Selasa, 23 April 2013

Borneo Post : Salibasic Pamer Aksi Mantap


Menjadi arkitek dua jaringan Sarawak menerusi Joseph Kalang dan Bobby Gonzales

KUCHING: Lebih 10,000 penyokong dihiburkan dengan aksi lincah ‘ayam tambatan’ baharu Sarawak, Muamer Salibasic yang membantu Sarawak membenam Perlis dengan 2-0 pada saingan Liga Perdana 2013 di Stadium Negeri, di sini malam kelmarin (Sabtu).

Pemain kelahiran Bosnia itu menjadi arkitek kepada dua gol yang dijaringkan oleh Joseph Kalang Tie pada minit ke-12 dan Bobby Gonzales minit ke-37.

Sarawak menguji kubu Perlis seawal minit kelima menerusi Bobby, namun cubaan cantiknya ditampan oleh penjaga gol Perlis, Mohamed Zahid Mohamed.

Muame r mempamerkan belangnya pada minit ke-12 dengan mempe rdaya dua pertahanan Perlis untuk menyelinap masuk ke penjuru kiri sebelum melepaskan bola kepada Azizan Baba.

Penyerang dari Perak itu sempat melorong kepada Joseph untuk disudahkan dengan mudah bagi Sarawak mendahului 1-0 pada babak awal.

Kedudukan Sarawak semakin kukuh pada minit ke-37 setelah Bobby tidak mensia-siakan bola hantaran cantik Muamer dengan tandukan kemas menewaskan Zahid buat kali kedua.

Permainan pada babak kedua seimbang dengan Perlis lebih banyak menguasai perlawanan dalam usaha merapatkan jurang jaringan.

Namun, pada minit ke-68 Joseph mendapat peluang keemasan setelah permainan satu dua dengan Azizan berjaya memperdaya pertahanan Perlis.

Bagaimanapun, sepakannya sekadar menerjah penjaga gol lawan sebelum melantun keluar.

Kemasukan Junior Eldstal bagi menggantikan Muamer pada minit ke-87 tidak membawa sebarang perubahan hingga tamat perlawanan.

Ketua Jurulatih Sarawak , Robert Alberts mengakui kehadiran Muamer telah mengubah corak permainan pasukan Sarawak.

“Beliau (Muamer) telah menunjukkan kualiti sebenarnya pada malam ini dengan kawalan yang cantik dan banyak membantu mencipta peluang kepada rakanrakan sepasukan,” kata Alberts ditemui selepas perlawanan malam kelmarin.

“Ini dapat kita lihat menerusi dua gol yang bermula dari gerakan bijak Muamer. Saya Menjangkakan beliau akan menjadi pemain digeruni selepas ini,” tambah Alberts.

Keputusan kelmarin memastikan Sarawak melebarkan rekod tanpa kalah sekali gus kekal di tangga kedua dengan 31 mata di belakang pendahulu liga, Sime Darby FC dengan 33 mata.

Skuad Ngap Sayot akan meneruskan perjuangan mereka dengan menjadi tetamu Universiti Teknologi Mara (UiTM) di Stadium UiTM, Shah Alam pada Jumaat depan (24 April).
 
Sumber : Borneo Post

Tiada ulasan: