dusta.

15. Orang yang benar, tetapi mereka dimasukkan ke dalam neraka.
Mereka ialah kaum Yahudi dan Nasrani, sesuai dengan firman Allah Taala (ertinya) : Telah berkata Kaum Yahudi, kaum Nasrani itu tidak benar dan berkata kaum Nasrani pula kaum Yahudi itu tidak benar. Kedua-dua kaum itu berkata benar pada tuduhan mereka antara satu dengan lain, namun mereka tidak mahu tunduk kepada kebenaran yang ada di hadapan mereka iaitu mempercayai agama yang dibawa oleh Nabi Muhammad SAW sebagai agama yang sebelumnya. Lantaran itu mereka menduduki neraka.

16. Tempat roh dalam badan manusia.
Roh berada di dalam tubuh badan manusia yang hanya diketahui hakikatnya oleh Allah Taala kerana roh adalah merupakan urusan Allah Taala jua, berdasarkan firmannya (ertinya) : Katakan roh itu dari perkara urusan Tuhanku.

17. Al Zariyati Zarwa.
Nama empat macam angin.

18. Al Hamilati Wakra.
Awan gemawan di dada langit.

19. Al Jariyati Yusra.
Perahu-perahu yang belayar di laut.

20. Al Mukassimati Amra.
Malaikat-malaikat yang bertugas membahagi-bahagikan rezeki kepada manusia pada malam Nisfu Syaaban.

21. Yang empat belas.
Tujuh petala langit dan tujuh lapis bumi yang sesuai dengan firman Allah Taala (ertinya) : Maka Allah berfirman kepadanya iaitu kepada tujuh petala langit dan tujuh lapis bumi, datanglah kepada aku secara patuh terhadap perintahKu ataupun secara terpaksa. Maka berkata kedua-dua langit dan bumi, "kami akan datang kepadaMu secara patuh dan taat."

22. Kubur yang berjalan dengan penghuninya.
Ikan besar yang menelan Nabi Yunus AS. Nabi Yunus AS di bawa oleh ikan ke mana-mana sahaja yang akhirnya dimuntahkan di pantai dengan izin Allah Taala.

23. Yang bernafas, tetapi tidak mempunyai roh.
Waktu subuh seperti firman Allah Taala (ertinya) : Demi subuh apabila ia terlepas.

24. Air yang tidak turun dari langit dan tidak keluar dari bumi.
Air yang dikirim oleh ratu Balqis kepada Nabi Sulaiman AS di dalam botol iaitu air peluh kuda.

25. Empat yang bukan daripada golongan manusia, Malaikat dan bukan daripada punggung lelaki dan daripada perempuan.
Kibas yang di bawa Jibril AS sebagai korban ganti Nabi Ismail AS, unta Nabi Salleh AS yang disembelih kaumnya, untuk Nabi Adam dan Siti Hawa AS.

26. Satu ciptaan Allah, lalu diingkarinya sebagai satu yang buruk.
Suara keldai yang tidak sedap didengar, sesuai dengan firman Allah Taala (ertinya) : Sesungguhnya suara yang paling buruk ialah suara keldai.

27. Darah yang mula-mula mengalir ke bumi.
Darah Habil yang dibunuh oleh saudaranya Kabil.

28. Sesuatu ciptaan Allah, lalu diangkat sesuatu yang berat.
Helah kaum wanita, seperti firman Allah Taala (ertinya) : Sesungguhnya tipu helah wanita adalah suatu tipu helah besar atau berat.

29. Pada mulanya sebatang kayu kemudian menjadi roh.
Tongkat Nabi Musa AS.

30. Wanita yang paling utama.
Hawa, ibu sekalian manusia, kemudian Khatijah dan Aisyah, Asiah (isteri Firaun) dan Maryam Binti Imran.

31. Gunung yang paling utama.
Gunung Tursina.

32. Binatang yang paling utama.
Kuda.

33. Bulan yang paling utama.
Bulan Ramadhan.

34. Malam yang paling utama.
Lailatul Qadar.

35. Tentang Atta'mah.
Hari Kiamat.

36. Pohon yang mempunyai 12 ranting, setiap ranting ada 30 daun, setiap daun ada lima kembang, dua bunga di matahari dan tiga bunga di tepi kegelapan.
Pohon itu "tahun" yang padanya ada 12 bulan, satu bulan ada 30 hari. Lima itu ialah lima waktu solat.

37. Satu benda yang pergi haji dan tawaf di Baitullah, tetapi tidak mempunyai roh dan tidak wajib haji.
Bahtera Nabi Noh Alaihissalam.

38. Empat jenis air yang lain rupanya dan rasanya, tetapi sumbernya satu.
Air mata, air telinga, air hidung dan air mulut. Air mata masin, air telinga pahit, air hidung masin dan air mulut tawar.

39. Nakir, fatil dan kitmir.
Nakir ialah titik yang terdapat pada kulit luar benih, fatil ialah titik yang terdapat di dalam benih dan kitmir ialah kulit yang membaluti benih.

40. Sabid dan Labad.
Bulu kambing biri-biri dan kambing kasi.

41. Sam dan Ram.
Makhluk yang telah ada sebelum wujud Nabi Adam AS.

42. Maksud keldai Makwak.
Keldai Makwak tanda ia melihat syaitan, lalu ia berkata: Allah melaknatnya.

43. Maksud anjing menyalak.
Anjing menyalak bermaksud : Awas! Celaka bagi penghuni-penghuni neraka dari kemurkaan Allah yang maha berkuasa.

44. Maksud jeritan kuda.
Kuda menjerit bermaksud : Maha suci Allah yang memeliharaku ketika tentera berpadu menyerang musuh dengan penuh semangat.

45. Maksud jeritan unta.
Unta menjerit membawa maksud : Hasbiyallahu Wakafa Billahi Wakila (ertinya): Memadailah Allah bagiku dan cukuplah Dia tempat aku menyerahkan diriku.

46. Maksud nyanyian burung Bulbul.
Nyanyian Bulbul bermaksud : Maha suci Allah pada waktu pagi dan pada waktu petang.

47. Maksud bunyi katak.
Bunyi katak bermaksud : Maha suci Tuhan yang di sembah di mana-mana sahaja ada makhlukNya dan di tempat-tempat yang tiada penghuninya.

48. Maksud kata-kata burung Nakus.
Maksud kata-katanya : Maha suci Allah sungguh-sungguh! Wahai anak Adam! Lihatlah di barat dan di timur di dunia itu, adakah makhluk yang menongkat langit?

49. Kaum daripada makhluk Allah yang diutus kepadanya, namun ia bukan dari kumpulan jin, manusia dan Malaikat.
Makhluk itu adalah lebih seperti firman Allah Taala (ertinya): Dan Tuhan kamu telah mewahyukan kepada lebih.

50. Di mana malam ketika siang dan di mana siang ketika malam.
Kedua-duanya berada di dalam ilmu Allah Taala yang amat sulit.

Rabu, 9 Mei 2012

10 Tips Mudah Berdiet


Anda rasa terlalu sukar untuk berdiet? Anda sering berhenti di tengah jalan dalam berdiet?

Berikut beberapa cara mudah untuk membantu anda rasa seronok semasa berdiet:

1. Jadikan penimbang berat sebagai rakan anda.

Jika anda mahu menurunkan berat badan, anggaplah penimbang berat itu sebagai kawan anda, bukannya musuh. Cuba timbang berat badan anda sekali di waktu pagi selepas anda mandi dan sebelum anda mengenakan pakaian. Dari situ anda akan dapat melihat bagaimana graf berat badan anda sepanjang minggu itu dan seterusnya membandingkan dengan minggu-minggu seterusnya.

2. Tuliskan target anda di tempat yang anda mudah lihat.

Letakkan target-target yang anda tulis di atas kertas dan letakkan di tempat-tempat yang anda sering nampak seperti di monitor komputer, peti sejuk, di dalam dompet, ataupun di cermin. Target itu tidaklah semestinya tentang berat badan, anda juga boleh menulis target lain seperti ‘minum air kosong secukupnya!’, ‘makan buah-buahan!’, atau ‘tidur 8 jam sehari!’. Kemudian, beritahu rakan-rakan anda tentang target anda itu supaya mereka boleh mengingatkan anda sekiranya anda terlupa.

3. Tulis setiap makanan yang anda makan setiap hari.

Jika anda menulis jurnal makanan yang anda ambil setiap hari, anda dapat monitor makanan yang anda ambil dengan lebih baik. Bukan sahaja jenis makanan dan kuantiti, anda juga perlulah menulis berapa kalori makanan tersebut supaya anda tahu jumlah kalori yang anda ambil untuk hari tersebut mencukupi ataupun melebihi keperluan anda. Dengan cara ini, anda juga akan lebih berhati-hati dalam memilih makanan setiap hari.

4. Minum air kosong secukupnya.

Mereka yang minum air kosong secukupnya akan mengambil kalori lebih rendah berbanding mereka yang kurang minum air. Selain air kosong, anda juga disarankan minum air yang rendah kalori seperti teh, air limau, dan jus buah-buahan segar.

5. Ambil sarapan setiap hari.

Pengambilan sarapan dapat membantu anda meningkatkan metabolisme seterusnya membantu membakar kalori pada kadar optimum. Apa yang anda ambil semasa sarapan juga sangat penting. Pilihlah makanan yang mengandungi kadar gula yang rendah dan tenaga yang tinggi seperti oat.

6. Rancang snek anda seperti anda merancang pemakanan harian.

Ada orang yang betul-betul menjaga makanan yang mereka ambil semasa makan tengahari dan makan malam dan tidak menjaga kuantiti snek yang mereka ambil ketika mereka lapar. Oleh itu, anda disarankan merancang snek yang anda ingin ambil dan mengambil berat akan kuantiti dan kalori snek tersebut.

7. Makan malam dengan tenang.

Elakkan makan dengan cepat semasa anda makan. Kajian membuktikan mereka yang makan dengan perlahan dan tenang, cenderung untuk berasa kenyang dengan cepat. Oleh itu, kunyah makanan anda perlahan-lahan dan nikmati makanan yang anda makan itu dengan sebaiknya.

8. Jangan makan sambil membuat itu dan ini.

Jangan makan sambil menonton televisyen, di hadapan komputer, atau semasa membaca surat khabar. Anda akan terdorong untuk terus menyuap makanan tanpa anda sedar kuantiti makanan yang anda telah ambil. Sebaiknya anda makan di meja makan atau alihkan komputer anda ke tepi jika anda perlu makan di meja study anda.

9. Pilih pencuci mulut rendah kalori.

Apabila anda inginkan makanan yang manis, eloklah anda memilih pencuci mulut yang rendah kalori seperti dark chocolate atau yogurt rendah lemak. Selain itu, anda juga dicadangkan menyimpan stok ‘sugar-free’ chewing gum supaya anda boleh mengunyahnya apabila anda terasa lapar di tengah-tengah malam.

10. Lakukan sehari satu push-up.

Untuk mendapatkan badan yang kuat tidaklah bermaksud anda perlu menghabiskan masa anda di gim setiap hari. Mulakan dengan satu push up pada setiap hari dan jadikan ia sebagai rutin. Lama-kelamaan anda pasti akan dengan rela hati menambah bilangan push up dalam sehari seterusnya melakukan aktiviti-aktiviti lain setelah melihat perubahan pada badan anda.

Selamat mencuba! ;)

Belajar Kasih Ibu Daripada Seekor Lembu


Pada satu hari yang damai, hujan sedang turun renyai-renyai, aku keluar daripada rumah untuk menuju ke satu tempat.

Aku tak ingat ke mana aku mahu pergi ketika itu. Sama ada ke pejabat atau ke sebuah surau untuk menyampaikan kuliah maghrib. Tak kisah kemana hala tujuku, yang penting aku yakin saat itu hujan sedang turun membasahi jalan. Semakin lama semakin lebat.

Aku memandu 'jentera' abah ketika itu. Van Ford Econovan. Usianya 15 tahun. Kepulangan ku dari Jordan masih belum genap setahun lagi. Jadi, van inilah menjadi warisan kami adik beradik sebelum membeli kereta sendiri.

Abah dahulu membeli van kerana adik beradik kami ramai. 8 orang semuanya. Abah memandu, angah duduk di sebelah abah sebagai co-pilot, emak duduk di sebelah pintu belakang sebagai pramugari. =)

Abangku juga pernah menggunakan van ini sebelum dia membeli kereta barunya. Samalah situasinya seperti aku saat ini.

Van ini panas sebab aircondnya rosak. Kalau hujan, perlu dibukakan sedikit tingkap untuk membenarkan angin masuk supaya cerminnya tidak berkabus.

"Hujan... tentu susah nak nampak jalan. Aircond rosak pulak tuh" rungutku seorang diri. Walaubagaimanapun, aku harus meneruskan perjalanan. Aku ada urusan yang perlu diselesaikan.

Hari itu aku perlu melalui satu jalan yang gelap. Kiri dan kanan ladang kelapa sawit. Lampu jalan jaraknya jauh-jauh pula tu.

Seingat aku, aku memandu pada kelajuan 70km sejam. Ok lah, tidaklah laju sangat, dan tidaklah perlahan sangat.

Setibanya aku di satu selekoh, aku melihat seperti ada kelibat seekor 'anjing' sedang melintas jalan. 'Anjing' tersebut berlari dengan pantas cuba melepasi van yang aku pandu. Malangnya tidak sempat.

Gup!

Bunyi pelanggaran yang kecil. Aku hanya mampu menekan brek sedikit sahaja. Aku bimbang van akan berpusing jika menekan brek secara mengejut kerana jalan sedang basah. Ketika itu langsung tidak sempat untuk berhenti melihat apakah yang dilanggar olehku.

"Ah sedikit sahaja tu, dia sempat mengelak kot, tulah siapa suruh lintas sewaktu kereta tengah lalu" aku cuba memujuk diriku sendiri. Seperti mengampunkan kesalahan diri sendiri.

Aku terus melupakan peristiwa itu, malam itu juga. Namun keesokannya...

Aku melalui jalan yang sama menggunakan 'jentera' abah.

Pagi yang indah, damai, bumi yang masih basah kesan hujan semalam. Melalui jalan yang sama, tidaklah membuatkan aku merasa kelainan saat itu. Sehinggalah tiba-tiba aku melihat di depan..

Aku terkejut melihat bangkai seekor anak lembu terkujur di tepi jalan, selekoh yang aku lalui malam semalam. Aku yakin inilah selekoh yang aku lalui semalam. Inilah tempat berlakunya perlanggaran tersebut. Rupa-rupanya 'anjing' yang ku sangka itu adalah seekor anak lembu.

Kakinya sudah ternaik ke atas. Badannya sudah pun mengembung. Matanya pula sudah terbeliak.

Aku terdiam, menarik nafas. Beristighfar. Aku mintak ampun pada Allah kerana seekor lembu amat besar nilainya pada orang kampung.

Orang kampung menjual lembu untuk memasukkan anak ke universiti. Orang kampung menjual lembu untuk mengadakan majlis perkahwinan anak kesayangannya..

Namun ada yang lebih menginsafkanku saat itu. Seekor lembu betina (ibunya mungkin) sedang duduk di sisi bangkai anak lembu tersebut. Sungguh jelas kesedihan terpancar pada wajah ibu lembu tersebut. Kaki depannya membongkok ke bumi seperti sedang sujud, sedang kepalanya rendah hampir ke tanah. Seperti mengharapkan anaknya hidup kembali. Mustahil.

Aku menitiskan air mata saat itu melihat wajah ibu lembu tersebut.

Aku biarkan sahaja drama itu. Aku lansung tak berhentikan van. Aku tak sanggup dan aku memang tak tahu nak buat apa kalau aku berhenti pun..

Esoknya, aku melalui jalan yang sama, dan hari ini bangkai anak lembu sudah pun tiada. Namun, aku tetap sedih kerana ibu lembu masih ada. Aksinya sama seperti semalam. Bezanya hari ini anaknya sudah tiada. Mungking sudah dibakar oleh tuan lembu tersebut untuk mengelakkan bau bangkai yang busuk.

Aku rasa selama 5 hari berturut-turut aku melalui jalan tersebut, aku pasti melihat ibu lembu yang sedang meratapi kehilangannya anaknya. Aku sedih dan rasa bersalah pada ibu lembu tersebut.

Demi Allah, aku belajar kasih ibu daripada seekor lembu. Tiada ibu yang sanggup melihat anaknya sakit, demam apatah lagi mati sebelumnya. Tiada ibu yang sanggup melihat anaknya gagal dalam kehidupan. Ibu pasti menitiskan air mata. Bangunlah, balaslah jasa ibumu walaupun jasa ibumu takkan pernah dapat dibalas.