Isnin, 2 April 2012

Ciptaan Allah..


Daripada Hazrat Abu Hurairah r.a Rasulullah s.a.w bersabda, “Tidaklah berkumpul di salah saru rumah-rumah Allah s.w.t (masjid), membaca al-Quran dan membaca seorang daripada mereka kepada yang lain melainkan diturunkan ‘sakinah’ ke atas mereka, rahmat meliputi mereka, para malaikat mengelilingi mereka dan Allah s.w.t menyebut-yebut mereka di kalangan malaikat yang berada di sisiNya.” (Hadith riwayat Muslim dan Abu Daud.)

Keterangan :
 
Hadith ini telah menerangkan pelbagai kelebihan yang istimewa tentang madrasah-madrasah dan tempat-tempat pengajian al-Quran. Setiap satu daripada kelebihan-kelebihan yang disebutkan di atas adalah begitu tinggi nilainya, sehingga sekirannya seseorang itu menghabiskan seluruh usianya untuk mendapatkan kelebihan-kelebihan itu maka tetap menguntungkan. Inikan pula berbagai-bagai ganjaran yang disediakan. Khasnya, kelebihan yang terakhir sekali, iaitu seseorang itu disebut di hadapan Tuhannya dan diingati dalam majlis Kekasihnya, ini adalah nikmat yang tidak boleh ditandingi oleh sebarang perkara pun.
 
Turunnya ‘sakinah’ telah disebutkan dalam banyak hadith. Terdapat beberapa pendapat di kalangan para ulama hadith mengenai maksud ‘sakinah’. Walau bagaimanapun, tidaklah terdapat perbezaan antara pendapat-pendapat itu sehingga berlaku pertentangan antara satu sama lain. Bahkan terdapat kemungkinan bahawa semua pendapat itulah yang dimaksudkan oleh hadith tersebut secara keseluruhannya. Diriwayatkan bahawa Hazrat ‘Ali r.a menafsirkan ‘sakinah’ sebagai sejenis bayu yang istimewa yang berwajah seperti wajah manusia. Dinukilkan bahawa ‘Allamah Suddi rah. menyatakan ‘sakinah’ ialah nama sebuah mangkuk emas di dalam syurga. Di dalam mangkuk inilah hati-hati para Nabi a.s dicuci. Sesetengah ulama yang lain berpendapat bahawa ‘sakinah’ adalah satu rahmat yang istimewa. Imam Tibri rah. pula bersetuju bahawa yang dimaksudkan dengan ‘sakinah’ adalah ketenteraman hati. Sebahagian yang lain pula menyatakan ‘sakinah’ adalah ketenangan jiwa. Sesetengah ulama menafsirkan ‘sakinah’ sebagai ‘waqar’ (sifat jati diri) dan yang lain pula menafsirkan ‘sakinah’ sebagai malaikat-malaikat. Sesetengah ulama yang lain memberi pelbagai pendapat yang lain lagi. Dalam kitab Fathul bari, Hafiz Ibnu Hajar rah. menyatakan bahawa yang dikatakan ‘sakinah’ ialah semua perkara di atas. Imam Nawawi rah. berpendapat bahawa ‘sakinah’ merupakan suatu perkara yang terhimpun daripada ketenangan rahmat dan sebagainya dan turun bersama-sama para malaikat. Allah s.w.t telah berfirman dalam al-Quran:

Maka Allah s.w.t menurunkan ketenangNya ke atasnya (Muhammad s.a.w). (Surah at-Taubah ayat 40)

Dalam ayat yang lain Allah s.w.t berfirman:

Dialah yang menurunkan 'sakinah' ke dalam hati-hati orang yang mukmin. (Surah al-Fath ayat 4)

Satu ayat lagi berbunyi:

Dalamnya terdapat ketenangan dari tuhanmu. (Surah al-Baqarah ayat 248)

Ringkasnya ‘sakinah’ telah disebutkan dalam beberapa ayat al-Quran dan banyak hadith yang menyatakan berita gembira tentangnya. Dinukilkan dalam kitab Ihya ‘Ulumuddin bahawa pada suautu ketika Ibnu Thauban rah. telah berjanji untuk berbuka puasa bersama saudaranya tetapi beliau sampai di rumah saudaranya pada pagi keesokan hari itu. Apabila tuan rumah bertanyakan tentang sebab kelewatan tetamunya itu, beliau pun berkata, “Sekiranya tidak ada janji antaramu denganku, aku sama sekali tidak akan memberitahumu sebab-sebab yang menghalangku untuk datang awal. Dengan tidak sengaja aku telah terlambat sehingga tiba waktu ‘isyak dan aku terfikir untuk bersolah witir juga kerana tidak ada jaminan tentang maut. Sekiranya aku mati pada malam itu maka solah itu masih terhutang dalam tanggunganku. Sedang aku membaca qunut (dalam solah witir) aku melihat sebuah taman syurga yang hijau yang mengandungi pelbagai jenis bunnga dan lain-lain. Aku begitu asyik melihat taman itu sehinggalah ke waktu subuh.” Ada banyak peristiwa seumpama ini yang diriwayatkan daripada kehidupan para solihin. Keadaan seperti ini berlaku apabila terdapat pemisahan dengan segala sesuatu selain Allah s.w.t dan tumpuan yang sepenuhnya hanya ke arahNya.
 
Juga terdapat banyak hadith yang menyebut mengenai malaikat-malaikat yang datang mengelilingi orang yang soleh. Kisah Hazrat Usaid bin Hudair r.a diceritakan secara terperinci dalam kitab-kitab hadith. Semasa membaca al-Quran, beliau berasa sejenis awan meliput dirinya dari atas. Rasulullah s.a.w memberitahu bahawa awan itu ialah para malaikat yang datang berkumpul untuk mendengar bacaan al-Quran. Kedatangan malaikat yang begitu ramai menyebabkan para malaikat itu dirasai sebagai awam. Suatu ketika seorang sahabat merasai sejenis awan telah datang menutupinya. Rasulullah s.a.w memberitahu bahawa awan itu adalah ‘sakinah’ iaitu rahmat yang turun kerana bacaan al-Quran.
 
Dalam kitab Muslim, hadith ini dinyatakan secara lebih terperinci dengan tambahan beberapa perkara lagi. Di akhir hadith ini terdapat satu ayat tambahan yang mafhumnya, ‘sesiapa yang amalannya yang buruk telah menjauhkannya daripada rahmat Allah s.w.t, keturunannya yang mulia pun tidak dapat menghampirkannya kepada rahmat Allah s.w.t.’
 
Dengan itu seorang yang berketurunan mulia tetapi terlibat dengan dosa dan kemaksiatan, sekali-kali tidak sama di sisi Allah s.w.t berbanding dengan seorang Islam yang rendah kedudukannya tetapi bertakwa kepada Allah s.w.t. ‘Sesungguhnya yang termulia daripada kamu di sisi Allah s.w.t ialah seorang yang paling bertakwa kepada Allah s.w.t’

Tiada ulasan: