Rabu, 24 Julai 2013

15 Ramadan : Aku dan Selepas Ramadan

Pada hening malam tak berbintang ini
Aku sendiri lagi
Perit kutitiskan dari kelopak redup renungan sepi
Kupaksa sedaya tenaga merembes butir-butir hibanya
Namun sedikit saja ia tumpah pada sejadah lusuh yang ku punya.
Dulu...
Sejadah itu kusemai dengan benih rindu
Menjerit syahdu dalam membelai resah tak berlagu
Meronta pada Tuhanku, minta kekuatan yang kuperlu
Memanggil penuh cinta, mengharap pada Dia yang Esa.
Dulunya...
Butiran airmata derita itu mengalir lebat mencurah duka
Pada sejadah itu juga, aku tenggelam dalam pesona asmara dengan Dia
Asyik aku dalam menyimbah segala dosa mohon penyampunan semuanya
Dalam damai mengecas iman dan taqwa semula.
Ya Rabbi...
Saat ini
Pada noktah masa
Aku kian jauh melangkah menghampiri maung naraka
Seakan aku terlena dalam cerianya musim bunga
Kelam dengan hanya warna hitam pada pejaman mata
Kabur merentasi Ramadhan ini, tanpa indah sinar warnanya.
Dalam menghitung-hitung detik waktu
Sedarlah aku, yang aku sekadar berlapar dahaga semampu-mampu
Sedarlah aku, cuma rutin makanku yang berbeza pada sahur dan iftarku, tak seperti selalu
Sedarlah aku, terawih ku hanya pergerakan bangun duduk menanti 2-3 jam berlalu
Sedarlah aku, bacaan quranku bertambah beberapa helai sahaja berbanding dulu
Sedarlah aku, qiamku sudah tak semanis dahulu.
Aku dan Ramadanku
Masih begitu
Masih kaku tanpa berubah pun sesuatu
Masih lesu dalam larian mencapai syurga yang jauh berbatu.
Namun, peluang masih terbuka
Kita masih miliki masa
Masih berbekal usaha
Cuma perlu lebih keras dalam memerah usia
Perahlah ia sekuat kudrat yang ada..
Kini
Walau Ramadan telah pergi
Akan ku bina semula iman dan ibadah
Akan ku raih nilai Taqwa
Akan ku bangunkan semangat Ramadan yang hilang
Sekalipun pada bulan-bulan yang mendatang.
Aku dan Ramadan
Semangatnya akan ku tanam
Biar hati itu terus subur dengan iman
Bercahaya sinarnya tanpa suram!

Tiada ulasan: