Rabu, 16 Oktober 2013

Sime Darby 1 - 3 Sarawak


Sarawak kekalkan rekod tanpa kalah di laman sendiri selepas benam Sime Darby 3-1

KUCHING: Selepas kali terakhir melepasi saingan suku akhir Piala Malaysia pada 1999, Sarawak mengulangi sejarah 17 tahun lalu apabila menempah slot ke separuh akhir Piala Malaysia musim ini.
Kejayaan mengetepikan pasukan berstatus kelab, KL Sime Darby FC 3-1 pada suku akhir kedua di laman sendiri malam kelmarin (Sabtu) merupakan bonus kepada skuad Ngap Sayot biarpun tidak diletakkan sebagai pasukan pilihan untuk melangkah ke separuh akhir.

Ketua jurulatih Sarawak, Robert Alberts berkata, kemampuan anak-anak buahnya melayakkan diri ke peringkat separuh akhir didorong dengan semangat perjuangan tinggi para pemain yang berjaya menyerapkan tekanan meskipun ketinggalan (1-0) pada awal permainan.
“Memang menakjubkan, kerana kita masih kekal pasukan belum kalah di gelanggang sendiri sepanjang saingan Piala Malaysia.

“Ini merupakan sejarah baharu dalam sukan bola sepak Sarawak selepas kejayaan muncul juara Liga Premier 2013,” katanya kepada pemberita di sini malam kelmarin.
Beliau berkata, kejayaan itu juga banyak didorong dengan sokongan padu peminat dan penyokong-penyokong setia pasukan Sarawak yang membanjiri stadium.

“Saya amat gembira atas sokongan peminat dan penyokong-penyokong setia meningkatkan semangat pemain,” ujarnya.

Perlawanan suku akhir kedua di Stadium Negeri, di sini malam kelmarin penyerang import dari Bosnia, Muamer Salibasic mencipta hatrik menerusi jaringan minit ke-27, 55 dan 85.
Sarawak bangkit beraksi cemerlang di hadapan kirakira 25,000 penonton selepas ketinggalan pada minit ketiga menerusi jaringan Mohd Asrol Ibrahim.

Tersentak dengan jaringan itu, skuad Ngap Sayot memperkemas permainan dan menyerang kubu lawan bertali arus menerusi rangkaian penyerang, Muamer dan Bobby Gonzales.

Serangan bertubi-tubi Sarawak akhirnya membuahkan hasil apabila Salibasic berjaya menjaringan gol pertama dari luar petak penalti pada minit ke-27.

Bermula babak kedua, anak-anak buah Robert Alberts terus rakus melakukan serangan sehingga menyebabkan pertahanan KL Sime Darby FC membuat beberapa kesilapan.

Salibasic sekali lagi menjaringkan gol menerusi sepakan percuma yang gagal diselamatkan Mohd Suffian Ab Rahman pada minit ke-55.

Kesilapan Mohd Suffian yang gagal menangkap kemas bola sekali lagi dihukum oleh Salibasic.

Mengulas mengenai perlawanan suku akhir menentang KL Sime Darby FC yang menyaksikan Sarawak menang agregat 3-1, Alberts berkata bahawa pasukan lawan bermain dengan baik dan strategi serangan balas pantas anak-anak buahnya berjaya membuahkan hasil.

“Kami memang ketinggalan pada babak awal permainan, namun semua pemain berjaya menyerapkan tekanan untuk bangkit memburu jaringan,” jelasnya.

Sarawak akan berdepan Pahang di peringkat separuh akhir dan perlawanan pertama berlangsung di Stadium Darul Makmur, Kuantan pada 19 Oktober (Sabtu).

Manakala perlawanan timbal balik di Stadium Negeri Kuching pada 26 Oktober (Sabtu).
Selain Sarawak bertemu Pahang, satu lagi perlawanan separuh akhir membabitkan Kelantan dan Angkatan Tentera Malaysia (ATM).

Kempen "Bola Tanpa Mercun" mendapat sambutan yang sangat baik daripada penyokong Skuad Bujang Senang.

Tiada ulasan: