Selasa, 3 April 2012

Rakit-Rakit dahulu


Rakit-rakit dahulu,

Berenang-renang ketepian,

Bersakit-sakit dahulu,

Bersenang-senang kemudian

“Mengharapkan yang bulat datang bergolek, yang pipih datang melayang” pengharapan yang sepatutnya sudah tidak ada dalam kamus kehidupan seorang individu muslim.Peribahasa Melayu ada mengatakan “ Kalau tidak dipecahkan ruyong manakan dapat sagunya”,begitu juga dengan kejayaan , tidak mungkin akan dapat diperolehi dan dikecapi tanpa adanya usaha dan pengorbanan.bak kata pepatah Arab “Mengharapkan kejayaan tanpa adanya usaha ibarat mengharapkan kapal belayar di daratan”. Satu perkara yang boleh dikatakan mustahil akan berlaku.

Dalam Islam , kita dapati banyak ayat Al Quran dan  hadis yang menyarankan umatnya agar sentiasa berusaha untuk mencapai  kejayaan sama ada di dunia dan juga di akhirat. Usaha dan amalanlahyang menjadi perkara yang  dinilai oleh Allah s.w.t sebagaimana firman-Nya dalam surah At Taubah ayat 105 yang bermaksud :

Dan katakanlah wahai Muhammad “ Hendaklah kamu semua berusaha (beramal ) kerana Allah akan melihat dan menilai apa yang kamu usahakan .”

Dalam ayat yang lain Allah berfirman yang bermaksud : Maka bertebarlah di muka bumi serta carilah rezeki daripada kurniaan Allah” Surah Al Jumuah ayat 10 .

Rasulullah s.a.w. menyatakan dalam satu hadis yang pencari kayu api lebih baik dan lebih mulia daripada peminta sedekah. Baginda juga mengatakan dalam hadis yang lain , orang yang berusaha untuk menyara diri dan keluarganya seperti orang yang berjuang di jalan Allah .

Dalam menentukan usaha yng dilakukan membuahkan kejayaan yang diharapkan , beberapa perkara perlu diperhati dan dilaksanakan. Antaranya :

A.Doa

Doa mungkin dianggap perkara yang remeh bagi sesetengah orang ,tetapi bagi orang yang mengaku dirinya Islam , doa merupakan antara medium yang paling berkesan dalam menentukan arah tuju kehidupan . Boleh dikatakan setiap detik kehidupan seharian kita , ada doa-doa yang tertentu. Sabda Rasulullah yang bermaksud “ Doa itu merupakan ibu segala ibadat” , “ Doa itu senjata orang yang beriman” , “ Qadha’yang ditentukan Allah tidak boleh diubah melainkan dengan doa”

Berdoa juga merupakan symbol keakraban hubungan seseorang hamba dengan Penciptanya dan tanda memohon pertolongan daripada yang Maha Kuasa.

B. Tidak Mudah Berputus Asa

Sekali gagal tidak bermakna gagal untuk selama-lamanya, sebaliknya kita hendaklah menjadikan kegagalan itu sebagai pedoman dan iktibar untuk memperbaiki kelemahan yang ada seterusnya mencapai kejayaan yang diingini.Andaikata kita membaca riwayat hidup tokoh-tokoh terkenal dunia kita akan dapati mereka juga menghadapi kegagalan pada permulaan usaha mereka,namun dengan usaha yang tidak mengenal erti putus asa mereka akhirnya berjaya sepertimana yang berlaku kepada adik beradik Albur dan Wilbur dalam usaha mereka mencipta kapal terbang.

Firman Allah dalam surah Yusuf ayat 87 yang bermaksud “ Jangan kamu berputus asa dalam mencacri nikmat dan rahmat Allah kerana hanya orang kafir sahajalah yang akan berputus asa daripada rahmat Allah”

C. Istiqamah

Salah satu faktor yang juga penting untuk menjayakan sesuatau usaha ialah istiqamah . Istiqamah membawa maksud tetap dan berterusan dalam melakukan sesuatu perkara . Orang yang istiqamah akan mempunyai disiplin diri yang tinggi yang juga merupakan faktor yang penting bagi sesuatu kejayaan .Sebab itu Allah telah memerintahkan  RasulNya agar  beristiqamah dalam  menyampaikan dakwah .sebagaimana firmanNya dalam Surah As Syura ayat 15 yang bermaksud “ Maka serulah ( mereka kepada agama Allah ) dan tetaplah ( Istiqamah ) sebagaimana yang  diperintahkan kepadamu”

D. Tawakal

Tawakal didefinisikan sebagai berserah kepada Allah dalam menentukan sesuatu perkara setelah dilakukan segala usaha dan ikhtiar.Tawakal melambangkan penyerahan diri seorang hamba yang lemah kepada Penciptanya yang maha mengetahui dan Maha Berkuasa .

Sifat tawakal perlu dan penting kerana ianya akan menjadukan seseorang itu tenang dalam menghadapi dugaan dan cabaran diamping menjadikannya lebih tabah dan kental.


Firman Allah dalam surah Al Maidah ayat 23 yang bermaksud “ Hendakalah  kamu bertawakal kepada Allah sekiranya kamu orang yang beriman” , Dalam Ali Imran ayat 159 yang bermaksud “ Sesungguhnya Allah menyukai orang yang bertawakal kepada Nya.

E. Ihsan

Ihsan sebagaimana yang dinyatakan oleh Rasululah dalam Hadis Jibril iaitu beribadat kepada Allah seolah-olah kita melihatnya dan sekiranya kita tidak melihatNya , sesungguhnya Allah sentiasa melihat dan memerhatikan kita. Dalam erti kata yang lain kita melakukan usaha yang terbaik yang dapat dilakukan untuk mendapat keredaan  Allah.Malangnya kita selalu mengabaikan sikap ihsan sedangkan kita perhatikan orang bukan Islam ada mengamalkan sifat ini dalam kehidupan mereka contohnya orang Jepun yang mana mereka mengamalkan “Kaizen”satu sikap yang membawa maksud yang hamper sama dengan ihsan yang dianjurkan oleh Islam.

F. Sabar

Sabar juga aspek yang tidak kurang penting dalam membantu untuk mencapai kejayaan . Ini kerana kejayaan bukanlah sesuatu yang mudah untuk diperolehi sebaliknya untuk mendapat kejayaan pelbagai halangan dan dugaan harus ditempuhi. Halangan dan dugaan ini dapat diatasi dengan adanya sifat sabar.Dalam Alquran terdapat lebih 70 tempat yang menceritakan tentang sabar , antaranya firman Allah dalam surah Al Qasas ayat 54 yang bermaksud “ Mereka itu diberi pahala dua kali disebabkan kesabaran mereka” . Dalam Surah AzZUmar Ayat 10 yang bermaksud “ sesungguhnya hanya orang yang bersabarlah yang dicukupkan pahala mereka tanpa batasan”. Firman Allah juga dalam surah Al Anfaal ayat 46 yang bermaksud “ Bersabarlah kerana Allah bersama orang yang bersabar”. Tidak syak lagi orang yang Allah berada bersama dengannya akan mendapat kejayaan.

G. Tidak bertangguh/ Menjaga masa

Melakukan usaha dengan perancangan yang rapi tanpa membazirkan masa , tenaga dan wang ringgit adalah satu jaminan untuk mengecapi sesuatu kejayaan. Pepatah juga ada mengatakan masa itu emas . Ini menunjukkan bahawa masa itu sangat berharga dan perlu dirancang untuk perkara –perkara yang terbaik

Firman Allah dalam surah al Asr ayat 1-3 yang bermaksud “ Demi masa , sesungguhnya manusia itu berada dalam kerugian , kecuali orang yang beriman dan mengerjakan amalan soleh , dan nasihat menasihati dalam perkara kebenaran dan nasihat menasihati dalam kesabaran “

H. Menjaga kesihatan

Kesihatan mental dan fizikal sangat penting kepada seseorang. Tanpa kesihatan fizikal dan mental, kejayaan tidak akan dapat dicapai .Pepatah mengatakan “ Akal yang cerdas datangnya daripada  badan yang sihat.Ibadat dalam  Islam seperti solat , puasa ,haji merupakan satu bentuk riadah untuk menyihatkan jasmani dan rohani.

Setiap kejayaan memerlukan usaha yang gigih dan tekun untuk mencapainya. Kejayaan tidak akan menjelma dengan sendiri. Oleh itu kita perlulah melakukan usaha yang dapat melepasi halangan untuk sampai kepada kejayaan yang diinginkan.


Tiada ulasan: