Isnin, 23 September 2013

Sarawak (6) - (1) Perak

Gol pertama Sarawak yang diperoleh menerusi Bobby Gonzales hanya seawal tujuh minit selepas permainan bermula nyata melemahkan moral pemain-pemain Perak, yang akhirnya diaibkan dengan kekalahan 6-1 dalam perlawanan terakhir Kumpulan D Piala Malaysia, kelmarin.

Ketua Jurulatih Sarawak, Robert Alberts berkata, kelemahan tersebut dapat dilihat dengan jelas berdasarkan rentak permainan pemain skuad Seladang yang mulai goyah sebaik ketinggalan di tempat lawan, kelmarin.

Katanya, peluang tersebut digunakan sebaik mungkin oleh pemain-pemain Bujang Senang untuk menambah jaringan menerusi Zamri Morshidi dan hatrik Muamer Salibasic, selain satu gol sendiri pemain Perak, Khairi Kiman.
"Strategi Sarawak untuk mendapatkan gol di awal permainan nyata membuahkan hasil. Sejak mula lagi kami memang mahu mencari jaringan pantas untuk memberi tekanan kepada lawan.

"Saya boleh nampak, sebaik Bobby membuka jaringan buat tuan rumah, permainan lawan mulai goyah dan mereka nampak cukup tertekan.

"Saya juga tidak menolak faktor kecederaan pemain Perak dan kesilapan penjaga gol pasukan itu memberi kelebihan kepada Sarawak untuk meraih lebih banyak gol," katanya kepada pemberita selepas perlawanan di Stadium Negeri Petra Jaya, kelmarin.

Kejayaan menumpaskan pasukan Seladang 6-1, berjaya menebus kekalahan 1-2 kepada pasukan itu dalam aksi pembukaan Kumpulan D.

Mengulas lanjut mengenai perlawanan kelmarin, Alberts berkata, karakter yang ditunjukkan oleh pemain Sarawak serta corak permainan mereka memang berhak mendapat pujian.

Sarawak memanfaatkan semua peluang terhidang dan tidak melakukan banyak kesilapan dalam laluan mencipta kemenangan besar.

Bagaimanapun pengendali kelahiran Belanda itu menegaskan, banyak lagi aspek yang perlu diperbaiki oleh anak-anak buahnya sekiranya ingin melangkah lebih jauh dalam kempen Piala Malaysia.

Sarawak menempah pertemuan suku akhir dengan pasukan berstatus kelab, Sime Darby FC, yang layak selaku naib juara Kumpulan A di belakang Angkatan Tentera Malaysia (ATM).

Biarpun pada awalnya kurang diberi perhatian, namun Sime Darby mula mencuri tumpuan dengan kejayaan mengetepikan gergasi Merah Kuning, Selangor dan Johor yang turut menganggotai Kumpulan A.

"Kita menang ke atas Perak kerana pemain menampilkan aksi yang sangat menarik, namun apabila berdepan pasukan yang mempunyai skil individu, pemain Sarawak perlu beraksi dengan lebih baik.

"Semestinya kita tidak boleh dibolosi oleh gol-gol mudah dalam perlawanan akan datang," katanya.

Sumber : Utusan Online