EGO dan sombong adalah sifat mazmumah yang amat dimurkai oleh Allah
SWT. Ia terlindung dan terhijab jauh dalam hati kecil. Namun, kesannya
amat besar sehingga boleh memberikan kesan kepada tingkah-laku, gaya dan
tutur-kata seseorang.
Ego dan sombong adalah sifat yang berakar umbi dari perasaan merasa
diri lebih baik dari orang lain. Ia wujud apabila sikap tawaduk dan
merendah diri tidak disemai dalam diri.
Akibatnya, seseorang yang mempunyai sifat ego dan sombong boleh
membawa kepada kesesatan kerana biasanya dia akan menolak sesuatu
kebenaran walaupun hati kecil mengakui akan kebenaran itu.
Demikianlah yang berlaku kepada golongan kafir Quraisy yang tetap
berada dalam keadaan jahiliah kerana menafikan kerasulan Nabi SAW
walaupun mereka sebenarnya mengakui bahawa baginda adalah orang yang
amanah dan boleh dipercayai (al-amin).
Cuba kita perhatikan juga sikap iblis yang diarahkan Allah SWT untuk
sujud kepada Nabi Adam. Namun, ia enggan sujud kerana sifat ego dan juga
sombong. Lalu Iblis menjadi golongan yang ingkar dan kufur kepada Allah
SWT.
Allah SWT berfirman yang bermaksud: Dan (ingatlah) ketika kami
berfirman kepada malaikat: Tunduklah (beri hormat) kepada Nabi Adam.
Lalu mereka sekeliannya tunduk memberi hormat melainkan Iblis; dia
enggan dan takbur dan menjadilah dia dari golongan yang kafir
(al-Baqarah: 34).
Mengapa timbul rasa ego dalam diri iblis? Sebabnya, iblis merasa
dirinya lebih baik daripada Adam yang dicipta daripada tanah. Sedangkan
iblis dicipta daripada api.
Bagi menghuraikan lebih lanjut sikap ego iblis, Allah berfirman yang bermaksud: Iblis
menjawab: “Aku lebih baik daripadanya; Engkau (wahai Tuhanku) ciptakan
daku dari api, sedang dia Engkau ciptakan dari tanah”. (Saad: 76)
Sifat ego dan sombong mungkin boleh berlaku kepada sesiapa sahaja
sama ada kaya atau miskin, tua atau muda, lelaki atau perempuan.
Kadang-kadang kita hampir tidak menyedari dalam diri kita mempunyai
sikap ego dan sombong.
Justeru, kita perlu melihat jauh ke dalam diri dan melakukan
muhasabah agar ia dapat dirawat secepat mungkin supaya tidak membarah.
Dalam organisasi, sifat ego dan sombong akan berlaku kepada kedua-dua belah pihak sama ada majikan atau pekerja.
Tanda seseorang itu ego
Antara petanda mereka yang mempunyai ego dan sombong adalah sukar
menerima pandangan dan teguran dari orang lain. Ataupun, mungkin
menerima pandangan tersebut tetapi secara terpaksa tanpa hati yang
sejahtera.
Seorang majikan yang ego merasa dirinya seorang sudah cukup untuk
membuat keputusan dan menentukan hala tuju organisasinya. Dia tidak akan
menghiraukan pandangan, keluhan, idea serta teguran yang dibuat oleh
orang bawahan.
Pekerja yang ego pula adalah yang tidak mahu menuruti arahan majikan
dan tidak mahu berkongsi ilmu serta kemahiran dengan rakan sejawat.
Pekerja yang ego sentiasa merasa dirinya betul dan orang lain salah.
Walaupun, hakikat yang kita perlu akui bersama ialah pandangan semua
manusia boleh diterima dan ditolak kecuali Rasulullah. Kita semua tidak
sunyi dari melakukan kesalahan.
Rasulullah mempunyai sifat rendah diri yang sangat hebat. Walaupun
baginda terpelihara dari melakukan dosa serta dibimbing terus daripada
Allah, namun baginda menunjukkan akhlak yang tinggi apabila meminta
pandangan dari para sahabat khususnya dalam perkara yang melibatkan
urusan keduniaan.
Sebagai contoh, dalam peperangan Badar, Rasulullah meminta pandangan
para sahabat tentang strategi peperangan dan mengenai langkah yang
sepatutnya dilakukan terhadap tawanan-tawanan perang Badar.
Demikian juga, semasa peperangan Khandak, Rasulullah telah menerima
pandangan Salman al-Farisi supaya menggali parit untuk berhadapan dengan
musuh.
Mengambil pedoman melalui beberapa contoh ini, sebenarnya tiada
alasan untuk kita mempunyai ego dan sombong sehingga langsung tidak
mengendahkan pandangan serta teguran orang lain.
Antara ciri-ciri lain orang yang ego adalah suka memandang rendah
kepada orang lain. Mereka anggap orang di sekelilingnya sebagai saingan
dan musuh dalam kehidupannya. Dia tidak akan senang dan tenang setiap
kali melihat kejayaan orang lain.
Setiap kelebihan yang ada kepada orang lain akan diperlekehkan dan
setiap keburukan yang ada pada orang lain akan ditonjol dan
diuar-uarkannya.
Semuanya semata-mata untuk melihat orang lain jatuh dan dirinya naik,
dipuja dan dipuji. Kegagalan orang lain adalah kepuasan bagi dirinya,
sementara kejayaan orang lain adalah kesedihan bagi dirinya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan