Khamis, 14 Julai 2011

Disangka Neraka, rupanya Syurga!

Fasa 40 Tahun : Dajal Masih Normal, dan Belum ada tulisan "KAFIR" di Dahinya

Semasa tempoh 40 tahun kehadiran Dajal, dia masih dalam bentuk manusia yang normal, iaitu lelaki yang belum buta sebelah matanya, dan belum ada tulisan KAFIR di dahinya. Jadi, ramai orang yang tidak tahu dia adalah Dajal. Bahkan pada masa itu, ramai orang yang mengaku beriman yang menemui Dajal dan lantas menjadi pengikutnya. Ini adalah sebagaimana yang dinyatakan dalam Hadith;

Imran bin Husein r.a, Rasulullah SAW berkata;
"Sesiapa yang mengikut kata-kata Dajal, kami bukan golongannya. Demi Allah, sesungguhnya seorang lelaki akan datang kepada Dajal dan lelaki itu menyangka dia adalah orang yang beriman (kuat imannya). Namun, lelaki itu mengikutinya (Dajal) kerana pembohongan hebat dibawanya."
(Hadith Riwayat : Abu Daud)

Berdasarkan hadith ini, dapat disimpulakn pada zaman itu, Dajal belum buta sebelah mata dan belum ada tulisan KAFIR di dahinya. Ini kerana jika ciri ini ada padanya, kemungkinan besar lelaki itu tidak akan menemuinya.

Banyak hadith yang menyokong hujah pada mulanya, Dajal adalah manusia normal, belum ada tulisan KAFIR didahinya dan salah satu matanya belum buta. Ini dinyatakan secara tidak langsung dalam hadith-hadith, iaitu hadith tentang pemuda syahid yang memberanikan dirinya bagi membuktikan susuk tubuh Dajal, hingga dia terpaksa mengorbankan nyawanya. Ini kerana pada masa itu, umat Islam masih kabur tentang Dajjal yang sebenar. Maka pemuda itu membuat keputusan bagi mendedahkan identiti Dajal yang sebenar. Sebaliknya Dajal sudah menunjukkan identitinya yang sebenar pasa fasa pertama kemunculannya, sudah tentu pembuktian tidak dapat dilakukan. Berikut adalah hadith mengenai pemuda syahid yang datang kepada Dajal bagi mendedahkan identiti Dajal yang sebenar. 

Abu Said al-Khudri berkata,Rasulullah SAW bersabda, "Ketika Dajal muncul, seorang lelaki dalam kalangan orang beriman mencarinya. Dia bertemu dengan sekumpulan tentera Dajal. Lalu mereka bertanya kepadanya, "Apakah yang sedang kamu cari?"

Pemuda itu menjawab, "Saya mencari orang yang keluar"

Abu Said Al-Khudri menyambung ceritanya, "Lalu mereka bertanya kepadanya, 'Adakah kamu tidak percaya pada Tuhan kami?'

Dia menjawab, 'Tuhan kami tidak ada yang meragukan'.

Maka tentera Dajal berkata, 'Bunuh sahaja dia'.

Maka sebahagian daripada mereka berkata (tentera Dajal) membawanya (pemuda Mukmin itu) ke hadapan Dajal. Apabila orang yang beriman itu melihatnya, maka dia berkata, 'Wahai sekalian manusia, inilah Dajal yang dinyatakan oleh Rasulullah SAW!"

Maka Dajal segera menyuruh supaya merebahkan tubuh orang yang beriman itu, dan memerintahkan supaya menyiat kulit dan memukul belakang dan perutnya. Lalu Dajal bertanya, 'Adakah engkau masih tidak mempercayai kami?'

Dia menjawab, "Engkau adalah Dajal si pendusta."

Kemudian diperintahkan supaya (pemuda beriman itu) digergaji dari atas kepalanya hingga kakinya menjadi dua bahagian, lalu Dajal berjalan di tengah dua bahagian badan yang terbelah dua. Kemudian Dajal memerintahkan, 'Bangunlah!'

Maka bangunlah dan tegaklah dia. Kemudian Dajal bertanya lagi, 'Adakah kamu masih belum percaya kepadaku?

Dia menjawab, 'Tidak kurang pengetahuanku tentang kamii, bahkan bertambah yakin.'

Kemudian orang yang beriman tersebut berkata, 'Wahai sekalian manusia, dia (Dajal) tidak dapat berbuat demikian lagi kepada seorang pun.'

Maka dia berusaha membunuh kembali orang beriman itu. Tetapi Allah SWT meletakkan antara lehernya dan bahagian belakang nya dengan tembaga, hingga dia tidak dapat disembelih. Kemudian dipeganglah tangan dan kaki orang tersebut, lalu dilemparnya. Mereka menyangka dia dilemparkan ke dalam neraka, padahal dia dilemparkan ke syurga.

Kemudian Nabi SAW melanjutkan ceritanya, "Itulah manusia yang paling besar kesaksiannya (Syahid Agung) disisi Tuhan Semesta Alam. " 

(Hadith sahih oleh Imam Muslim 8/200 dan Ibn Mandah 95/1 daripada Qais Ibnu Wahab daripada Abu Al Wadak)

Tiada ulasan: