Isnin, 30 Julai 2012

Monolog Gula Berbau Cuka

Hatinya bergenang air mata mungkin dek kerana luluhan perasaan tidak bertepi. Terasa sesak tidak terkata seolah dirinya berada di dalam dunia lain yang tidak adil. Perasaan yang pedih tadi sudah bertukar menjadi kemarahan. Tidak diterima ketentuan seolah menyinsing lalu tanpa peduli apa yang terjadi. Jiwanya terasa dialah orang yang paling malang. Facebook dan twitter mengganti suara mengadu domba pada manusia, terlaung merentasi benua. Tiada kata lagi boleh menenangkan ombak melanda.

Dunia ini bagai menghukumnya dengan kejam. Kata pemutus dulu masih tidak boleh terpadam oleh ruang dan waktu. Terasa baru sahaja menjengah di awalan dan pengakhiran hidup. Mimpi itu bagaikan diulang-ulang menambah lagi duka yang berparut. Sangkaan baik selama ini telah bertukar menjadi sangkaan buruk yang bisa membinasakan diri. Motivasi telah turun pada tahap abnormal, lemah berserta kecewa. Ah, kenapa semua jadi begini! Bentak suara keras terdengar.

Itulah sedikit cebisan tiada pengakhiran yang terjadi di kala semuanya serba tidak kena seorang pencinta manusia. Seseorang apabila meletakkan saluran cinta pada saluran yang berlainan sudah tentu dapatan siarannya akan terjejas. Orang yang bercinta semestinya berada pada saluran yang lain berbanding saluran mereka yang biasa-biasa. Hinggakan bila manisnya sebuah kemahuan tidak terasa, perasaan mula bertukar. Gula sudah berbau cuka, masin.

Orang berkata kita mendengar

Orang yang bercinta melihat hijaunya daun itu lebih hijau daripada biasa.
Orang yang bercinta melihat birunya air laut lebih biru daripada biasa.
Orang yang bercinta merasa pahitnya hempedu seperti enaknya madu.
Orang yang bercinta merasa masinnya cuka seperti manisnya gula.


Sebutlah apa sahaja berkenaan cinta maka mukaddimahnya adalah kebaikan seiring perbuatan. Orang bercinta seolah berada pada dunianya yang tersendiri. Sampai adanya yang mengatakan bahawa ianya adalah syurga dunia yang terhiasa dek perasaan. Ia akan sentiasa mengharapkan sesuatu yang diluar daripada kebiasaan. Bila yang mengharap terbias daripada apa yang diharap, jiwa memberontak menahan "ammarah" yang melanda.

Mula perasaan buruk sangka, memaki hamun, cercaan yang terbit dari bibir menggantikan pujian, baik sangka dan belaian yang selama ini membara. Kerendahan mula muncul seolah merekalah yang dianiaya, meletakkan diri pada kondisi tidak bermaya, berakhir dengan duka lara. Cinta mula berbau keluhan, seperti kenangan salma dan mahbub tidak kurang laila dan majnun.

Berkenalan dengan cinta

Cinta dalam pemahan istilah bahasa arab ialah "Hubb". Pemahaman dan konsep hubb ini cukup menarik bila dikupas. Katanya terzahir dengan dua huruf tapi tersirat berjuta makna. Huruf 'Ha' dan 'Ba'. Cuba perhatikan bila disebut ha maka mulut kita pasti terbuka dan bila disebut ba mulut akan tertutup. Tidakkah kita terfikir apa yang tersirat di sebaliknya? Satu tertutup dan satu terbuka.

Cinta ini mudah untuk dimanipulasi, samada kebaikan atau keburukan. Letaknya di antara dua persimpangan. Berlegar di antara keduanya ialah beribu persoalan. Cinta bila dimanipulasikan ke arah kompas kebaikan maka akan wujudlah jalan-jalan menuju syurga. Sebaliknya bila ia dimanipulasi ke arah kompas kefasikan maka wujud pula jalan menuju nereka.

Apabila kata itu terbaur, maka menitislah hujan harapan, berhembus angin ketulusan, rauk wajah bersinar bersama matahari yang bersinar cemerlang. Cinta ialah bukti pengabdian kasih sayang, hubungan, kesenangan, keredhaan dan ketenangan. Akan gugur lembaran kemarahan, luluh gelojak kejahatan, terpotong alur-alur kebencian, kedengkian dan padamlah bintang-bintang permusuhan.

Sebaliknya apabila jiwa tidak lagi tenang walaupun senang maka kita sebaliknya bertanya apakah itu cinta?. Apabila segalanya bertukar cinta juga bertukar. Itulah cinta yang sudah tersasar, jauh daripada lepangan ketenangan dan kasih sayang.

Kesedihan yang paling sedih

Pernah orang bertanya, apakah perkara yang paling sedih yang berlaku pada seseorang manusia?. Perkara ini sering menjadi topik berbincangan antara sahabat-sahabat. Kesedihan yang paling sedih adalah apabila sesuatu perkara itu berlaku yang kita boleh mengubahkannya akan tetapi kita tidak mampu dek kerana kelemahan diri.

Contoh mudah ialah apabila seseorang yang kita sayangi meninggal dunia akibat kemalangan. Sudah tentu semua anggota, hati, jiwa, akal akan berasa sedih dan pilu. Air mata ini turun bagai tidak mahu berhenti. Tetapi sedarkah bahawa air akan surut jua dek lenturan masa dan waktu. Namun, tentu situasi ini berbeza jika proses itu mengambil masa yang lama. Contohnya ada ahli keluarga yang diserang penyakit kronik, memerlukan kos yang tinggi untuk sembuh. Walaupun ada jalan untuk kita berusaha mencari dana untuk kos perubatan, tetapi atas ketidakmampuan diri kita tidak dapat menyelamatkannya. Tentu kita boleh bersetuju bahawa kes yang kedua itu lebih memilukan.

Bicara batas padi

Hidup ibarat berbicara soal batas padi, sentiasa ada had dan batas dalam setiap laku. Bagi mereka yang berada dalam situasi diatas katakanlah aku antara insan terpilih untuk menyambung disebalik terputus. Bukankah putus cinta dengan hamba itu bererti bersambung kembali hubungan kita denganNya yang kita putuskan dahulu? Ingat atau tidak? Kita yang putuskan!

Kita selalu merasakan kita adalah orang yang teraniaya dan selalu bertanya kepada diri "kenapa sanggup si dia sanggup berbuat begini"? kita sahaja yang betul dan semua orang salah. Sebenarnya siapa yang teraniaya. Ya, kita yang teraniaya kerana menganiayai diri sendiri. Bersyukurlah untuk itu kerana ia peluang bagi kita untuk belajar "learn from our mistake". Bukanlah setiap kesilapan itu memberikan peluang untuk kita meminta dan merintih?

"Wahai manusia, diberikan untuk kamu satu perumpamaan, maka dengarlah mengenainya; sesungguhnya mereka yang kamu seru selain dari Allah itu, tidak sama sekali dapat menciptakan seekor lalat pun walaupun mereka berpakat untuk membuatnya; dan jika lalat itu mengambil sesuatu dari mereka, mereka tidak dapat menyelamatkan kembali. (maka) lemahlah yang meminta (untuk ditunai hajatnya), dan lemahlah yang diminta (untuk menunaikan hajat)"
(Surah al-Hajj ayat 73)

Kata buat semua

Teringat Dr. Aidh Abdullah berkata bahawa cercaan yang engkau terima itu amat baik akibatnya bagi kamu, ibarat badan berasa sangat sihat walaupun dengan rasa sakit. Terkadang kita tidak menyukai sesuatu, padahal didalamnya terkandung begitu banyak kebaikan. Terkadang kita menyukai sesuatu tetapi di dalamnya terkandung begitu banyak sekali keburukan. Sungguh Allah itu mempunyai kebijaksanaan yang luar biasa.

Janganlah terlena oleh larutan urusan kerana orang yang terlena akan binasa. Redhailah keputusan Allah sebagai pemutus setiap perkara. Jangan sampai kita membenci keputusan yang telah dibuatnya kerana tidak sedikitpun yang merbahaya akan mendatangkan maanfaat. Di setiap segala mehnah akan ada kemaslahatan besar yang sebahagian besar daripada kita tidak sanggup untuk memahaminya dengan akal mahupun iman.

Tiada ulasan: