Jumaat, 10 Mei 2013

Kembalilah Tersenyum

Beruntung sungguh menjadi seorang Muslim. Setiap gerak tingkah sentiasa ada pedomannya. Walau perkara yang amat kecil jika dipandang, namun hati tetap senang dengan setiap landasan yang diberikan. Islam agama yang menyentuh keseluruhan kehidupan.

Rukun Iman yang enam sudah kita ketahui dan perlu diyakinkan. Menarik untuk perkara yang keenam iaitu percaya kepada Qada dan Qadar atau dengan kata lain percaya kepada apa yang Allah tentukan.

Hidup memang ada cabaran. Terutamanya kepada orang yang beriman. Pasti akan diuji.

Firman Allah SWT:

"Patutkah manusia menyangka bahawa mereka akan dibiarkan dengan hanya berkata "kami beriman", sedang mereka tidak diuji (dengan sesuatu cubaan)?" [Surah al-Ankabut, Ayat ke-2]  

Ini adalah sunnatullah; ketetapan Allah yang perlu diterima. Walau bagaimanapun, seseorang yang diuji sepatutnya perlu tabah dengan sebarang ujian. Kemiskinan, kekayaan, kesakitan, kehilangan harta benda, kematian dan sebagainya kerana Allah lebih berhak terhadap diri kita. Semua adalah pinjaman.

Yakinlah kita bahawa Allah Maha Mengetahui dan Maha Penyayang. Semestinya Dia tidak akan membebankan hamba-Nya dengan ujian yang tidak mampu dipikul oleh hamba-Nya. Pasti tidak! Tuhan yang Maha Mengetahui tahap keimanan kita dan kesanggupan yang ada pada kita, pasti menguji dengan tahap yang sesuai dengan Iman masing-masing.

Firman Allah:

"Allah tidak membebani seseorang melainkan sesuai dengan kesanggupannya. Ia mendapat pahala (dari kebajikan) yang diusahakannya dan ia mendapat siksa (dari kejahatan) yang dikerjakannya. (Mereka berdoa): "Ya Tuhan kami, janganlah Engkau hukum kami jika kami lupa atau kami tersalah. Ya Tuhan kami, janganlah Engkau bebankan kepada kami beban yang berat sebagaimana Engkau bebankan kepada orang-orang sebelum kami. Ya Tuhan kami, janganlah Engkau pikulkan kepada kami apa yang tidak sanggup kami memikulnya. Beri maaflah kami; ampunilah kami; dan rahmatilah kami. Engkaulah Penolong kami, maka tolonglah kami terhadap kaum yang kafir." [Surah al-Baqarah, Ayat ke-286]

Kembalilah kita tersenyum dan tabah dengan ujian. Memang benar, lidah berbicara petah belum tentu sendi bergerak lincah. Mungkin penulis sedikit kurang untuk indah berbahasa, namun keyakinan penulis tetap pada kalamullah yang tiada setara indahnya bahasa. Bukakanlah selaput kelabu di hati, agar kunang-kunang singgah ke mari, sinar cahaya kan kembali lagi.

Wallahua'lam.

Tiada ulasan: