Isnin, 18 Mac 2013

Muslimah : dirimu ada fitnah!

Teringat akan kata-kata seorang sahabat; 

"Sesungguhnya tidak beruntung bagi seorang hawa di sisi Islam, sudah awal-awal didriskiminasikan oleh agamanya sebagai punca manusia memasuki neraka, mereka yang paling banyak memasuki neraka,dan mereka hanya diciptapada awalnya pun kerna ingin memuaskan nafsu dan kesunyian Nabi Adam AS di syurga dahulu. Adakah itu telah menyedapkan hati awak untuk memberi kepercayaan sepenuhnya kepada Tuhan awak?"

"Ya," ana menjawab ringkas dan yakin sekali.

"Kalau begitu, boleh awak tangkis pendapat saya, berdasarkan Al-Quran dan Sunnah yang agama awak begitu pentingkan itu? Bolehkah awak tukarkan pandangan saya ini terhadap layanan Islam terhadap wanita? Kerna sejujurnya saya masih tidak memahami konsep keadilan terhadap wanita yang awak umat Islam begitu bangga-banggakan itu!"

"Gulp!" Subhanallah, terkaget ana waktu itu. Terdiam kami berdua pada waktu itu, dia diam menunggu jawapan dan ana pula terkelu lidah kerana masih kurang arif dan berilmu untuk menyampaikan hujah dari dua sumber utama, iaitu dari Alh-Quran mahupun al-hadis. Soalan itu berlalu sebegitu sahaja, kehilangan sebuah peluang untuk ku membawanya mengenal Nur Islam dan kehilangan juga peluang dia untuk memandang Islam ke arah kebenaran. Semuanya kerna kejahilanku terhadap ilmu agama tika itu.

"Ya Allah, ampunkanlah daku!" Bisik hatiku mengharapkan sepenuh pertolongan dari Allah SWT. 

Ku sedari, Diriku bukanlah seperti Hassan Al-Basri,
Mampu memberi jaminan pada Simeon penyembah api,
Untuk memasuki Al-Jannah sebaik dirinya mengucap syahadah,
Kerna dirinya mempunyai kefahaman terhadap Islam agama yang benar,
Tapi diriku hanya insan di akhir zaman,
Yang mampu berusaha dengan mujahadah,
Dengan ilmu dan amal,
Dijadikan tauladan dan ikutan,
Orang yang jahil terhadap Islam,
Wahai diri,bangkitlah!
Bangkitlah untuk menjadi seorang dae'i!

*****

"Ya Allah, Ya Khaliq, benarkah Engkau menciptakan kaum hawa semata-mata kerana untuk lampiaskan nafsu syahwat kaum adam?"

Tiga tahun sudah berlalu, namun kata-katanya itu tiba-tiba muncul dari ingatanku tanpa ana pinta. Mungkin ini adalah hidayah dari Yang 'Alim, untuk ana mula kupas isu ini, dan mudah-mudahan mendapat ilmu untuk ana menjadikan bekalan tatkala diajukan soalan yang sama, InsyaAllah. 

Firman Allah SWT yang bermaksud :-

"Dan orang-orang yang beriman, lelaki dan perempuan, sebahagian mereka menjadi penolong bagi sebahagian yang lain. Mereka menyuruh (berbuat) yang makruf, dan mencegah dari yang mungkar, melaksanakan solat, menunaikan zakat, dan taat kepada Allah dan Rasul-Nya. Mereka akan diberi rahmat oleh Allah. Sungguh, Allah Maha Perkasa,Maha Bijaksana"
(Surah at-Taubah ayat 71)

Sesungguhnya jauh sekali wahai sahabatku. Sudah jelas dari ayat al-Quran ini, kaum hawa akan menjadi penolong kepada kaum adam, dan begitu juga kaum adam terhadap kaum hawa. Menjadi salah satu bukti kekuasaan Allah SWT, ada sesetengah perkara yang kaum adam tidak ada (misalan, kesabaran yang tinggi untuk mendidik anak-anak supaya menjadi soleh/ah, memperkemaskan dan memperindahkan diri demi menjaga kesucian agama Islam) dan juga kaum hawa tidak ada ( misalan, kawalan atas nafsu mereka untuk membezakan yang kehendak dan keperluan, menangani situasi yang begitu berat bagi kudrat dan emosi mereka) yang bila mereka berkerjasama, mampu diatasi dengan senang. InsyaAllah...

SubhanaAllah!

Selain itu, bukankah sudah termaktub sekali daripada ayat tersebut, tugas kaum hawa yang sebenar-benarnya beriman adalah untuk;

1) Melaksanakan amar makruf nahi mungkar

2) Melaksanakan solat

3) Menunaikan zakat

4) Taat pada Allah dan RasulNya

Bukankah sama sahaja tanggungjawab kaum hawa dengan tanggungjawab kaum Adam di sisi Allah? Ianya meliputi semua tugas seorang khalifah, tugas seorang dae'i di muka bumi ini. Justeru adakah lagi sebab untuk pertikaikan tangungjawab kita terhadap Allah, hanya kerana berlainan jantina?

Sesungguhnya Allah lebih Mengetahui!

Ya Rahman, Ya Rahim, benarkah tiada lagi peluang untuk kami memasuki syurga? Adakah benar kami ini hanyalah fitnah semata-mata untuk kaum adam di muka bumi ini?

"Aku melihat ke dalam syurga maka aku melihat kebanyakan ahlinya adalah fuqara'(para fakir miskin) dan aku melihat ke dalam neraka dan aku melihat kebanyakan ahlinya adalah kaum wanita"
(Hadis Riwayat Bukhari dan Muslim)

Adakah ini benar kata-kata Rasullah SAW, kekasih junjungan kami semua?
Adakah ini bermaksud termaktublah nama setiap hawa memasuki neraka?

Sesungguhnya tiada dusta Sabda Baginda yang termulia. Namun, hadis di atas bukanlah bermaksud untuk melemahkan kaum wanita. Apatah lagi untuk merendahkan martabat wanita itu sendiri.

Jika sebelumnya golongan wanita di letakkan di level  yang paling rendah, hanya disifatkan sebagai simbol seks dan hiburan semata-mata, tetapi datangnya Islam oleh Rasulullah SAW sebagai pembela, mengangkat darjat wanita itu di tempat yang mulia. 

Hakikatnya, setiap amalan bani adam itu padanya akan menerima ganjaran dan balasan mengikut amalan masing-masing dan sedikit pun tidak mengira akan jantinanya. Demikianlah seorang lelaki, jika berbuat maksiat juga akan menerima balasannya.

Yang pasti, ahli neraka itu bukanlah ditentukan oleh jantina seseorang. Bukan juga bangsa dan warna kulitnya, tetapi amal perbuatan seseorang selama hidup di dunya ini." [UMAR M. NOOR, Majalah Solusi Keluaran 41]

Itulah kata-kata dari pakar dan alim. Sesungguhnya, hadis-hadis ini dikeluarkan bukanlah bermaksud kaum hawa itu dijamin masuk neraka semata-mata, tetapi jika didalami maksudnya yang lebih mendalam, hadis-hadis ini lebih bersifat membawa kita ke arah KESEDARAN dan PERINGATAN, agar kaum hawa lebih mengambil berat terhadap diri mereka dan amalan mereka.

*****

Terdapat juga hadis lain dan lebih banyak menceritakan tentang keistimewaan kaum hawa di sisi Islam. Antaranya :-

Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud;

"Wanita apabila ia sembahyang lima waktu, puasa sebulan Ramadhan, memelihara kehormatan serta taat pada suami, maka masuklah mana-mana pintu syurga yang ia kehendaki."
(Hadis Riwayat dari Ahmad Ibnu Hibban, Thabarani, Anas bin Malik)

Rasulullah Shallallahu 'Alaihi Wa Sallam menggambarkan keutamaan-keutamaan wanita penduduk Syurga, di mana baginda bersabda yang bermaksud;

"... seandainya salah seorang wanita penduduk Syurga melihat penduduk bumi nescaya dia akan menyinari antara keduanya (penduduk Syurga dan penduduk bumi) dan akan memenuhinya bau wangi-wangian. Dan setengah dari kerudung wanita Syurga yang ada di kepalanya itu lebih baik daripada dunia dan isinya."
(Hadis Riwayat Bukhari)

"Sesungguhnya isteri-isteri penduduk Syurga akan memanggil suami-suami mereka dengan suara yang merdu yang tidak pernah didengarkan oleh seorangpun. Di antara yang didendangkan oleh mereka : "Kami adalah wanita-wanita pilihan yang terbaik. Isteri-isteri kaum yang termulia. Mereka memandang dengan mata yang menyejukkan." Dan mereka juga mendendangkan : "Kami adalah wanita-wanita yang kekal, tidak akan mati. Kami adalah wanita-wanita yang aman, tidak akan takut. Kami adalah wanita-wanita yang tinggal, tidak akan pergi."
(Shahih Al Jami' nombor 1557)

Rasulullah s.a.w bersabda lagi

"Apabila seseorang isteri meninggal dunia dan suaminya redha kepadanya, maka ia akan masuk syurga."
(Hadis Riwayat Tirmidzi dan Ibn Majah)

Begitu jua dengan kata-kata 'wanita adalah fitnah bagi kaum lelaki' yang sering dijadikan isu hebat oleh penentang Islam. Mari kita selami kembali ayat-ayat cinta dariNya,

"Katakanlah kepada lelaki yang beriman, agar mereka tundukkan pandangan dan memelihara kemaluannya, yang demikian lebih suci bagi mereka. Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui apa yang mereka perbuat. Dan katakanlah kepada perempuan yang beriman, agar mereka tundukkan pandangannya,memelihara kemaluannyadan janganlah memperlihatkan perhiasannya (auratnya), kecuali yang (biasa) terlihat..."
(Surah an-Nur ayat 30-31)

Wahai sahabatku, marilah kita sama-sama teliti ayat-ayat ini,

Siapa yang diarahkan untuk menundukkan pandangannya dahulu? Siapa yang diperintahkan untuk memelihara kemaluannya dahulu?
Sesungguhnya, yang patut menjaganya adalah kaum adam, kaum adam yang sepatutnya mengawal nafsu mereka, anggota badan mereka dari terjerumus dalam keindahan ciptaan Allah SWT bergelar kaum hawa.

Adakah ini bermakna kaum hawa terlepas dari semua bebanan?

Tidak sama sekali, seperti ayat yang tertera awal tadi, kaum hawa perlu menjadi penolong kepada kaum adam. Agar mereka tidak terfitnah dan kita juga tidak menjadi mangsa label punca kaum adam tidak mampu mengawal nafsu mereka. Antaranya dengan :-

1) Tundukkan pandangan

2) Pelihara kemaluan

3) Menjaga aurat

4) Menjauhi zina

5) Tidak melunakkan suara

6) Menjaga ikhtilat antara kaum adam dan kaum hawa

7) Tidak memandang dan tidak dipandang~

8) Tidak dibicara namanya dan membicara nama kaum adam

Bukankah ini telah buktikan Allah itu Maha Adill?

Kesimpulannya, wanita mahupun lelaki mempunyai masing-masing mempunyai fungsi dan amanah yang telah ditakhlifkan oleh Allah SWT. Dan setiap kejadian itu - wanita dan lelaki sepatutnya meletakkan fungsi itu pada tempat yang sepatutnya. Maknanya, setiap manusia perlu melaksanakan amanah yang diberikan berkesesuaian dengan nilai yang tersedia. Pada wanita wajib melaksanakan amanah yang ada, dan begitu juga bagi seorang lelaki, juga wajib melaksanakan amanah yang menjadi tuntutan ke atasnya.


Tikamana seorang wanita melaksanakan amanah dan perintah yang tersedia ke atasnya, dan seorang lelaki juga melaksanakan tanggungjawab dan amanah yang diberikan, maka tidak akan adalah kemungkaran dan dosa ke atas kedua-duanya. Namun, seandainya wanita mahupun lelaki tidak menunaikan hak-hak dan prinsip hidup yang telah ditetapkan kepada keduanya sesuai dengan apa yang diperintahkan oleh  Syariat Islam maka berlakulah fitnah ke atas dirinya sendiri.

Kedua-duanya akan menapat balasan dan mendapat azab siksaanNya. Bukan hanya wanita sahaja bahkan kedua-duanya sekali!

*****

Alhamdulillah, berakhir jua coretan ini.. Sudah lama ana kaji dan mencari sumbger-sumber dipercayai untuk mencari kebenaran di sebalik keyakinan ana mengucapkan 'Ya' tatkala ditanya oleh sahabat ana dahulu.

Moga coretan  ini, mampu menebus kembali kekhilafan ana terhadap hujah terhadap sahabat ana itu. Mungkin ini juga mampu menjadi perantara dariNya kepada sahabat di luar sana, tidak kira Islam atau tidak, Adam mahupun Hawa untuk memberi kefahaman dan juga hidayah kepada mereka.

Hidayah itu Milik Allah, Sebagai Hamba kita hanya perlu mencarinya!

Wallahu Ta'ala A'lam...

- Artikel iluvislam.com

Tiada ulasan: