Selasa, 23 Julai 2013

14 Ramadan : Memori Ramadan


Bulan yang barakah yang ditunggu-tunggu kini telah pun memasuki 14 Ramadan. Agenda untuk menunaikan tarawih dan ibadah sunat yang lain ada di setiap minda kita. Keseronokan tadarus, dan moreh di kampung mengamit hati untuk pulang. Alhamdulillah, Allah masih beri kesempatan untuk berada di bulan yang penuh barakah ini.

Kerap kali, memori berpuasa pada bulan Ramadan di zaman kanak-kanak menjelma di ingatan tatkala Ramadan menyapa. Semenjak arwah bapa meninggal dunia, emak lah yang berusaha dengan penuh susah dan payah untuk membesarkan kami tujuh beradik. Termenung seketika mengingati jasa emak. Sungguh besar dan agung sekali.

Emak yang sentiasa mengerakkan kami semua untuk bersahur tanpa jemu, setiap hari. Walaupun hanya makan ala kadar ketika bersahur, namun emak sentiasa memastikan kami semua makan dengan cukup. Dia bimbang andai kami kelaparan ketika sedang berpuasa.

Ada kalanya liat juga untuk bangun awal-awal pagi namun emak akan tetap menyuruh kami semua bangun untuk makan hatta sejemput nasi. Emak didik kami tentang ilmu agama dengan baik sekali. Walaupun ketika itu kami hanyalah kanak-kanak dan tidak diwajibkan berpuasa dan kami tidak pernah dijanjikan ganjaran apa- apa pun jika berpuasa penuh sebulan, emak tetap mahukan kami berpuasa. Tiada alasan untuk ponteng.

Namun, lumrah kanak-kanak. Pasti ada juga ponteng puasa. Aku juga tidak terkecuali. Pada setiap hari, setiap kali waktu berbuka emak pasti akan bertanyakan kepada kami, "puasa penuh tak hari ni?" dan jawapannya "mestilah penuh mak". Kami jawab pertanyaan emak dengan penuh yakin tapi sebenarnya kami dah curi-curi minum air ketika emak pergi bekerja. Itulah yang kami lakukan setiap kali kami berasa dahaga. Pasti bilik air menjadi tempat untuk melepaskan dahaga setelah lelah seharian bermain bersama rakan-rakan.

Emak sentiasa bertanyakan soalan yang sama setiap hari sehinggakan kami sudah lali akan soalan itu. Setiap hari juga kami berbohong pada emak dengan berkata kami berpuasa. Kadang-kala timbul juga rasa bersalah kerana membohongi emak. Perlahan- lahan kami belajar berpuasa penuh. Tiada lagi curi-curi minum air.

Di pagi hari raya ketika kami adik beradik berkumpul untuk memohon maaf daripada emak, sekali lagi emak bertanya kepada kami, "Puasa sebulan penuh tak?". Kali ini kami diam. Benar, kami dah bohongi emak selama ini. Masing- masing tunduk membisu. Akhirnya emak berkata " Mak tahu sebenarnya kamu semua tak puasa penuh sebulan pun". 

Kami terkedu."Macam mana emak tahu ni?", bisik kami dalam hati. Takut sungguh kami untuk memandang wajah emak ketika itu. Takut kalau- kalau rotan akan singgah ke tapak tangan kami.

Namun, emak tersenyum dan berkata. "Jangan bohong mak lagi". Lega sungguh hati kami. Syukur, emak tak marah. Pada emak kami memohon maaf dan kami berjanji untuk sentiasa mentaati kata- kata emak.

Sejak itu, setiap kali Ramadan kami sentiasa berusaha untuk berpuasa penuh. Sehingga hari ini, memori ini kerap kali menjadi bualan dan gelak tawa kami adik beradik. Semoga Allah Ramadan tahun ini adalah Ramadan yang terbaik dan bermakna untuk kami, dan semoga Allah sampaikan lagi kami pada Ramadan pada masa akan datang. Amin..

1 ulasan:

baju melayu berkata...

Sedih, mengharukan dan memberi semangat.