Air mata ibarat butiran mutiara yang sangat cantik. Namun kecantikan itu hanya terjelma dari sebuah kesedihan dan keluluhan hati. Kesedihan membuahkan kecantikan. Sungguh ironi, ianya dapat mendamaikan sekeping hati yang rawan.
Air mata ibarat embun yang menitis, sungguh menyegarkan. Namun kesegaran itu hanya bisa terjelma setelah melalui malam panjang yang dingin dan gelita. Sungguh ironi, ianya dapat menenangkan hati yang terluka.
Air mata ibarat hujan yang merenyai, sungguh menyejukkan. Namun kesejukkan itu hanya mampu terjelma setelah mendung yang menduga. Sungguh ironi, kerana ianya mampu melegakan gelojak jiwa.
Namun, disebalik semua ironi ini, apakah nilai sebenar sebuah tangisan?
Percayakah jika ku katakan hati itu adalah sangat keras? Lebih keras dari batu. Sedangkan batu bila dihempap air betubi-tubi lama-lama akan terbelah jua ianya. Demikianlah ku rasakan hatiku juga sungguh keras.
Kali terakhir air mata membelai pipi kira-kira 8-9 tahun yang lalu. Melihat orang menangis tidak meninggalkan sebarang kesan dihati. Mungkin sebak, namun tiada istilah tangisan dalam hidup. Mendengar ayat Al-Quran dibacakan ibarat tiada kesan. Bukan telinga yang dipekakkan, tetapi hati yang ditulikan. Tuli dari merasakan getarnya amaran Allah dalam Al-Quran, tuli dari merasakan cinta pada Rabb dan Rasul.
Mungkin hati itu tidak pernah merasa apa itu cinta sebenar kerana ia telah tertutup untuk merasakan cinta pada Allah dan Rasul. Mendengarkan penderitaan Rasulullah dan Sahabat langsung tidak meninggalkan parut di hati.
"Allah telah mengunci hati dan pendengaran mereka, penglihatan mereka telah tertutup, dan mereka akan mendapar azab yang amat berat"
(Surah al-Baqarah ayat 7)
Maka, apa lagi gunanya hatiku ini. Tidak mampu lagi merasa Kasih dan Sayang Allah padaku. Hati menjadi keras kerana noda-noda hitam telah membalutinya. 'Cirrhosis' jika mengikut istilah perubatan. Hati yang telah keras dan buruk sehingga menjejaskan anggota tubuh badan yang lain. Selayaknya menjalani pembedahan menggantikannya dengan hati yang baru. Teringat Firman Allah;
"Dalam hati mereka ada penyakit, lalu Allah menambahkan penyakit itu, dan mereka mendapat azab yang pedih kerana mereka berdusta"
(Surah al-Baqarah ayat 10)
Namun, di satu ketika, Allah menimpakan musibah untuk diriku.. air mata lah yang menjadi suri peneman hidupku. Tatkala mencari ruang untuk mencari kekuatan, air Mata juga lah yang menjadi penawar tiap kedukaan yang menyapaku. Entah mengapa, air mata ini sering tumpah saat merasakan kesengsaraan hati yang tidak terperi. Ku cuba selongkar tiap hikmah yang tersirat di dalam ujian yang dihantarkan kepadaku.
Ibarat terpenjara dalam satu sangkar emosi yang dikurung rapat. Hati hanya mampu menangis. Tatkala berjalan sendirian, air mata mahu berjurai, namun digagahi jua agar tidak menangis di tengah jalan saat orang ramai di sepanjang jalanan. Saat berkurung dibilik, air mata berjurai laju. Saat ke kelas, air mata ditahankan sepenuh hati agar tidak bisa ternampak oleh rakan-rakan.
Allah itu Maha Mengetahui. Hati yang keras dan kalis tangisan, kini lebur. Begitu berat ujian yang diberikan Allah sehingga hati yang keras telah cair dibasahi tangisan. Menangisi kehidupan yang kian suram, menangisi cinta yang lahir dari syaitan, menangisi masa depan yang tak mampu difaham, menangisi hari-hari yang berlalu sebegitu sahaja, menangisi kegembiran yang berlalu di depan mata, tapi tidak mampu merasainya.
Tangisan itu hanya semata-mata untuk dunia. Menangisi dunia yang kian lepas dari genggaman. Terleka dan terlupa, bahawa Allah menginginkan dunia itu untuk pergi, pergi meninggalkan. Satu hari, aku meluahkan apa yg terbuku dihati pada seorang sahabat.
Lalu dia bertanya padaku, "Untuk apakah dan siapakah tangisanmu sedangkan seharusnya tangisan mu di hadapan Allah?"
Aku menjawab pertanyaan tersebut dengan sebuah pertanyaan " Untuk siapa kau rasa?" dan berlalu pergi tanpa menunggu sebuah jawapan. Kemudian, aku kembali tertanya, untuk apa dan siapa tangisan ku ini?
Aku kembali teringat akan satu peristiwa dipagi hari, saat tidur di kamar sahabat tersebut, terjaga di sepertiga malam, terdengar sendu tangisnya di dalam tahajjud, cintanya bersujud menghadap Ilahi. Hati turut menjadi sayu mendengar sendunya, tetapi tertanya mengapa dia menangis? Aku bertanya padanya selepas itu " Mengapakah kau menangis?". Jawabnya, " Kerana aku merasa sungguh kerdil di hadapan Allah, maka aku menangis".
Mendengarkan jawapan tersebut aku terpana. Aku tertanya, jika tangisnya untuk Allah, maka untuk siapakah tangisku? Baru kusedar, tangisan ku hanya untuk dunia, maka ia tiada nilai. Pernah ku terbaca sebuah hadith Nabi dalam sebuah buku karangan Tok Guru Nik Abdul Aziz.
Rasulullah S.A.W menyatakan bahawa diakhirat kelak, antara golongan manusia yang mendapat perhatian Allah SWT ialah mereka yang menangis kerana Allah Taala. Allah SWT berseru, " Dimanakah hamba-hamba-Ku yang menangis?" Lalu Allah SWT memerintahkan para Malaikat-Nya supaya membawa hamba-hamba-Nya yang menangis di siang hari lebih lebih lagi di malam hari kerana mengenangkan dosa-dosa mereka.
Sebanyak mana air mata yang mengalir kerana takutkan kemurkaan Allah, maka ia akan ditimbang bersama-sama dengan darah para syuhada yang tumpah kerana memperjuangkan dan mempertahankan agama Allah. Air mata itu juga akan ditimbang bersama-sama dengan dakwat ulama yang telah menulis berbagai-bagai kitab yang memperjelaskan hukum-hakam dan syariat Allah SWT supaya difahami dan diamalkan oleh manusia.
Betapa besar nilai sebuah tangisan yang belum kita faham. Jauh dari kefahaman itulah, air mata itu tumpah hanya sia-sia.
Kini baru kufahami hikmah disebalik ujian yang sangat berat yang telah kuhadapi. Allah ingin melembutkan hati yang telah keras. Hati yang perlu dibasahi dengan tangisan menghadap-Nya. Namun, Allah tidak membiarkanku lemas dalam lautan air mata dunia. Di datangkan seorang sahabat setia untuk mengingati yang terlupa walau selaut dosa kuhampar padanya. Bahawa sesungguhnya, tangisan itu hanya selayaknya untuk Allah sahaja. Sungguh Allah Maha Bijaksana dan Maha Mengasihani. Memberi ujian untuk hamba-Nya dalam segunung hikmah yang sukar difahami.
Maka, tanyalah kembali diri kita, kemana telah tumpahnya air mata kita?Adakah dihadapan Allah kerana takutkan dosa yang menggunung sedangkan amal tidak bertambah? Atau didepan dunia yang hanya sementara. Kiralah berapa banyak tumpahnya air mata untuk kekasih hati bila putus cinta? Kiralah betapa banyak air mata tumpah kerana kehilangan harta disayangi. Kiralah berapa banyak air mata tumpah mengenangkan ahli keluarga tersayang yang telah pergi. Kiralah berapa banyak air mata yang tumpah kerana perkara yang sia-sia. Kiralah air mata itu, walau selautan jumlahnya, namun tangisan itu tiada bermakna. Tidak bernilai disisi Allah Taala, kerana ia bukan tumpah kerana cinta dan kasih hanya kepada-Nya.
Di akhirat kelak, Allah akan mengurniakan sebuah bendera yang berwarna warni kepada golongan air mata yang tumpah hanya pada-Nya. Meraka akan berada dibawah panji-panji itu yang diserahkan kepada Nabi Nuh sebagai ketuanya.
Nabi Nuh As dipilih mengetuai golongan air mata kerana pengalaman hidupnya yang dipenuhi pelbagai kepahitan, kesengsaraan, ancaman dan tentangan. Tatkala Rasulullah SAW bersedih kerana perjuangan baginda yang sukar, Allah mewahyukan perihal Nabi Nuh, yang jauh lebih getir perjuangannya untuk memotivasikan Baginda dan para sahabat.
Dicelah-celah kegersangan hati dan sukma, basahkan lah ia dengan tangisan sebagai sebenar-benar hamba.. Alirkanlah ia dan persembahkanlah hanya kepada Allah semata. Sudah terlalu banyak air mata yang tumpah sia-sia kerana dunia. Kini biar la ia tumpah di medan perjuangan ini, bukan kerana sedih atau berputus asa, tetapi kerana mendamba kasih dan Rahmat Ilahi dan cinta baginda, Muhammad SAW.
Sungguh besar nilai sebuah tangisan untuk Ilahi itu, umpama besarnya seperti darah syuhada' dan dakwat para ilmuan. Tangisan yang lahir dari hati yang mendambakan Allah bukan mudah untuk datang. Maka, ku syukuri setiap ujian yang menduga kerana dengan ujian itulah hati yang keras menjadi lembut. Hanya dengan ujianlah membawa hati lebih ingat kepada tuhanku dan hanya dengan ujian hati ini sentiasa tenang dalam rahmatNya.
"Ya Allah anugerahkanlah aku sebuah tangisan yang lahir atas cintaku hanya pada-Mu, sungguh aku rindu pada tangisan menghadap-Mu"
- Artikel iluvislam.com
Tiada ulasan:
Catat Ulasan