Rabu, 24 April 2013

Red Warriors merah padam

Kuala Lumpur: Wakil negara, Kelantan menerima aib paling besar dalam sejarah penyertaan mereka di pertandingan Piala Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) apabila dibelasah Maziya S&RC dari Maldives 6-1 di Stadium Rasmee Dhandu, semalam.

Daripada keputusan memalukan itu, The Red Warriors perlu bekerja keras bagi memastikan kemenangan mampu dicapai pada aksi terakhir Kumpulan G menentang Ayeyawady United, Selasa depan kerana persaingan tiga pasukan bersama Maziya dan SHB-Da Nang (Vietnam) kembali terbuka untuk cuba merebut dua slot ke pusingan kedua.

Di awal permainan Bojan Hodak seperti tidak ada sebarang tekanan dengan mengambil keputusan merehatkan beberapa pemain utama namun faktor itu tidak pernah merencatkan kemampuan pasukan sebaliknya berjaya mendahului perlawanan seawal minit ke-7 menerusi Haris Safwan Mohd Kamal.

Beraksi 10 pemain

Ketika dilihat bijak mengatur serangan, The Red Warriors kembali tertekan apabila terpaksa beraksi 10 orang pemain selepas Zamri Ramli dilayangkan dua kad kuning dan kesempatan itu pantas disambar Rasheed Ahmed yang meletakkan kedudukan seimbang untuk menamatkan separuh masa pertama berakhir dengan 1-1.

Bagaimanapun, Maziya hanya memerlukan 11 minit untuk mendapatkan gol kedua hasil ledakan Abdulla Asadhulla sebelum Easa Ismail terus menghukum kealpaan Kelantan dengan jaringan ketiga pasukannya pada minit ke-76.

Ketinggalan 3-1 seakan mula melunturkan semangat melawan Kelantan sebaliknya ia memberi tenaga tambahan buat Maziya untuk menambah tiga lagi gol dalam tempoh enam minit menerusi Adhuham Hassan pada minit ke-82 dan m-84 serta Imran Ali (m-86).

Tiada ulasan: