Penyerang Adelaide United FC itu bakal menyertai Sarawak sebaik jendela perpindahan pemain dibuka
KUCHING: Ketua Jurulatih Sarawak, Robert Alberts menafikan spekulasi akan menambat semula pemain dari Cameroon, Guy Bwele bagi memperkuatkan skuadnya musim ini.
Katanya, spekulasi yang sedang hangat dihebahkan dalam laman sosial facebook itu tidak benar sama sekali dan beliau juga tidak pernah berhubung dengan bekas pemain tengah Sarawak itu bagi tujuan tersebut.
“Beliau tidak akan kembali menyertai Sarawak. Saya hanya akan mencari pemain baharu namun yang pastinya bukan Bwele,” katanya di sini semalam.
Sebaliknya, menurut Alberts pihaknya hampir pasti akan menambat penyerang Adelaide United FC, Ryan Alan Griffiths yang bermain dalam Liga Australia.
“Rundingan melibatkan kedua-dua pihak berjalan dengan baik dan Ryan telah menyatakan persetujuan secara lisan untuk bermain dengan kita.
“Namun, ia bergantung dengan keputusan Persatuan Bola Sepak Sarawak (FAS). Jika segalanya berjalan dengan lancar, beliau akan menyertai kita sebaik jendela perpindahan pemain dibuka nanti,” katanya.
Pada masa sama, Alberts turut mengesahkan penyerang Alireza Abbasfard akan meninggalkan Sarawak sebaik pemain baharu masuk.
Katanya, persetujuan telah dicapai antara Alireza dan FAS untuk menamatkan kontrak dengan Sarawak.
Skuad Ngap Sayot kini kembali menjalani latihan sejak Isnin lalu sebagai persediaan menghadapi T-Team dalam saingan Liga Super pada 8 Mac depan di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah.
Mereka kemudiannya akan menentang Lions XII di Stadium Negeri Kuching pada 15 Mac.
Sarawak masih menghuni tangga ketiga di belakang Terengganu dan Kelantan dengan mengumpul sembilan mata hasil dari lima perlawanan.
Sumber : Borneo Post
Tiada ulasan:
Catat Ulasan