KUCHING: Pemain pertahanan Gabor Gyepes membawa khabar gembira buat Sarawak setelah dilaporkan dapat diturunkan pada perlawanan menentang KL Sime Darby FC di Stadium Majlis Perbandaran Selayang, Sabtu ini.
Pengendali Sarawak Robert Alberts berkata, bek tengahnya itu akan kembali beraksi setelah direhatkan selama tiga minggu akibat kecederaan ‘harm-string’ ketika perlawanan menentang Angkatan Tentera Malaysia (ATM) di sini pada 16 April lalu.
“Keputusan MRI Gabor semalam menunjukkan petanda positif dan beliau akan kembali menyertai sesi latihan hari ini.
“Keadaannya nampak baik dan saya yakin beliau dapat diturunkan jika tiada sebarang masalah berlaku semasa latihan,” katanya kepada Utusan Borneo semalam.
Penyertaan semula Gabor dalam kesebelasan utama Sarawak nyata berita gembira buat Alberts yang amat memerlukan khidmat pemain kelahiran Hungary itu.
“Gabor memainkan peranan yang sangat penting dalam skuad. Ketinggian dan kemahiran yang dimiliknya juga menyumbang kepada beberapa kemenangan kita sebelum ini.”
Alberts sebelumnya agak resah setelah pemain itu terpaksa direhatkan dalam tempoh yang agak lama ketika Sarawak bakal berdepan beberapa perlawanan penting dalam saingan Liga Super.
Namun, beliau bingkas menyatakan rasa yakinnya terhadap barisan pertahanan sedia ada untuk memikul tanggungjawab tersebut.
“Kita masih memiliki Ronny Harun, Hairol Mokhtar, Rames Lai Ban Huat dan Mafry Balang. Malah Dzulazlan Ibrahim juga telah kembali dan menunjukkan peningkatan yang sangat baik.
“Namun ia satu kelebihan jika Gabor dapat kembali beraksi untuk memperkuatkan benteng pertahanan. Saya yakin peminat juga pasti mahu melihat beliau kembali beraksi,” tambah Alberts.
Sarawak bakal turun tanpa khidmat Junior Eldstal yang digantung perlawanan setelah mengutip tiga kad kuning.
Mereka berada di tangga kelima Liga Super dengan mengumpul 22 mata setelah mencatat tujuh kemenangan, sekali seri dan enam kekalahan dari 14 perlawanan.
Sumber : Utusan Sarawak
Tiada ulasan:
Catat Ulasan