"Hai orang-orang yang beriman, diwajibkan atas kamu berpuasa sebagaimana diwajibkan atas orang-orang sebelum kamu agar kamu bertakwa." (Surah al-Baqarah, ayat 183)
Bismillaahirrahmaanirrahiim.
Di manakah hamba yang hatinya sentiasa dekat dengan Al-Quran, terikat dengan masjid, menangis pada malam hari sendirian sambil mengharap cinta Ilahi? Di manakah hamba yang sentiasa rindu akan kembali kepada Ilahi, bertemu dengan Kekasih sejati?
Boleh jadi hamba itu sedang hanyut dalam dunia yang begitu mempersonakan, sehingga dia terlupa dan terleka akan tujuan dia diciptakan. Namun, Allah tidak membiarkan hambaNya terus alpa, Dia menganugerahkan Ramadan, sebagai sebuah stesen untuk menyuburkan kembali keimanan. Bulan ini dapat menjadi sarana untuk kita mendekatkan diri kepada Allah, mengawal hawa nafsu, menjauhkan diri dari neraka dan mendekatkan kita ke syurga.
Ramadan adalah sela masa terbaik untuk kita mengukuhkan kedekatan hati kita dengan Al-Quran. Inilah bulan yang dimuliakan dan dipilih Allah untuk Dia menurunkan Al-Quran. Mudah-mudahan kita keluar menjadi orang yang Al-Quran itu hidup di dalam hatinya, dan sentiasa segar dalam lantunan bacaannya, ditambah dengan pembuktian amal yang konkrit.
Ramadan juga menjadi sarana untuk kita mengakrabkan hati dengan masjid dengan adanya solat tarawih, mendirikan malam-malam dengan tahajjud sebelum bersahur dan solat Subuh. Bahkan bulan ini juga dipilih oleh Allah untuk meletakkan padanya Lailatul Qadar. Alasan apakah lagi yang boleh kita berikan sebagai hujah bahawa tiada motivasi untuk beramal daripada Ilahi?
Pun begitu, bukanlah tujuan akhir kita untuk Ramadan, tetapi untuk menghadap Allah. Ramadan adalah sarana yang akan membawa kita ke pengembaraan rohani seorang hamba menuju Tuhan. Kita bukan ingin menjadi orang-orang Ramadhaniyyuun, tetapi kita harus fokus untuk menjadi Rabbaniyyuun. Belum tentu puasa itu dapat melahirkan taqwa, ada orang yang berpuasa tetapi hanya mendapat lapar dan dahaga.
Puasa sepertimanakah yang melahirkan taqwa? Adakah puasa yang dimulai dengan Subuh lewat, tak sempat sahur, dan tidur sepanjang hari? Adakah puasa yang disertai dengan kata-kata cacian yang tidak dihentikan? Atau puasa yang cuma berakhir dengan kekenyangan yang amat sangat ketika berbuka?
Di samping kita refresh kembali persoalan-persoalan feqah dan teknikal tentang ibadah puasa, marilah kita sama-sama refresh kembali tujuan utama puasa, iaitu untuk melahirkan taqwa! Tanya diri kita, adakah puasa kita melahirkan taqwa?
Selamat berpuasa dan selamat meraih taqwa!
Tiada ulasan:
Catat Ulasan