Rabu, 3 Julai 2013

LionXII Juara Liga Super

Singapura: Trofi Liga Super akhirnya menyeberangi Tambak Johor buat pertama kali selepas LionsXII berjaya mencipta kemenangan besar 4-0 ke atas FELDA United dalam aksi di Stadium Jalan Besar, malam tadi.

Ribuan penyokong LionsXII yang memenuhi ruang tempat duduk serta kehadiran Perdana Menteri Singapura Lee Hsien Loong menyuntik semangat barisan pemain V Sundramoorthy yang mahu mengotakan janji untuk memastikan kemenangan memihak kepada pasukan tuan rumah.

Sundramoorthy berkata, kejayaan menjulang trofi Liga Super itu begitu bermakna selepas mereka terpaksa mengharungi saingan liga yang begitu sengit selain mempertaruhkan kudrat pemain bawah 23 tahun berbanding pasukan dari Malaysia yang mempunyai ramai pemain profesional.

“Apapun persiapan selepas ini adalah untuk Piala Malaysia kerana kita mahukan kejuaraan berganda. Namun semuanya bergantung kepada undian peringkat kumpulan yang saya harap akan memihak kepada kami kerana pernah memegang status selaku pasukan pernah layak ke separuh akhir,” katanya selepas perlawanan itu.

Foto

PEMAIN LionsXII meraikan kejayaan menjuarai Liga Super.

Dalam aksi malam tadi, serangan bertali arus dijelmakan LionsXII sebagai saja wisel permulaan dalam usaha mereka mencari gol awal sehingga memaksa anak didik Azuan Zain ‘berkampung’ di kawasan sendiri bagi mengelak gawang dibolosi namun tuan rumah hampir menyentap semangat FELDA United menerusi percubaan Fazrul Nawaz seawal minit keenam tapi sedikit tersasar.

Tiada ulasan: