Isnin, 28 Januari 2013

Ibu Bapa Kongkong Kehidupan



Saya berusia 24 tahun dan kini sedang melanjutkan pengajian dalam bidang kejuruteraan di sebuah institusi pengajian tinggi tempatan.
Saya tidak mempunyai sebarang masalah dalam pelajaran kerana keputusan peperiksaan sentiasa konsisten. 
Cuma, sekarang saya berasa makan hati dengan sikap ibu bapa yang keterlaluan mengongkong hidup saya biarpun pada usia ini saya boleh dikatakan sudah dewasa. 

Saya berasal dari keluarga yang boleh dikatakan senang dengan segala keperluan mencukupi. Walaupun ibu bapa bersikap penyayang, sikap suka mengongkong mereka itu membuatkan saya sangat bosan.

Dunia pergaulan saya hanya di kampus dan rumah semata-mata. Saya selalu ditegah keluar rumah dengan tanggapan boleh membahayakan keselamatan.

Malah, lebih teruk, ibu bapa membelikan saya sebuah permainan video dengan tujuan melekakan saya supaya tidak keluar. 

Jika keluar pun, perlu memberitahu mereka atau mesti berteman yang selalunya daripada kalangan keluarga. 

Saya tahu apa dilakukan mereka tujuannya baik, tapi saya juga mahukan sedikit kebebasan untuk mencorakkan masa sendiri seperti bersama rakan lain menonton wayang dan sebagainya. 

Saya tidak faham kenapa mereka melayan saya seperti budak-budak. Saya bukan anak tunggal malah mempunyai tiga orang lagi adik-beradik yang semuanya meningkat dewasa. Kami semua menerima layanan yang sama. 

Saya bosan dengan keadaan ini. Bantulah saya. 

MAHU BERDIKARI, 
Perlis 

Membaca coretan adik menjadikan Dr memahami dilema yang sedang adik hadapi. Dalam usia adik yang sudah dewasa tapi masih lagi dikongkong, sudah pasti akan meninggalkan konflik dalam diri. 

Apa yang adik lalui ini ada kaitan dengan tahap perkembangan umur diri adik serta gaya asuhan ibu bapa. 

Sikap kontra antara kedua-dua pihak akan mewujudkan konflik kerana tidak terdapat keserasian. 

Umur adik terus meningkat dengan gaya pemikiran dewasa, tapi bagi pihak ibu bapa pula beranggapan adik masih kecil dan memerlukan pemerhatian demi keselamatan diri. 

Percanggahan ini timbul kerana dua generasi iaitu adik dan ibu bapa memandang kehidupan ini dari sudut berbeza. Generasi muda ada matlamat dan perancangannya, begitu juga ibu bapa yang mungkin tidak memahami matlamat itu. 

Bagaimanapun, masih banyak lagi jalan penyelesaian boleh dilakukan selain membuat strategi yang boleh mendatangkan kebaikan bersama. 

Antaranya mengendalikan konflik antara anak dengan ibu bapa menerusi penyelesaian masalah secara bersama. 

Ia bukan mudah kerana masing-masing mempunyai tuntutan sendiri terutama ibu bapa yang bertindak bagi menentukan keberkesanan sesebuah keluarga. 

Mahatma Gandhi pernah berkata, `tiada sekolah setanding rumah tangga bahagia dan tiada guru setanding dengan ibu bapa yang tulus ikhlas dan berhati mulia’. 

Erikson, seorang ahli psikologi terkenal menjelaskan, pada tahap umur adik ini, individu mula membentuk hubungan yang akrab dan rapat terutama dengan rakan berlainan jantina. Mereka mula memikir soal teman hidup, percintaan, hingga membawa kepada dunia perkahwinan. 

Ibu bapa adik mengikut Santrock, seorang ahli psikologi lain, tergolong dalam kategori authoritarian. Ibu bapa jenis ini akan mengenakan peraturan dan hukuman kepada anak mereka. 

Selain itu, ibu bapa authoritarian mahukan anak mereka patuh dan menghormati mereka. Pertuturan lisan antara ibu bapa dengan anak adalah terhad dan kurang digalakkan. 

Jadi persoalan adik bahawa `saya tidak faham kenapa mereka buat saya seperti budak-budak’ ada kaitannya dengan bentuk asuhan keluarga ibu dan bapa adik. 

Beberapa langkah yang digunakan ibu bapa boleh mengurangkan konflik antara anak dengan mereka. Gaya asuhan keluarga yang authoritatif boleh dicadangkan. 

Antaranya, ialah melalui pemberian kasih sayang sejati, peruntukan masa bersama- sama, disiplin kukuh, saling menghormati, didikan kepada perkara yang betul bukan sebaliknya dan layanan mesra.

Selain itu, ibu bapa juga perlu mendengar pendapat dan bersifat realistik serta menggalakkan anak remaja berdikari. 

Seorang anak pula wajib mentaati ibu bapanya dalam semua perkara kecuali dalam perkara maksiat atau kemungkaran kepada Allah.

Sumber : myMetro

4 ulasan:

isya berkata...

yer betul tu...sekarang ni life sy pon cam nie jugak

uvuvb berkata...

smaa la..sy org Perlis jugak...life nie terikat jah 😫dhla kereta pown xde..kerja pown xboleh

Nulnul berkata...

Sama la juga. Geram rasa terikat. Saya tahu apa yg terbaik untuk saya tapi mak selalu menghalang. Saya ni jenis tak sedap hati selagi mak tak restu apa yang saya buat. Kadang tu rasa nak duduk jauh dgn mak pon ada. Dah bnyk job offer saya terpaksa tolak sbb mak tak restu. Memang la job biasa2 tapi sampai bila saya nak dduk rumah je. Zaman sekarang mana boleh pilih sgt job ni.

Unknown berkata...

Saya nii anak sulung dr 3 adik beradik. Sy nii baru tamat pelepsan spm. Sy sering dikongkong dn x blh keluar rumah lngsung kecuali berteman dgn adik atau saudara. Sy sngt sedih bila keluarga sy bt mcm tu. Sy teringin nk hidup bebas mcm kwn ii lain. Semua dh kjr sementara nk smbung belajar. Sy masih di rumah x bt ap ii. Sy sering menangis sbb fikirkan yg terjadi dkt hidup sy. Sy nk jgk ad duit dr hasil titik peluh sy sendri. Sy malu dgn kwn ii lain semua kluar cari rezeki. Sebenarnya sy nii perlu diberi kebebasan sbb sy ank sulung tp sy dipinggirkn mcm x ad makna bg hidup sy. Sy ad mak tiri dgn kak tiri. Kak tiri sy bila hbis spm dia dpt kebebsan sy pun nk mcm tu. Sy nk kandung dia bukan org lain. Sy buntu ap yg sy perlu buat smpaikn kepala sy hari ii sakit x tau knp.