"Ya Allah, ampunkanlah aku. Sesungguhnya aku tidak layak memasuki syurgamu, tetapi tidak pula aku sanggup menanggung seksa nerakamu. Engkau pimpinlah aku menuju ke jalan orang yang bertakwa iaitu orang yang mendapat hidayah. Istiqomahkanlah hati ini. Kurniakanlah bagiku keluarga, kekasih, dan sahabat daripada orang yang soleh dan solehah. Amin..."
Islam mendidik kita supaya berdoa dan beramal, agar Allah akan mengurniakan hidayah-Nya kepada kita agar kita sentiasa berada di atas jalan-Nya yang lurus, iaitu jalan yang diredhai Allah SWT. InsyaAllah...
Allah tidak pernah meletakkan kriteria dan syarat dalam menerima taubat hambaNya. Yakinlah, Allah Maha Pengampun dan Maha Penyayang. Allah sangat menyukai apabila hambaNya merintih memohon taubat dariNya. Ketahuilah, kita sentiasa mempunyai ruang dan peluang untuk bertaubat meskipun sebesar mana dosa yang pernah kita lakukan. Maka manfaatkanlah ruang dan peluang taubat itu dengan sebaiknya sebelum kita dipanggil menuju ke destinasi sebenar.
Teringat mutiara kata yang telah dinukilkan oleh ustaz Pahrol Muhd Juoi dalam penulisannya :-
"Jika manis, Allah mengajarku erti syukur. Jika pahit, Allah mengajarku erti sabar. Jika dikecewakan, aku sedang belajar hakikat tawakal. Bila cemas, Allah mengajarku erti raja' (mengharap). Jika sedikit, Allah mengajarku erti qanaah (berpada-pada). Ya Allah, lepaskan hati kami dari asbab-asbab ini, agar kami bebas dan tenang berpaut pada 'musabbabil asbab' (Penyebab segala sebab) ."
Hidayah dan taubat tidak dapat dipisahkan. Ibarat irama dan lagu. Apabila seseorang itu bertaubat kepada Allah S.W.T, sudah pasti dia telah menerima hidayah daripada Allah. Begitu juga apabila seseorang itu telah mendapat hidayah daripada Allah, pasti dia akan bertaubat kepada-Nya.
Agaknya sudah berapa kali kita dipilih oleh Allah untuk diberikan hidayah oleh-Nya?, Tapi, entah sudah keberapa kali juga kita menolaknya, dan agaknya berapa kali lagi kita akan dipilih dan terus menolaknya? Itupun sekiranya Allah masih memberikan kita peluang untuk merasai nikmat hidayah-Nya. Bagaimana sekiranya hidayah itu tidak pernah kunjung tiba lagi?
Sedarkah kita dengan kehadiran hidayah Allah buat kita?
Pernahkah kita terfikir,bahawa setiap detik dalam kehidupan ini Allah S.W.T ada memberi 'hint' hidayah-Nya kepada kita?
Sempurnakah hidayah Allah buat kita?
Seandainya kita telah dikurniakan hidayah oleh Allah adakah diri kita telah bersyukur dengan pemberian-Nya?
Adakah akhlak kita selama ini selari dengan kurniaan hidayah Allah buat kita?
Itu antara persoalan yang wajib kita tanyakan pada hati kita dalam setiap detik kehidupan. Allah SWT memberikan hidayah kepada hamba-Nya dengan pelbagai cara tanpa kita sedari. Ada orang dia mendapat hidayah ketika memandu, ada orang dia mendapat hidayah ketika sedang makan, dan tidak ketinggalan juga ada orang yang mendapat hidayah ketika sedang membeli-belah di 'shopping complex'. Ini menunjukkan bahawa Allah SWT berhak memberi hidayah kepada sesiapa yang dikehendaki-Nya walaupun dalam apa jua keadaan sekalipun.
Apabila Allah SWT telah memberi hidayah kepada kita,kemudian Allah SWT nak jadikan kita orang yang baik Allah tak bagi dengan percuma begitu sahaja tapi Allah akan bagi kita 'faqih'. Faqih bermaksud faham apa yang Allah nak,apa yang Rasul nak,dan apa yang agama nak sebenarnya. Ada orang apabila dia telah mendapat hidayah,dia tak tahu apa yang agama nak sebenarnya, sebab itu kalau kita nak rasa Allah sayang dekat kita, bukan dengan kita mendapat sesuatu habuan di dunia, tetapi apabila Allah memberi rasa taat kepada Dia, satu hari kita rasa seronok untuk dengar kuliah, satu hari kita rasa rajin untuk mendengar peringatan-peringatan daripada Allah boleh jadi itu sebabnya Allah nak jadikan kita orang yang baik. Boleh jadi kita digolongkan oleh Allah dalam kalangan orang yang Allah kasih dan Allah sayang.
Betulkah Allah sayangkan kita. Kalau Allah sayangkan kita, mengapa kita masih lagi begini?. Ajal maut tak menunggu kita walaupun sesaat. Tidak, kita harus melakukan sesuatu. Allah berikan kita nyawa, dan haruskah kita menggunakan nyawa kita, hayat kita untuk perkara sia-sia? Allah berikan nyawa untuk kita pada-Nya.
Pentingkah hidayah buat diri kita?
Secara umumnya manusia mempunyai dua hajat.
1) Hajatnya kepada dunia
Sesungguhnya manusia itu, sangat memerlukan agama sebagai meraih tuntutan fitrah yang ada. Tatkala seseorang manusia itu diuji dengan musibah sebagai contohnya, lantas secara lumrahnya ia akan memerlukan suatu kuasa yang dapat membantunya. Umpama seorang yang berada di lautan seorang diri, maka ia sangat berhajat kepada sesuatu yang dapat menolongnya untuk kembali semula ke darat.
Demikianlah juga, Allah berikan rasa keinginan dan kecintaan kepada sesuatu. Memerlukan makanan, minuman, pakaian dan pelbagai lagi keperluan fitrahnya. Ia berkeinginan untuk berpasangan dan memiliki zuriat untuk meneruskan keberlansungan kehidupan. Cintakan kecantikan, keindahan, kebaikan dan kebahagiaan.
Apabila manusia dahaga Allah memberi manusia minum seperti firman-Nya:-
"Dan Kami menurunkan hujan daripada langit"
(Surah al-Baqarah ayat 164)
Apabila manusia lapar,Allah memberi manusia makanan .Firman-Nya:-
"Dialah (Allah) yang menciptakan segala apa yang ada di bumi untukmu"
(Surah al-Baqarah ayat 29)
Lelaki memerlukan wanita sepertimana wanita memerlukan lelaki, maka kerana fitrah itu jugalah Allah jadikan pernikahan sebagai meraih rasa fitrah hamba. Apabila manusia itu ingin bergerak, Allah berikan pula padanya kenderaan daripada pelbagai jenis haiwan tunggangan. Ini semua adalah antara hajat-hajat manusia ketika mereka berada di dunia. Apabila manusia berada di dunia dia memerlukan semua ini, dan Allah memenuhi segala hajat manusia.
Namun sebaik-baik hajat itu adalah berhajatkan kepada Hidayah dan redhaNya Allah SWT. Hanya dengan hidayah Allah itu manusia akan lebih selamat dan aman bukan sahaja di dunia bahkan akan merasa lebih selamat ketika berada di alam akhirat kelak.
2) Hajatnya kepada akhirat
Manusia apabila berada di akhirat, lebih berhajat kepada pertolongan Allah SWT. Dan inilah yang dinamakan sebagai Rahmat Allah SWT. Walau pun sewaktu di dunia dia adalah seorang sultan, raja, hartawan atau pun orang kenamaan, tidak akan dapat menyelamatkan dan dapat melepaskan dirinya daripada siksaan Allah SWT melainkan dengan adanya rahmat Allah SWT.
Allah berfirman di dalam kitabNya yang bermaksud;-
Wahai Tuhan kami, janganlah Engkau memesongkan hati kami sesudah Engkau beri petunjuk kepada kami, dan kurniakanlah kepada kami limpah rahmat dari sisi-Mu, Sesungguhnya Engkau jualah Tuhan Yang melimpah-limpah pemberian-Nya"
(Surah al-Imran ayat 8)
Sahabat-sahabat semua, apabila kita berhajat kepada redha Allah, hidayah Allah maka pertama sekali mahu tidak mahu kita mestilah mengutamakan hak-hak Allah SWT dalam kehidupan kita. Melaksanakan segala perintah Allah SWT dan meninggalkan segala laranganNya. Semoga dengan kita mengutamakan Allah dalam segenap kehidupan kita, Allah sudi memandang kita di akhirat kelak. Mudah-mudahan dengannya, Allah juga sudi memberi Rahmat dan pertolonganNya kepada kita ketika berada di alam akhirat kelak.
Ingatlah, Allah tidak memerlukan kita tetapi kitalah yang memerlukanNya!
- Artikel iluvislam.com
Tiada ulasan:
Catat Ulasan