Selasa, 9 Mac 2010

Cyberkid serlah minat pelajar Asia terhadap ICT

Pelajar dari 10 negara - Brunei, Cambodia, Indonesia, Laos, Malaysia, Myanmar, Filipina, Singapura, Thailand dan Vietnam teruja dengan setiap pekara baru yang dipelajari pada program Asean Ciberkids Camp (ACC) yang diadakan di Crowne Plaza Mutiara, Kuala Lumpur baru-baru ini. Tujuan utama program tersebut untuk meningkatkan kemahiran komputer para pelajar berasal dari kawasan pendalaman yang kurang mendapat pendedahan dalam bidang teknologi maklumat (ICT). Bagi sebahagian peserta kem, pengetahuan mereka hanya tertumpu kepada teknologi komputer seperti perisian Microsoft Office dan asas melayari internet. Pada masa yang singkat, peserta telah mempelajari perisian baru seperti Internet Tools, Presentation Skills yang menggunakan program Multimedia Photostory, YouTube, dan program teknologi untuk mencipta blog. Pada hari ke tiga program, mereka bukan sahaja mampu mengembangkan asas daya kreativiti di dalam persembahan masing-masing malah para pelajar tersebut turut berpeluang menguji kebolehan berpidato mereka.

Seterusnya para pelajar akan melakukan persembahan dengan program Photoscape di dalam beberapa kumpulan. Melalui program tersebut, peserta boleh menghasilkan pelbagai cerita berasaskan gambar dengan menggunakan teknologi foto yang beresolusi tinggi dan campuran bunyi yang lebih dinamik. Sumber campuran bunyi tersebut terdiri daripada muzik, suara kanak-kanak dan nada dering daripada internet serta bunyi kehidupan yang lain seperti burung, kereta dan bunyi bising kesesakan trafik. Setelah selesai menghasilkan cerita, mereka perlu menerangkan motif memilih gambar dan bunyi yang tertentu tersebut kepada fasilitator dalam bentuk persembahan mini. Persembahan mini tersebut memberi peluang kepada para pelajar untuk meningkatkan berkeyakinan mereka dalam kemahiran berkomunikasi selaras dengan hasrat ahli akademik yang mahu penguasaan di dalam bidang tersebut dipertingkatkan.

Ketika ditanya apakah perkara yang paling mereka sukai tentang semasa berada pada kem tersebut, pelbagai reaksi telah diterima. Seorang pelajar dari Vietnam, Cao Hai, 11, berkata, melalui teknologi foto tersebut dia dapat meluahkan apa sahaja perasaan yang disukainya. "Jika di sekolah, saya tidak berpeluang mempelajari teknologi tersebut dan saya juga berharap suatu hari nanti saya dapat mempelajari bagaimana komputer boleh membantu dalam perniagaan," katanya. Seramai 115 pelajar sekolah berumur antara 10 hingga 14 tahun menyertai kem selama lima hari tersebut dan setiap negara diwakili oleh empat orang pelajar dan seorang guru di dalam satu kumpulan. Manakala sehari sebelum program tersebut tamat, para pelajar telah dibawa bersiar-siar di sekitar ibu kota Kuala Lumpur. Pada hari terakhir, peserta berpeluang menemui pelukis kartun terkenal LAT dalam sesi ceramah bagaimana beliau boleh berjaya di dalam kerjaya profesional biarpun hanya berasal daripada seorang budak kampung. Kem Asean Cyberkid (ACC) merupakan program kerjasama antara Kementerian Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM), Maxis Berhad (Maxis) dan turut disokong oleh Kementerian Pendidikan.

Tiada ulasan: