Isnin, 28 Januari 2013

Korban Keseronokan


NOSTALGIA siri tele­vi­syen popular Doo­gie Howser yang popular pada 1989 tetap terpahat dalam ingatannya.
Siri yang mengisahkan kejayaan doktor kanak-kanak itu akhirnya menjadi pencetus cita-cita untuk bergelar doktor dan sejak itu dia juga semakin rajin belajar. 
Kini, anak sulung dua beradik ini belajar dalam bidang perubatan di Mana­gement and Science University (MSU) Shah Alam, Selangor. 

“Siri itu memang meninggalkan kesan mendalam dan menjadi sumber inspirasi bergelar doktor.
“Walaupun ketika itu masih kanak-kanak, inga­tan serta pengaruhnya cukup besar hingga saya sentiasa bercita-cita menjadi doktor.

“Kini, saya sedang me­ngejar impian itu,” katanya. 
Mengimbas nostalgia zaman kanak-kanak, setiap kali guru bertanya cita-cita, semua rakannya mahu menjadi askar dan guru. 

“Tapi saya hendak jadi doktor biarpun guru kata kerjaya itu terpaksa ‘bermain’ darah. 

“Yang terbayang di mata ialah bagaimana bergaya apabila memakai seragam doktor dan peluang bertemu ramai orang,” katanya. 

Bagaimanapun, bekas pe­lajar SMK Seri Perhentian, Pontian, Johor itu berkata, bukan mudah meneruskan pengajian dalam bidang perubatan. 

Mengakui bukan saja perlu mempunyai pencapaian akademik cemerlang malah terpaksa mempunyai keberanian dan kekuatan semangat bukan sedikit. 

“Kekuatan semangat itu bukan sekadar keberanian untuk berdepan darah, mayat malah keupayaan mengorbankan keseronokan serta masa terluang. 

“Hanya mereka yang mengikuti jurusan ini saja tahu betapa seksanya bergelar doktor. 

“Tapi, saya ti­dak pernah menyesal sebab memang ingin jadi doktor. Susah senang saya perlu hadapinya,” kata anak kelahiran Pontian, Johor. 

Berkongsi cabaran uta­ma­nya sebagai pelajar perubatan, paling sukar ialah menjalani latihan praktikal sesi viva (soal jawab dan penilaian). 

“Rasa cemas dan takut memang ada kerana kemampuan akan dinilai dari segenap sudut oleh doktor sebenar dan pesakit sebenar. 

“Pelajar tidak boleh gagal dalam sesi ini kerana boleh memberi kesan terhadap penilaian keseluruhan,” katanya. 

Mahu bergelar doktor pakar suatu hari nanti, dia menganggap bidang perubatan menjanjikan kehidupan lebih baik. 

“Masyarakat sering me­nganggap doktor boleh hi­dup senang. Jika itulah matlamatnya, nilai kemanusiaan akan hilang. 

“Sebaliknya anggaplah ke­pakaran dan bakti doktor sebagai amal jariah selain penghubung kepada pembinaan jiwa dan pengukuhan nilai kemanusiaan,” katanya. 

Di waktu lapang, dia membabitkan diri dalam sukan olahraga yang menjadi terapinya mengatasi tekanan.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/01/28
Sumber : myMetro

Tiada ulasan: