Selasa, 9 Mac 2010

Penyelidikan Penyakit Tebu

Pokok tebu mereput merupakan salah satu penyakit utama tanaman itu yang menyebabkan kerugian pada petani. Bagi menyelesaikan masalah berkenaan Perkhidmatan Penyelidikan Pertanian (ARS), Amerika Syarikat (AS) menjalankan kajian ke atas ke atas 160 sampel tebu dari 25 negara.

Ini bagi menyediakan sumber kajian bagi ahli patologi dan pembiakbaka tanaman yang mencari genetik yang rintang (tahan lasak) terhadap penyakit tebu reput jingga dan perang.

Penyakit berkenaan yang merupakan masalah besar dalam industri tebu mula dikesan oleh pakar kulat di Makmal Sistematik Mikologi dan Mikrobiologi ARS di Betsville.

Penyakit reput jingga berbeza reput perang yang biasa berlaku di ladang tebu di Florida pada 2007.

Bagi mengatasi reput jingga, petani memerlukan sekurang-kurangnya tiga jenis racun kulat dengan kos AS$40 juta (RM160 juta) setahun bagi mendapatkan hasil yang minimum.

Kajian bermula ekoran permintaan penyelidik patologi tanaman ARS Jack Comstock di Canal Point, Florida sehingga membawa kepada pasukan saintifik yang menganalisis secara genetik dan membandingkan jujukan DNA kulat reput tebu.

Dalam kajian yang telah memakan masa tiga tahun sampel telah diuji menggunakan mikroskop cahaya bagi mengesan perbezaan kedua-dua penyakit reput berkenaan.

Pakar mikologi, John McKenny mengenalpasti penyakit reput jingga dalam kawasan ladang tebu di Florida, pertama kali ditemui di Hemisfera Barat.

Kini kajian berkenaan telah berubah menjadi analisis global kulat reput yang menyerang penanaman tebu.

Kajian yang dijalankan dengan kerjasama Comstock dan penyelidik biologi molekular ARS, Neil Glynn di Canal Point.

Kebanyakan sampel tebu didapati dari AS, Asia serta beberapa negara di Afrika.

Hasil kajian pasukan saintifik mengenai jujukan genetik telah dimasukkan ke dalam GenBank, pangkalan data jujukan genetik Institut Kesihatan Kebangsaan bagi kegunaan pakar patologi tanaman dan pembiakbaka tanaman.

Keputusan SPM, STAM 11 Mac

KUALA LUMPUR 4 Mac - Keputusan peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan Sijil Tinggi Agama Malaysia (STAM) 2009 akan diumumkan pada 11 Mac ini.

Ketua Pengarah Kementerian Pelajaran, Tan Sri Alimuddin Mat Dom berkata, calon-calon kedua-dua peperiksaan tersebut boleh mendapatkan keputusan berkenaan di sekolah masing-masing mulai pukul 10 pagi.

"Calon persendirian pula akan mendapat keputusan mereka melalui pos yang akan dihantar oleh Jabatan Pelajaran Negeri," katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Beliau berkata, analisis keputusan peperiksaan tersebut juga akan dibentangkan pada hari yang sama di Kementerian Pelajaran.

Sejumlah 465,853 calon mengambil SPM dan 6,920 lagi menduduki STAM tahun lalu.

Pemberian insentif galak guru bekerja keras - NUTP

KUALA LUMPUR 8 Mac - Pemberian insentif kepada semua pengetua, guru besar dan guru yang berupaya meningkatkan pencapaian sekolah dari semasa ke semasa dianggap sebagai langkah yang tepat pada masanya.

Presiden Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan (NUTP), Hashim Adnan berkata, pengumuman tersebut adalah inisiatif yang akan membakar semangat kepada guru untuk terus bekerja keras.

"Ini adalah sesuatu yang menarik, saya cukup bersetuju dengan cadangan Timbalan Perdana Menteri yang mahukan kecemerlangan dalam bidang pendidikan terus dilakukan oleh guru-guru.

"Sebelum ini hanya pengetua atau guru besar yang dapat insentif daripada kejayaan yang dihasilkan oleh sekolah, jadi ini tidak sepatutnya kerana kejayaan datangnya daripada kesungguhan guru yang ditugaskan," katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.

Semalam, Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin mengumumkan untuk memberi insentif termasuk kenaikan pangkat kepada guru yang terlibat meningkatkan pencapaian sekolah.

Beliau yang juga Menteri Pelajaran berkata, pemberian tersebut perlu diberikan secara menyeluruh kerana kejayaan sesebuah sekolah bukan hanya bergantung kepada seorang pengetua atau guru besar tetapi membabitkan kerjasama semua guru.

Menurut Muhyiddin, maklumat berhubung pelaksanaan insentif baru itu akan diperincikan menerusi Pelan Menambah Baik Sekolah-Sekolah yang akan diumumkan pada 16 Mei ini.

Sementara itu tokoh pendidik, Tan Sri Abdul Rahman Arshad pula berkata, pemberian insentif ini kena pada tempatnya kepada guru-guru yang bekerja keras.

"Ini adalah pengiktirafan yang sepatutnya diberikan kepada guru-guru yang tidak henti-henti mahukan kejayaan daripada anak didiknya, pengiktirafan ini perlu diberikan kepada golongan guru-guru tersebut.

"Dengan adanya insentif tersebut, kejayaan yang direncanakan oleh guru-guru terbabit akan dianggap satu kejayaan yang begitu besar dan paling bermakna," ujarnya.

Bagi Pengerusi Persatuan Ibu Bapa dan Guru Nasional, Profesor Madya Dr. Mohd. Ali Hassan pula, pihaknya begitu menyokong dengan pengiktirafan yang telah dicadangkan itu.

"Sebenarnya guru-guru lain juga memberi kesungguhan mereka terhadap sesuatu kejayaan yang telah dikecapi, tidak adil bagi saya jika hanya pengetua atau guru besar yang dapat pengiktirafan.

"Tanpa kerjasama guru-guru, kejayaan mungkin tidak akan dikecapi oleh pihak sekolah," katanya.

Guru patut bergilir ke luar bandar

KUALA LUMPUR 8 Mac - Para guru perlu menganggap penempatan di kawasan luar bandar sebagai khidmat negara, kata Setiausaha Agung Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan (NUTP), Lok Yim Pheng hari ini.

Dengan perubahan paradigma ini, tempoh perkhidmatan mereka di kawasan luar bandar akan lebih bermanfaat dan berhasil kerana mereka akan dapat menjalankan tugas dan tanggungjawab mereka dengan penuh minat, katanya.

Melalui sistem itu, NUTP berharap kerajaan akan membenarkan guru terbabit dipindahkan selepas mereka mengajar dua hingga tiga tahun di sekolah luar bandar.

"Apa yang berlaku sekarang ialah sebaik sahaja guru berkenaan ditempatkan untuk mengajar di kawasan luar bandar, mereka dilupakan dan dibiarkan di situ selama bertahun-tahun lamanya," katanya.

"Ini yang kami mahu elakkan dan akan menggesa Kementerian Pelajaran merumuskan sistem giliran yang adil dan saksama di mana semua guru baru diberi peluang mengajar di sekolah di luar bandar," katanya.

Katanya, NUTP yang mewakili 160,000 guru "menyokong penuh langkah kerajaan untuk mewajibkan guru baru ditempatkan di sekolah luar bandar."

Bagaimanapun, kesatuan itu berharap kementerian akan membincangkan butiran terperinci mengenai cadangan itu dengan pelbagai wakil dan persatuan guru.

Minggu lepas, Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin, yang juga Menteri Pelajaran berkata kerajaan sedang menimbangkan untuk mewajibkan guru mengajar sekurang-kurangnya tiga hingga lima tahun di sekolah luar bandar dan pedalaman.

Kerajaan menawarkan ganjaran dan insentif lain untuk menarik guru supaya mengajar di kawasan luar bandar.
Pada ketika ini, guru yang mengajar di luar bandar dibayar elaun bertugas di pedalaman antara RM500 hingga RM1,500. - Bernama

Bank Rakyat bantu pelajar luar bandar

BANK Kerjasama Rakyat Malaysia Bhd (Bank Rakyat) melalui Yayasan Bank Rakyat akan memberi tumpuan meningkatkan pencapaian keputusan peperiksaan pelajar terutama di kawasan luar bandar.

Bagi mencapai matlamat itu, Pengurus Besar Yayasan Bank Rakyat, Abdul Lidzam Muhammad Alias, berkata kerjasama dilakukan dengan Berita Harian Sdn Bhd bagi menganjurkan seminar teknik menjawab soalan peperiksaan Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR), Penilaian Menengah Rendah (PMR) dan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) kepada pelajar terbabit.


“Seminar berkenaan mampu memberi peluang kepada pelajar terutama di kawasan luar bandar memahami teknik menjawab soalan, sekali gus meningkatkan pencapaian mereka di dalam peperiksaan awam.

“Bank Rakyat sentiasa memberikan yang terbaik bagi meningkatkan kecemerlangan akademik pelajar, “ katanya ketika ditemui selepas merasmikan Seminar Skor A UPSR anjuran Bank Rakyat dengan kerjasama Berita Harian Sdn Bhd di Institut Latihan Perindustrian (ILP) Sandakan, Sabah.

Turut hadir, Pengurus Yayasan Bank Rakyat, Rafidah Yaakob, Pengarang Pendidikan Berita Harian, Zainor Said, Pengurus Bank Rakyat Cawangan Sandakan, Hamza Ali dan Pegawai Pelajaran Daerah (PPD) Sandakan, Sharif Mahada Sharif Attar.
Seramai 270 pelajar UPSR dari 21 sekolah di Sandakan menyertai seminar sehari itu. Antara sekolah terbabit ialah Sekolah Kebangsaan (SK) Tanjung Papat 2, SK Sibugal Besar, SK Batu 16 Gum-Gum, SK Bandar 2 dan SK Bukit Garam.

Abdul Lidzam berkata, Bank Rakyat dengan kerjasama Berita Harian sudah menganjurkan seminar berkenaan sejak 2003 dan merancang menambah lagi bilangan seminar pada masa depan.

“Terdapat 53 siri seminar bertujuan mendedahkan peserta mengenai strategi mengulang kaji pelajaran dan menjawab soalan peperiksaan secara tepat dan berkesan bagi mata pelajaran Sains, Matematik dan Bahasa Inggeris, “ katanya.

Sementara itu, guru SK Tanjung Papat 2, Duloress Juanico mencadangkan penganjur supaya menambah masa setiap sesi ceramah, terutama bagi mata pelajaran penting bagi meningkatkan pemahaman calon.
"Maklumat diperoleh dalam seminar ini sangat berguna untuk membolehkan mereka membuat persediaan menghadapi peperiksaan September depan," katanya.

Ghani Uyong dari SK Batu 16 Gum-Gum, berkata usaha Bank Rakyat melaksanakan tanggungjawab sosial itu harus dicontohi institusi kewangan lain.

"Saya harap Bank Rakyat dan Berita Harian membuka peluang kepada lebih murid untuk menyertainya," katanya.

Minta Kerja

 MUMBAI - Gara-gara mahu memohon pekerjaan menjadi anggota polis, seorang mangsa meninggal dunia dan 10 orang lagi cedera apabila 30,000 berasak-asak di sebuah kem latihan polis di Kalina Mumbai, India semalam.

Kejadian yang berlaku pada waktu pagi itu disebabkan mereka bersesak-sesak untuk menghantar borang permohonan kerja.

"Ada segelintir yang mahu memotong barisan dan jatuh. "Akibatnya, seorang mati dan 10 orang lagi cedera ringan," jelas seorang pegawai polis, Amitabh Gupta dari pasukan polis Mumbai.

Gupta memberitahu, ribuan pemohon telah berkumpul di luar kem yang juga merupakan pangkalan serantau bagi pasukan tentera komando mencegah antikeganasan. - AFP

Kepala Tupai

 LONDON - Disebabkan asyik menikmati kelapa, kepala sepasang tupai tersangkut di dalamnya sehingga ke paras bahu di sebuah taman milik seorang penduduk Jane Roberts, lapor sebuah akhbar semalam.

Dua ekor tupai itu memasukkan kepalanya ke dalam tempurung kelapa tersebut untuk memakan isinya.

Haiwan itu merupakan pengunjung setia taman Jane di Fareham, Hampshire.

Sebelum ini, ia sering mencuri makanan untuk burung, tetapi kini tupai tersebut sukakan kelapa.

"Kali pertama saya nampak mereka makan, saya hampir pengsan ketawa. Mereka nampak seperti dua orang angkasawan," katanya.

- Agensi

David kagumkan tiga PM

Graduan Kejuruteraan Awam Universiti Teknologi Petronas, David Lai, berupaya membengkokkan garpu dan membaca fikiran orang menggunakan kuasa minda.

MEMBENGKOKKAN sudu besi dan duit syiling di samping boleh membaca apa yang sedang difikirkan seseorang hampir mustahil dilakukan oleh individu biasa.

Namun, bagi David Lai, 23, semua itu perkara mudah baginya.

Bukan untuk berlagak handal tetapi David Lai yang berkelulusan Ijazah Kejuruteraan Awam dari Universiti Teknologi Petronas (UTP) di Tronoh, Perak, telah menjadi mentalis selama hampir 10 tahun.

Berasal dari Kota Kemuning, Shah Alam, Selangor, anak sulung kepada pasangan jurutera dan guru ini memberitahu, beliau mempelajari kemahiran itu sejak kecil lagi.

"Mulanya saya hanya gemar bermain daun terup tetapi kemudian beralih kepada kemahiran mentalis. Sebenarnya saya amat kagum dengan ahli silap mata David Copperfield dan ingin menjadi sepertinya.

"Untuk menguasai kemahiran ini saya banyak belajar daripada buku dan juga melakukan eksperimen di rumah sebanyak beribu-ribu kali.

"Sebenarnya ia hanya mengenai penguasaan minda dan tidak melibatkan unsur lain seperti jin. Tetapi ia amat memenatkan kerana minda harus fokus sepenuhnya," kata David sambil menunjukkan kemahirannya kepada krew Jurnal.

Pada petang itu penulis sengaja membawa sendiri duit syiling 20 sen dan garpu perak yang keras untuk memastikan kemahiran lelaki ini bukan satu helah.

Terkejut sungguh penulis kerana David dapat membengkokkan garpu dan duit syiling itu dengan hanya menggosok kedua-dua objek besi itu dalam masa kurang 10 saat.

Jurujual
NEGARAWAN Tun Mahathir turut mengkagumi kemahiran David Lai sehingga mengajaknya minum bersama

Ujar lelaki ini, beliau mungkin individu pertama di negara ini yang mempunyai kemahiran mentalis - istilah yang menurut David berbeza daripada ahli silap mata.

Di negara maju seperti Amerika Syarikat dan Britain terdapat beribu-ribu mentalis. Di Amerika terdapat Uri Geller, 64, yang dapat menghentikan putaran jarum jam tangan atau membuatkannya bergerak lebih laju.

Darren Brown, 39, berasal dari Purley, utara London, pula mampu menilik nasib buruk dan baik seseorang dengan hanya menggunakan daun terup.

Di negara jiran, Indonesia, Deddy dikatakan mampu mencairkan benda-benda yang diperbuat daripada besi selain boleh membaca fikiran orang lain.

Dia juga mampu menunggang motosikal dalam keadaan mata tertutup dan berjalan di atas air.

David mula membuat persembahan di jalanan semasa berumur 14 tahun.

"Bayangkan dari rumah di Shah Alam saya menaiki LRT untuk ke Pasar Seni, KLCC dan Petaling Street hanya untuk membuat persembahan secara bersendirian.

"Respons yang diterima cukup baik tetapi ada juga yang beranggapan saya dieksploitasi oleh individu tertentu. Segelintir lagi takut menghampiri saya kerana menyangka saya seorang jurujual yang ingin menjual barangan kepada mereka," kenang David ketawa.

David membuat persembahan secara profesional sejak memasuki UTP.

"Saya pernah membuat persembahan membengkokkan sudu kepada Tun Dr. Mahathir Mohamad di UTP dan meneka dengan tepat perkataan yang sedang difikirkan bekas Perdana Menteri itu. Perkataan itu ialah 'weight listen'.

Dr. Mahathir

"Dr. Mahathir terkejut dengan kemahiran saya dan bertanyakan umur saya. Apabila saya memberitahunya saya baru berusia 17 tahun, beliau terus mengajak saya minum dan bersembang.

"Dr. Mahathir turut menasihatkan saya supaya lebih bersungguh-sungguh mempelajari kemahiran itu di samping berjaya dalam pelajaran.

"Begitu juga bekas Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Tan Sri Rafidah Aziz dan Ketua Pegawai Eksekutif AirAsia, Datuk Seri Tony Fernandes yang turut mengajak saya minum selepas melihat persembahan saya," katanya.

Seorang lagi bekas Perdana Menteri, Tun Abdullah Ahmad Badawi dan Perdana Menteri kini, Datuk Seri Najib Tun Razak juga telah menyaksikan kehebatan David.

Ujar David lagi, kini beliau banyak membuat persembahan di luar negara di samping memenuhi undangan daripada sektor korporat dan kerajaan di negara ini.

"Kebanyakan persembahan saya adalah di Mesir kerana mereka gemarkan magis.

"Saya turut membuat persembahan bersama pelawak terkenal, Harith Iskandar," katanya yang mengakui persembahan di luar negara boleh menjana pendapatan yang lumayan.
GARPU perak yang keras dapat dipatahkan oleh David dengan hanya menggosok peralatan makan itu.

Bercerita mengenai pengalaman lucu pula, David mengatakan dia tidak lagi membengkokkan kunci penonton kerana selepas diluruskan kembali banyak yang tidak dapat digunakan lagi.

"Dahulu persembahan itu yang paling diminta penonton tetapi ramai yang mengadu tidak dapat masuk ke rumah atau memandu kereta sehingga terpaksa membuat kunci yang baru.

"Penonton juga suka meminta saya membaca apa yang ada dalam fikiran mereka sedangkan itu yang paling sukar dilakukan.

"Malah ada masanya saya gagal untuk mendapat jawapan yang tepat kerana ada yang mengubah fikiran selepas itu.

"Tetapi saya juga manusia yang mempunyai kelemahannya," kata David merendah diri.

Beliau juga mengaku kerap bertukar teman wanita kerana sikap mereka yang gemar meminta David menunjukkan kemahirannya kepada mereka.

"Kerap mereka meminta saya bengkokkan garpu dan membaca minda mereka, susah juga

"Ada juga teman wanita yang risau saya mengetahui apa yang mereka fikirkan," ujarnya yang menggunakan kemahiran silap mata dan mentalis dalam setiap persembahannya.

Bagi aktor terkenal, Hans Isac yang pernah menonton persembahan David, mentalis tempatan itu mampu pergi jauh dalam kerjayanya kini.

"Beliau masih muda dan mempunyai banyak masa untuk berlatih tetapi saya percaya dia mampu menjadi ikon untuk mengharumkan nama negara kelak," katanya.

Pembantu David, Teresa Chan pula berkata sepanjang bekerja dengan lelaki itu ternyata David seorang yang bersungguh-sungguh dalam kerjayanya.

"Dia sanggup membuat latihan siang dan malam bagi memastikan setiap persembahan mendapat sambutan hangat penonton.

"Di Mesir sendiri persembahannya ditonton oleh lebih 3,000 orang malah disaksikan menteri-menteri kerajaan di sana," katanya bangga.

Cinta Lewat Usia

DALAM urusan percintaan, ada beberapa persamaan yang pastinya dialami oleh setiap orang dalam pelbagai peringkat usia.

Misalnya, bangkit perasaan berbunga-bunga saat sedang jatuh cinta, sehingga ada di antara anda mengalami tekanan perasaan, rasa sedih dan sakit hati disebabkan patah hati. Namun, dari segi sasaran dan prioritasnya, ia jelas berbeza.

Usia 30-an

Ini merupakan saat di mana anda mula memikirkan alam perkahwinan dan mencari seseorang untuk dijadikan teman hidup. Tetapi malangnya, anda seringkali diketemu dengan orang yang tidak tepat, di saat atau di tempat yang tidak sepatutnya anda menjalinkan hubungan dengannya.

Anda juga akan berfikir, kenapa begitu sulit untuk bertemu dengan seseorang seperti yang diidam-idamkan selama ini.

Selain itu, anda akan memikirkan impaknya apabila anda mula jatuh cinta dengan seseorang yang tidak secocok, seperti yang didambakan selama ini. Akhirnya, masalah besar akan timbul. Agar tidak terlepas daripada segala kebimbangan, langkah yang disenaraikan minggu ini seharusnya diterapkan.
Tentukan batas waktu

Saat anda merencanakan untuk mendirikan rumah tangga, tetapi pasangan tidak sependapat dengan anda dengan memberi pelbagai alasan serta pertimbangan, langkah pertama adalah dengan menentukan batasan waktu.

Beri kekuatan kepada diri sendiri, bilakah masa terbaik bagi menamatkan zaman bujang. Misalnya, anda menetapkan satu tarikh lain untuk memulakan bicara pernikahan dengan pasangan.

Tiba sahaja waktu yang telah anda tentukan, katakan kepadanya hasrat atau tujuan dan keinginan anda yang terpendam.

Sekiranya, tiada sebarang perubahan atau si dia masih terpinga-pinga untuk menjawab lamaran anda, kenapa harus membuang masa. Jadi, lakukan perkara yang difikirkan terbaik untuk anda.
Fleksibel

Setiap orang mempunyai minat dan hobi yang berbeza-beza. Oleh itu, walaupun anda saling menyintai, masih timbul hal-hal kecil yang harus dihadapi. Dalam hal ini, bincang sebab dan cara penyelesaiannya.

Apabila pasangan memilih untuk menonton televisyen di rumah dan anda pula mengajaknya keluar, cari jalan penyelesaian. Misalnya, ajak dia minum kopi di sebuah kafe, kemudian barulah membawanya menonton pertandingan bola sepak kegemarannya di rumah. Ingat, tiada siapa yang dapat mengubah seseorang, selain insan yang benar-benar dia sayangi.

Dalam urusan percintaan, terdapat beberapa persamaan yang pastinya akan dialami oleh setiap orang dalam pelbagai peringkat usia. Misalnya, perasaan berbunga-bunga saat sedang dilamun cinta, sehingga membuatkan seseorang berasa sedih dan sakit hati disebabkan patah hati. Namun, dari segi sasaran dan prioritasnya jelas berbeza.

Usia 40-an

Biasanya pada usia ini, mereka yang gagal dalam perkahwinan akhirnya akan memilih jalan singkat iaitu penceraian. Mereka yang gagal dalam perkahwinan pertama dulu, sekiranya kembali bercinta, biasanya mereka sudah lupa cara-cara menjalin hubungan atau berasa ragu untuk melakukan sesuatu walaupun telah menemui pasangan yang secocok.
Perbaiki keterampilan bercinta

Apabila anda ingin bercinta buat kali kedua selepas putus ikatan perkahwinan, anda seharusnya menenangkan diri dahulu. Lakukan introspeksi dengan meminta seorang rakan menjadi teman kamu. Tanyakan kepadanya, apa kekurangan yang ada pada diri anda atau adakah anda perlu memperbaiki penampilan. Mungkin anda tidak menyedarinya secara langsung.

Satu perkara yang perlu diingatkan, perubahan yang anda lakukan tidak bererti anda harus berubah secara drastik. Anda tidak perlu melakukan pembedahan plastik untuk memperbaiki hidung atau anggota lain yang dianggap boleh memberi tuah kepada anda.
Elak bercinta selepas cerai

Bagi sesetengah pasangan, mereka dilihat begitu terdesak untuk bercinta lagi sebaik sahaja baru bercerai. Apabila bercerai, anda memerlukan waktu untuk menyembuhkan luka lama dan bermuhasabah diri, misalnya mengapa terjadi perceraian. Ini penting agar kegagalan tersebut tidak berulang kembali.

Untuk mengetahui bahawa anda benar-benar ingin bercinta lagi, tanyakan kepada diri sendiri:
Adakah anda menganggap semua lelaki tidak guna? 
Atau adakah semua wanita materialistik? 
Adakah anda terikat dengan pelbagai kegiatan, selain anak-anak dan pekerjaan?
Adakah anda dapat mengendalikan diri dan dapat membentuk kehidupan percintaan baru?
Sekiranya jawapan anda 'ya' untuk semua pertanyaan di atas, bererti anda memiliki sikap dan pendirian yang sebenar.
Hati-hati dengan buah hati

Tiada masa untuk bercinta? Luangkan waktu untuk bercinta dengan membawa anak-anak ke rumah sanak keluarga mahupun ibu bapa atau pengasuh yang boleh dipercayai. Anda tidak perlu memperkenalkan teman baru kepada anak-anak, tetapi cukup hanya mengatakan kepada mereka bahawa jika mereka memiliki kawan, maka anda juga memerlukan teman baik.

Perlu diiingatkan, anda seharusnya berterus-terang kepada anak-anak tentang apa juga yang anda rasakan ketika itu. Jangan sesekali menyimpan rahsia, takut nanti perkara tersebut terlepas ke telinga mereka tanpa diduga daripada pihak lain. Jika ini berlaku, masalah lain pula akan muncul. - NOOR HASLIZA NUSI

Aset Keyakinan Pesakit Kanser

DENGAN penuh yakin, wanita itu nekad menyumbat segumpal sapu tangan ke dalam poket khas di belakang colinya. Dia percaya gumpalan kain tadi boleh membantu.

Sekurang-kurangnya bentuk payu daranya boleh kelihatan berisi biarpun hanya untuk sementara. Dia sebenarnya tiada pilihan lain.

Seperti kebanyakan pesakit kanser payu dara, bebanan psikologi melihat aset berharga itu 'hilang' secara tiba-tiba nyata amat menyeksakan. Malah, dalam perjuangan melawan serangan emosi negatif, pesakit turut diuji dengan cabaran untuk mengisi kekurangan fizikal.

"Itulah cara yang diambil oleh seorang pesakit. Sebabnya waktu itu, dia tidak sedar akan kewujudan prostesis. Jadi, hanya ada satu pilihan. Pesakit terpaksa kreatif," cerita Pearly Ang kepada Kosmo! di pejabat Persatuan Kebajikan Kanser Payu Dara (BCWA) di Bangunan Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, Petaling Jaya baru-baru ini.

Saat disahkan menghidap kanser sekitar tahun 1970-an, ibu kepada dua orang anak itu cukup tidak tenteram. Lebih tepat, dia sebenarnya risau dan berada dalam dilema yang besar.

Dia tidak tahu ke mana harus mendapatkan sokongan dan bimbang aspek fizikal diri tidak sempurna seperti wanita lain. Pendek kata, kehilangan payu dara boleh jadi satu trauma.

Biarpun sedar kewujudan produk bergelar prostesis atau anggota tiruan, usaha untuk mendapatkan payu dara palsu nyata terlalu sukar. Di Malaysia juga, nama prostesis seakan-akan jarang kedengaran pada ketika itu.

Jelas Pearly, meskipun terdapat produk prostesis payu dara komersial di pasaran, faktor harga dan kesesuaian untuk kegunaan pesakit merupakan punca ia masih kurang popular.

Mujur keadaan sudah berbeza pada hari ini dengan adanya kumpulan The Thimble Thumb (TTT). Bermula dengan satu kelas jahitan mini di bawah kelolaan sukarelawan BCWA, ia berkembang sehingga diberi nama TTT pada 2002.

Terdiri daripada golongan sukarelawan yang juga survivor kanser payu dara, kumpulan itu sebenarnya besar jasanya. Mereka bertanggungjawab mereka dan menjahit prostesis-prostesis payu dara sementara.

Beroperasi dalam sebuah bilik di pejabat BCWA di Petaling Jaya (PJ), pertemuan di antara ahli-ahli TTT untuk sesi pembuatan prostesis itu berlangsung pada hari Selasa setiap minggu.


Mengikut ceritanya, selepas bersara sebagai kakitangan kerajaan, Pearly menyertai TTT pada 2002. Skil mereka dan menjahit prostesis adalah hasil tunjuk ajar ahli-ahli lama.

Sisi sukar

Di dalam bilik yang kelihatan seakan-akan sebuah kelas jahitan itu, beberapa wanita berusia sekitar lewat 40-an hingga awal 70-an sibuk menyiapkan tugasan masing-masing. Di atas meja, helaian-helaian kain yang siap digunting mengikut bentuk, disusun rapi.

Setiap daripada mereka sebenarnya ada pengkhususan sendiri. Untuk menghasilkan sebuah payu dara palsu biasa, lakaran bentuk mengikut saiz perlu dibuat terlebih dahulu.

Ia kemudiannya digunting sebelum dijahit tepi menggunakan mesin atau jahitan tangan. Oleh kerana skil menjahit tidak dikuasai oleh semua, tugasan menjahit di TTT hanya dikendalikan oleh tiga orang sukarelawan berkemahiran tinggi dengan enam mesin jahit.

Seorang sukarelawan, Felicia Lee, 73, mengakui, dia tidak begitu bagus dalam bab-bab menjahit. Namun, dia lebih yakin dalam tugasan melukis, menggunting dan mengisi serat dalam prostesis payu dara.

Rakan sepasukannya, Mary Goh, 63, pula memberitahu, setakat ini setiap prostesis adalah hasil titik peluh setiap orang dalam TTT.

"Sebabnya, belum ada sesiapa yang dapat menyiapkan prostesis daripada langkah pertama sehingga yang terakhir. Hendak menyumbat serat ke dalam prostesis pun perlu ada tekniknya. Tidak semudah yang dilihat," jelasnya yang menyertai TTT sejak enam tahun lalu.

Hakikatnya, setiap pengkhususan tugas ada sisi sukarnya. Misalnya, tugasan menyumbat serat ke dalam prostesis. Jika tidak biasa, isian serat berkemungkinan besar menghasilkan prostesis yang tidak sekata bentuknya.

Pearly yang bertanggungjawab melakukan pemeriksaan akhir dan kawalan kualiti kerja sumbatan serat memberitahu, langkah itu mustahak agar pesakit kanser boleh menggunakan prostesis-prostesis itu dengan selesa.

Di BCWA, kumpulan TTT yang disertai oleh 12 orang sukarelawan akan menghasilkan dua jenis prostesis. Ada prostesis untuk dijual iaitu prostesis kekal manakala yang satu lagi (prostesis sementara) adalah untuk dibekalkan kepada hospital-hospital terpilih.

Secara purata, antara 10 hingga 15 buah prostesis boleh dihasilkan setiap hari, bergantung kepada kapasiti tenaga kerja.

"Prostesis sementara ini biasanya diberikan secara percuma kepada pesakit selepas pembedahan payu dara dijalankan," katanya yang biasa memulakan rutin jahitan daripada pukul 10.30 pagi hingga 2 petang.

Keselesaan pemakai

Hanya menggunakan material kain mampu regang dan serat sebagai isian, prostesis sementara itu amat ringan, sekali gus menjanjikan perlindungan yang lembut serta selesa buat pesakit. Prostesis kekal pula dihasilkan dengan tambahan lapisan span dan segumpal manik-manik kecil.

Gumpalan manik-manik kecil itu memberikan kesan berat prostesis yang menyamai berat payu dara sebenar. Setiap prostesis yang disediakan dalam saiz mangkuk coli bermula dari saiz 28 hingga 40 itu dijual pada harga RM20 sahaja.

Menurut Pearly, seseorang pesakit yang telah menjalani pembedahan membuang payu dara lazimnya akan diperkenalkan kepada prostesis sementara terlebih dahulu. Sebaik luka pembedahan itu sembuh, pesakit dibenarkan memakai prostesis yang lebih berat.

Tempoh ketahanan sesuatu prostesis bergantung kepada penjagaan dan pengguna itu sendiri. Ia tidak perlu dibasuh dengan detergen yang kuat, sebaliknya hanya perlu dicuci atau sekadar dibilas dengan air biasa.

Penggunaan prostesis juga tidak rumit. Pesakit hanya perlu membeli coli berpoket atau menjahit sendiri poket dengan helaian kain bagi memudahkan prostesis dimasukkan.

"Biasanya kami akan memberikan satu saiz lebih kecil berbanding saiz asal mangkuk coli pesakit," katanya yang turut memberitahu baju dalam mastektomi boleh didapati di BCWA pada harga minimum.

Selain membuat kunjungan ke hospital bagi memberi sesi kaunseling kepada pesakit kanser, kumpulan TTT turut menganjurkan bengkel jahitan prostesis untuk mana-mana organisasi bukan kerajaan (NGO) yang berminat.

Melihat kepada kesungguhan usaha TTT dalam penghasilan prostesis, adakah itu petanda penerimaan baik masyarakat khasnya golongan pesakit kanser payu dara terhadap penggunaan payu dara palsu?

Berdasarkan pengalaman Mary sebagai seorang jururawat, penggunaan prostesis tidak popular pada zaman lampau berikutan kurangnya pendidikan dan pendedahan kepada signifikan produk tersebut. Namun, senario itu sudah sedikit berbeza hari ini.

"Orang tua-tua biasanya tak nak pakai. Sebabnya, mereka rasa diri sudah tua dan tiada bezanya sama ada pakai atau pun tidak. Pada masa dulu, tiada orang yang beritahu kami tentang prostesis dan sebagai kakitangan kerajaan pun ramai yang tidak tahu tentang hak menuntut prostesis secara percuma.

"Sekarang, pesakit kanser lebih peka dan sedar prostesis ada dijual di BCWA. Ramai pengguna menempah dari luar kawasan Kuala Lumpur," katanya yang menetap di Cheras.

Persepsi bahawa penggunaan prostesis payu dara bukan satu keperluan bagi golongan pesakit kanser warga emas seharusnya diubah. Jika diamati sejarah penciptaan prostesis payu dara sekitar 25 tahun lalu, banyak perubahan kecil dan besar telah disertakan demi memperoleh produk terbaik.

Daripada yang berisi silikon, lateks, air, gliserin sehinggalah serat, semuanya membawa objektif serupa. Ia adalah alternatif untuk mengembalikan 'kewanitaan' seseorang wanita.

Lebih penting, penggunaan prostesis-prostesis itu terbukti membantu aspek kesihatan. Keseimbangan berat yang hilang dalam pembedahan dwi-mastektomi misalnya boleh menyebabkan bahagian bahu pesakit condong ke hadapan jika tidak disokong dengan bantuan protesis.

Pakar Bedah Payu Dara dari Hospital Pantai Kuala Lumpur (HPKL), Dr. Azlina Firzah Abdul Aziz berkata, penggunaan protesis sememangnya digalakkan. Ini kerana prostesis payu dara boleh memberikan keseimbangan kepada bentuk tubuh seseorang wanita, sekali gus meningkatkan tahap keyakinan diri.

"Namun, pesakit harus mendapatkan bantuan staf terlatih untuk menggunakan prostesis payu dara. Jika tidak, ia akan memburukkan lagi keadaan postur dan keseimbangan tubuh," terangnya.
Untuk maklumat lanjut mengenai prostesis payu dara kumpulan The Thimble Thumb, sila hubungi BCWA di talian 03-7954 0133 (Isnin sehingga Jumaat: 9 pagi - 6 petang) atau e-melkan soalan anda ke alamat info@breastcancer.org.my.

UMPAMA kelas jahitan, kumpulan The Thimble Thumb (TTT) menjalankan kerja harian mereka secara berkumpulan kerana masing-masing mempunyai kemahiran tertentu dalam menghasilkan prostesis yang lengkap.

 
SECARA purata, antara 10 hingga 15 buah prostesis boleh dihasilkan setiap hari, bergantung kepada kapasiti tenaga kerja. 

 
  SETIAP langkah pembuatan prostesis dilakukan dengan berhati-hati. 
Oleh YEO LI SHIAN
ls.yeo@kosmo.com.my

Khamis, 4 Mac 2010

Saman Nabil RM2

KUALA LUMPUR: Gara-gara mengkritik filem lakonannya sendiri, juara Raja Lawak musim kedua, Ahmad Nabil Ahmad, 27, disaman RM2 juta oleh syarikat yang menerbitkan filem Lu Pikirlah Sendiri De Movie, SDAF Pictures (M) Sdn Bhd.
Mengesahkan perkara itu, pengarah Lu Pikirlah Sendiri, Aminah Rhapor, 44, berkata notis saman berkenaan sudah dihantar kepada Nabil di kediamannya di Sunway Damansara, dekat Petaling Jaya, pada 24 Februari lalu melalui Tetuan Hing & Alvin, Advocates & Solicitors.

Aminah berkata, Nabil diberi masa 14 hari dari tarikh berkenaan untuk memberikan maklum balas serta memenuhi segala tuntutan daripada pihak plaintif ke atasnya.

“Kami terpaksa menyaman Nabil kerana dia melanggar kontrak bersama SDAF. Nabil bukan saja memperlekehkan filem lakonannya sendiri, tetapi juga tidak menjayakan promosi filem ini seperti yang dijanjikan.

“Kesan daripada tindakan Nabil itu, ia memalit imej buruk ke atas filem ini dan menjejaskan reputasi produser serta saya sendiri sebagai pengarah.

“Sebenarnya kami tidak mahu memperbesarkan isu ini kerana ia boleh diselesaikan secara baik. Kalau dari awal Nabil datang berbincang dengan saya mengenai apa yang dia tidak puas hati, perkara ini boleh diselesaikan secara baik.
“Bagaimanapun, selepas Nabil mengeluarkan kenyataan mengkritik dan memperlekehkan filem ini, dia langsung tidak datang berjumpa saya. Paling tidak pun, dia boleh berjumpa produser filem itu, Datuk Suhaimi Othman untuk minta maaf,” kata Aminah kepada Harian Metro (HM), semalam. Beliau berkata, pihaknya memahami jika jadual kerja Nabil padat, namun pelakon itu langsung tidak muncul mempromosikan filem pertama yang dibintanginya bersama Mila AF5 dan Lan Meet Uncle Hussain (MUH) itu.

“Saya tidak minta Nabil datang ke semua lokasi promosi filem kami itu kerana saya pun tahu dia sibuk, tapi kalau dia datang tunjuk muka sekejap pun saya tak kisah. Malah, Pengurus Pemasaran SDAF banyak kali cuba menghubungi Nabil dan pengurusnya, Latif, tapi hampa,” katanya.

Aminah berkata, pihaknya mengambil keputusan menyaman Nabil sebagai peringatan kepada artis lain terutama yang baru menceburi dunia lakonan.

“Apabila kita bekerja dengan syarikat mana pun, sudah tertulis dalam perjanjian tidak boleh mengutuk tempat kita mencari makan. Itu perkara asas dan ia turut terkandung dalam kontrak filem Lu Pikirlah Sendiri De Movie.

“Sebab itu sebelum Nabil menandatangani kontrak berlakon, saya minta dia bawa balik kontrak itu dan baca dengan betul isi kandungannya. Kalau rasa tidak faham, boleh rujuk dengan peguam. “Kalau tak salah saya, Nabil ada membuat kenyataan dia memang tidak tahu yang dia tidak boleh keluarkan kenyataan memburukkan syarikat. Kalau dia membaca kontrak itu dengan teliti, tentu dia akan tahu semuanya ada.

“Memandangkan tindakan Nabil keterlaluan, ia memberi kesan kepada kami dan juga promosi Lu Pikirlah Sendiri. Jadi kami perlu bertindak bagi memastikan perkara seperti ini tidak berlaku lagi. “Di sebalik apa yang berlaku, saya tidak akan serik untuk mengarah filem lagi. Namun, saya akan pastikan selepas ini tidak ada sesiapa pun akan pijak kepala saya lagi,” katanya.

Lu Pikirlah Sendiri De Movie masih ditayangkan di pawagam tempatan dan setakat ini memungut RM2.1 juta. “Saya percaya rezeki ditetapkan Allah S.W.T, tetapi sebagai manusia, kita mesti berusaha untuk mencapai kejayaan. Begitu jugalah misi filem ini. SDAF sudah mengatur pelbagai strategi untuk mempromosikannya, tapi Nabil merosakkannya. “Dari tarikh surat saman dihantar, Nabil sepatutnya sudah menerima surat itu. Bagaimanapun, kami masih belum menerima sebarang panggilan telefon daripada Nabil ataupun pengurusnya, Latif,” katanya. 

Rabu, 3 Mac 2010

Untukmu Ibu

“Apa nak jadi dengan kau ni Along? Bergaduh! Bergaduh! Bergaduh! Kenapa kau degil sangat ni? Tak boleh ke kau buat sesuatu yang baik, yang tak menyusahkan aku?”, marah ibu. Along hanya membungkam. Tidak
menjawab sepatah apapun. “Kau tu dah besar Along. Masuk kali ni dah dua kali kau ulang ambil SPM, tapi kau asyik buat hal di sekolah. Cuba la kau ikut macam Angah dengan Alang tu. Kenapa kau susah sangat nak
dengar nasihat orang hah?”, leter ibu lagi.

Suaranya kali ini sedikit sebak bercampur marah. Along terus membatukan diri. Tiada sepatah kata pun yang keluar dari mulutnya. Seketika dia melihat si ibu berlalu pergi dan kembali semula dengan rotan di tangannya. Kali ini darah Along mula menderau. Dia berdoa dalam hati agar ibu tidak memukulnya lagi seperti selalu. “Sekarang kau cakap, kenapa kau bergaduh tadi? Kenapa kau pukul anak pengetua tu? Cakap Along, cakap!” Jerkah ibu. Along semakin berdebar-debar namun dia tidak dapat berkata-kata. Suaranya bagai tersekat di kerongkong. Malah, dia juga tidak tahu bagaimana hendak menceritakan hal sebenar. Si ibu semakin bengang. “ Jadi betul la kau yang mulakan pergaduhan ye!? Nanti kau, suka sangat cari penyakitkan, sekarang nah, rasakan!” Si ibu merotan Along berkali-kali dan berkali-kali jugaklah Along menjerit kesakitan.

“Sakit bu…sakit….maafkan Along bu, Along janji tak buat lagi….Bu, jangan pukul bu…sakit bu…” Along meraung meminta belas si ibu agar tidak merotannya lagi. “Tau sakit ye, kau bergaduh kat sekolah tak
rasa sakit?” Balas ibu lagi. Kali ini semakin kuat pukulan si ibu menyirat tubuh Along yang kurus itu. “Bu…ampunkan Along bu…bukan Along yang mulakan…bukan Along….bu, sakit bu..!!”, rayu Along dengan suara yang tersekat-sekat menahan pedih. Along memaut kaki si ibu. Berkali-kali dia memohon maaf daripada ibunya namun siratan rotan tetap mengenai tubuhnya. Along hanya mampu berdoa. Dia tidak berdaya lagi menahan tangisnya. Tangis bukan kerana sakitnya dirotan, tapi kerana memikirkan tidak jemukah si ibu merotannya setiap hari. Setelah hatinya puas, si ibu mula berhenti merotan Along. Tangan Along yang
masih memaut kakinya itu di tepis kasar. Along menatap mata ibu. Ada manik-manik kaca yang bersinar di kelopak mata si ibu. Along memandang dengan sayu. Hatinya sedih kerana telah membuatkan ibunya
menangis lagi kerananya.

Malam itu, Along berjaga sepanjang malam. Entah mengapa matanya tidak dapat dilelapkan. Dia asyik teringatkan peristiwa dirotan ibu petang tadi. Begitulah yang berlaku apabila ibu marahkannya. Tapi kali ini
marah ibu sangat memuncak. Mungkin kerana dia menumbuk anak pengetua sewaktu di sekolah tadi menyebabkan pengetua hilang sabar dan memanggil ibunya ke sekolah untuk membuat aduan kesekian kalinya. Sewaktu di bilik pengetua, Along sempat menjeling ibu di sebelah. Namun, dia tidak diberi kesempatan untuk bersuara. Malah, semua kesalahan itu di dilemparkan kepadanya seorang. Si Malik anak pengetua itu bebas seolah-olah sedikit pun tidak bersalah dalam hal ini. Along mengesat sisa-sisa air mata yang masih bertakung di kelopak matanya. Dia berlalu ke meja tulis mencapai minyak sapu lalu disapukan pada bekas luka yang berbirat di tubuhnya dek rotanan ibu tadi. Perlahan-lahan dia menyapu ubat namun masih tetap terasa pedihnya. Walaupun sudah biasa dirotan, namun tidak seteruk kali ini. Along merebahkan badannya. Dia cuba memejamkan mata namun masih tidak mahu lelap. Seketika wajah ibu menjelma diruang ingatannya. Wajah ibu suatu ketika dahulu sangat mendamaikan pada pandangan matanya. Tetapi, sejak dia gagal dalam SPM, kedamaian itu semakin pudar dan hanya kelihatan biasa dan kebencian di wajah tua itu. Apa yang dibuat serba tidak kena pada mata ibu. Along sedar, dia telah mengecewakan hati ibu dahulu kerana mendapat keputusan yang corot dalam SPM. Tetapi Along tidak pernah ambil hati dengan sikap ibu walau adakalanya kata-kata orang tua itu menyakiti hatinya. Along sayang pada ibu. Dialah satu-satunya ibu yang Along ada walaupun kasih ibu tidak semekar dahulu lagi. Along mahu meminta maaf. Dia tidak mahu menjadi anak derhaka. Fikirannya terlalu cacamarba, dan perasaannya pula semakin resah gelisah. Akhirnya, dalam kelelahan melayani perasaan, Along terlelap juga.

Seminggu selepas peristiwa itu, si ibu masih tidak mahu bercakap dengannya. Jika ditanya, hanya sepatah dijawab ibu. Itupun acuh tidak acuh sahaja. Pulang dari sekolah, Along terus menuju ke dapur. Dia mencangak mencari ibu kalau-kalau orang kesayangannya itu ada di situ. Along tersenyum memandang ibu yang terbongkok-bongkok mengambil sudu di bawah para dan kemudian mencacap makanan yang sedang dimasak itu. Dia nekad mahu menolong. Mudah-mudahan usahanya kali ini berjaya mengambil hati ibu. Namun, belum sempat dia melangkah ke dapur, adik perempuannya yang baru pulang daripada mengaji terus meluru ke arah ibu. Along terperanjat dan cuba berselindung di sebalik pintu sambil memerhatikan mereka.

“ Ibu..ibu masak apa ni? Banyaknya lauk, ibu nak buat kenduri ye!?” Tanya Atih kehairanan. Dia tidak pernah melihat ibunya memasak makanan yang pelbagai jenis seperti itu. Semuanya enak-enak belaka. Si ibu yang lincah menghiris sayur hanya tersenyum melihat keletah anak bongsunya itu. Sementara Along disebalik pintu terus memerhatikan mereka sambil memasang telinganya. “Ibu, Atih nak rasa ayam ni satu boleh?” “ Eh jangan, nanti dulu... Ibu tau Atih lapar, tapi tunggulah Kak Ngah dengan Alang balik dulu. Nanti kita makan sekali. Pergi naikatas mandi dan tukar baju dulu ye!”, si ibu bersuara lembut. Along menarik nafas panjang dan melepaskannya perlahan. ‘anak-anak kesayangan ibu nak balik rupanya…’ bisik hati kecil Along. “Kak Ngah dengan Alang nak balik ke ibu?”, soalnya lagi masih belum berganjak dari dapur. Si ibu mengangguk sambil tersenyum. Di wajahnya jelas menampakkan kebahagiaan. “Oooo patutlah ibu masak lauk banyak-banyak. Mmm bu, tapi Atih pelik la. Kenapa bila Along balik, ibu tak masak macam ni pun?”. Along terkejut mendengar soalan Atih. Namun dia ingin sekali tahu apa jawapan dari ibunya. “Along kan hari-hari balik rumah? Kak Ngah dengan Alang lain, diorang kan duduk asrama, balik pun sebulan sekali ja!”, terang si ibu. “Tapi, ibu tak penah masak lauk macam ni dekat Along pun..”, soal Atih lagi. Dahinya sedikit berkerut dek kehairanan. Along mula terasa sebak. Dia mengakui kebenaran kata-kata adiknya itu namun dia tidak mahu ada perasaan dendam atau marah walau secalit pun pada ibu yang sangat disayanginya. “Dah tu, pergi mandi cepat. Kejap lagi kita pergi ambil Kak Ngah dengan Alang dekat stesen bas.” , arah ibu. Dia tidak mahu Atih mengganggu kerja-kerjanya di dapur dengan menyoal yang bukan-bukan. Malah ibu juga tidak senang jika Atih terus bercakap tentang Along. Pada ibu, Along anak yang derhaka yang selalu menyakiti hatinya. Apa
 yang dikata tidak pernah didengarnya. Selalu pula membuat hal di sekolah mahupun di rumah. Disebabkan itulah ibu semakin hilang perhatian pada Along dek kerana marah dan kecewanya.

Selepas ibu dan Atih keluar, Along juga turut keluar. Dia menuju ke Pusat Bandar sambil jalan-jalan buat menghilangkan tekanannya. Tiba di satu kedai, kakinya tiba-tiba berhenti melangkah. Matanya terpaku pada sepasang jubah putih berbunga ungu yang di lengkapi dengan tudung bermanik. ‘Cantiknya, kalau ibu pakai mesti lawa ni….’ Dia bermonolog sendiri. Along melangkah masuk ke dalam kedai itu. Sedang dia
membelek-belek jubah itu, bahunya tiba-tiba disentuh seseorang. Dia segera menoleh. Rupa-rupanya itu Fariz, sahabatnya. “La…kau ke, apa kau buat kat sini?”, tanya Along ingin tahu sambil bersalaman dengan
Fariz. “Aku tolong jaga butik kakak aku. Kau pulak buat apa kat sini?”, soalnya pula. “Aku tak de buat apa-apa, cuma nak tengok-tengok baju ni. Aku ingat nak kasi mak aku!”, jelas Along jujur. “waa…bagus
la kau ni Azam. Kalau kau nak beli aku bagi less 50%. Macammana?” Terlopong mulut Along mendengar tawaran Fariz itu. “Betul ke ni Riz? Nanti marah kakak kau!”, Along meminta kepastian.. “Untuk kawan baik aku, kakak aku mesti bagi punya!”, balas Fariz meyakinkannya. “Tapi aku kena beli minggu depan la. Aku tak cukup duit sekarang ni.” Cerita Along agak keseganan. Fariz hanya menepuk mahunya sambil tersenyum. “Kau ambik dulu, lepas tu kau bayar sikit-sikit..” Kata Fariz . Along hanya menggelengkan kepala tanda tidak setuju. Dia tidak mahu berhutang begitu. Jika ibunya tahu, mesti dia dimarahi silap-silap dipukul lagi. “Dekat kau ada berapa ringgit sekarang ni?”, soal Fariz yang benar-benar ingin membantu sahabatnya itu. Along menyeluk saku seluarnya dan mengeluarkan dompet berwarna hitam yang semakin lusuh itu. “Tak sampai sepuluh ringgit pun Riz, tak pe lah, aku datang beli minggu depan. Kau jangan jual dulu baju ni tau!”, pesan Along bersungguh-sungguh. Fariz hanya mengangguk senyum.

Hari semakin lewat. Jarum pendek sudah melangkaui nombor tujuh. Setelah tiba, kelihatan Angah dan Alang sudah berada di dalam rumah. Mereka sedang rancak berbual dengan ibu di ruang tamu. Dia menoleh ke arah mereka seketika kemudian menuju ke dapur. Perutnya terasa lapar sekali kerana sejak pulang dari sekolah petang tadi dia belum makan lagi. Penutup makanan diselak. Syukur masih ada sisa lauk-pauk yang ibu masak tadi bersama sepinggan nasi di atas meja. Tanpa berlengah dia terus makan sambil ditemani Si Tomei, kucing kesayangan arwah ayahnya. “Baru nak balik waktu ni? Buat hal apa lagi kat luar tu?”, soalan ibu yang bernada sindir itu tiba-tiba membantutkannya daripada menghabiskan sisa makanan di dalam pinggan. “Kenapa tak makan kat luar
ja? Tau pulak, bila lapar nak balik rumah!”, leter ibu lagi. Along hanya diam. Dia terus berusaha mengukir senyum dan membuat muka selamber seperti tidak ada apa-apa yang berlaku. Tiba-tiba Angah dan Alang menghampirinya di meja makan. Mereka berdiri di sisi ibu yang masih memandang ke arahnya seperti tidak berpuas hati. “Along ni teruk tau. Suka buat ibu susah hati. Kerana Along, ibu kena marah dengan pengetua tu.” Marah Angah, adik perempuannya yang sedang belajar di MRSM. Along mendiamkan diri. Diikutkan hati, mahu saja dia menjawab kata-kata adiknya itu tetapi melihat kelibat ibu yang masih di situ, dia mengambil jalan untuk membisu sahaja. “Along! Kalau tak suka belajar, berhenti je la. Buat je kerja lain yang berfaedah daripada menghabiskan duit ibu", sampuk Alang, adik lelakinya yang menuntut di sekolah berasrama penuh. Kali ini kesabarannya benar-benar tercabar. Hatinya semakin terluka melihat sikap mereka semua. Dia tahu, pasti ibu mengadu pada mereka. Along mengangkat mukanya memandang wajah ibu. Wajah tua si ibu masam mencuka. Along tidak tahan lagi. Dia segera mencuci tangan dan meluru ke biliknya.

Perasaannya jadi kacau. Fikirannya bercelaru. Hatinya pula jadi tidak keruan memikirkan kata-kata mereka. Along sedar, kalau dia menjawab, pasti ibu akan semakin membencinya. Along nekad, esok pagi-pagi, dia akan tinggalkan rumah. Dia akan mencari kerja di Bandar. Kebetulan cuti sekolah selama seminggu bermula esok. Seperti yang dinekadkan, pagi itu selesai solat subuh, Along terus bersiap-siap dengan membawa beg sekolah berisi pakaian, Along keluar daripada rumah tanpa ucapan selamat. Dia sekadar menyelitkan nota buat si ibu menyatakan bahawa dia mengikuti program sekolah berkhemah di hutan selama seminggu. Niatnya sekadar mahu mencari ketenangan selama beberapa hari justeru dia terpaksa berbohong agar ibu tidak bimbang dengan tindakannya itu. Along menunggang motorsikalnya terus ke Pusat Bandar untuk mencari pekerjaan. Nasib menyebelahinya, tengah hari itu, dia diterima bekerja dengan Abang Joe sebagai pembantu di bengkel membaiki motorsikal dengan upah lima belas ringgit sehari, dia sudah rasa bersyukur dan gembira. Gembira kerana tidak lama lagi, dia dapat membeli jubah untuk ibu. Hari ini hari ke empat Along keluar daripada rumah. Si ibu sedikit gelisah memikirkan apa yang dilakukan Along di luar. Dia juga berasa agak rindu dengan Along. Entah mengapa hati keibuannya agak tersentuh setiap kali terpandang bilik Along. Tetapi kerinduan dan kerisauan itu terubat apabila melihat gurau senda anak-anaknya yang lain.

Seperti selalu, Along bekerja keras membantu Abang Joe di bengkelnya. Sikap Abang Joe yang baik dan kelakar itu sedikit sebanyak mengubat hatinya yang luka. Abang Joe baik. Dia banyak membantu Along antaranya menumpangkan Along di rumahnya dengan percuma. “Azam, kalau aku tanya kau jangan marah k!”, soal Abang Joe tiba-tiba sewaktu mereka menikmati nasi bungkus tengah hari itu. “Macam serius jer bunyinya Abang Joe?” Along kehairanan. “Sebenarnya, kau lari dari rumah kan ?” Along tersedak mendengar soalan itu. Nasi yang disuap ke dalam mulut tersembur keluar. Matanya juga kemerah-merahan menahan sedakan. Melihat keadaan Along itu, Abang Joe segera menghulurkan air. “Kenapa lari dari rumah? Bergaduh dengan parents?” Tanya Abang Joe lagi cuba menduga. Soalan Abang Joe itu benar-benar membuatkan hati Along sebak. Along mendiamkan diri. Dia terus menyuap nasi ke dalam mulut dan mengunyah perlahan. Dia cuba menundukkan mukanya cuba menahan perasaan sedih. “Azam, kau ada cita-cita tak…ataupun impian ker…?” Abang Joe mengubah topik setelah melihat reaksi Along yang kurang selesa dengan soalannya tadi. “ Ada ” jawab Along pendek “Kau nak jadi apa besar nanti? Jurutera? Doktor? Cikgu? Pemain bola? Mekanik macam aku…atau….” Along menggeleng-gelengka n kepala. “semua tak…Cuma satu je, saya nak mati dalam pangkuan ibu saya.” Jawab Along disusuli ketawanya. Abang Joe melemparkan tulang ayam ke arah Along yang tidak serius menjawab soalannya itu. “ Ala , gurau ja la Abang Joe. Sebenarnya….saya nak bawa ibu saya ke Mekah dan…saya…..saya nak jadi anak yang soleh!”. Perlahan sahaja suaranya namun masih jelas didengari telinga Abang Joe. Abang Joe tersenyum mendengar jawapannya. Dia bersyukur di dalam hati kerana mengenali seorang anak yang begitu baik. Dia sendiri sudah bertahun-tahun membuka bengkel itu namun belum pernah ada cita-cita mahu menghantar ibu ke Mekah.
 
Setelah tamat waktu rehat, mereka menyambung kerja masing-masing. Tidak seperti selalu, petang itu Along kelihatan banyak berfikir.. Mungkin terkesan dengan soalan Abang Joe sewaktu makan tadi. “Abang Joe, hari ni, saya nak balik rumah ...terima kasih banyak kerana jaga saya beberapa hari ni”, ucap Along sewaktu selesai menutup pintu bengkel. Abang Joe yang sedang mencuci tangannya hanya mengangguk. Hatinya gembira kerana akhirnya anak muda itu mahu pulang ke pangkuan keluarga. Sebelum berlalu, Along memeluk lelaki bertubuh sasa itu. Ini menyebabkan Abang Joe terasa agak sebak. “Abang Joe, jaga diri baik-baik. Barang-barang yang saya tinggal kat rumah Abang Joe tu, saya hadiahkan untuk Abang Joe.” Kata Along lagi. “Tapi, kau kan boleh datang bila-bila yang kau suka ke rumah aku!?”, soal Abang Joe. Dia risau kalau-kalau Along menyalah anggap tentang soalannya tadi. Along hanya senyum memandangnya. “Tak apa, saya bagi kat Abang Joe. Abang  Joe, terima kasih banyak ye! Saya rasa tak mampu nak balas budi baik abang. Tapi, saya doakan perniagaan abang ni semakin maju.” Balasnya dengan tenang. Sekali lagi Abang Joe memeluknya bagai seorang abang memeluk adiknya yang akan pergi jauh.
 
Berbekalkan upahnya, Along segera menuju ke butik kakak Fariz untuk membeli jubah yang diidamkannya itu. Setibanya di sana , tanpa berlengah dia terus ke tempat di mana baju itu disangkut. “ Hey Azam, mana kau pergi? Hari tu mak kau ada tanya aku pasal kau. Kau lari dari rumah ke?”, soal Fariz setelah menyedari kedatangan sahabatnya itu. Along hanya tersengeh menampakkan giginya. “Zam, mak kau marah kau lagi ke? Kenapa kau tak bagitau hal sebenar pasal kes kau tumbuk si Malik tu?” “Tak pe lah, perkara dah berlalu….lagipun, aku tak nak ibu aku terasa hati kalau dia dengar tentang perkara ni", terang Along dengan tenang. “Kau jadi mangsa. Tengok, kalau kau tak bagitau, mak kau ingat kau yang salah", kata Fariz lagi. “Tak apa lah Riz, aku tak nak ibu aku sedih. Lagipun aku tak kisah.” “Zam..kau ni…..” “Aku ok, lagipun aku sayang dekat ibu aku. Aku tak nak dia sedih dan ingat kisah lama tu.” Jelas Along memotong kata-kata si sahabat yang masih tidak berpuas hati itu. “Aku nak beli jubah ni Riz. Kau tolong balutkan ek, jangan lupa lekat kad ni sekali, k!”, pinta Along sambil menyerahkan sekeping kad berwarna merah jambu. “No problem…tapi, mana kau dapat duit? Kau kerja ke?” , soal Fariz ingin tahu. “Aku kerja kat bengkel Abang Joe. Jadi pembantu dia", terang Along. “Abang Joe mana ni?” “Yang buka bengkel motor kat Jalan Selasih sebelah kedai makan pakcik kantin kita tu!”, jelas Along dengan panjang lebar. Fariz mengangguk . “Azam, kau nak bagi hadiah ni kat mak kau bila?” “Hari ni la…” balas Along. “Ooo hari lahir ibu kau hari ni ek?” “Bukan, minggu depan…” “Habis?. Kenapa kau tak tunggu minggu depan je?”, soal Fariz lagi. “Aku rasa hari ni je yang yang sempat untuk aku bagi hadiah ni. Lagipun, aku harap lepas ni ibu aku tak marah aku lagi.” Jawabnya sambil mengukir senyum.

Along keluar daripada kedai. Kelihatan hujan mulai turun. Namun Along tidak sabar menunggu untuk segera menyerahkan hadiah itu untuk ibu. Sambil menunggang, Along membayangkan wajah ibu yang sedang tersenyum menerima hadiahnya itu. Motosikalnya sudah membelok ke Jalan Nuri II. Tiba di simpang hadapan lorong masuk ke rumahnya, sebuah kereta wira yang cuba mengelak daripada melanggar seekor kucing hilang kawalan dan terus merempuh Along dari depan yang tidak sempat mengelak. Akibat perlanggaran yang kuat itu, Along terpelanting ke tengah jalan dan mengalami hentakan yang kuat di kepala dan belakangnya. Topi keledar yang dipakai mengalami retakan dan tercabut daripada kepalanya, Along membuka matanya perlahan-lahan dan terus mencari hadiah untuk si ibu dan dengan sisa kudrat yang ada, dia cuba mencapai hadiah yang tercampak berhampirannya itu. Dia menggenggam kuat cebisan kain dan kad yang terburai dari kotak itu. Darah semakin membuak-buak keluar dari hidungnya. Kepalanya juga terasa sangat berat, pandangannya berpinar-pinar dan nafasnya semakin tersekat-sekat. Dalam keparahan itu, Along melihat kelibat orang–orang yang sangat dikenalinya sedang berlari ke arahnya. Serta merta tubuhnya terus dirangkul seorang wanita. Dia tahu, wanita itu adalah ibunya. Terasa bahagia sekali apabila dahinya dikucup saat itu. Along gembira. Itu kucupan daripada
ibunya. Dia juga dapat mendengar suara Angah, Alang dan Atih memanggil-manggil namanya. Namun tiada suara yang keluar dari kerongkongnya saat itu. Along semakin lemah. Namun, dia kuatkan semangat dan cuba   menghulurkan jubah dan kad yang masih digenggamannya itu. “Ha..hadiah….untuk….ibu………” ucapnya sambil berusaha mengukir senyuman. Senyuman terakhir buat ibu yang sangat dicintainya. Si ibu begitu sebak dan sedih. Si anak dipeluknya sambil dicium berkali-kali. Air matanya merembes keluar bagai tidak dapat ditahan lagi. Pandangan Along semakin kelam. Sebelum matanya tertutup rapat, terasa ada air hangat yang menitik ke wajahnya. Akhirnya, Along terkulai dalam pangkuan ibu dan dia pergi untuk selama-lamanya.

Selesai upacara pengebumian, si ibu terus duduk di sisi kubur Along bersama Angah, Alang dan Atih. Dengan lemah, wanita itu mengeluarkan bungkusan yang hampir relai dari beg tangannya. Sekeping kad berwarna merah jambu bertompok darah yang kering dibukanya lalu dibaca. ‘Buat ibu yang sangat dikasihi, ampunkanlah salah silap along selama ini. Andai along melukakan hati ibu, along pinta sejuta kemaafan. Terimalah maaf along bu..Along janji tak kan membuatkan ibu marah lagi. Ibu, Along sayang ibu selama-lamanya. Selamat hari lahir ibu… dan terimalah hadiah ini…..UNTUKMU IBU!’ Kad itu dilipat dan dicium. Air mata yangbermanik mula berjurai membasahi pipi. Begitu juga perasaan yang dirasai Angah, Alang dan Atih. Masing-masing berasa pilu dan sedih dengan pemergian seorang abang yang selama ini disisihkan. Sedang melayani perasaan masing-masing, Fariz tiba-tiba muncul.. Dia terus mendekati wanita tua itu lalu mencurahkan segala apa yang dipendamnya selama ini. “Makcik, ampunkan segala kesalahan Azam. Azam tak bersalah langsung dalam kes pergaduhan tu makcik. Sebenarnya, waktu Azam dan saya sibuk menyiapkan lukisan, Malik datang dekat kami. Dia sengaja cari pasal dengan Azam dengan menumpahkan warna air dekat lukisan Azam. Lepas tu, dia ejek-ejek Azam. Dia cakap Azam anak pembunuh. Bapa Azam seorang pembunuh dan … dia jugak cakap, ibunyaseorang perempuan gila…” cerita Fariz dengan nada sebak. Si ibu terkejut mendengarnya. Terbayang di ruang matanya pada ketika dia merotan Along kerana kesalahan menumbuk Malik. “Tapi, kenapa arwah tidak ceritakan pada makcik Fariz?” Soalnya dengan sedu sedan. “Sebab…..dia tak mahu makcik sedih dan teringat kembali peristiwa dulu. Dia cakap, dia tak nak makcik jatuh sakit lagi, dia tak nak mengambil semua ketenangan yang makcik ada sekarang…walaupun dia disalahkan, dia terima. Tapi dia tak sanggup tengok makcik dimasukkan ke hospital sakit jiwa semula....” Terang Fariz lagi. Dia berasa puas kerana dapat menyatakan kebenaran bagi pihak sahabatnya itu. Si ibu terdiam mendengar penjelasan Fariz. Terasa seluruh anggota badannya menjadi Lemah. Berbagai perasaan mencengkam hatinya. Sungguh hatinya terasa sangat pilu dan terharu dengan pengorbanan si anak yang selama ini dianggap derhaka.

51 negara bersaing rebut Piala Perdana Menteri

PERTANDINGAN Pidato Antarabangsa Bahasa Melayu Piala Perdana Menteri 2010 (PABM 2010) bakal menyaksikan 56 peserta akan mengambil bahagian mewakili 51 negara yang berlangsung selama empat hari mulai kelmarin, di Pusat Persidangan Putrajaya (PICC), di Putrajaya.

Program yang diadakan masuk tahun keempat itu sebelumnya dianjurkan bagi merebut Piala Timbalan Perdana Menteri bagaimanapun dinaikkan taraf kepada Piala Perdana Menteri mulai tahun ini. Majlis kemuncak pertandingan itu akan disempurnakan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, di PICC, Jumaat ini.

Pertandingan anjuran Kementerian Pengajian Tinggi, Kementerian Pelajaran, Kementerian Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan serta Kementerian Pelancongan itu dibahagikan kepada dua kategori iaitu kategori nusantara dan kategori antarabangsa.



KPT dalam kenyataannya berkata, kategori nusantara dianggotai peserta dari negara pengamal Bahasa Melayu sebagai bahasa utama seperti Malaysia, Indonesia, Brunei, Thailand dan Singapura.

Bagi kategori antarabangsa pula, penyertaan terdiri daripada anak watan negara berkenaan yang mengambil jurusan bahasa Melayu sebagai kursus elektif di institusi pengajian tinggi yang menawarkan program pengajian Bahasa Melayu.

Setakat ini terdapat 130 institusi pengajian tinggi di 45 negara seluruh dunia menawarkan program berkenaan.
Peserta dari negara berkenaan antaranya, Amerika Syarikat, Argentina, Jepun, China, Korea Selatan, New Zealand, Jerman, Belanda, Vietnam, Ukraine, Romania, Yaman, Mesir dan India akan mengambil bahagian.

Johan pertandingan menerima wang tunai AS$5,000 (RM17,500) serta hadiah sampingan berupa kamus dan buku bahasa Melayu serta hadiah sampingan. Naib johan menerima wang tunai AS$3,000 (RM10,500) dan hadiah iringan manakala tempat ketiga akan membawa pulang AS$2,000 (RM7,00) dan sijil penyertaan.

Sebagai menghargai sumbangan peserta dalam meningkatkan penguasaan mereka dalam pengucapan Bahasa Melayu, penganjur menyediakan cenderamata berupa plak, sagu hati RM1,000 dan sijil penyertaan kepada semua peserta.

PABM bertujuan memartabatkan pengaruh Bahasa Melayu ke peringkat antarabangsa selain memupuk semangat cintakan bahasa kebangsaan di kalangan pelajar institusi pengajian tinggi tempatan serta pelajar antarabangsa yang mengikuti program berkenaan.

Berkhalwat ketika Suami berada di Mekkah, Ustazah Lemas

KUALA LUMPUR: Dia seorang ustazah bertudung labuh yang berkelulusan dalam bidang agama dari sebuah universiti di Timur Tengah, sebelum ini mengajar di sebuah masjid dan sebuah sekolah rendah di Kota Tinggi, Johor, serta bersuamikan seorang ustaz yang disegani di daerah itu.
Bagaimanapun, di sebalik perwatakan lembut dan alim, ustazah berusia 35 tahun itu sanggup menconteng arang di muka keluarga dan suaminya, apabila ditangkap khalwat bersama seorang duda sebayanya, yang juga bekas rakan sekolahnya dan suami.

Ustazah yang memiliki latar belakang yang kuat berpegang kepada ajaran agama itu memberi alasan kononnya dia tertekan akibat suaminya berpoligami sehingga sanggup menjalinkan hubungan cinta dengan duda terbabit dan lebih mengejutkan, mereka dipercayai pernah beberapa kali terlanjur.

Tembelang ustazah terbabit pecah apabila dia ditangkap khalwat ketika berdua-duaan dengan duda itu, baru-baru ini dan mereka dilaporkan mengambil masa hampir setengah jam sebelum membuka pintu rumah kedai yang didiami dengan kedua-duanya dalam keadaan berpakaian lengkap.

HARIAN METRO - 3/3/2010
Menurut sumber, lebih menyedihkan, ketika kejadian, suami ustazah terbabit berada di Makkah untuk menunaikan haji.

Katanya, sejurus ditangkap berkhalwat, ustazah terbabit menghubungi suaminya untuk memaklumkan kejadian dan terus meminta cerai.

Menurutnya, ustazah terbabit dan suaminya berkahwin pada 1997, tetapi tidak dikurniakan cahaya mata menyebabkan mereka mengambil dua anak angkat termasuk seorang daripadanya dipelihara sejak kecil.

“Wanita itu bertemu dengan duda yang juga bekas rakan sekolahnya ketika perlawanan boling pada awal tahun lalu dan sejak itu hubungan mereka semakin rapat apabila lelaki itu menjadi tempatnya mencurah perasaan dan menagih simpati.

“Ustazah itu memberitahu duda terbabit kononnya dia tertekan kerana suami berkahwin lain sedangkan sebelum ini, dia sendiri bersetuju serta membenarkan suaminya berpoligami dan mereka sama-sama ke mahkamah untuk menguruskan perkahwinan itu.

“Tetapi, sebagai seorang yang ada latar belakang agama, hubungan dengan lelaki lain bukan cara untuk mengatasi tekanan lebih-lebih lagi dia masih berstatus isteri orang dan perhubungan itu mendekatkan mereka dengan maksiat,” katanya.

Sumber itu berkata, selepas ditangkap, duda itu pula mengaku dia pernah terlanjur dengan wanita berkenaan, tetapi di pihak ustazah terbabit, dia masih mahu ‘menegakkan benang basah’ dan menyebarkan berita kononnya dia dianiaya.

Menurutnya, demi menjaga nama baik keluarga dan maruah isteri, suami ustazah terbabit membuat pengakuan kononnya membenarkan duda terbabit menjemput isterinya yang baru pulang daripada rombongan sekolah, sebelum mereka ditangkap khalwat.

Katanya, ketika ditangkap, pasangan terbabit memberi alasan duda terbabit datang untuk menghantarnya pulang ke rumah dan membantu mengangkat beg.

Sementara itu, Harian Metro difahamkan, ustazah terbabit dan pasangannya akan dihadapkan ke Mahkamah Rendah Syariah Kota Tinggi, pada 22 Mac ini, atas tuduhan berkhalwat.

Petikan dari : www.hmetro.com.my 03/03/2010

Isnin, 1 Mac 2010

Peliknya Umat ini

Peliknya
Bola Punya Hal,Pukul 3 Pagi Boleh Bersengkang Mata. Bola Punya
Hal,Ringan Aje Tubuh Untuk Bangun Diwaktu Ayam Pun Tak Bangun Lagi
Tapi,Pukul 3 Pagi Akan Jadi Terlalu Berat Utk Bangun Jika Disuruh Tahajjud 2 Rakaat Diwaktu Sahur Cukup Menyeksakan Baginya. (Alamak! Terkena!)

Peliknya
Menangis Teresak-Esak Sbb Penyanyi Pujaan Terkeluar Dari Akademi
Fantasia Air Mata Sungguh Murah Melimpah Pabila Artis Pujaan Turut
Menangis Namun, Berapa Sgt Umatku Yg Sudi Melinangkan Air Matanya Sbg Taubat Kpd Yg Esa? Berapa Sgt Umatku Yg Menangisi Kerana Kematian Seseorang Ulama Dan Solehin?

Peliknya
Sms Berpuluh Ringgit Dgn Senang Hati Dihantar, Janji Penyanyi
Pujaan Terpilih. Jari-Jemari Begitu Ringan Menaip Nama Penyanyi Pilihan Dan Nombor Undian. Tapi, Jari Jemari Begitu Berat Utk Mengambil Seringgit Utk Dimasukkan Kedalam Tabung Masjid Tangan Begitu Kaku Utk Menghulurkan Seringgit Dua Ke Jalan Allah.

Peliknya
Gembira Dia Sbb Anak Pandai Menyanyi Dan Pandai Main Piano Sedih
Sekali Dia Pabila Anaknya Tak Dpt Masuk Akademi Fantasia. Malaysian
Idol, Namun, Tak Ramai Umatku Yg Sedih Jika Zuriatnya Buta Al-Quran
Tak Ramai Umatku Yg Resah Jika Anaknya Tidak Tahu Sujud Kpd Yg Esa.

Peliknya
Sanggup Bersesak-Sesak,Berhimpit-Himpit Dipadang Konsert Hiburan..
Sanggup Memberi Komitmen Memenuhi Dan Memeriahkan Konsert Hiburan Sedihnya..Program Allah 5 Kali Sehari Di Masjid Tidak Dapat Sambutan Meriah Dari Umatku Mereka Tidak Sanggup Untuk Berdiri Dlm Saff Walaupun 5 Minit Cuma.

Peliknya
Setiap Tahun Adanya Pertandingan Tilawah Al-Quran Tak Cukup
Peringkat Kebangsaan..Dibuat Peringkat Antarabangsa Tapi,Dengan Al-Quran Masih Lagi Bersikap Ikut Selera Mana Rasa Elok, Diamalkan..Mana Rasa Tak Elok Untuk Nafsu,Baca Aje Dah Le.

Peliknya
Setiap Tahun Mereka Sanggup Menjadi Penunggu Setia Kepada Jam 12
Malam Pada Hari Merdeka, Pada Hari Tahun Baru Jam 12 Mereka Akan Bersorak Ramai-Ramai..Tak Kira Jantan Betina Detik Saat Jam 12 ,Saat Yg
Ditunggu-Tunggu Tanpa Berkedip Mata Melihat Jam Besar. Sedihnya..Tak
Ramai Yg Mampu Dan Mahu Menunggu Waktu Solat Lebih Awal Di Masjid

Peliknya
Setiap Kali Aku Menulis Fakta Yang Benar Dan Kenyataan Tentang
Bangsaku, Kaumku Dan Umatku, Pasti Ada Suara2 Sumbang Dan Lantang
Yang Cuba Mempertikaikannya Umpama Menegakkan Benang Yang Basah.

Jumaat, 26 Februari 2010

Penerbangan Terakhir



MAKLUMAT TENTANG PERJALANAN
• Tempat berlepas : Kehidupan dunia
• Tempoh Perjalanan : Cuma seketika dan beberapa meter dalam
perut bumi.
• Destinasi : Akhirat
• Masa berlepas : Ketika di datangi Malaikat
• Masa hadir : Ketika dan selepas Nyawa di cabut
• Bentuk tempahan : Tetap, Pasti, dan tidak akan Berubah


SYARAT-SYARAT PERJALANAN
Ditujukan kepada semua penumpang. Diminta ambil perhatian kerana mereka akan memulakan perjalanan dengan meninggalkan kehidupan di dunia dan menuju ke akhirat. Sila perhatikan ketua anda, semua (pilot) yang dikhaskan iaitu Malaikat Maut. Bagi penumpang yang belum jelas,dapatkan maklumat lanjut daripada kenyataan yang terdapat di dalam Al-Quran dan Hadis-hadis Rasullullah serta menurutinya dengan berhati-hati. Sebarang masalah hendaklah di rujuk kepada para ulamak dan cendiakawan.


BARANG MUATAN YANG DI DIBENARKAN
• 5 meter kain kafan putih
* Kapas Putih yang secukupnya
* Muatan lain yang di pertimbangkan :-
- Amal soleh
- Sedekah jariah
- Anak soleh yang mendoakan ibu bapanya
- Ilmu yang manfaat

PERHATIAN
* Lain-lain muatan yang di tegah adalah tanggungjawab para penumpang. Barangsiapa yang tidak mematuhinya akan di denda.

SAAT DAN WAKTU BERLEPAS
* Semua penumpang yang sudah mempunyai tiket, pasport atau tidak
mempunyai kedua-duanya hendaklah bersiap-sedia untuk berlepas
setiap saat jika tidak mahu sebarang kesusahan.


 
DIULANG
* Tempahan perjalanan adalah sesuatu yang tetap dan pasti, yang tidak perlu diingatkan lagi. Tapi atas dasar peringatan kepada para penumpang, maka kami menulis untuk anda semua. Hendaklah anda mengambil perhatian yang sewajarnya tentang perjalanan ini. Terima kasih kepada semua kerana memberi peluang terhadap kami untuk menabur khidmat sepada anda semua. Semoga bergembira dengan perjalanan yang menarik.

Firman ALLAH surah Al-Kahfi; Ertinya : " Barang siapa mengharap perjumpaan yang baik dengan Tuhannya, maka hendaklah dia mengerjakan amalan yang baik, Janganlah pula mensyirikkan ALLAH dengan sesuatu "

Selasa, 26 Januari 2010

Solat...

Diriwayatkan daripada Hazrat Jabir bin Abdullah r.hu katanya Rasulullah SAW bersabda, “Meninggalkan solat menghubungkan seseorang dengan kufur.” Dalam riwayat yang lain, “Meninggalkan solah menghubungkan seseorang dengan syirik dan kuruf.”
(Hadith riwayat Imam Ahmad, Muslim dll)

Hazrat ‘Ubadah bin Somit r.hu telah berkata, “Kekasihku Rasulullah SAW telah mewasiatkan kepadaku tujuh perkara. Sabda Baginda SAW, “Jangan menyekutukan Allah SWT dengan sesuatu apapun, walaupun kamu akan dibunuh atau dibakar atau disalib. Jangan meninggalkan solah dengan sengaja, kerana sesiapa yang meninggalkan solah dengan sengaja akan terkeluar daripada agama Islam. Jangan melakukan maksiat, kerana perbuatan maksiat itu akan menyebabkan kemurkaan Allah SWT dan jangan minum arak, kerana perbuatan itu adalah ibu segala maksiat.”
(Hadith riwayat imam Tabrani)

Diriwayatkan daripada Hazrat Naufal bin Muawiyah r.hu, katanya Rasulullah SAW telah bersabda, “Seseorang yang terluput satu solat adalah seumpama seseorang yang telah kehilangan keluarga dan harta bendanya”
(Hadith riwayat Ibnu Hibban dan Ahmad)

Diriwayatkan daripada Hazrat “Abdullah bin Abas r.huma katanya, Rasulullah SAW bersabda, “Sesiapa yang mengumpul dua solat tanpa sebarang keuzuran, sesungguhnya dia telah tiba ke salah sebuah pintu dosa besar.”
(Hadith riwayat Imam Hakim)

Diriwayatkan daripada Hazrat Abdullah bin Amr r.huma katanya suatu hari Rasulullah SAW menyebut tentang solat. Baginda SAW bersabda, “Sesiapa yang menjaga solat maka pada hari kiamat solatnya akan menjadi nur, pembela dan penyelamat baginya. Sesiapa yang tidak menjaga solatnya, tiadalah baginya cahaya, pembela dan penyelamat. Pada hari kiamat, dia akan bersama-sama Firaun, Haman dan Ubai bin Khalaf.”
(Hadith riwayat Imam Ahmad dan Ibnu Hibban)

Diriwayatkan bahawa Rasulullah SAW telah bersabda, “Seseorang yang meninggalkan solat sehingga terluput waktunya, kemudian mengqadakan solat itu, maka dia akan diseksa dalam neraka selama satu huqub. Satu huqub adalah sama dengan lapan puluh hari dan satu hari (di akhirat) adalah sama dengan seribu tahun (di dunia ini).”








Khamis, 21 Januari 2010

Kesyahidan Hazrat Anas bin Nadhr r.hu.

Hazrat Anas bin Nadhr r.hu ialah seorang sahabat yang tidak dapat menyertai peperangan badar. Beliau sedih tentang perkara itudan telah mengutuk dirinya dengan berkata, “Badar adalah peperangan yang pertama dan agung dalam islam sedangkan engkau tidak dapat menyertai peperangan itu.”.
Belau bercita-cita sekiranya ada peperangan lain maka beliau akan tunaikan tuntutan semangatnya. Secara kebetulan peperangan Uhud pun tiba maka beliau telah pun menyertai peperangan itu dengan penuh kepahlawanan dan keberanian. Dalam peperangan uhud, orang islam telah menang pada permulaan perang itu. Tetapi, akibat satu kesilapan, orang islam akhirnya kalah. Kesilapan tersebut berlaku begini. Rasulullah saw telah menetapkan beberapa orang disebuah bukit yang tertentu dengan bersabda, “Selagi saya tidak beri arahan, kamu jangan tinggalkan bukit itu kerana musuh mungkin akan menyerang dari tempat itu”.
Orang islam telah menang pada permulaannya. Kemudian apabila tentera-tentera yang berada diatas bukit melihat orang kafir melarikan diri maka kebanyakan mereka telah turun dari bukit itu dengan menyangka bahawa peperangan sudah berakhir. Oleh itu mereka berlari-lari mengejar orang kafir untuk mendapatkan harta rampasan. Ketua jemaah tersebut telah melarang dengan berkata, “Ini ialah larangan Rasulullah saw, kamu jangan tinggalkan tempat ini.”
Walaubagaimanapun, mereka menyangka bahawa perintah Rasulullah saw hanya semasa pertempuran sahaja. Oleh itu, mereka turun dari tempat tersebut dan menuju ke medan. Semasa melarikan diri, orang kafir telah Nampak bukit itu telah dibiarkan kosong lalu mereka pun dating dari arah tersebut dan membuat serangan. Pada ketika itu orang islam berada dalam keadaan leka. Tanpa disedari, orang kafir telah melancarkan serangan mengejut dan ini menyebabkan orang islam berasa tertekan. Tambahan pula, orang islam berada di tengah-tengah orang kafir yang menyerang dari kedua-dua arah.Oleh sebab itu mereka lari tidak tentu hala.
Hazrat Anas r.hu telah ternampak seorang sahabat, Hazrat Sa’ad bin Ma’az r.hu dating dari arah hadapan. Beliau berkata, “Wahai Sa’ad, kemana engkau hendak pergi? Demi Allah, keharuman syurga sedang dating dari arah bukit Uhud.”
Setelah berkata sedemikian beliau menyerbu kearah kumpulan orang kafir dengan pedang yang masih terhunus di tangan. Selagi tidak syahid, selagi itu beliau tidak akan pulang. Setelah gugur syahid, didapati badannya telah tercedera parah. Terdapat lebih daripada lapan puluh liang luka pada badanya akibat terkena pedang dan anak panah. Saudara perempuan beliau sahaja yang dapat mengenalinya melalui hujung jari beliau.

Khamis, 14 Januari 2010

Bidadari sebagai isteri…

Ia secerah fajar yang tenang namun riang,
Dicipta dari setiap sesuatu yang istemewa,
Apakah kau tahu, para peminang mendengarkannya,

Aduk kekasih,
Tidaklah aku lebih suka kepada selainnya,
Jangan sekali-kali kamu menyerupai orang yang bersengguh-sungguh mendapatkannya,
Melamar diriku namun penuh kelalian,
Sehingga orang akan mengejeknya,
Perbaikilah dirimu,

Malangnya,
Andai ditolak darinya
Ketika piala itu diterbangkan bergilir,
Lalu berakhir ketika hajatnya selesai,
Setelah lari tidak terkendali,
Sesungguhnya yang melamar diriku adalah,
Orang yang berusaha terus-menerus……

Jika rembulan telah sempurna di malam hari,
Kau lihat ia memiliki keistimewaan yang jelas yang jelas dari rembulan itu,
Senyumannya menampakkan gigi yang indah,
Laksana mutiara yang terpendam di kedalaman samudera,
Andai alas kaki yang dipakai menginjak kerikil,
Nescaya akan tumbuh bunga daripadanya,

Kau dapat mengikat pinggangnya,
Yang laksana dahan raihan berdaun hijau lebat,
Kalau ludahan yang manis itu jatuh ke laut,
Nescaya air laut itu menjadi minuman yang baik bagi penduduk dunia,
Allah menginginkan kematianku dalam kerinduan padanya,
Dengan berjaga untuk meraih kebaikan hidup sesudah mati….