TIADA siapa pun yang beriman dapat menafikan bahawa pengamalan agama
ini hendaklah berteraskan apa yang dijelaskan oleh Rasulullah s.a.w.
Baginda adalah tempat rujukan tanpa sebarang pertikaian mengenai hakikat
Islam dan cara ibadah dalam Islam.
Seorang agamawan sama ada dia sarjana besar, atau memiliki puluhan
Ph.D sekalipun, mufti atau siapa sahaja, jika huraiannya mengenai agama
ini tidak selaras dengan dalil-dalil sunah Nabi maka ia tidak diterima.
Penolakan terhadap sunah Rasulullah berlaku dalam dua bentuk;
pertama; golongan yang menolaknya secara prinsip iaitu golongan
antihadis. Mereka ini pada hakikatnya menolak nas-nas al-Quran itu
sendiri yang menyuruh agar kita mengikuti Rasulullah.
Kelompok kedua mereka tidak mendakwa menolak sunah Nabi. Tetapi
apabila mereka dapati nas-nas hadis yang tidak bersesuaian dengan
selera, kepentingan, kebiasaan atau adat mereka, maka berbagai-bagai
alasan diberikan agar dimandulkan isi kandungan hadis berkenaan
sekalipun jelas kepada mereka kebenaran hadis tersebut.
Bukan kerana mereka tidak tahu hadis adalah rujukan yang benar dalam
Islam namun kerana enggan mengubah kebiasaan atau ketaksuban terhadap
pendapat yang diikuti sejak sekian lama.
Tokoh-tokoh cendekiawan Islam yang agung seperti para imam mazhab
yang empat dan selain mereka sering menegaskan agar hal yang seperti ini
tidak boleh dilakukan oleh seorang Muslim. Sebagai contohnya apa yang
disebut oleh tokoh sarjana kita, al-Imam al-Syafii yang melambangkan
ketaatan kepada nas-nas sunah dan kebebasan dirinya yang agung dari
ketaksuban pendapat.
Beliau pernah berkata: “Setiap apa yang aku ucapkan lalu didapati hadis yang sahih yang diriwayatkan daripada Rasulullah menyanggahi pendapatku, maka hadis itu yang lebih utama, jangan kamu mengikutiku.” (Al-Zahabi, Siyar A’lam al-Nubala. 10/34, Beirut: Muassasah al-Risalah). Katanya juga: “Jika kamu dapati apa yang ada di dalam bukuku menyanggahi sunah Rasulullah s.a.w. maka berpeganglah dengan sunnah dan tinggalkanlah pendapatku.” (Al-Zahabi, Siyar A’ lam al-Nubala. 10/34).
Kata seorang rawi hadis yang besar iaitu al-Humaidi (meninggal 219H): Suatu hari al-Syafii meriwayatkan sebuah hadis. Aku bertanya: “Apakah engkau akan berpegang dengannya?” Dia menjawab: “Apakah engkau menganggap aku ini datang dari gereja, atau memakai tali pinggang Kristian sampai apabila aku mendengar sesuatu hadis daripada Rasulullah s.a.w. lalu aku tidak berpegang dengannya.” (Al-Zahabi, Siyar A’lam al-Nubala. 10/35).
Juga al-Imam al-Syafii: “Setiap hadis daripada Nabi s.a.w. adalah pendapatku, sekalipun kamu tidak mendengarnya daripadaku.” (Al-Zahabi, Siyar A’lam al-Nubala. 10/35). Katanya lagi: “Manusia telah sepakat bahawa sesiapa yang telah ternyata kepadanya sesuatu sunah daripada RasululLah s.a.w. maka tidak boleh dia meninggalkannya kerana pendapat seseorang dari kalangan manusia.” (Ibn Qayyim al-Jauziyyah, ‘Ilam al-Muwaqqi‘iin, 2/263).
Juga katanya: “Setiap perkara yang aku telah perkatakannya, sedangkan ada riwayat yang sahih di sisi ulama hadis daripada Nabi yang menyanggahi apa yang aku ucapkan, maka aku menarik balik ucapanku semasa hidupku dan selepas mati.” (Ibn Qayyim al-Jauziyyah, ‘Ilam al-Muwaqqi‘iin, 2/266). Sehingga beliau berkata: “Apabila sahihnya sesuatu hadis maka itulah mazhabku.” (Al- Zahabi, Siyar A’lam al-Nubala. 10/35).Inilah imam yang agung. Melarang kita taksub kepada pandangannya tanpa melihat dalil sunah daripada Rasulullah. Demikian juga imam-imam agung yang lain, menyatakan pendirian yang sama.
Malangnya, ada orang mendakwa pengikut mazhab imam-imam ini lebih lajak dari laju sehingga mendakwa seseorang tidak boleh mengambil pendapat lain selain mazhab tertentu.
Kita sepatutnya mencontohi akhlak terhadap Rasulullah yang ditunjukkan oleh para imam kita ini. Kesopanan yang tinggi terhadap inti kandungan sunah Nabi dan seruannya agar semua pihak membebaskan diri dari ketaksuban.
Berbalik kepada kehidupan kita, kadang-kala kebiasaan
mengongkong kita lebih dari dalil dan nas-nas agama. Umpamanya
kadangkala lihat wanita yang menutup aurat, tetapi apabila hendak
bersolat dia seakan tidak mampu selagi tidak memakai telekung putih yang
menjadi kebiasaan orang Nusantara.
Saya bukan menyalahkan pakaian tersebut. Seseorang boleh memakainya
jika dia mahu. Tetapi keterikatan dengan ‘uniform’ yang seperti itu
boleh membebankan diri dan melupakan kita bahawa dengan pakaian yang ada
sudah memadai. Sehingga ada yang menangguh solat hanya kerana
tertinggal telekungnya.
Apabila saya memperkatakan tentang pemandu bas perjalanan jauh boleh
berbuka puasa kerana musafir, ramai yang bersetuju. Tetapi apabila saya
menyebut mereka sepatutnya berbuka puasa, bahkan disuruh berbuka puasa
jika puasa itu mengganggu tumpuan pemanduan mereka lalu membahayakan
nyawanya dan penumpang dan jika dia berpuasa juga dia menyanggahi
petunjuk agama ini, ada pihak yang bertanya saya; apakah sampai hendak
disuruh buka, setakat diberikan pilihan itu, tidak mengapalah?!
Saya beritahu kepada mereka bahawa dalam hadis;
Rasulullah dalam satu perjalanan lalu mellihat orang ramai berkumpul dan seorang lelaki yang dipayung (kerana terlalu teruk berpuasa). Lalu baginda bertanya: Kenapa? Mereka menjawab: Dia berpuasa. Baginda bersabda: Bukanlah sesuatu yang baik itu, berpuasa ketika musafir (riwayat al-Bukhari).
Hadis ini adalah ulasan Nabi terhadap lelaki berkenaan yang mana
puasanya telah membawa mudarat kepada dirinya sendiri. Maka baginda
menyatakan bukan satu perkara yang dianggap baik dalam Islam berpuasa
ketika musafir sehingga memudaratkan diri. Jika memudaratkan diri
disebabkan berpuasa ketika musafir dibantahi oleh Rasulullah bagaimana
pula dengan pemandu bas yang jika puasanya boleh memudaratkan dirinya,
penumpang yang ramai di belakangnya dan pengguna jalanraya yang lain?
Tentulah mereka ini lebih utama untuk berbuka lebih dari lelaki dalam
hadis di atas.
Dalam banyak hal, kita kurang bertanya dalil mengenai amalan agama
kita, melainkan berdasarkan ikutan yang sudah menjadi kebiasaan semata.
Ada orang yang sakit mata dan telinga berkata; saya terpaksa menanggung
kesakitan sepanjang hari kerana jika saya titikkan ubat saya nanti batal
puasa saya.
Saya bertanya dia; siapa yang menyatakan batal? Dia berkata: Ramai yang kata macam itu. Saya kata kepadanya:
Dalam hadis disebutkan: Rasulullah s.a.w. bercelak sedangkan baginda berpuasa (riwayat Ibn Majah, dinilai sahih oleh al-Albani).
Jika memasukkan sesuatu ke daerah mata atau setiap rongga membatalkan puasa, tentu baginda tidak lakukan.
Demikian juga anggapan ramai pihak bahawa seseorang yang mandi
disebabkan keletihan atau terlalu dahaga pada bulan Ramadan,
mengurangkan pahala puasanya. Ada yang menambah, sesiapa yang mandi
selepas waktu asar, juga berkurangan pahala puasanya. Sedang di dalam
hadis yang sahih yang diriwayatkan oleh al- Imam Malik di dalam
al-Mawata’, Ahmad dan Abu Daud: Abu Bakar bin Abd al-Rahman
meriwayatkan:
“Telah berkata sahabah yang menceritakan kepadaku: “Aku melihat Rasulullah s.a.w. di al-‘Arj (nama tempat) mencurahkan air ke atas kepala baginda ketika baginda berpuasa disebabkan dahaga atau panas.”
Dengan itu Ibn Qudamah al-Maqdisi (meninggal 620H) menyatakan:
“Tidak mengapa seseorang mencurahkan air ke atas kapalanya (ketika puasa) disebabkan panas atau dahaga kerana diriwayatkan oleh sebahagian sahabah bahawa mereka melihat Rasulullah di al-‘Arj (nama tempat) mencurahkan air ke atas kepala baginda ketika baginda berpuasa disebabkan dahaga atau panas.” (Ibn Qudamah al-Maqdisi, al-Mughni, 2/18, Beirut: Dar al-Fikr).
Maka tidak menjadi kesalahan mereka yang letih atau kekeringan ketika
bertugas membasahkan kepala atau mandi demi menambahkan kesegaran dan
meneruskan urusan. Agama ini sangat rasional. Ia tidak menyuruh kita
keletihan dan tersandar sepanjang hari.
Dalam sunah kita disunatkan berbuka puasa dengan rutab, jika tidak
ada dengan tamar, jika tidak dengan air. Rutab ialah buah kurma yang
masak sebelum menjadi tamar kering, ianya lembut dan manis.
Adapun tamar adalah kurma yang sudah kering. (lihat: al-Mu‘jam
al-Wasit 1/88). Faedah kesihatan juga terbukti secara saintifik berbuka
dengan rutab atau tamar. Sesetengah menganggap jika ada air zamzam itu
lebih baik.
Sebenarnya, dakwaan seperti ini tidak berteraskan hadis.
Anas katanya: Bahawa Rasulullah s.a.w. berbuka dengan puasa sebelum bersolat dengan beberapa biji rutab, sekiranya tiada rutab maka dengan beberapa biji tamar, dan sekiranya tiada tamar maka baginda minum beberapa teguk air. (Riwayat al-Imam Ahmad dan al-Tirmizi, Al-Diya al-Maqdisi menilai hadis ini sebagai sahih).
Kata al-Mubarakfuri (meninggal 1353H): Hadis ini menjadi dalil
disunatkan berbuka puasa dengan rutab, sekiranya tiada maka dengan
tamar, dan sekiranya tiada maka dengan air…
Adapun pendapat yang menyatakan di Mekah disunatkan didahulukan air
zamzam sebelum tamar, atau mencampurkan tamar dengan air zamzam adalah
ditolak. Ini kerana ia menyanggahi sunah. Adapun Nabi telah berpuasa (di
Mekah) banyak hari pada tahun pembukaan kota Mekah namun tidak pernah
diriwayatkan baginda menyalahi adat kebiasaannya mendahulukan tamar
sebelum air. (al-Mubarakfuri, Tuhfah al-Ahwazi, 3/311, Beirut: Dar al-
Kutub al-‘Ilmiyyah).
Demikian sesetengah kita, akan berhenti memakan sahur apabila melihat
jadual waktu imsak yang disebarkan oleh kebanyakan pihak. Jadual itu
biasanya akan menetapkan waktu berpuasa lebih awal dari masuknya waktu
solat subuh.
Padahal al-Quran menyebut: (maksudnya): Makan dan minumlah kamu sehingga ternyata benang putih dari benang hitam dari waktu fajar, kemudian sempurnakanlah puasa sehingga waktu malam (surah al-Baqarah: 187).
Dalam hadis al-Bukhari dan Muslim, Nabi menyebut dengan jelas: Makan
dan minumlah sehingga azan Ibn Ummi Maktum, kerana beliau tidak akan
azan melainkan setelah masuk waktu fajar (subuh).
Ibn Ummi Maktum adalah muazzin Nabi. Baginda mengajar kita dalam
hadis ini agar kita boleh bersahur sehingga masuknya waktu solat subuh.
Apabila waktu solat subuh, bererti waktu sahur berakhir. Baginda tidak
pula menyebut beberapa ketika atau setengah jam sebelum subuh. Bahkan
dalam hadis Abu Daud dan Ahmad baginda memberikan kelonggaran yang lebih
luas untuk umatnya.
Baginda bersabda: Apabila seseorang kamu mendengar azan sedangkan
bekas minuman berada di tangannya, maka janganlah dia meletakkannya
sehingga selesai hajatnya (dinilai sahih oleh al-Albani). Baginda tidak
menyuruh seseorang meludah atau memuntahkan apa yang ada dalam mulut
apabila mendengar azan seperti pendapat sesetengah orang. Islam itu
mudah dan praktikal.
Ada orang kata, dia tidak dapat terima pendapat ini. Saya katakan
kepadanya: Ini hadis bukan pendapat. Dia kata: Saya pakai pendapat orang
ramai. Saya katakan: Agama berdasarkan dalil, bukan emosi.
Dalam hadis disebut “Apabila telah dihidangkan makan malam, maka mulakanlah dengan makanan sebelum kamu menunaikan solat maghrib, dan jangan kamu tergopoh-gapah ketika makan malam kamu.” (Riwayat al-Bukhari dan Muslim).
Dalam hadis yang lain baginda bersabda:
Apabila dihidangkan makan malam seseorang kamu, sedangkan solat (jamaah) telah didirikan, maka mulailah dengan makan malam. Janganlah dia tergopoh-gapah sehinggalah dia selesai. (Riwayat al-Bukhari dan Muslim).
Tujuan hadis ini agar solat tidak diganggu oleh ingatan kepada
makanan. Makanlah dengan sederhana kemudian bersolatlah. Namun ramai
yang apabila hidangan berbuka puasa di hadapan matanya dan keinginannya
pula tinggi, lalu dia meninggalkan hidangan pergi menunaikan solat
dengan hati yang tidak fokus. Seakan itu petunjuk agama. Sebenarnya
petunjuk Nabi bukan demikian. Baginda lebih memahami jiwa insan.
Kata al-Nawawi (meninggal 676H): Di dalam hadis- hadis tersebut
menunjukkan dimakruhkan solat apabila terhidangnya makanan yang hendak
dimakan kerana ianya boleh mengganggu hati dan menghilangkan
kesempurnaan khusyuk. (al-Nawawi, Syarh Sahih Muslim, 4/208, Beirut: Dar
al-Khair).
Apa yang ingin saya jelaskan, betapa pentingnya agama ini dibina di
atas dalil. Sesiapa sahaja yang berbicara tentang agama, sehebat mana
dia, mintalah kemukakan dalil syarak. Agar agama tidak menjadi jualan
murah yang diberi lesen kepada sesiapa sahaja untuk mewakili Allah dan
Rasul-Nya tanpa bukti.
Contoh-contoh puasa adalah sempena Ramadan yang masih kita lalui. Banyak lagi contoh lain jika ingin dibicarakan.
Semoga puasa kita mendekatkan kita kepada sumber yang agung; al-Quran dan al-sunah.
Sumber : Minda Tajdid
Tiada ulasan:
Catat Ulasan