Selasa, 5 Mac 2013

Dakwah itu seni, Dai'e itu penyeri



Sebagai manusia yang mempunyai kelemahan dan kekurangan, adakalanya pada satu saat kita merasai diri tidak diperlukan. Walhal sebagai manusia yang beragama islam, dipenuhi dengan iman, seharusnya tidak boleh merasai demikian kerana berputus asa di dalam diri adalah sifat syaitan. 

Sifat berputus asa wajar dijauhkan terutama ke atas dai'e atau pendakwah itu sendiri agar amanah menarik minat manusia ke jalan tuhan sentiasa teguh.

Hari ini, sebahagian pendakwah merasakan diri mereka disisihkan. Mengajak manusia ke jalan tuhan sudah tiada sambutan. Tetapi sebenarnya untuk menyeru manusia melakukan "amal makruf, nahi mungkar" bukanlah dengan melihat sambutan yang menggalakkan. Tetapi perlu dilihat sifat yang berterusan juga istiqamah di dalam perjuangan.

Ingatlah, buka natijah yang Allah tanyakan, tetapi Allah akan tanya adakah kita laksanakan atau tinggalkan. Justeru, sebagai seorang dai'ie perlulah mengatur beberapa strategi dalam dakwah kerana dakwah itu sendiri penuh dengan cabaran yang tersedia.

Bukankah matlamat dakwah itu mengajak dan menyeru manusia agar mengesakan Allah SWT dan mengakui bahawa Nabi Muhammad itu pesuruh Allah?  Maka, sudah pastilah ada yang menentang, buat tidak endah dan tidak kurang juga ada yang cuba mensabotaj.

Mengambil Ibrah Dari Sirah Nabi

Sebagai umat nabi Muhammad SAW, kita perlu mencontohi bagaimana dakwah yang dianjurkan oleh Nabi Muhammad SAW. Baginda berdakwah dari Mekah hingga ke Madinah membentuk manusia, untuk menjadi insan yang bertaqwa disisi Allah SWT. Bertahun-tahun lamanya Nabi Muhammad berdakwah barulah manusia pulih sepenuhnya. Membentuk umat islam yang kuat dan utuh, disamping pengabdian kepada Allah SWT.

Dakwah yang dimulakan pula bukan mengambil masa sehari atau dua hari. Bermulanya dakwah secara sembunyi, kemudian secara terangan. Tetapi pada ketika itu umat islam hebat ditentang. Akhirnya baru umat islam memperoleh kemenangan. Begitu juga pendakwah sekalian, masa untuk membentuk manusia bukannya singkat, ianya lama dan perlu mempunyai proses yang bertingkat-tingkat.

Bagaimana strategi dakwah baginda yang mula secara sembunyi, tetapi akhirnya di terangkan untuk menegakkan syiar islam. Jadi berperingkat-peringkat dalam berdakwah perlu ada, jangan tergopoh gapah dalam usaha memperbaiki manusia dan diri sendiri juga.

Kerana mengambil ibrah dari sirah nabi sendiri yang berdakwah bertahun-tahun. Menunjukkan kesabaran di dalam dakwah itu perlu tinggi, untuk pendaie' tempuhi. Selain itu, menyusun strategi dengan mantap, memberi implikasi dalam diri untuk mengenal pasti sasaran sebenar pendakwah perlu tujui.

Dakwah Itu Seni

Seni adalah satu bentuk subjektif, sebagaimana juga dakwah. Dengan dakwah perlukah menyangka bahawa, hanya berceramah sahaja? Sememangnya tidak! Sesungguhnya, dakwah itu terlalu banyak cabangnya. Justeru, bukan hanya bercakap sahaja, dakwah juga boleh digunakan dengan pelbagai cara.

Misalnya, berdakwah dengan nyanyian, penulisan, perfileman, ataupun dengan akhlak yang baik, dan lain-lain lagi. Yang penting semuanya menjurus kita supaya kembali kepada islam. Segala apa kebaikkan yang dilakukan semuanya dikirakan dakwah, yang penting dasarnya kembali kepada islam.

Signifikannya, usahlah kita melihat dakwah itu hanya dengan skop yang kecil. Teliti dan perhalusi, dalam usaha membentuk manusia bukannya dengan berbicara sahaja, hatta dengan akhlak juga boleh mendorong orang lain tertarik dengan islam.

Islam itu hakikatnya indah, di make up lagi dengan dakwah yang kreatif dan menarik akan menampakkan lagi betapa keindahan islam itu benar-benar indah dan suci.


Da'ie Itu 'Penyeri'

Walaupun sinonim dan kebiasaannya yang berdakwah itu di anggap ustaz/ustazah atau imam, namun hakikatnya kita semuanya adalah dai'e. Islam agama yang mengajak manusia bertuhankan satu iaitu menyeru umat manusia akan mengesakan Allah SWT dan menyakini hanyasanya Nabi Muhammad itu pesuruh Allah di bawah panji "La Ilaha Illah Muhammadar Rasulullah". Oleh itu, seorang pendakwah perlulah membawa imej islam dengan sebaiknya bagi menjaga kebenaran dan keindahan islam.

Tanpa da'ie dakwah itu tidak beerti. Justeru, dai'e itu umpama 'penyeri' di dalam dakwah itu sendiri. Untuk menyantuni manusia mengajak ke jalan kebenaran. Bersikap kreatif dalam menyerikan dapat menyumbangkan idea pembentukkan sahsiah di dalam diri manusia.

Selain itu, pendakwah yang menjadi pernyeri perlu memecah tradisi, dengan melemparkan segala kejumudan yang ada, melihat dengan penuh kondisi dan sisi. Bagi mencari ruang yang ada untuk memenuhi hati manusia mengajak kembali kepada tuhan yang Maha Esa.

Jangan hanya kejumudan yang ada sehingga tidak melihat uslub (cara) dakwah yang betul, dan waqi' (sesuai pada sesuatu keadaan, tempat dan masa) menyebabkan manusia yang mahu berjinak-jinak kembali dengan islam, ataupun yang mahu mencari kebenaran islam  memandangan serong pada sesetengah pendakwah yang syadid pada tempat yang tidak sepatutnya. 

Hal ini kerana adanya kepelbagaian mad'u iaitu orang yang di dakwah, mempunyai fikrah dan latar belakang yang berbeza-beza.  Justeru, sudah tentulah pelbagai respon dan reaksi yang akan diterima oleh seorang da'ie. Telah berkata Al Marhum Hasan Al-Hudhaibi, mursyid kedua Ikhwan Muslimin, "kita adalah pendakwah bukan penghukum!"

Maka marilah kita koreksi kembali, pendakwah yang berstyle itu juga perlu ada bagi menyerikan lagi dakwah yang sediakala. Kreativiti dalam berdakwah dapat menarik minat manusia untuk kembali kepada jalan kebenaran dan menerima keindahan islam itu tanpa sedikitpun ada rasa terpaksa.

Siapa Pendakwah?


Namun sebagai umat manusia, adakalanya merasakan diri tidak layak dan belum cukup sempurna di dalam melaksanakan dakwah. Kita akan melaksanakan dakwah itu hanya apabila diri kita cukup dengan ilmu agama. Justeru, dalam kehidupan itu kita hanya membiarkan dakwah dilakukan oleh mereka yang bergelar imam, ustaz atau ustazah.

Mungkin kita terlupa dengan ayat yang berbunyi;

"Sesiapa yang mengucap tiada tuhan melainkan Allah, dan Nabi Muhammad itu persuruh Allah, dan dia adalah dai'e"

Daripada ayat ini, jelas menunjukkan setiap muslim itu adalah pendakwah, yang menyeru manusia kepada mentauhidkan Allah, menyakini Muhammad Kekasih Allah, yang mengajak manusia mengerjakan kebaikan dan menyeru meninggalkan larangan Allah SWT.

Lantaran itu, untuk berdakwah usah tunggu sempurna. Teruskan usaha, mencari ilmu dan tingkatkan iman kepada Allah SWT. Sentiasalah merasai diri ini penuh dengan noda dosa dan merasa kurang di hadapan Allah SWT. Sesungguhnya dengan hadirnya rasa kerendahan diri kepada Allah SWT akan mendorong kita untuk lebih berusaha untu memperbaiki diri seterusnya berlumba-lumba di dalam melakukan amal kebaikan. 

Tiada ulasan: