Jumaat, 6 Julai 2012

10 Petua Membina Sikap Positif

Petua 1 : Jangkakan Kejayaan

Hukum minda mengatakan apa yang dijangkakan berkemungkinan besar akan berlaku. Oleh itu, daripada membuang masa menjangkakan kegagalan kenapa tidak jangkakan kejayaan. Sekiranya anda jangkakan kejayaan, fokus anda pastinya hanya kepada cara untuk berjaya. Anda gambarkan hanya nikmat dan erti sebuah kejayaan, maka secara tidak langsung anda akan menggarap sikap positif. Malangnya dalam kehidupan ini kita sering takutkan kegagalan. Cara fikir kita menjurus ke arah itu. Oleh itu yang tergambar dipemikiran kita hanyalah halangan dan rintangan serta kepayahan. Dalam memburu kejayaan anda tidak boleh putus harapan. HARAPAN adalah satu anugerah yang cukup besar Allah berikan kepada manusia.

Manusia biasanya membangun ketahap yang mereka jangkakan atau yang orang lain jangkakan terhadap mereka. Oleh itu jangkakan kejayaan dalam setiap usaha yang anda lakukan. Kalau anda perlu ubah perancangan untuk mencapai sasaran, maka ubahlah. Pastikan juga anda bertindakbalas secara positif terhadap perkara-perkara yang mungkin membantutkan kejayaan tersebut. Lihat diri anda sebagai seseorang yang pasti merealisasikan harapan yang digenggam. 

Apabila kita rasakan yang kita tidak punya masa depan, tiada harapan untuk maju, tiada peluang untuk meningkatkan keupayaan maka ia akan menjurus kita kepada satu sikap negatif iaitu sikap malas.

Petua 2 : Lakunkan Watak Orang Cemerlang

Tidak dapat dinafikan setiap manusia mempunyai kelemahan dan kekuatannya tersendiri. Sebab itulah untuk berjaya kita mesti mempunyai model ikutan (role model) yang boleh ditauladani.
Cuba lihat senario berikut, katakanlah anda sebagai seorang pelajar, telah dipilih untuk berlakun dalam sebuah filem tempatan. Kisahnya berkisar kehidupan pelajar-pelajar sekolah dan anda telah dipilih sebagai pelakun utama. Bayarannya cukup lumayan iaitu RM10,000 dan nama anda juga akan dikenali ramai setelah filem ini ditayangkan. Anda dikehendaki melakunkan watak pelajar cemerlang. Syarat untuk anda kekal sebagai pelakun cuma dua iaitu, yang pertama anda mestilah menjaga disiplin dan masa anda. Maknanya, apabila pergambaran bermula jam 5 petang maka anda mesti berada dilokasi sebelum masa tersebut. Yang keduanya pula, anda mesti menghayati watak pelajar cemerlang sepenuhnya. Sekiranya pengarah tidak berpuas hati dengan anda, dia akan gugurkan nama anda dari senarai pelakun pada bila-bila masa. Pengarah tidak risau sebab anda pelakun baru, satu ditolak berpuluh akan memohon untuk berlakun.


Kalau anda berada dalam situasi di atas, apa tindakan anda? Saya yakin anda akan mula meneliti dan memahami plot filem tersebut bersungguh-sungguh. Anda mula menghafal skrip yang diberikan ayat demi ayat biarpun ketebalannya mencecah ratusan muka surat. Anda akan mula menjiwai dan menghayati watak pelajar cemerlang yang diberikan kepada anda. Anda akan tiru gaya, percakapan dan cara hidup mereka. Pendek kata anda mahu penonton lihat betapa realistiknya lakunan anda. Anda mahu dikenali selepas usaha anda ini. Anda mahukan ganjaran wang RM10,000 yang dijanjikan kepada anda.

Tidakkah anda terfikir betapa beruntungnya kalau anda lakunkan perkara yang serupa setiap hari dalam hidup anda. Kenapa mesti anda bersungguh-sungguh dalam lakunan filem? Tidakkah anda sedar bahawa kita semuanya pelakun di pentas dunia atau di pentas kehidupan. Kenapa tidak lakunkan watak orang cemerlang itu hari ini. Anggapkan seolah-olah anda berhadapan dengan kamera. Kalau anda seorang pelajar, maka bertindaklah seperti pelajar cemerlang di sekolah anda sekarang! Sekiranya anda seorang pekerja, bertindaklah seolah-olah anda pekerja cemerlang sekarang! Mula mengurus masa secara berkesan, menglibatkan diri secara aktif, berperibadi mulia seolah-olah anda sememangnya cemerlang. Lakukannya setiap hari dan hasilnya nanti anda akan perolehi apa yang diperolehi oleh pelajar cemerlang lainnya. Lebih malang lagi kalau anda tidak mahu menjadi pelakun itu hari ini maka Allah akan pilih orang lain untuk menggantikan tempat anda. Orang lainlah nanti yang akan berjaya. Mereka akan jadi pemimpin, jurutera, ulamak, peguam dan sebagainya. Orang lain yang akan dikenali dan nama mereka disebut-sebut sebagai orang yang membawa perubahan dalam masyarakat. Orang lain yang akan memperolehi pendapatan bukan sekadar RM10,000 tetapi mungkin lebih tiap-tiap bulan.

Anda tidak punya pilihan lain. Untuk berjaya anda mesti mula berlakun hari ini. Hayati watak orang cemerlang. Berfikirlah, bercakaplah dan bertindaklah seperti mereka yang cemerlang. Lama kelamaan tabiat cemerlang akan sebati dengan kehidupan harian anda. Ia akan menjadi sikap baru anda. Anda akan dapati mereka disekeliling anda menyedari yang anda kini bersikap positif. Setiap kebaikan yang bakal anda perolehi hasil lakunan positif anda ini membuatkan anda tidak mahu lagi kembali kepada sikap negatif anda sebelum ini. Anda mula memikirkan untuk hidup dalam kelompok dan persekitaran baru. Apa anda tunggu lagi? Lakunkanlah watak orang cemerlang itu sekarang dengan memerhatikan model ikutan anda.

Petua 3 : Ubah Penampilan Diri

Sikap positif terserlah melalui penampilan diri yang positif. Kita mudah mengenali mereka yang bersikap positif melalui percakapannya, pakaiannya, rambutnya, kasutnya, gayanya dan sebagainya. tetapi kita lupa, sebenarnya kita mampu melakukan sebaliknya iaitu membina sikap positif melalui penampilan yang positif. Ambil contoh yang paling mudah, anda telah dijemput ke satu majlis pelancaran oleh seorang rakan. Anda mengenakan baju biasa sahaja dengan berbaju kemeja lengan pendek dan berseluar kasual. Sampai sahaja di sana, anda lihat hampir kesemua mereka yang hadir lengkap berbaju batik atau berkot dan bertali leher. Apa perasaan anda? Saya yakin walau bagaimana positif pun sikap anda, anda pasti rasa bersalah dan rendah diri. Berbeza pula bentuk perasaan anda sekiranya anda hadir dengan pakaian yang rapi, segak, kemas dan bergaya. Anda pasti rasa penuh yakin dan positif. Begitulah besarnya pengaruh penampilan diri dalam membentuk sikap positif dan emosi anda. Cuba fikirkan sejenak bagaimana perasaan anda apabila anda mengenakan baju baru ke pejabat. Anda rasa lebih bersemangat dan yakin. 
Kemas, bersih dan rapi tidak semestinya berjenama. Tidak salah mempunyai pakaian dan aksesori yang berjenama sekiranya anda mampu tetapi ia bukannya suatu kemestian. Jangan pula seperti kata pepatah 'biar papa asal bergaya'. Anda perlu ingat bahawa pelaburan yang telah anda buat dalam membentuk penampilan diri atau imej yang positif mestilah membawa pulangan yang setimpal atau berbaloi. Kalau anda melaburkan wang ringgit untuk membentuk imej diri semata-mata untuk bergaya dan menunjuk-nunjuk, maka pelaburan itu merugikan anda. Pelaburan yang dibuat mestilah mampu menjadikan anda lebih positif dan produktif. Sebab itu ramai jurujual profesional mempunyai penampilan diri yang positif. Mereka dilatih untuk berkeadaan sedemikian. Mereka meraih keuntungan dan pendapatan dengan mempunyai penampilan positif. Mereka mempengaruhi pelanggan dengan penampilan diri begitu.


Beberapa perkara yang mesti diperhatikan dalam membentuk penampilan diri:

Potongan rambut - Potongan yang sesuai dengan peranan, kemas dan menarik.
Pilihan warna dan corak - Pilihan warna yang kena pada tempat dan masa serta 'matching'.
Jenis pakaian - Sama ada batik, kasual, sukan, kot dan sebagainya.
Kemas dan rapi - Sentiasa digosok rapi.
Kasut - Kasut yang sesuai dengan tujuan kehadiran kita di satu-satu tempat.
Aksesori - Jam tangan, beg, gelang dan rantai (bagi wanita), haruman dan lain-lain.
Jenama - Bukan perkara utama tetapi digalakkan bagi yang mampu.
Kesihatan diri - Keceriaan wajah, kelihatan sihat, kuku, kulit dan sebagainya.
Gaya - Cara berjalan, bercakap, ketawa dan mimik muka.
Senyum - Rahsia utama penampilan diri ialah senyuman yang terukir.
Tuntutan penampilan diri ini berbeza-beza mengikut kedudukan anda dalam masyarakat dan karier yang anda ceburi. 
Walau siapa anda, sama ada sedar atau tidak anda tetap dinilai oleh manusia lain melalui penampilan diri. Sebab itu permohonan untuk ke satu-satu pekerjaan perlu melalui proses temuduga. Mereka mahu melihat calon-calon secara terus bukan sekadar untuk menguji kebijaksanaan seseorang pemohon tetapi juga untuk melihat penampilan diri yang melambangkan sikap dan peribadi seseorang. Penampilan diri positif perlu dipatuhi oleh semua golongan masyarakat termasuk pelajar, ibu bapa, pekerja, eksekutif, pemimpin dan sebagainya.

Petua 4 : Berkawan Dengan Orang Berjaya

Rasulullah s.a.w sendiri pernah bersabda, "kalau mahu kenal seseorang itu maka kenallah kawan-kawannya". Oleh itu sekiranya anda memilih kawan yang positif, bergaul dengan mereka yang berjaya, banyak berbincang tentang apa yang mahu dicapai dimasa hadapan; pastinya ia akan mempengaruhi pemikiran dan tindakan harian anda. Pastinya anda turut terdorong untuk mencapai kejayaan dalam hidup anda pula. Mereka yang gagal hanya akan mampu menceritakan kisah-kisah kegagalan mereka sedang mereka yang berjaya pula akan menceritakan kisah-kisah kejayaan mereka. 
Untuk berjaya anda perlu berkawan dengan mereka yang telah berjaya. Belajar dari pengalaman dan pengetahuan mereka. Belajar tentang cara mereka membentuk personaliti dikalangan masyarakat. Orang yang berjaya selalunya mempunyai personaliti dan karisma yang mengkagumkan. Personaliti dan karisma ini bukannya semula jadi sebaliknya mereka berusaha membinanya. Kalau mereka boleh, anda juga boleh melakukannya.

Petua 5 : Dalami Ilmu Kecemerlangan

Semangat ada ketikanya naik dan ada ketikanya luntur. Ada ketikanya kita terlupa tentang matlamat yang dikejar disebabkan oleh pelbagai urusan dan aktiviti lain. Ada ketikanya juga diri terasa malas dan bosan. Semuanya ini adalah lumrah hidup seorang manusia. Untuk mengekalkan semangat dan membina sikap positif maka anda perlulah sentiasa mendalami ilmu kecemerlangan diri. Anda boleh mendalaminya dengan banyak membaca buku-buku motivasi, berbincang dengan rakan-rakan tentang perancangan anda, menghadiri program dan ceramah motivasi. Anda juga perlu mendengar kaset-kaset motivasi dan mendapatkan bahan-bahan daripada internet. Semakin bertambahnya ilmu kecemerlangan diri didada maka semakin positif dan matang fikiran anda.

Petua 6 : Fokus Kepada Apa Yang Anda Mahukan

Anda sering mendengar bahawa sikap positif lahir dari pemikiran yang positif. Namun begitu fahamkah anda apa yang dikatakan fikir positif itu? Dalam hidup kita, kita hanya akan bertindak dan berusaha mengejar apa yang ada dalam fikiran kita. Iaitu apa yang terlintas, ternampak dan tergambar di fikiran. 

Sebagai contoh mari kita lakukan aktiviti yang cukup mudah. Keluarkan sehelai kertas sekarang dan lakarkan suasana di sebuah pantai yang indah permai. Ambillah masa lebih kurang 5 minit untuk anda menyiapkan lukisan ini. Jangan pedulikan sama ada lakaran itu cantik atau tidak, lakarkan sahaja apa yang tergambar di fikiran anda tentang suasana di pantai.

Baik sekarang saya tanya anda, ada atau tidak lakaran kapalterbang di dalam lukisan itu? Ada atau tidak jeti dari tepi pantai sampai ke tengah laut? Ada atau tidak budak menjual air? Kalau tiada maka kenapa begitu? Jawapannya sebab anda tidak terfikir tentangnya. Atau lebih tepat lagi anda tidak langsung tergambar tentangnya. Oleh itu bolehlah dibuat kesimpulan bahawa kalau kita tidak tergambar akan sesuatu maka kita tidak mungkin dapat menghasilkannya. 

Begitulah dari aspek kecemerlangan diri, untuk anda menjadi orang berjaya anda mesti gambarkan diri anda seorang yang berjaya. Anda mesti mampu melihat apa yang mahu dilakukan mulai hari ini untuk menjadi orang berjaya.

Fikirkan pula, positifkah anda apabila anda berkata:

- Mulai hari ini aku tidak malas lagi.
- Mulai hari ini aku tidak mahu tinggal solat lagi.
- Aku tidak mahu main-main dalam kelas lagi.
- Aku tidak mahu lawan cakap ibu bapa lagi.

Positifkah anda? Jawapannya ialah tidak! Hasrat anda memang baik tetapi fikiran anda negatif sebab anda fokus kepada apa yang anda tidak mahu. Anda tergambar bagaimana anda main-main dalam pekerjaan. Anda terbayang bagaimana anda melawan cakap ibu bapa, ketua dan sebagainya. Kalaulah ini yang tergambar maka inilah juga yang akan terhasil! Anda menghasilkan sesuatu yang negatif sedangkan hasrat anda baik.

Oleh sebab itu anda perlu ubah gambaran minda anda kepada gambaran yang positif dengan mengubah ucapan anda seperti berikut:

- Mulai hari ini aku seorang yang rajin.
- Mulai hari ini aku solat lima waktu.
- Aku akan tumpu pada guru dalam kelas.
- Aku ikut cakap ibu bapa.

Lihat, kata-kata di atas membawa maksud yang sama tetapi dari sudut yang positif. Maka yang tergambar juga adalah gambaran yang positif. Kalau yang positif anda nampak maka positiflah juga tindakannya nanti. Memanglah anda mungkin tidak berubah dengan hanya sekali, dua kali atau sepuluh kali berkata-kata secara positif. Tetapi kalau setiap hari dan beratus-ratus kali anda amalkan dalam hidup anda maka satu hari nanti tanpa anda sedari anda menjadi orang yang positif. Oleh itu ingatlah… fokus kepada apa yang anda mahukan!

Petua 7 : Kejayaan Silam Membarai Diri

Dalam hidup kita ini pasti ada sekali dua kita mencipta kejayaan sama ada kecil atau besar. Waktu kecil dulu mungkin kita pernah tewaskan rakan-rakan dalam suatu permainan dan kita berbangga dengannya. Mungkin juga kita pernah dulunya dipuji atas pencapaiaan, kualiti kerja atau kerajinan kita. Mungkin kita pernah menerima anugerah sebagai pemenang dalam apa jua pertandingan. Mulai hari ini cuba ingatkan kembali sebanyak mungkin kenangan manis ini dan senaraikan dalam diari anda. Setiap kali anda rasa tertekan, negatif, malas, bosan dan sebagainya maka bacalah diari anda ini dan hayati semula saat-saat tersebut. Gambarkan dengan jelas apa yang berlaku ketika itu. Rasakan apa yang anda rasakan ketika itu. Semangat anda akan membara sekiranya anda lakukannya bersungguh-sungguh. Semangat untuk kekal cemerlang ini akan menjana sikap yang positif.

Tidak kira betapa gagalnya anda rasa hidup ini namun pasti pernah sekurang-kuangnya sekali anda pernah dipuji atas kebaikan dan kejayaan silam.

Lakukan perkara berikut, sediakan satu buku kecil dan senaraikan semua kejayaan anda sejak dari dahulu hingga ke hari ini, sama ada kecil atau besar. Kemudian baca dan hayati apa yang anda tulis itu satu persatu, gambarkan keadaan ketika itu, rasakan perasaan anda ketika itu dan dengar apa yang anda dengar ketika itu. Lakukannya dengan penuh kesungguhan dan rasakan satu getaran perasaan yang positif yang mengalir dalam setiap urat nadi anda. Sentiasa kemas kini buku kecil anda ini dengan kejayaan-kejayaan baru. Ia adalah sumber tenaga dan kekuatan anda.

Anda mungkin tidak mengingati kesemuanya, tidak mengapa, ambil masa anda. Anda boleh tambah senarai kejayaan anda pada bila-bila masa sahaja.

Satu tabiat yang baik, mulai hari ini rakamkan setiap peristiwa penting dalam hidup anda sama ada melalui gambar atau rakaman video. 

Setiap kali anda rasa tertekan, anda rasa tidak dihargai, anda rasa putus asa – lihat kembali buku kecil dan rakaman anda ini.


Petua 8 : Saranan Diri Positif

Untuk kekal dalam sikap positif anda perlu saran diri anda dengan katajaya yang merangsang jiwa dan fikiran. Anda juga boleh gunakan petikan mutiara kata daripada ahli ilmu, petikan al-quran serta hadith. Dengan melazimkan hidup anda berpandukan katajaya dan petikan-petikan ini maka ia memberi anda kekuatan untuk menyahut cabaran dan mengatasi segala masalah.

Anda juga boleh cipta sendiri katajaya itu, misalnya:

“Kalau orang lain boleh.. Aku juga BOLEH!”
“Setiap kata-kata pasti akan dikota!”
“I’m the best!”
“I can do it!”

Jadikan kata-kata ini sebagai sebahagian dari hidup anda. Saran diri anda setiap hari dengan kata-kata ini hingga ia lazim dalam minda anda.

Petua 9 : Soal Diri Dengan Soalan Positif

Dalam sehari anda menyoal beribu-ribu soalan kepada diri anda, daripada soalan yang mudah-mudah hinggalah kepada soalan-soalan yang membentuk masa depan anda. Anda mungkin bertanya soalan-soalan mudah seperti hari ini nak pakai baju apa? Nak makan di mana? Nak keluar denagn siapa? Nak balik pukul berapa? Dan sebagainya. Soalan-soalan ini tidak menjejaskan kehidupan dan peribadi anda. Tetapi ada ketikanya anda menyoal diri dengan soalan-soalan yang boleh memberikan kesan terhadap hidup anda seperti, Nak ambil kursus apa? Nak belajar lama mana? Nak rebut peluang atau tidak? Dan sebagainya.

Orang berjaya menyoal diri dengan soalan-soalan yang boleh memajukan dirinya seperti:

- Apa hikmah disebalik ujian Allah ini?
- Apa lagi yang boleh aku buat untuk jadi lebih baik?
- Apa yang belum aku selesaikan lagi?
- Apakah setakat ini sahaja kemampuan diri yang dianugerahkan oleh Allah kepada aku?
- Apakah aku mahu menyerah hanya dengan kegagalan sementara ini?

Semua soalan ini menjadikan anda lebih positif terhadap apa yang berlaku. Soalan yang diajukan akan membina kekuatan dalaman anda. Semakin berkualiti soalan yang dibentuk semakin berkualitilah diri anda.

Perbezaan antara seorang insan dengan insan yang lain ialah soalan lazim yang secara konsisten terbit difikiran. Manusia lemah sering mengutuk dan memperkecilkan dirinya sendiri. Mereka mungkin berkata:

- Nak buat macam mana aku ni lemah.
- Engkau lain aku lain.
- Engkau bolehlah aku ni siapa.
- Dah memang nasib aku begini, terima ajer lah..
- Buat berkali-kali pun gagal juga baik tak payah..
- Dah tahu diri tu bodoh buat apa tunjuk pandai.

Soalan yang positif akan:
- Megubah persepsi dan cara fikir kita
- Mengubah fokus kita
- Memberikan sumber kekuatan baru kepada kita

Petua 10 : Dapatkan Model Ikutan

Model ikutan adalah seseorang yang anda kagum dengan pencapaiannya dan mahu mengikuti jejak langkahnya. Dapatkan beberapa model ikutan terutamanya mereka yang telah berjaya dalam bidang yang anda mahu ceburi. 

Namun begitu sebagai orang Islam, model ikutan kita yang pertama pastilah Nabi Muhammad S.A.W. 

Selain daripada Nabi s.a.w yang lain semuanya ada kelemahan. Malahan kita tidak boleh nafikan bahawa ulamak juga ada kelemahan sebab itu pendapat ulamak secara ijmak lebih diterima pakai dalam Islam berbanding pendapat hanya seorang ulamak sahaja. 

Setelah anda kenal pasti model ikutan anda, cuba dapatkan gambar mereka. Baca juga kisah hidup mereka. Pelajari bagaimana mereka merancang dan bertindak. Cari potongan kata-kata ucapan mereka yang boleh dijadikan panduan hidup. Selami falsafah hidup mereka dan lihat bagaimana mereka mengatasi setiap masalah yang datang dalam hidupnya. Sebab semakin besar kejayaan seseorang itu maka semakin besarlah cabaran serta masalah yang telah mereka hadapi. Kejayaan dan pengorbanan adalah dua perkara yang sering berada ditempat yang sama. Kejayaan bukanlah apa yang kita miliki tetapi apa yang kita pelajari. Siapa kita dipenghujung kehidupan ini jauh lebih penting berbanding apa yang kita perolehi ketika itu.

Khamis, 5 Julai 2012

7 Ciri Orang Yang Berjaya


1. Semakin Tercabar, Semakin Kuat
Seseorang yang positif berperibadi kuat seumpama besi waja; semakin dibakar oleh keadaan, semakin menghadapi cabaran hidup, semakin teguh melayari kehidupan. Seseorang yang berperibadi lemah, laksana timah atau lilin; apabila terkena api, hancur lebur. Apabila terketuk oleh cabaran, berkecai!

Dr. Mahathir Mohamad banyak memberi contoh yang cemerlang kepada kita semua. Lagi banyak masalah yang dihadapi, lagi bertambah kuat beliau. Seperti gam "exhaust pipe", semakin kepanasan, semakin keras mencengkam! Orang lain sudah habis dan gawat idea, beliau keluar pula dengan idea yang mengejutkan! 

2. Melihat Peluang Dalam Kegawatan
Orang yang negatif melihat kegawatan sebagai penghalang kemajuan. Tetapi, orang yang positif dapat melihat peluang keemasan dalam kegawatan!
Kisah hidup Onassis amat menarik perhatian saya. Aristotle Onassis, seorang jutawan Greek di Argentina, asalnya adalah seorang budak miskin. Ia pindah ke Argentina dari Greek untuk membina satu penghidupan baru di sana. Umurnya waktu itu hanya 17 tahun.

Lepas Perang Dunia Kedua, dunia menghadapi kemelesetan ekonomi yang sangat teruk; banyak syarikat muflis; ramai orang yang jadi miskin dan papa, malah, ramai juga orang yang hilang harapan. Tetapi, Onassis tidak membiarkan dirinya menjadi gagal. Ia tekad mencari peluang dalam kekemelutan itu. Beliau telah nampak suatu peluang. Onassis sedar yang tentera-tentera Amerika Syarikat sedang menghadapi masalah kelebihan kapal perang; kapal-kapal tidak lagi digunakan untuk berperang. Dia telah membeli kapal-kapal kecil tentera Amerika Syarikat itu dengan harga yang murah. Setelah membuat sedikit-sedikit pindaan, kapal-kapal tersebut sudah boleh digunakan bagi mengangkut barang-barang dagangan.

Onassis yang positif telah dapat melihat peluang dalam kegawatan, manakala, orang lain yang negatif lebih melihat halangan-halangan dalam kegawatan.

3. Sentiasa Berusaha Bersungguh-sungguh
Seseorang yang positif berpegang kepada falsafah: kalau tidak dipecahkan ruyung manakan dapat sagunya. Fokusnya ialah untuk mencapai kejayaan; mencapai matlamat yang telah ditetapkannya dengan penuh kesungguhan dan keberanian.

Sesuai dengan kata-kata nasihat Paul Getty, seorang bilionaire Amerika bahawa untuk mencapai kejayaan dalam perniagaan, seseorang itu hendaklah membuat dua perkara ini:

Pertama: TETAPKAN SATU MATLAMAT BESAR 
Kedua: MENCAPAINYA DENGAN PENUH KEBERANIAN! - Penjelasan

4. Tidak Menyalahkan Keadaan
Seseorang yang positif tidak mengeluh atau mengecam bila ditimpa musibah atau terdapat kekurangan pada dirinya. Sebaliknya ia menggunakan kekurangan-kekurangannya itu untuk kebaikan kepada dirinya serta orang lain.

Napoleon yang kecil dan rendah iaitu 5 kaki 1 inci sahaja, selalu dipermain-mainkan oleh rakan-rakannya di Maktab Tentera tempat ia belajar. Tambahan pula, Napoleon ialah seseorang yang berasal dari Pulau Corsica, pulau yang dipandang tidak begitu penting oleh orang-orang Perancis.

Kerana itu, Napoleon telah berazam untuk menunjukkan / membuktikan kepada rakan-rakannya yang selalu mengejek-ejeknya itu bahawa ia lebih baik daripada mereka. Ia telah belajar ilmu ketenteraan dengan bersungguh-sungguh. Akhirnya, beliau telah menjadi Maharaja Perancis - menakluki tiga suku Benua Eropah.

Kekurangannya serta ejekan-ejekan dari rakan-rakannya itulah yang mendorongnya menjadi panglima terkenal.

5. Mendengar Dahulu Pendapat Orang Lain
Orang-orang yang positif tidak mengenepikan kecaman-kecaman musuhnya misalnya dengan terus mengatakan orang itu salah. Tetapi, ia akan mendengar kecaman-kecaman tadi dan memikirkan betulkah ia salah atau tidak. Perlu diingat, bahawa, bila orang mengecam, tentulah ada sebab-sebabnya. Kadang-kadang daripada kecaman orang lain, kita boleh dapat petunjuk untuk membaiki diri dan kerja kita.

Presiden Abraham Lincoln pernah dikecam oleh Menteri Pertahanannya, Edward Stanton. Ia telah digelar oleh Stanton sebagai seorang dungu. Adakah Lincoln marah dan memecat Menteri Pertahanan itu? Tidak! Sebaliknya, ia telah bertanya kepada Stanton mengapa ia berkata demikian? Stanton telah menerangkan bahawa langkah Lincoln memindahkan beberapa batalion tentera ke suatu tempat itu hanya akan merugikan kerajaan Amerika Syarikat. Presiden Lincoln yakin terhadap penjelasan Stanton itu, lalu menarik balik rancangannya tadi.

Sebaliknya, pemimpin-pemimpin yang tidak mengindahkan kecaman orang bahawa dasar pentadbiran dan ekonominya tidak dapat membawa keadilan sosial kepada rakyatnya, akhirnya, terpaksa meletakkan jawatan atau kalah di piliharaya dalam keadaan yang mengaibkan, malah ada juga yang akhirnya dibunuh oleh rakyatnya sendiri!!!

Inilah yang perlu diberi perhatian oleh pemimpin-pemimpin termasuk di negara kita. Mereka bukan sahaja perlu mendengar dengan telinga tetapi juga dengan mata, hati, dan minda terhadap setiap rintihan rakyat (pengundi) sama ada yang tersurat atau tersirat. Jika ini dapat diamalkan, insya-Allah, rakyat akan merasa sentiasa terbela dan terus memberi sokongan. Jika tidak, rakyat boleh bertindak balas! Rakyat adalah pelanggan yang MESTI diberi layanan yang adil, cemerlang serta kepuasan oleh pemimpin-pemimpin (wakil rakyat-wakil rakyat).

6. Sentiasa Mencari Jalan Memperbaiki Diri
Orang yang positif sedar bahawa apa yang dilihat sebagai terbaik pada hari ini mungkin hanya dinilai sebagai sederhana saja sepuluh tahun akan datang. Oleh kerana itu, orang yang positif tidak henti-henti mencari jalan untuk membaiki kehidupannya / rakyatnya.

Peter Drucker, seorang profesor ilmu pengurusan Amerika Syarikat ada berkata: "Pengurus yang berjaya sentiasa bertanya kepada dirinya apakah yang boleh ia buat, bukan apa yang orang lain patut buat untuk dia."

7. Sentiasa Bangun Apabila Terjatuh
Orang yang positif tidak gemar dengan sikap suka berputus asa.

Orang yang positif memandang sesuatu kegagalan itu pada sudut positif. Mereka memandang kegagalan sebagai guru terbaik dalam konteks mencapai kejayaan.

Oleh kerana itu, orang-orang yang positif walau betapa teruk pun mereka jatuh akan terus berusaha untuk bangun semula serta berusaha mengukir kejayaan yang lebih besar daripada sebelum mereka mengalami kegagalan / kejatuhan.

Oleh itu, janganlah sekali-kali berputus asa. Sikap berputus asa adalah amalan syaitan. Allah mencintai makhluk-makhlukNya yang positif dan cekal serta sentiasa memohon keredaanNya. Insya-Allah.

Isnin, 2 Julai 2012

Siapa Kita Tanpa Allah?

Sebenarnya dalam hidup ini apa yang kita cari? Ada yang menjawab harta, wang ringgit, kebahagiaan, keluarga yang bahagia, kawan yang ramai dan sebagainya. Namun, walaupun semuanya ada digenggaman, ada kalanya kita merasa resah. Walau acap kali kita merasa terlalu bahagia seperti dunia ini kita yang punya kerana, rasa gelisah tetap juga mengusik jiwa... Tidak tahu apa puncanya...

Kenapa ada waktu kita resah dan ada waktu pula kita merasa bahagia?

Cuba sahabat-sahabat meletakkan tangan ke dada dan rasa degupan jantung anda serta sebutlah astaghfirullahal 'Azim dengan rendah hati.... Apa yang sahabat rasa? Seakan wujud satu rasa keinsafan dan kesedihan bukan? Sedih itu bukan bererti kita sedih meratapi tetapi sebenarnya ketenangan yang abadi hinggap di hati apabila kita mengingati Allah.

Cuba sahabat-sahabat tunduk, merasakan diri ini lemah di hadapan Allah. Mata yang melihat ini anugerah Allah, tangan yang bergerak ini kepunyaan Allah, kaki yang berjalan ini milik Allah... Apa yang sahabat rasa? Pastinya timbul rasa kerendahan hati di hadapan Allah bukan? Dan tidak semena-mena perasaan resah gelisah yang tidak tahu puncanya itu hilang sedikit demi sedikit...

Pada waktu kita merasakan terlalu sedih, hina dan tidak berdaya, kita cuba menyebut astaghfirullahal 'Azim... Mengenang kembali dosa-dosa yang terdahulu seterusnya memohon ampun kepada Allah dengan bersungguh-sungguh. Adakalanya kita merasakan diri kita bebas dari dosa. Sepanjang hidup kita tidak pernah melakukan dosa.

Apakah maksud perasaan itu? Ia bermaksud kita sombong di hadapan Allah. Kita merasakan diri kita sudah terlepas dari azab seksa atas usaha kita sendiri bukan atas belas ehsan dari Allah SWT.

Ingatkah sahabat pada kisah seorang ahli ibadah ketika dia ingin dimasukkan ke dalam syurga? Dia bertanya kepada Allah.

"Mengapakah aku dimasukkan ke syurga?"

Lantas Allah menjawab, "Kerana rahmatKU engkau masuk ke syurga"

Lelaki itu membalas,  "Tidak, aku mahu masuk ke syurga kerana ibadahku yang banyak ini".

Lalu Allah lemparkannya ke neraka kerana kesombongannya di hadapan Allah.

Seketika kita berasa diri kita kosong, tanpa ada sebab yang kukuh. Sehingga kita tertanya-tanya apa sebenarnya yang kita telah lakukan sebentar tadi sehingga kita terasa sebegitu kosong. Ini kerana kita belum temui lagi kebahagiaan dan ketenangan yang sebenar. Kita lupa apa tujuan kita hidup iaitu untuk beribadah kepada Allah.

Apa sahaja yang kita rasa samada bahagia atau sengsara, kuncinya adalah dengan kembali kepada Allah. Akhirnya kita akan temui apa yang kita cari selama ini apabaila hati diikat pada tali Allah. Kita memerlukan Allah dalam hidup kita sedangkan Allah tidak memerlukan sesiapa...

Siapa kita tanpa tuhan yang mencipta... Di mana kita layaknya jika Allah tiada di hati?

Sumber : iluvislam

Khamis, 28 Jun 2012

10 Penyebab Utama Bisnes Gagal

1. Tiada Perancangan
Banyak peniaga tidak merancang apa yang diperlukan dan bagaimana cara untuk menjalankan perniagaan untuk satu jangka masa yang panjang.  Tidak melihat dengan jelas kemana anda mahu pergi akan menyebabkan, anda tidak tahu mana nak pergi. Anda tidak boleh mencapai sasaran dalam sukan memanah, bila tidak ada sasaran. :)

2. Aliran kewangan yang buruk
Aliran kewangan yang tidak terjaga akan menyebabkan bisnes gagal. Wang masuk mestilah melebihi perbelanjaan dan kos kos lain. Jangan asyik berbelanja membeli kamera dan lensa tetapi wang pendapatan tidak sebanyak mana.

3. Tiada modal
Terlalu banyak peniaga kecil tidak mempunyai modal yang cukup untuk  menjalankan perniagaan, malah untuk sustain perniagaan mereka dalam satu jangka masa yang cukup untuk mendapatkan tapak dalam perniagaan.

4. Tidak Unik
Idea yang unik sangat sukar ditemui. Amat penting untuk perniagaan anda mempunyai satu produk atau perkhidmatan yang unik untuk diketengahkan kepada pelanggan. Ini adalah satu perkara yang membezakan antara anda dengan pesaing anda.

5. Taktik pemasaran yang tidak berkesan
Apabila menghasilkan strategi pemasaran, adalah penting untuk anda mengetahui mengapa mereka membeli daripada anda. Bukan sekadar mahu mereka membeli. Anda perlu tahu mengapa.

6. Tidak fleksible
Taktik pemasaran atau taktik perniagaan mestilah fleksibel. Jangan takut membuat perubahan sekiranya sesuatu taktik tidak berkesan.

7. Tidak mempedulikan pelanggan
Customer service perlu dijaga, malah anda perlu membuat sesuatu perkara yang mungkin anda tidak perlu pun, seperti memberikan nasihat yang berguna, diluarkebiasaan kerja anda.

8. Anda bukan Superman
Jangan cuba membuat semua benda dalam perniagaan anda. One Man Enterprise selalunya tidak akan mencapai greatness, jarang dapat jumpa yang success dengan hebat. Upah orang lain untuk menjalan tugas tugas yang boleh anda berikan supaya dapat mengurangkan beban anda.

9. Boss hebat, staff hampeh
Pastikan pekerja anda adalah terlatih, diberi imbuhan dengan baik dan berkongsi semangat juang yang ada dalam diri anda. Pastikan mereka juga berkobar kobar untuk mencapai kejayaan untuk syarikat.

10. Tumbesaran tidak terkawal.
Kadangkala, apabila market demand terlalu besar untuk anda, dan production anda tidak dapat memenuhi supply, pelanggan anda mungkin akan lari mencari tempat lain. Pastikan anda mendapat tempahan yang anda boleh cover. Jangan marketing saja tapi nanti tak boleh deliver.

Rabu, 27 Jun 2012

Mungkin - Anuar Zain

Biarkanlah saja diriku sendirian tanpamu
Biarkanlah aku merindu sekian lama
Bukan maksud untuk membisusepi tanpa kata
Terpisahnya kita kerana mengejar impian

(korus)

Mungkinkah bersama dua jiwa ini
Dalam mencari cinta sejati nan suci
Mungkinkah segala derita di jiwa
Akan terabat kini

Biarkanlah saja diriku sepi tanpa kata
Terpisahnya kita kerana mengejar impian
Hanya satu pintaku
Sabarlah menanti
Ku kan pulang bersama
Cinta…

Jumaat, 22 Jun 2012

Nafsu Musuh Yang Dicintai


" arghh.. bodohnya aku! Kenapa aku ikut nafsu.."

" aduh.. aku kalah lagi dengan nafsu.."

" kenapa aku begini? Teruknya.."

Kerana nafsu diri disalahkan.. Begitulah keadaan kita apabila terlanjur melayan kehendak nafsu. Nafsu mengajak, kita melayan. Nafsu memang hebat. Kehendak nafsu walaupun sangat merosakkan tetapi sanggup kita turuti.

Semuanya kerana apa? Kerana nafsu mengajak melakukan sesuatu yang sangat menyeronokkan. Kita suka. Akhirnya, nafsu menjadi musuh yang sangat kita cintai.

Bayangkanlah.. keburukan nafsu seperti banyak makan, banyak tidur, banyak cakap, marah-marah, seronok berhibur, bermegah dengan kecantikan, sombong dengan harta kekayaan, gila pujian, rasuah, melihat aurat orang lain, dan lain-lain adalah sesuatu yang memang menjadi kesukaan manusia. Semuanya best-best.

Allah 'Azza Wa Jalla juga ada menyebutkan..

Dijadikan terasa indah pada (pandangan) manusia kecintaan kepada apa-apa yang diingini, iaitu: wanita-wanita, anak-anak, harta yang banyak dari jenis emas, perak, kuda pilihan, binatang-binatang ternak dan sawah ladang. Itulah kesenangan hidup di dunia, dan di sisi Allah-lah tempat kembali yang baik (surga)."
[3:14] 

Mahu menetang perkara yang kita suka? Huu.. pasti sukar.

Nafsu yang menyeronokkan itu tetap akan ada dalam diri kita walau di mana jua. Apabila nafsu ditentang, diri kita yang terseksa. Menentang nafsu ibarat menentang diri sendiri. Keperitan dan kesakitannya pasti terasa. Maka ramailah dalam kalangan kita yang tidak menentang nafsu malah rela melayannya kerana tidak mahu diri terseksa.

Lalu apa jadi selepas nafsu dituruti?
Kita rasa menyesal atau rasa terhibur?

Kita kesal? Alhamdulillah.. bersyukurlah sekiranya kekesalan itu wujud dalam diri kita. 'Rasa menyesal' merupakan bukti bahawa kita masih beriman dan kita masih punya harapan.

Biarlah kekesalan itu mendorong diri kita untuk bertaubat, memohon keampunan daripada Allah atas keterlanjuran kita. Jangan ditangguh-tangguh taubat itu kerana pengampunan Allah tersedia buat hamba-hambaNya yang segera memohon ampun.

"Tiada seorang hamba yang melakukan dosa, lalu ia menyempurnakan wuduknya.
Kemudian ia bangun, lalu mendirikan salat dua rakaat, seterusnya memohon keampunan kepada Allah, melainkan Allah mengampunkan baginya."
[Riwayat Abu Daud dan Tirmizi] 

Mengadulah pada Allah akan kelemahan kita dalam melawan kerenah nafsu. Selalulah meminta kekuatan dan petunjuk agar diri kita tidak mudah tergoda oleh pujukan dan rayuan nafsu.

" Apa jadi kalau diri kita tidak rasa menyesal lalu terus hanyut dengan nafsu?"

Adush.. ruginya.. rugi besar..
malang sungguh keadaan insan yang sedemikian. Sudah melakukan dosa namun tiada rasa penyesalan, itu tandanya kita adalah penderhaka. Langsung tidak rasa bersalah terhadap dosa. Sepertimana yang disebutkan oleh Rasulullah SAW;

"Sesungguhnya orang yang derhaka itu  melihat dosanya bagaikan lalat yang hinggap dihidungnya." 
 [Riwayat Bukhari]

Ya, memang benar. Apabila diri kita sanggup menderhaka kepada Allah semata-mata menurut kehendak nafsu, maka dosa akan dianggap sesuatu yang biasa. Lepas buat dosa, dibiarkan diri tanpa taubat. Seolah-olah dosa yang dilakukan itu tidaklah memberi kesan apa-apa melainkan kepuasan yang menyeronokkan.

Arhh.. apa sudah jadi? adakah diri kita begitu?

Jangan. Jangan bersikap sebegitu wahai diri. Jangan jadikan nafsu sebagai Tuhanmu. Berhentilah  menurut kehendak nafsumu. Jangan sampai keseronokan dan kelekaan kita melayan nafsu menyebabkan kita rosak. Mata kita jadi buta, tidak dapat melihat kebenaran. Hati kita jadi keras tidak dapat dilembutkan dengan kebenaran. Lalu kita hidup dalam kesesatan.

"Maka pernahkah kamu melihat orang yang menjadikan hawa nafsunya sebagai tuhannya dan Allah membiarkannya sesat dengan sepengetahuan-Nya dan Allah telah mengunci mati pendengaran dan hatinya serta meletakkan tutupan atas penglihatannya? Maka siapakah yang akan memberinya petunjuk sesudah Allah (membiarkannya sesat). Maka mengapa kamu tidak mengambil pelajaran?"
[45:23] 

Jelas sungguh keterangan daripada Allah itu. Maka marilah kita bersama-sama takut kepada Allah 'Azza Wa Jalla dan berusaha menjauhkan diri daripada segala pujuk rayu hawa nafsu. Mudah-mudahan Redha dan Syurga-Nya menjadi milik kita. Hayati janji Allah ini;

"Dan adapun orang-orang yang takut kepada kebesaran Tuhannya dan menahan diri dari keinginan hawa nafsunya, maka sesungguhnya syurgalah tempat tinggalnya."
[79:40-41] 

*Nasihat buat diriku yang sedang bermujahadah melawan nafsu.. ^^

~Akhiratkan kehidupanmu untuk Rahmat Allah!!~

Lukisan Surrealistik Igor Morski




Sumber : Blog Serius

Khamis, 21 Jun 2012

Pengembaraan Kekasih Allah

Telah berlakunya satu peristiwa penting dalam sejarah Islam..

ISRAK DAN MIKRAJ...

Bermulanya penentuan solat  sehari dan semalam daripada 50 kepada 5 waktu..

Namun, masih ramai yang malas mengerjakan solat yang LIMA itu..

Masih ada yang mengeluh dan tidak mahu..

Kerana ramai yang begitu cintakan dunia takutkan mati..

Walhal diri akan pergi bertemu ilahi...

Sedarkah kita tentang pengorbanan junjungan besar Nabi Muhammad SAW yang menaiki Sidratul Muntaha sebanyak 9 kali bertemu dengan Allah SWT meminta agar dikurangkan solat itu? Sedarkah kita Rasulullah SAW mengenepikan rasa malu baginda meminta pada Allah berulang kali demi kasih sayang yang menggunung kepada ummatnya?

Siapa umat baginda jika bukan kita...

Sedarlah... Kitalah ummat itu!

Tanpa pengorbanan daripada Rasulullah SAW, pastilah ramai di antara kita yang tidak mampu menunaikan amanah solat 50 waktu kerana hatta 5 waktu sahaja, masih ada yang berlenggah dan meninggalkan solat. 

Lupakah kita dengan kasih sayang baginda?

Marilah kita sama-sama memperbaiki diri ke arah kebaikan dan tetapkan pendirian untuk menjadi hamba Allah yang bertakwa... Patuh pada perintahNya dan meninggalkan apa yang dilarangNya...

InsyaAllah.. Sama-samalah kita mencari pedoman yang dirakamkan di dalam Al-quran ketika Rasulullah SAW  bertemu Allah SWT...

Maksudnya:

"Allah tidak memberati seseorang melainkan apa yang terdaya olehnya. Ia mendapat pahala kebaikan yang di usahakannya, dan ia juga menanggung dosa kejahatan yang diusahakannya. "(Mereka berdoa dan berkata): "Wahai Tuhan kami! Janganlah Engkau mengirakan kami salah jika kami lupa atau kami tersalah. Wahai Tuhan kami! janganlah Engkau bebankan kepada kami bebanan yang berat sebagaimana yang telah Engkau bebankan kepada orang-orang yang terdahulu daripada kami. Wahai Tuhan kami! Janganlah Engkau pikulkan kepada kami apa yang kami tidak terdaya memikulnya. Dan maafkanlah kesalahan kami, dan berilah rahmat kepada kami, dan beri Penolong kami oleh itu, tolonglah kami untuk mencapai kemenangan terhadap kaum-kaum yang kafir"  - (Surah Al-Baqarah : Ayat 286)

Sumber : iluvislam

Rabu, 20 Jun 2012

Bumi Tenggelam



Dalam sural al-mulk, Allah SWT menyatakan bumi pernah memasuki atau ditenggelamkan ke dalam kawasan yang padat dengan meteor. Akibatnya, bumi dientam oleh hujan meteor dan bumi dikatakan akan ditenggelamkan semula ke dalam kawasan yang sama. Buktinya adalah ayat berikut :


Patutkah kamu merasa aman (tidak takut) kepada Tuhan yang pusat pemerintahanNya di langit itu: menunggang- balikkan bumi menimbus kamu, lalu bergegarlah bumi itu dengan serta merta (melenyapkan kamu di bawahnya)?


Atau patutkah kamu merasa aman (tidak takut) kepada Allah yang pusat pemerintahanNya di langit itu: menghantarkan kepada kamu angin ribut yang menghujani kamu dengan batu maka dengan itu, kamu akan mengetahui kelak bagaimana buruknya kesan amaranKu?


Dan demi sesungguhnya! Orang-orang (kafir) yang terdahulu daripada mereka telah mendustakan (rasul- rasulnya lalu mereka dibinasakan) dengan yang demikian, (perhatikanlah) bagaimana buruknya kesan kemurkaanKu.

Surah al-Mulk : Ayat 16 hingga 18

Bahagian terakhir ayat 18 surah al-Mulk menyatakan, "Dan demi sesungguhnya! Orang-orang (kafir) yang terdahulu daripada mereka telah mendustakan (rasul- rasulnya lalu mereka dibinasakan) dengan yang demikian, (perhatikanlah) bagaimana buruknya kesan kemurkaanKu." Ini mengisyaratkan bumi pernah ditenggelamkan ke dalam kawasan yang penuh dengan meteor pada masa lalu dan perkara yang sama akan berlaku lagi pada masa mendatang. Jadi, ini kitaran kemusnahan besar-besaran yang pasti akan berlaku.

Dalam ayat yang lain pula, ada dinyatakan : 




(Setelah mereka mengejek-ejek dan membuat tuduhan- tuduhan itu) tidakkah mereka melihat apa yang ada di hadapan mereka dan yang ada di belakang mereka dari langit dan bumi (dapatkah mereka melarikan diri)? jika Kami kehendaki nescaya Kami timbuskan mereka di bumi, atau Kami gugurkan atas mereka ketul-ketul dan serpihan- serpihan dari langit (yang akan membinasakan mereka). Sesungguhnya yang demikian mengandungi satu tanda (yang memberi keinsafan) bagi tiap-tiap hamba Allah yang mahu kembali kepadaNya (dengan taat dan berbakti).

Ayat al-Quran diatas mengandungi perintah Allah supaya manusia mengkaji sejarah langit an bumi (al-Quran menyebut 'dibelakang mereka') dan juga keadaan langit dan bumi pada masa sekarang (al-Quran menyebut dihadapan mereka). Tujuannya adalah supaya manusia dapat meramalkan keadaan langit dan bumi pada masa hadapan. Dalam hal ini, ayat diatas menjelaskan pada masa lampau, Allah pernah menggugurkan meteor dari langit ke permukaan bumi. Ini yang menyebabkan kepupusan dinasor, dan peristiwa semacam ini akan berulang pada masa depan. Dengan demikian, maka batu-batuan yang ada dibumi perlu diselidiki (dengan manfaat ilmu geologi) bagi mengetahui tentang sejarah planet kita ini. Misalnya adalah kajian mengenai batuan yang berada di dalam kawah hasil hentaman meteor, yang mana kawah meteor mengandungi kandungan iridium yang lebih tinggi berbanding dengan tanah yang tidak pernah dihentam oleh meteor.

Dalam pada itu, ayat al-Quran diatas mengambarkan urutan peristiwa, iaitu :

1. Pertama : Pada suatu ketika, Allah akan meneggelamkan bumi beserta isinya (termasuk manusia) ke dalam kawasan yang penuh meteor); dan

2. Kedua : Akibat dimasukan ke dalam kawasan itu, bumi akan dihentamkan oleh batu dari langit (meteor).


Sumber : Armagedon 2012 (Muhammad Alexander)

Jumaat, 18 Mei 2012

Coretan Hati Si Pelaku Dosa

Ya Allah..
Hari ini, aku memungkiri lagi janji taubatku
Aku kembali mengulangi kesilapan lalu
Aku merelakan diriku dibuai godaan Nafsu
Aku biarkan diriku ditipu pujukan Syaitan

Sudah berkali-kali aku menzalimi diriku sendiri
Sudah berkali-kali aku merosakkan imanku sendiri
Walaupun aku sedar Engkau Maha Melihat
Walaupun aku sedar adanya Malaikat pencatat
Walaupun aku sedar dosa mengundang azab

Entah apa sudah jadi dengan diriku ini
Terasa Iman dijiwa semakin parah
Semakin lemah dan semakin rosak
Ketakutanku terhadap azabMu semakin kurang
Semakin pudar seakan lenyap

Aduh..teruknya diriku..

Ya Allah
Berilah aku kekuatan dan petunjuk
Agar mampu kutewaskan rayuan Nafsu dan Syaitan
Yang sangat hebat membinasakan diriku
Sangat bijak menjauhkan diriku daripadaMu
Sehingga aku lalai dalam urusan kehidupanku
Sehingga aku lupa dan tidak peduli akan kehidupan selepas matiku

Ya Allah
Bagaimanalah kedudukanku disisiMu?
Adakah diriku yang penuh dosa ini akan terselamat di akhirat sana?
Adakah aku antara manusia yang bakal memenuhi Neraka Jahanam?
Lalu aku hidup dalam binasa celaka buat selamanya?

Aku tidak mahu ya Allah
Aku tidak mahu masuk dalam golongan itu!
Aku tidak mahu hidup senang di dunia tapi sengsara di akhirat!
Aku tidak mahu...

Ya Allah..
Maafkanlah diriku
Tolong maafkan diriku
Ampunkanlah segala dosa yang aku kerjakan selama ini
Ampunkanlah segala dosa yang aku anggap remeh selama ini
Terlalu banyak..tidak terhitung..
Ampunkanlah Ya Allah
Ampunkanlah Ya Allah
Bersihkanlah diriku ya Allah
Sesungguhnya aku sangat berkehendak akan SyurgaMu!!

Aku merayu penuh harap
Lindungillah diriku daripada mengulangi kembali dosa lalu
Suburkanlah kekuatan iman dalam tekadku
Agar aku mampu mengusahakan yang terbaik dalam hidupk
Semata-mata untuk beroleh Syurga FirdausMu

Redhailah diriku Ya Allah
Redhailah keluargaku Ya Allah
Redhailah sahabat-sahabatku Ya Allah
Rahmatilah kami Ya Allah..
Rahmatilah..
Rahmatilah..

Duhai jiwa yang resah..
hayatilah pujukan murni daripada Allah ini..

Jumaat, 11 Mei 2012

Kisah Abu Yazid Al Bustami dan Paderi Gereja Samaan

Abu Yazid Al Bustami merupakan seorang ahli Sufi yang dikejutkan oleh mimpinya supaya pergi ke gereja Samaan. Tiga kali mimpinya itu berulang. Lalu ia bersiap dengan pakaian dan cara yang diberitahu dalam mimpinya.

Ia masuk ke gereja Samaan tanpa diketahui oleh Paderi-paderi yang hadir. Dia bersama-sama paderi lain menanti kedatangan ketua Paderi. Setelah ketua Paderi datang, ketua Paderi itu tidak dapat berucap. Dia tahu ada orang lain, orang Islam di dalam gereja itu. Katanya, " ada orang yang percaya kepada Syariat Muhammad di dalam gereja ini."

Semua paderi menjadi gempar dan mereka menghendaki orang itu di bunuh. Namun ketua paderi mencegahnya, sebaliknya ketua paderi meminta orang itu bangun supaya mereka dapat mengenalinya. Abu Yazid Al-Bustami pun bangun, tanpa rasa takut.

Menjawab 50 pertanyaan bertanya 1 pertanyaan.

Ketua paderi berkata, "Wahai pengikut Muhammad, saya akan mengajukan pertanyaan kepada kamu. Jika kamu dapat menjawab semuanya dengan benar, maka saya akan mengikuti agama kamu. Namun jika kamu tidak dapat menjawabnya, maka kami akan membunuhmu."

Jawab Abu Yazid, "Baiklah! Tanyakan apa saja yang kamu ingin tanyakan."

Ketua paderi itu mengemukakan 50 pertanyaan bertubi-tubi dan kemudian Abu Yazid menjawabnya dengan tepat.

Kata Abu Yazid, "Saya sudah jawab semua pertanyaan tuan. Sekarang apakah ada lagi pertanyaan-pertanyaan yang lain?"
Semua pendeta menjawab, "tidak ada lagi,"

Kemudian Abu Yazid mengemukakan pertanyaan kepada mereka. "Beritahu saya kunci Syurga dan Neraka langit."

Tidak seorang pun yang dapat menjawabnya dan mereka mengaku bahawa memang mereka tidak tahu jawabannya. Baru satu pertanyaan sudah tidak dapat dijawab sedangkan Abu Yazid telah menjawab berpuluh pertanyaan. Mereka
meminta ketua paderi menjawab, namun ia membisu.

Katanya, "Bukan saya tidak mau menjawab, tetapi saya takut kamu semuatidak sependapat."

Mereka hairan mendengar kata-kata ketua paderi itu. Akhirnya mereka mendesak juga dan bersedia untuk menyetujui serta menerima kata-kata ketua mereka.

Kemudian ketua Paderi menjawab "Bahwa kunci Syurga dan Kunci langit itu tidak lain ialah "LAILA HAILLALLAH HU MUHAMMAD DARASULULLAH." Tegas ketua paderi.

Mereka semua tersentak, terdiam. Lalu Abu Yazid berkata, "Memang benar kata ketua kamu ini." Semua paderi memeluk Islam, Abu Yazid menuntut janji kepada ketua paderi dan persetujuan pengikut-pengikutnya.

"Sahabat-sahabat sekalian percayalah bahawa apa yang saya ceritakan ini adalah benar. Saya tidak dipaksa oleh siapapun dalam mengucapnya. Memang sudah lama saya fikirkan hendak menyampaikan masalah ini kepada sahabat-sahabat semua, tetapi saya bimbang sahabat-sahabat tidak akan percaya kepada saya lagi. Saya hanya menunggu waktu."

"Dari mana tuan mengetahui perkara ini?" Tanya salah seorang paderi.

"Dari ketua sebelum saya." Jelas ketua paderi.

"Sebelum ketua itu meninggal dunia dia telah bersumpah bahwa perkara yang dikatakan itu adalah benar." Sambung ketua paderi itu.

"Kalau begitu, apa lagi yang kita tunggu!" Ketua paderi dan pengikut-pengikutnya semuanya memeluk Islam disebabkan oleh Abu Yazid. Ilmu Abu Yazid telah menyelamatkan daripada maut. Ilmu ketua paderi telah menyelamatkan daripada kesesatan dan ilmu kedua-duanya telah menutup tabir kejahilan dan menyingkap tabir kebenaran dan Islam!


Berikut ini Pertanyaan Ketua Paderi. Dan Jawaban Abu Yazid Al-Bustami

1. Yang satu tidak ada duanya.
Kewujudan Allah Maha Esa. Dia Tuhan yang tunggal tiada sekutu bagiNya.

2. Yang dua tiada tiganya.
Malam dan siang. Apabila pergi malam datanglah siang dan apabila pergi siang datanglah malam.

3. Yang tiga tiada empatnya.
Kursi, Kalam dan Arash Allah Hu Subhanahu Wa Ta'ala.

4. Yang empat tiada limanya.
Taurat, Injil, Zabur dan Al-Quran.

5. Yang lima tiada enamnya.
Islam telah memfardhukan solat lima waktu : Zohor, Asar, Maghrib, Ishak dan Subuh.

6. Yang enam tiada tujuhnya.
Hari-hari Allah telah menciptakan langit dan bumi. Ini semua tersebut di dalam Kitab-kitab suci juga.

7. Yang tujuh tiada lapannya.
Tujuh petala langit dan tujuh lapis bumi yang disebut di dalam Kitab Suci juga.

8. Yang lapan tiada sembilannya.
Bilangan Malaikat yang memikul Arash Allah Taala yang disebutkan di dalam Kitab Suci (ertinya) : Dan akan memikul Arash Tuhan kamu pada hari (Kiamat) itu adalah lapan Malaikat.

9. Yang sembilan tiada sepuluh.
Bilangan kaum daripada golongan manusia yang menjadi kerosakan bumi Allah, sebagaimana yang tersebut di dalam Kitab Suci (ertinya) : Di dalam kota itu dahulu terdapat sembilan kumpulan yang menjadi perosak bumi, mereka tidak pernah melakukan yang baik.

10. Sepuluh yang sempurna.
Kewajipan puasa sepuluh hari ke atas orang yang berihram haji sebagaimana firman Allah Taala (ertinya): Maka hendaklah ia (orang yang berihram haji) berpuasa tiga hari semasa haji dan tujuh hari setelah balik ke negerinya. Itulah dia sepuluh yang sempurna.

11. Yang sebelas.
Saudara-saudara Nabi Yusof AS.

12. Yang dua belas.
Bilangan bulan dalam setahun.

13. Yang tiga belas.
Mimpi Nabi Yusof AS yang tersebut di dalam Kitab Suci: Sesungguhnya Aku melihat sebelas bintang, matahari dan bulan. Jumlahnya tiga belas.

14. Orang yang berdusta,kemudian dapat masuk Syurga.
Mereka ialah saudara-saudara Nabi Yusof AS. Mereka memberitahu ayah mereka Nabi Yaakob AS bahawa Yusof telah di makan serigala. Mereka membawa pakaiannya yang dilumur dengan darah kambing. Perkara yang mereka lakukan itu adalah suatu dusta.

15. Orang yang benar, tetapi mereka dimasukkan ke dalam neraka.
Mereka ialah kaum Yahudi dan Nasrani, sesuai dengan firman Allah Taala (ertinya) : Telah berkata Kaum Yahudi, kaum Nasrani itu tidak benar dan berkata kaum Nasrani pula kaum Yahudi itu tidak benar. Kedua-dua kaum itu berkata benar pada tuduhan mereka antara satu dengan lain, namun mereka tidak mahu tunduk kepada kebenaran yang ada di hadapan mereka iaitu mempercayai agama yang dibawa oleh Nabi Muhammad SAW sebagai agama yang sebelumnya. Lantaran itu mereka menduduki neraka.

16. Tempat roh dalam badan manusia.
Roh berada di dalam tubuh badan manusia yang hanya diketahui hakikatnya oleh Allah Taala kerana roh adalah merupakan urusan Allah Taala jua, berdasarkan firmannya (ertinya) : Katakan roh itu dari perkara urusan Tuhanku.

17. Al Zariyati Zarwa.
Nama empat macam angin.

18. Al Hamilati Wakra.
Awan gemawan di dada langit.

19. Al Jariyati Yusra.
Perahu-perahu yang belayar di laut.

20. Al Mukassimati Amra.
Malaikat-malaikat yang bertugas membahagi-bahagikan rezeki kepada manusia pada malam Nisfu Syaaban.

21. Yang empat belas.
Tujuh petala langit dan tujuh lapis bumi yang sesuai dengan firman Allah Taala (ertinya) : Maka Allah berfirman kepadanya iaitu kepada tujuh petala langit dan tujuh lapis bumi, datanglah kepada aku secara patuh terhadap perintahKu ataupun secara terpaksa. Maka berkata kedua-dua langit dan bumi, "kami akan datang kepadaMu secara patuh dan taat."

22. Kubur yang berjalan dengan penghuninya.
Ikan besar yang menelan Nabi Yunus AS. Nabi Yunus AS di bawa oleh ikan ke mana-mana sahaja yang akhirnya dimuntahkan di pantai dengan izin Allah Taala.

23. Yang bernafas, tetapi tidak mempunyai roh.
Waktu subuh seperti firman Allah Taala (ertinya) : Demi subuh apabila ia terlepas.

24. Air yang tidak turun dari langit dan tidak keluar dari bumi.
Air yang dikirim oleh ratu Balqis kepada Nabi Sulaiman AS di dalam botol iaitu air peluh kuda.

25. Empat yang bukan daripada golongan manusia, Malaikat dan bukan daripada punggung lelaki dan daripada perempuan.
Kibas yang di bawa Jibril AS sebagai korban ganti Nabi Ismail AS, unta Nabi Salleh AS yang disembelih kaumnya, untuk Nabi Adam dan Siti Hawa AS.

26. Satu ciptaan Allah, lalu diingkarinya sebagai satu yang buruk.
Suara keldai yang tidak sedap didengar, sesuai dengan firman Allah Taala (ertinya) : Sesungguhnya suara yang paling buruk ialah suara keldai.

27. Darah yang mula-mula mengalir ke bumi.
Darah Habil yang dibunuh oleh saudaranya Kabil.

28. Sesuatu ciptaan Allah, lalu diangkat sesuatu yang berat.
Helah kaum wanita, seperti firman Allah Taala (ertinya) : Sesungguhnya tipu helah wanita adalah suatu tipu helah besar atau berat.

29. Pada mulanya sebatang kayu kemudian menjadi roh.
Tongkat Nabi Musa AS.

30. Wanita yang paling utama.
Hawa, ibu sekalian manusia, kemudian Khatijah dan Aisyah, Asiah (isteri Firaun) dan Maryam Binti Imran.

31. Gunung yang paling utama.
Gunung Tursina.

32. Binatang yang paling utama.
Kuda.

33. Bulan yang paling utama.
Bulan Ramadhan.

34. Malam yang paling utama.
Lailatul Qadar.

35. Tentang Atta'mah.
Hari Kiamat.

36. Pohon yang mempunyai 12 ranting, setiap ranting ada 30 daun, setiap daun ada lima kembang, dua bunga di matahari dan tiga bunga di tepi kegelapan.
Pohon itu "tahun" yang padanya ada 12 bulan, satu bulan ada 30 hari. Lima itu ialah lima waktu solat.

37. Satu benda yang pergi haji dan tawaf di Baitullah, tetapi tidak mempunyai roh dan tidak wajib haji.
Bahtera Nabi Noh Alaihissalam.

38. Empat jenis air yang lain rupanya dan rasanya, tetapi sumbernya satu.
Air mata, air telinga, air hidung dan air mulut. Air mata masin, air telinga pahit, air hidung masin dan air mulut tawar.

39. Nakir, fatil dan kitmir.
Nakir ialah titik yang terdapat pada kulit luar benih, fatil ialah titik yang terdapat di dalam benih dan kitmir ialah kulit yang membaluti benih.

40. Sabid dan Labad.
Bulu kambing biri-biri dan kambing kasi.

41. Sam dan Ram.
Makhluk yang telah ada sebelum wujud Nabi Adam AS.

42. Maksud keldai Makwak.
Keldai Makwak tanda ia melihat syaitan, lalu ia berkata: Allah melaknatnya.

43. Maksud anjing menyalak.
Anjing menyalak bermaksud : Awas! Celaka bagi penghuni-penghuni neraka dari kemurkaan Allah yang maha berkuasa.

44. Maksud jeritan kuda.
Kuda menjerit bermaksud : Maha suci Allah yang memeliharaku ketika tentera berpadu menyerang musuh dengan penuh semangat.

45. Maksud jeritan unta.
Unta menjerit membawa maksud : Hasbiyallahu Wakafa Billahi Wakila (ertinya): Memadailah Allah bagiku dan cukuplah Dia tempat aku menyerahkan diriku.

46. Maksud nyanyian burung Bulbul.
Nyanyian Bulbul bermaksud : Maha suci Allah pada waktu pagi dan pada waktu petang.

47. Maksud bunyi katak.
Bunyi katak bermaksud : Maha suci Tuhan yang di sembah di mana-mana sahaja ada makhlukNya dan di tempat-tempat yang tiada penghuninya.

48. Maksud kata-kata burung Nakus.
Maksud kata-katanya : Maha suci Allah sungguh-sungguh! Wahai anak Adam! Lihatlah di barat dan di timur di dunia itu, adakah makhluk yang menongkat langit?

49. Kaum daripada makhluk Allah yang diutus kepadanya, namun ia bukan dari kumpulan jin, manusia dan Malaikat.
Makhluk itu adalah lebih seperti firman Allah Taala (ertinya): Dan Tuhan kamu telah mewahyukan kepada lebih.

50. Di mana malam ketika siang dan di mana siang ketika malam.
Kedua-duanya berada di dalam ilmu Allah Taala yang amat sulit.

Rabu, 9 Mei 2012

10 Tips Mudah Berdiet


Anda rasa terlalu sukar untuk berdiet? Anda sering berhenti di tengah jalan dalam berdiet?

Berikut beberapa cara mudah untuk membantu anda rasa seronok semasa berdiet:

1. Jadikan penimbang berat sebagai rakan anda.

Jika anda mahu menurunkan berat badan, anggaplah penimbang berat itu sebagai kawan anda, bukannya musuh. Cuba timbang berat badan anda sekali di waktu pagi selepas anda mandi dan sebelum anda mengenakan pakaian. Dari situ anda akan dapat melihat bagaimana graf berat badan anda sepanjang minggu itu dan seterusnya membandingkan dengan minggu-minggu seterusnya.

2. Tuliskan target anda di tempat yang anda mudah lihat.

Letakkan target-target yang anda tulis di atas kertas dan letakkan di tempat-tempat yang anda sering nampak seperti di monitor komputer, peti sejuk, di dalam dompet, ataupun di cermin. Target itu tidaklah semestinya tentang berat badan, anda juga boleh menulis target lain seperti ‘minum air kosong secukupnya!’, ‘makan buah-buahan!’, atau ‘tidur 8 jam sehari!’. Kemudian, beritahu rakan-rakan anda tentang target anda itu supaya mereka boleh mengingatkan anda sekiranya anda terlupa.

3. Tulis setiap makanan yang anda makan setiap hari.

Jika anda menulis jurnal makanan yang anda ambil setiap hari, anda dapat monitor makanan yang anda ambil dengan lebih baik. Bukan sahaja jenis makanan dan kuantiti, anda juga perlulah menulis berapa kalori makanan tersebut supaya anda tahu jumlah kalori yang anda ambil untuk hari tersebut mencukupi ataupun melebihi keperluan anda. Dengan cara ini, anda juga akan lebih berhati-hati dalam memilih makanan setiap hari.

4. Minum air kosong secukupnya.

Mereka yang minum air kosong secukupnya akan mengambil kalori lebih rendah berbanding mereka yang kurang minum air. Selain air kosong, anda juga disarankan minum air yang rendah kalori seperti teh, air limau, dan jus buah-buahan segar.

5. Ambil sarapan setiap hari.

Pengambilan sarapan dapat membantu anda meningkatkan metabolisme seterusnya membantu membakar kalori pada kadar optimum. Apa yang anda ambil semasa sarapan juga sangat penting. Pilihlah makanan yang mengandungi kadar gula yang rendah dan tenaga yang tinggi seperti oat.

6. Rancang snek anda seperti anda merancang pemakanan harian.

Ada orang yang betul-betul menjaga makanan yang mereka ambil semasa makan tengahari dan makan malam dan tidak menjaga kuantiti snek yang mereka ambil ketika mereka lapar. Oleh itu, anda disarankan merancang snek yang anda ingin ambil dan mengambil berat akan kuantiti dan kalori snek tersebut.

7. Makan malam dengan tenang.

Elakkan makan dengan cepat semasa anda makan. Kajian membuktikan mereka yang makan dengan perlahan dan tenang, cenderung untuk berasa kenyang dengan cepat. Oleh itu, kunyah makanan anda perlahan-lahan dan nikmati makanan yang anda makan itu dengan sebaiknya.

8. Jangan makan sambil membuat itu dan ini.

Jangan makan sambil menonton televisyen, di hadapan komputer, atau semasa membaca surat khabar. Anda akan terdorong untuk terus menyuap makanan tanpa anda sedar kuantiti makanan yang anda telah ambil. Sebaiknya anda makan di meja makan atau alihkan komputer anda ke tepi jika anda perlu makan di meja study anda.

9. Pilih pencuci mulut rendah kalori.

Apabila anda inginkan makanan yang manis, eloklah anda memilih pencuci mulut yang rendah kalori seperti dark chocolate atau yogurt rendah lemak. Selain itu, anda juga dicadangkan menyimpan stok ‘sugar-free’ chewing gum supaya anda boleh mengunyahnya apabila anda terasa lapar di tengah-tengah malam.

10. Lakukan sehari satu push-up.

Untuk mendapatkan badan yang kuat tidaklah bermaksud anda perlu menghabiskan masa anda di gim setiap hari. Mulakan dengan satu push up pada setiap hari dan jadikan ia sebagai rutin. Lama-kelamaan anda pasti akan dengan rela hati menambah bilangan push up dalam sehari seterusnya melakukan aktiviti-aktiviti lain setelah melihat perubahan pada badan anda.

Selamat mencuba! ;)

Belajar Kasih Ibu Daripada Seekor Lembu


Pada satu hari yang damai, hujan sedang turun renyai-renyai, aku keluar daripada rumah untuk menuju ke satu tempat.

Aku tak ingat ke mana aku mahu pergi ketika itu. Sama ada ke pejabat atau ke sebuah surau untuk menyampaikan kuliah maghrib. Tak kisah kemana hala tujuku, yang penting aku yakin saat itu hujan sedang turun membasahi jalan. Semakin lama semakin lebat.

Aku memandu 'jentera' abah ketika itu. Van Ford Econovan. Usianya 15 tahun. Kepulangan ku dari Jordan masih belum genap setahun lagi. Jadi, van inilah menjadi warisan kami adik beradik sebelum membeli kereta sendiri.

Abah dahulu membeli van kerana adik beradik kami ramai. 8 orang semuanya. Abah memandu, angah duduk di sebelah abah sebagai co-pilot, emak duduk di sebelah pintu belakang sebagai pramugari. =)

Abangku juga pernah menggunakan van ini sebelum dia membeli kereta barunya. Samalah situasinya seperti aku saat ini.

Van ini panas sebab aircondnya rosak. Kalau hujan, perlu dibukakan sedikit tingkap untuk membenarkan angin masuk supaya cerminnya tidak berkabus.

"Hujan... tentu susah nak nampak jalan. Aircond rosak pulak tuh" rungutku seorang diri. Walaubagaimanapun, aku harus meneruskan perjalanan. Aku ada urusan yang perlu diselesaikan.

Hari itu aku perlu melalui satu jalan yang gelap. Kiri dan kanan ladang kelapa sawit. Lampu jalan jaraknya jauh-jauh pula tu.

Seingat aku, aku memandu pada kelajuan 70km sejam. Ok lah, tidaklah laju sangat, dan tidaklah perlahan sangat.

Setibanya aku di satu selekoh, aku melihat seperti ada kelibat seekor 'anjing' sedang melintas jalan. 'Anjing' tersebut berlari dengan pantas cuba melepasi van yang aku pandu. Malangnya tidak sempat.

Gup!

Bunyi pelanggaran yang kecil. Aku hanya mampu menekan brek sedikit sahaja. Aku bimbang van akan berpusing jika menekan brek secara mengejut kerana jalan sedang basah. Ketika itu langsung tidak sempat untuk berhenti melihat apakah yang dilanggar olehku.

"Ah sedikit sahaja tu, dia sempat mengelak kot, tulah siapa suruh lintas sewaktu kereta tengah lalu" aku cuba memujuk diriku sendiri. Seperti mengampunkan kesalahan diri sendiri.

Aku terus melupakan peristiwa itu, malam itu juga. Namun keesokannya...

Aku melalui jalan yang sama menggunakan 'jentera' abah.

Pagi yang indah, damai, bumi yang masih basah kesan hujan semalam. Melalui jalan yang sama, tidaklah membuatkan aku merasa kelainan saat itu. Sehinggalah tiba-tiba aku melihat di depan..

Aku terkejut melihat bangkai seekor anak lembu terkujur di tepi jalan, selekoh yang aku lalui malam semalam. Aku yakin inilah selekoh yang aku lalui semalam. Inilah tempat berlakunya perlanggaran tersebut. Rupa-rupanya 'anjing' yang ku sangka itu adalah seekor anak lembu.

Kakinya sudah ternaik ke atas. Badannya sudah pun mengembung. Matanya pula sudah terbeliak.

Aku terdiam, menarik nafas. Beristighfar. Aku mintak ampun pada Allah kerana seekor lembu amat besar nilainya pada orang kampung.

Orang kampung menjual lembu untuk memasukkan anak ke universiti. Orang kampung menjual lembu untuk mengadakan majlis perkahwinan anak kesayangannya..

Namun ada yang lebih menginsafkanku saat itu. Seekor lembu betina (ibunya mungkin) sedang duduk di sisi bangkai anak lembu tersebut. Sungguh jelas kesedihan terpancar pada wajah ibu lembu tersebut. Kaki depannya membongkok ke bumi seperti sedang sujud, sedang kepalanya rendah hampir ke tanah. Seperti mengharapkan anaknya hidup kembali. Mustahil.

Aku menitiskan air mata saat itu melihat wajah ibu lembu tersebut.

Aku biarkan sahaja drama itu. Aku lansung tak berhentikan van. Aku tak sanggup dan aku memang tak tahu nak buat apa kalau aku berhenti pun..

Esoknya, aku melalui jalan yang sama, dan hari ini bangkai anak lembu sudah pun tiada. Namun, aku tetap sedih kerana ibu lembu masih ada. Aksinya sama seperti semalam. Bezanya hari ini anaknya sudah tiada. Mungking sudah dibakar oleh tuan lembu tersebut untuk mengelakkan bau bangkai yang busuk.

Aku rasa selama 5 hari berturut-turut aku melalui jalan tersebut, aku pasti melihat ibu lembu yang sedang meratapi kehilangannya anaknya. Aku sedih dan rasa bersalah pada ibu lembu tersebut.

Demi Allah, aku belajar kasih ibu daripada seekor lembu. Tiada ibu yang sanggup melihat anaknya sakit, demam apatah lagi mati sebelumnya. Tiada ibu yang sanggup melihat anaknya gagal dalam kehidupan. Ibu pasti menitiskan air mata. Bangunlah, balaslah jasa ibumu walaupun jasa ibumu takkan pernah dapat dibalas.