Selasa, 9 Mac 2010

Aset Keyakinan Pesakit Kanser

DENGAN penuh yakin, wanita itu nekad menyumbat segumpal sapu tangan ke dalam poket khas di belakang colinya. Dia percaya gumpalan kain tadi boleh membantu.

Sekurang-kurangnya bentuk payu daranya boleh kelihatan berisi biarpun hanya untuk sementara. Dia sebenarnya tiada pilihan lain.

Seperti kebanyakan pesakit kanser payu dara, bebanan psikologi melihat aset berharga itu 'hilang' secara tiba-tiba nyata amat menyeksakan. Malah, dalam perjuangan melawan serangan emosi negatif, pesakit turut diuji dengan cabaran untuk mengisi kekurangan fizikal.

"Itulah cara yang diambil oleh seorang pesakit. Sebabnya waktu itu, dia tidak sedar akan kewujudan prostesis. Jadi, hanya ada satu pilihan. Pesakit terpaksa kreatif," cerita Pearly Ang kepada Kosmo! di pejabat Persatuan Kebajikan Kanser Payu Dara (BCWA) di Bangunan Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, Petaling Jaya baru-baru ini.

Saat disahkan menghidap kanser sekitar tahun 1970-an, ibu kepada dua orang anak itu cukup tidak tenteram. Lebih tepat, dia sebenarnya risau dan berada dalam dilema yang besar.

Dia tidak tahu ke mana harus mendapatkan sokongan dan bimbang aspek fizikal diri tidak sempurna seperti wanita lain. Pendek kata, kehilangan payu dara boleh jadi satu trauma.

Biarpun sedar kewujudan produk bergelar prostesis atau anggota tiruan, usaha untuk mendapatkan payu dara palsu nyata terlalu sukar. Di Malaysia juga, nama prostesis seakan-akan jarang kedengaran pada ketika itu.

Jelas Pearly, meskipun terdapat produk prostesis payu dara komersial di pasaran, faktor harga dan kesesuaian untuk kegunaan pesakit merupakan punca ia masih kurang popular.

Mujur keadaan sudah berbeza pada hari ini dengan adanya kumpulan The Thimble Thumb (TTT). Bermula dengan satu kelas jahitan mini di bawah kelolaan sukarelawan BCWA, ia berkembang sehingga diberi nama TTT pada 2002.

Terdiri daripada golongan sukarelawan yang juga survivor kanser payu dara, kumpulan itu sebenarnya besar jasanya. Mereka bertanggungjawab mereka dan menjahit prostesis-prostesis payu dara sementara.

Beroperasi dalam sebuah bilik di pejabat BCWA di Petaling Jaya (PJ), pertemuan di antara ahli-ahli TTT untuk sesi pembuatan prostesis itu berlangsung pada hari Selasa setiap minggu.


Mengikut ceritanya, selepas bersara sebagai kakitangan kerajaan, Pearly menyertai TTT pada 2002. Skil mereka dan menjahit prostesis adalah hasil tunjuk ajar ahli-ahli lama.

Sisi sukar

Di dalam bilik yang kelihatan seakan-akan sebuah kelas jahitan itu, beberapa wanita berusia sekitar lewat 40-an hingga awal 70-an sibuk menyiapkan tugasan masing-masing. Di atas meja, helaian-helaian kain yang siap digunting mengikut bentuk, disusun rapi.

Setiap daripada mereka sebenarnya ada pengkhususan sendiri. Untuk menghasilkan sebuah payu dara palsu biasa, lakaran bentuk mengikut saiz perlu dibuat terlebih dahulu.

Ia kemudiannya digunting sebelum dijahit tepi menggunakan mesin atau jahitan tangan. Oleh kerana skil menjahit tidak dikuasai oleh semua, tugasan menjahit di TTT hanya dikendalikan oleh tiga orang sukarelawan berkemahiran tinggi dengan enam mesin jahit.

Seorang sukarelawan, Felicia Lee, 73, mengakui, dia tidak begitu bagus dalam bab-bab menjahit. Namun, dia lebih yakin dalam tugasan melukis, menggunting dan mengisi serat dalam prostesis payu dara.

Rakan sepasukannya, Mary Goh, 63, pula memberitahu, setakat ini setiap prostesis adalah hasil titik peluh setiap orang dalam TTT.

"Sebabnya, belum ada sesiapa yang dapat menyiapkan prostesis daripada langkah pertama sehingga yang terakhir. Hendak menyumbat serat ke dalam prostesis pun perlu ada tekniknya. Tidak semudah yang dilihat," jelasnya yang menyertai TTT sejak enam tahun lalu.

Hakikatnya, setiap pengkhususan tugas ada sisi sukarnya. Misalnya, tugasan menyumbat serat ke dalam prostesis. Jika tidak biasa, isian serat berkemungkinan besar menghasilkan prostesis yang tidak sekata bentuknya.

Pearly yang bertanggungjawab melakukan pemeriksaan akhir dan kawalan kualiti kerja sumbatan serat memberitahu, langkah itu mustahak agar pesakit kanser boleh menggunakan prostesis-prostesis itu dengan selesa.

Di BCWA, kumpulan TTT yang disertai oleh 12 orang sukarelawan akan menghasilkan dua jenis prostesis. Ada prostesis untuk dijual iaitu prostesis kekal manakala yang satu lagi (prostesis sementara) adalah untuk dibekalkan kepada hospital-hospital terpilih.

Secara purata, antara 10 hingga 15 buah prostesis boleh dihasilkan setiap hari, bergantung kepada kapasiti tenaga kerja.

"Prostesis sementara ini biasanya diberikan secara percuma kepada pesakit selepas pembedahan payu dara dijalankan," katanya yang biasa memulakan rutin jahitan daripada pukul 10.30 pagi hingga 2 petang.

Keselesaan pemakai

Hanya menggunakan material kain mampu regang dan serat sebagai isian, prostesis sementara itu amat ringan, sekali gus menjanjikan perlindungan yang lembut serta selesa buat pesakit. Prostesis kekal pula dihasilkan dengan tambahan lapisan span dan segumpal manik-manik kecil.

Gumpalan manik-manik kecil itu memberikan kesan berat prostesis yang menyamai berat payu dara sebenar. Setiap prostesis yang disediakan dalam saiz mangkuk coli bermula dari saiz 28 hingga 40 itu dijual pada harga RM20 sahaja.

Menurut Pearly, seseorang pesakit yang telah menjalani pembedahan membuang payu dara lazimnya akan diperkenalkan kepada prostesis sementara terlebih dahulu. Sebaik luka pembedahan itu sembuh, pesakit dibenarkan memakai prostesis yang lebih berat.

Tempoh ketahanan sesuatu prostesis bergantung kepada penjagaan dan pengguna itu sendiri. Ia tidak perlu dibasuh dengan detergen yang kuat, sebaliknya hanya perlu dicuci atau sekadar dibilas dengan air biasa.

Penggunaan prostesis juga tidak rumit. Pesakit hanya perlu membeli coli berpoket atau menjahit sendiri poket dengan helaian kain bagi memudahkan prostesis dimasukkan.

"Biasanya kami akan memberikan satu saiz lebih kecil berbanding saiz asal mangkuk coli pesakit," katanya yang turut memberitahu baju dalam mastektomi boleh didapati di BCWA pada harga minimum.

Selain membuat kunjungan ke hospital bagi memberi sesi kaunseling kepada pesakit kanser, kumpulan TTT turut menganjurkan bengkel jahitan prostesis untuk mana-mana organisasi bukan kerajaan (NGO) yang berminat.

Melihat kepada kesungguhan usaha TTT dalam penghasilan prostesis, adakah itu petanda penerimaan baik masyarakat khasnya golongan pesakit kanser payu dara terhadap penggunaan payu dara palsu?

Berdasarkan pengalaman Mary sebagai seorang jururawat, penggunaan prostesis tidak popular pada zaman lampau berikutan kurangnya pendidikan dan pendedahan kepada signifikan produk tersebut. Namun, senario itu sudah sedikit berbeza hari ini.

"Orang tua-tua biasanya tak nak pakai. Sebabnya, mereka rasa diri sudah tua dan tiada bezanya sama ada pakai atau pun tidak. Pada masa dulu, tiada orang yang beritahu kami tentang prostesis dan sebagai kakitangan kerajaan pun ramai yang tidak tahu tentang hak menuntut prostesis secara percuma.

"Sekarang, pesakit kanser lebih peka dan sedar prostesis ada dijual di BCWA. Ramai pengguna menempah dari luar kawasan Kuala Lumpur," katanya yang menetap di Cheras.

Persepsi bahawa penggunaan prostesis payu dara bukan satu keperluan bagi golongan pesakit kanser warga emas seharusnya diubah. Jika diamati sejarah penciptaan prostesis payu dara sekitar 25 tahun lalu, banyak perubahan kecil dan besar telah disertakan demi memperoleh produk terbaik.

Daripada yang berisi silikon, lateks, air, gliserin sehinggalah serat, semuanya membawa objektif serupa. Ia adalah alternatif untuk mengembalikan 'kewanitaan' seseorang wanita.

Lebih penting, penggunaan prostesis-prostesis itu terbukti membantu aspek kesihatan. Keseimbangan berat yang hilang dalam pembedahan dwi-mastektomi misalnya boleh menyebabkan bahagian bahu pesakit condong ke hadapan jika tidak disokong dengan bantuan protesis.

Pakar Bedah Payu Dara dari Hospital Pantai Kuala Lumpur (HPKL), Dr. Azlina Firzah Abdul Aziz berkata, penggunaan protesis sememangnya digalakkan. Ini kerana prostesis payu dara boleh memberikan keseimbangan kepada bentuk tubuh seseorang wanita, sekali gus meningkatkan tahap keyakinan diri.

"Namun, pesakit harus mendapatkan bantuan staf terlatih untuk menggunakan prostesis payu dara. Jika tidak, ia akan memburukkan lagi keadaan postur dan keseimbangan tubuh," terangnya.
Untuk maklumat lanjut mengenai prostesis payu dara kumpulan The Thimble Thumb, sila hubungi BCWA di talian 03-7954 0133 (Isnin sehingga Jumaat: 9 pagi - 6 petang) atau e-melkan soalan anda ke alamat info@breastcancer.org.my.

UMPAMA kelas jahitan, kumpulan The Thimble Thumb (TTT) menjalankan kerja harian mereka secara berkumpulan kerana masing-masing mempunyai kemahiran tertentu dalam menghasilkan prostesis yang lengkap.

 
SECARA purata, antara 10 hingga 15 buah prostesis boleh dihasilkan setiap hari, bergantung kepada kapasiti tenaga kerja. 

 
  SETIAP langkah pembuatan prostesis dilakukan dengan berhati-hati. 
Oleh YEO LI SHIAN
ls.yeo@kosmo.com.my

Tiada ulasan: