KUALA LUMPUR: Sebuah kapal misi bantuan kemanusiaan yang ditaja Malaysia untuk rakyat Palestin di Gaza, Palestin, dihalang dua bot tentera laut Israel yang melepaskan tembakan amaran di perairan berhampiran Rafah, awal pagi Isnin waktu Malaysia.
Semua 12 penumpang dan kru, termasuk dua wartawan Malaysia, selamat selepas tentera laut Mesir datang membantu dan mengiringi kapal ‘MV Finch’ ke pelabuhan Al Arish di Mesir, menurut wartawan Bernama, Mohd Faizal Hassan yang berada di atas kapal itu.
Faizal berkata, tentera Israel mengelilingi kapal misi bantuan itu dan mengarahkannya berpatah balik sebelum melepaskan tembakan amaran ke udara, kira-kira tiga batu nautikal berhampiran sempadan Rafah.
Dia menceritakan detik cemas itu ketika menghubungi bilik berita Bernama di sini, melalui panggilan dan SMS menggunakan telefon bimbit dari kapal berkenaan beberapa jam selepas kejadian itu.
Katanya, kejadian berlaku kira-kira 6.05 pagi waktu tempatan (1.05 pagi waktu Malaysia) apabila kapal yang ditaja Yayasan Keamanan Global Perdana Malaysia (PGPF) dihampiri dua bot tentera laut Israel yang mengelilingi kapal MV Finch selama setengah jam sebelum melepaskan empat das tembakan ke udara menggunakan mesingan.
Katanya, satu daripada tembakan itu hampir mengenai kru kapal rakyat Malaysia, Mohd Jaffery Ariffin, menyebabkan semua di atas kapal menjadi cemas dan menyelamatkan diri dengan bersembunyi di dalam kapal.
“Mereka mengarahkan kami berpatah balik ke perairan Mesir. Kami dapat menghubungi tentera Mesir melalui radio untuk mendapatkan bantuan. Sebuah kapal tentera Mesir datang dan bot tentera Israel kemudian beredar dari kawasan berkenaan,” kata Faizal. Daripada 12 orang dalam kapal itu, tujuh rakyat Malaysia manakala yang lain dua kru warga India dan tiga aktivis kemanusiaan iaitu Derek Graham dan Jenny Graham dari Ireland dan Julie Levesque dari Kanada.
Faizal berkata, tindakan tentera Israel itu menyalahi undang-undang antarabangsa kerana melepaskan tembakan kepada orang awam yang tidak bersenjata.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan