Isnin, 17 Januari 2011

Fadhilat Zikir

Dari Abu Hurairah r.hu katanya bahawa Rasulullah SAW bersabda, “Allah SWT berfirman, “Sesungguhnya apa-apa yang akan aku lakukan terhadap hambaku adalah mengikut sangkaan hambaKu terhadapKu, dan aku bersamanya apabila dia mengingatiKu. Jika dia mengingatiKu didalam hatinya maka Aku mengingati dia di dalam hatiKu, dan jika dia mengingatiKu dalam perhimpunan maka Aku ingati dia di dalam perhimpunan yang lebih baik (iaitu dalam jemaah para malaikat yang maksum dan suci daripada segala dosa). Apabila hambaKu mendekatiKu sejengkal, maka Aku akan mendekati dia sehasta. Apabila dia mendekati Aku sehasta, maka aku dekati dia sedepa. Dan apabila dia datang mendekatiKu dengan berjalan, maka aku dekati dia dengan belari.” [Hadith Riwayat Imam Ahmad, Bukahri, Muslim dan Lain-lain]

KETERANGAN
Berbagai-bagai perkara diterangkan dalam Hadith ini. Pertama ‘Sesungguhnya apa-apa yang akan Aku lakukan terhadap hambaKu adalah mengikut sangkaan hambaKu terhadapKu’ bermaksud, hendaklah kita senantiasa mengharapkan kurniaan dan rahmat daripada Allah SWT, janganlah sekali-kali putus asa daripada rahmatNya. Sememangnya kita adalah pendosa dan kita meyakini bahawa segala dosa dan perbuatan kita itu pasti akan dibalas. Namun begitu, jangan sekali-kali berputus asa daripada rahmat Allah SWT. Adalah tidak mustahil bagi Allah SWT untuk mengampuni keseluruhan dosa kita dengan rahmat dan kemurahanNya semata-mata. Terdapat dalam Al-Quran :

“Sesungguhnya Allah tidak mengampuni dosa mempersekutukan (sesuatu) denganNya dan Dia mengampuni dosa selain daripada syirik itu bagi sesiapa yang dikehendakiNya.” [An-Nisa : 116]

Akan tetapi tidaklah semestinya segala dosa akan diampuniNya. Lantaran itulah para ulama mengatakan bahawa iman adalah antara harap dan takut.

Satu ketika Nabi SAW mengunjungi seorang sahabat muda yang berada dalam keadaan nazak, Baginda SAW bertanya kepadanya, “Bagaimana dengan keadaan kamu?” Jawabnya, “Wahai Rasulullah, aku mengharapkan rahmat Allah SWT dan aku takut mengenai dosa-dosa ku.” Sabda Baginda SAW, “Jika kedua-dua yakni harapan dan ketakutan didapati dalam keadaan seperti ini maka pasti Allah SWT akan mengurniakan apa-apa jua yang diharapkan dan menyelamatkan daripada apa-apa saja yang ditakuti.” [Jam-‘ul Fawaaid] 

Tiada ulasan: