Jumaat, 4 Disember 2009

Amalan berusia 410 tahun


Hamam iaitu amalan mandi wap di Yemen dikatakan boleh menjauhi penyakit dan mampu meningkatkan prestasi seks lelaki.

BAU kemenyan yang menusuk ke hidung, suasana gelap dan laluan pejalan kaki yang sempit membawa pengunjung menuju ke Hamam al-Abhar. Ia hanya mengingatkan diri kepada sejarah lampau yang berusia 410 tahun di ibu kota lama Yemen. Selama berabad-abad lamanya, rumah mandi tradisional masyarakat Turki yang dikenali sebagai Hamam dalam bahasa Arab itu menjadi tumpuan penduduk Asia Barat.

Sejak berabad lamanya juga, Hamam telah menjadi pusat perjumpaan untuk bersosial sambil melakukan kegiatan membersihkan diri mengikut adat lama Yemen. Kebanyakan daripada Hamam memiliki seni bina yang menarik. Di bahagian dalam Hamam al-Abhar, golongan lelaki daripada semua peringkat umur akan berehat setelah mandi wap. Mereka akan duduk mengelilingi dewan bulat sambil menikmati cahaya semula jadi yang menembusi lubang-lubang kecil di atas kubah Hamam.

Bandar purba Sanaa telah diduduki oleh manusia sejak 2,500 tahun dahulu dan kawasan itu telah diwartakan oleh Pertubuhan Pendidikan, Saintifik dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO) sebagai bandar bersejarah. Sanaa mempunyai 14 buah Hamam, 193 masjid dan lebih daripada 6,000 buah rumah lama. Semua bangunan itu dibina sebelum abad yang ke-11.

Sebaik sampai ke sebuah Hamam, pengunjung akan menukar pakaian dan menyarung jubah putih. Barangan peribadi disimpan di dalam sebuah almari berkunci sebelum memulakan ritual. Bagi majoriti pengunjung, amalan itu dipercayai mampu mengelakkan diri daripada dijangkiti penyakit. Yang selebihnya pula datang dengan harapan ia dapat meningkatkan lagi prestasi semasa mengadakan hubungan kelamin.
Bagi Ismail Abu Taleb, 65, seorang penjual barangan kemas, Hamam adalah tempat untuk berjumpa dengan kawan-kawan sambil membincangkan isu-isu harian. Dia akan berbual-bual kosong sambil mengunyah qat iaitu sejenis daun yang popular dalam kalangan penduduk Yemen yang mengkhayalkan.

"Saya tinggal di kota lama ini sejak lama dahulu dan setiap hari berkunjung ke sini. Buat orang lain, ia mengimbau kembali kenangan sejarah silam tetapi bagi kami, ia telah sebati dengan kehidupan seharian," katanya.

Hashem al-Hamzei, seorang pedagang berusia 30 tahun dan mempunyai dua orang isteri, berkata, dia datang ke sini sebanyak empat kali dalam seminggu bagi mendapatkan kekuatan tenaga batin. "Air panas dan teknik urutan membantu untuk melancarkan pengaliran darah dan ia memastikan anda memberi yang terbaik kepada isteri pada waktu malam nanti," ujarnya.

"Hari Selasa adalah hari saya untuk datang ke sini. Pada hari ini, saya akan berjumpa rakan-rakan lelaki sambil mandi-manda," ujarnya.

SEJAK berabad lamanya, Hamam telah menjadi pusat perjumpaan untuk bersosial sambil melakukan kegiatan membersihkan diri mengikut adat lama Yemen.

Hamzei berkata, kebanyakan lelaki muda datang ke Hamam bagi tujuan yang sama. "Hamam cuma permulaan tetapi perbuatan mengunyah qat akan membuat anda berasa seperti seekor 'harimau liar'," jelasnya sambil tersenyum puas.

Dalam tahap pertama, ritual itu menuntut pengunjung memasuki bilik panas. Di sini, mereka akan duduk di atas kerusi berbatu hitam dan berpeluh di sebalik udara kering yang panas. Bilik seterusnya juga panas dan lembap. Di situ pula, pengguna akan membersihkan diri dengan menggunakan air sabun yang mengalir keluar dari lantai.

Di ruang urut yang juga panas persekitarannya, seorang tukang urut bekerja dengan penuh tekun. Dia mengurut seluruh badan pengunjung dari kaki, tangan, perut dan belakang badan. Pintu di bilik-bilik Hamam turut dibuka kepada wanita terutama pada hari Khamis dan hujung minggu apabila banyak majlis perkahwinan berlangsung.

"Pada hari bahagia tersebut, beberapa ritual dijalankan ke atas kedua-dua pengantin," kata Yehya al-Sadik, 40, salah seorang pemilik Hamam al-Abhar.

"Selepas pengantin wanita mandi wap, sejenis minyak dan kemenyan akan disapu di seluruh badannya bagi menyiapkan diri menghadapi malam pertama yang indah,"ceritanya.

Tentang harga, ia tidak tetap dan berada dalam lingkungan 200 riyal (RM3.37) hingga 2,000 riyal (RM1,797) mengikut tempoh tertentu.

"Sebaik memasuki bilik Hamam, pengunjung akan dikenakan bayaran tetap dan diikuti dengan perkhidmatan yang dikehendaki. Setiap perkhidmatan ada caj untuk dibayar dan ia termasuk makanan tengah hari," kata Yehya.

AIR panas dan teknik urutan membantu untuk melancarkan pengaliran darah.

Orang Yemen juga percaya bahawa kunjungan ke Hamam akan memelihara kesihatan yang sejahtera. Malah, sehari suntuk berada di sini lebih baik berbanding dengan berjumpa doktor. Sehinggakan, ada juga yang beranggapan bahawa ia merupakan ubat paling mujarab daripada terkena jangkitan virus H1N1.

"Anak saya Mohammed diserang virus selesema. Saya terus bawa dia mandi di sini. Ia lebih baik daripada mana-mana ubat," ujar Khaled Rafiq, 39.
"Hamam membantu untuk membunuh semua jenis bakteria dan kuman sekali gus kebal daripada sebarang jenis penyakit khususnya virus H1N1," tambahnya yang begitu mempercayai kemujaraban amalan mandi wap di Hamam. - AFP

Tiada ulasan: