Jumaat, 27 Mei 2011

Sebaik-baik Jihad


Jihad Melawan Diri dan Hawa Nafsu (Keinginan dan dorongan hati)

Daripada Abi Zar (RA) berkata: Rasulullah (SAW) telah bersabda:

Ertinya: Sebaik-baik jihad ialah jihad seorang lelaki melawan diri dan nafsunya. Diriwayatkan oleh Ibn al-Najjar dan diriwayatkan juga oleh Abu Nua’im dan al-Dailami dengan lafaz: Sebaik-baik jihad bahawa kamu melawan diri kamu dan (tuntutan) hawa nafsu kamu dalam melaksanakan hak-hak Allah.*

*Iaitu dengan menahannya dari mengikut kehendak syahwat dan menghalangnya dari terus tenggelam dalam kelazatan (dunia) dan sentiasa melakukan suruhan-suruhan dan menjauhkan diri dari segala larangan. Ini adalah merupakan jihad yang terbesar dan hawa nafsu adalah merupakan sebesar-besar musuh kamu. Dan diri kamu adalah merupakan musuh kamu yang terdekat. (Sila lihat Faidh al-Qadir, jld:2, m.s.31. )

Dan daripada Ibn Umar (RA) berkata: Telah bersabda Rasulullah (SAW):
Ertinya: Sebaik-baik Islam seorang mukmin ialah sesiapa yang menyelamatkan muslimin yang lain dari (kejahatan) lidah dan tangannya, dan sebaik-baik Iman seorang mukmin ialah yang paling baik tingkah lakunya, dan sebaik-baik muhajirin ialah sesiapa yang berhijrah meninggalkan perkara-perkara yang dilarang Allah dari mengerjakannya, dan sebaik-baik jihad ialah sesiapa yang berjihad melawan dirinya dalam melaksanakan hak-hak Allah Azzawajalla**.
(Diriwayat oleh al-Tabrani.)

**Mujahadah (melawan) tuntutan diri adalah lebih baik dari jihad melawan orang kafir, munafik dan orang yang jahat kerana setiap sesuatu dilebihkan dan dimuliakan dengan mulianya hasil yang diperolehi dan hasil melawan tuntutan hawa nafsu ialah mendapat hidayah.

[Syaikh Muhammad Noeruddin Marbu al-Banjari al-Makki, ‘Mereka yang Berada di jalan Allah’, Alih bahasa: Mohd Zakir bin Abdul Majid, diterbitkan oleh al-Maahadul ‘Ali Littafaqah Fiddin Amuntai Kalimantan Selatan, Cetakan Kedua 2002]

Tiada ulasan: