Isnin, 12 Mei 2014

MSL : Sime Darby 3 - 2 Sarawak

KUCHING: Pertukaran pertahanan kental, Gabor Gyepes pada pertengahan separuh masa pertama akibat kecederaan ternyata menyebabkan benteng pertahanan Sarawak agak kucar-kacir sekali gus membolehkan Sime Darby FC menjaringkan tiga gol.

Ketiga-tiga gol pasukan dikendalikan Ismail Zakeria itu dihasilkan menerusi kerapuhan benteng pertahanan menyaksikan Sarawak tewas 3-2 di Stadium Majlis Perbandaran Selayang, malam kelmarin.

Ketua jurulatih Sarawak, Robert Alberts mengakui kerapuhan benteng pertahanan menyebabkan pasukannya pulang dengan tangan kosong biarpun mendahuli 2-0.

Selepas Gabor dikeluarkan, Ronny Harun yang pada mulanya bermain sebagai ‘defensive midfield’ terpaksa bertindak sebagai pertahanan tengah.

“Ini menyebabkan pasukan kita agak goyak terutama di barisan pertahanan.

“Kita boleh lihat ketigatiga jaringan pasukan lawan (Sime Darby FC) tercetus akibat kelpaan benteng pertahanan,” katanya ketika dihubungi semalam.

Beliau berkata, selepas Sime Darby FC menjaringkan gol pertama pemain seakan-akan hilang momentum menyerang seperti yang dipamerkan pada awal perlawanan.

“Pemain tidak bermain seperti yang diharapkan. Kita menguasai perlawanan dari awal namun momentum serangan hilang selepas pasukan lawan menjaringkan gol pertama,” ujarnya.

Dalam perlawanan itu, Sarawak memperolehi gol pertama pada minit ketujuh selepas pemain Sime Darby FC tertampan bola ke gawang sendiri apabila terkena ledakan S Chanturu.

Pasukan tuan rumah berusaha mencari gol penyamaan kemudian dikejutkan dengan jaringan Ryan Griffiths pada minit ke-21.

Sime Darby FC ketinggalan dua jaringan mengubah rentak permainan dan usaha pasukan tuan rumah berhasil apabila pemain importnya, Dilshod Sharofatdinov pada minit ke-29 dan masa kecederaan separuh masa pertama.

Bermula separuh masa kedua Sarawak berusaha mencari gol kemenangan menerusi gandingan Muamer Salibasic dan Griffiths.

Sebaliknya, tuan rumah menjaringkan gol kemenangan menerusi Mohd Syukur Saidin pada minit-84.

Sementara itu, Alberts berkata tahap kecederaan yang dialami Gabor yang akan diketahui hari ini.

“Gabor akan melakukan pemeriksaan esok (Isnin) untuk mengetahui sama ada kecederaan dialaminya serius atau tidak,” jelasnya.

Sarawak akan menanti kunjungan PKNS FC pada 16 Mei di Stadium Negeri di sini.

Sumber : Utusan Borneo

Tiada ulasan: