Rabu, 27 Mac 2013

Kronologi Pencerobohan Lahad Datu 2013

 Kronologi Pencerobohan Lahad Datu Dari 9 Februari 2013 Hingga Kini | Seperti yang kita ketahui, hari ini genap sebulan penceroboh dari kesultanan sulu bikin huru hara di negara kita namun kita masih belum nampak tanda-tanda yang mereka ingin menyerahkan diri lagi. Berikut merupakan kronologi Kes Pencerobohan Di Lahad Datu.

9 Februari
Kumpulan penceroboh memasuki perairan negara menggunakan bot pancung dan berkumpul secara berperingkat di Felda Sahabat 17, Kampung Tanduo, Lahad Datu.

11 Februari
Sebahagian daripada anggota kumpulan itu dikesan sekumpulan nelayan tempatan pada waktu malam dan nelayan tersebut membuat laporan polis mengenai lebih 100 lelaki berpakaian ala tentera dan bersenjata api berkampung di Kampung Tandou.

12 Februari: Kumpulan itu dikenal pasti berpecah di beberapa lokasi di kampung itu iaitu di kawasan sungai bakau kampung itu, sebuah surau di kampung itu dan rumah Ahmad Malandi atau dikenali Mad bon.

14 Februari
Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak berkata kerajaan Malaysia akan melakukan yang terbaik termasuk melalui perundingan, bagi menangani isu pencerobohan tersebut sebelum mengusir mereka keluar dari kawasan itu.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Ismail Omar berkata polis telah mengenal pasti kumpulan warga Filipina yang mendarat di pesisir pantai Lahad Datu, Sabah sebagai pewaris berketurunan 'Raja Sulu' dari Selatan Filipina.

Ismail berkata kumpulan terbabit menuntut mereka dikenali sebagai Askar Diraja Kesultanan Sulu dan mereka tidak mahu rakyatnya berketurunan Sulu dihantar pulang ke negara asal.

Beliau juga berkata rundingan dengan pihak bersenjata masih dijalankan bagi mencari jalan penyelesaian yang terbaik tanpa melibatkan pertumpahan darah.

Laporan memetik salah seorang anggota tentera Filipina yang merupakan pengikut setia Raja Muda Sulu, Raja Muda Azzimudie Kiram sebagai berkata kedatangan kumpulan tersebut selepas mendapat jemputan pihak pembangkang untuk membincangkan isu tanah di Sabah.

16 Februari
Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein mengesahkan kumpulan tersebut bukan kumpulan militan atau pengganas sebaliknya penyokong kuat 'Kesultanan Sulu' dan menegaskan situasi di Kampung Tanduo adalah terkawal.

Kumpulan itu yang mahu dikenali sebagai 'Askar Diraja Kesultanan Sulu' antara lain menuntut Sabah dikembalikan ke wilayah kesultanan Sulu, kerana sebelum ia diambil British ia di bawah kerajaan Sulu.

18 Februari
Hishammuddin berkata kerajaan Malaysia dan Filipina sentiasa bekerja rapat dalam menyelesaikan konflik ini dan memberitahu ia akan dilakukan secara diplomasi tanpa sebarang pertumpahan darah.

24 Februari
Kerajaan Filipina menghantar sebuah kapal dalam misi kemanusiaan untuk membawa pulang kumpulan 180 anggota termasuk 30 pengawal bersenjata yang bertahan di Lahad Datu, Sabah sejak 12 Februari lalu.

26 Februari
Tempoh pengusiran mereka tamat namun rundingan masih dijalankan terhadap kumpulan penceroboh itu.

28 Februari
Kerajaan Malaysia digesa mengadakan rundingan secara terus dengan Sultan Jamalul Kiram III di Manila untuk menamatkan konflik perebutan kawasan di Lahad Datu, Sabah yang berlanjutan selama lebih tiga minggu.

Gesaan tersebut disuarakan adik bongsu Jamalul, Agbimuddin Kiram yang menegaskan hanya abangnya boleh mengarahkan kira-kira 180 'tentera diraja' meninggalkan Felda Sahabat 17, Lahad Datu.

1 Mac
Pertempuran tercetus antara pasukan keselamatan dan sekumpulan kecil kumpulan penceroboh ketika kumpulan terbabit cuba keluar daripada kepungan polis di Kampung Tanduo, menyebabkan dua anggota pasukan keselamatan terkorban serta tiga lagi cedera. Dua belas penceroboh bersenjata terbunuh.

2 Mac
Jenazah Inspektor Zulkifli Mamat dan Koperal Sabarudin Daud yang terkorban dalam pertempuran dengan sekumpulan penceroboh bersenjata di Lahad Datu tiba di Pangkalan Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) Subang pada pukul 12.43 tengahari.

Jenazah Inspektor Zulkifli Mamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Kampung Gong Bayor, Jertih manakala jenazah Koperal Sabarudin Daud dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Masjid Makmuriah di Kampung Sungai Lias, Sungai Besar.

Pada hari yang sama, Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Musa Aman melawat dua anggota komando yang cedera iaitu anggota komando polis, Kpl Mohd Tarmizi Hashim, 32, dan Kpl Azman Ampong, 39, di Hospital Lahad Datu.

3 Mac
 Ketua Polis Negara, Tan Sri Ismail Omar mengesahkan kesengitan di Semporna dengan penceroboh 'Kesultanan Sulu' berakhir dengan jumlah sebanyak 12 kematian, termasuk enam anggota polis. Insiden berkenaan berlaku di Kampung Sri Jaya, Siminul, Semporna, Sabah pada 2 Mac, jam 8 malam.

Bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad mahu kerajaan mengambil tindakan keras terhadap pihak penceroboh.

4 Mac
Keenam-enam jenazah dibawa pulang ke kampung halaman masing masing. Jenazah Supt Ibrahim Lebar dari cawangan khas Bukit Aman, ASP Micheal Padel dari cawangan khas IPD Semporna, Sarjan Baharin Hami dari cawangan khas IPK Sabah, Sarjan Aziz Sarikun dari BN 14 PGA Tawau, Koperal Salam Togiran dari IPD Tawau dan Lans Koperal Mohd Azrul Tukiran dari BN 14 PGA Tawau dibawa ke kampung masing-masing.

Jenazah Allahyarham Supritendan Ibrahim Lebar, 52, dan Lans Koperal Mohd. Azrul Tukiran, 27 diterbangkan ke pangkalan Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) Subang dari Lapangan Terbang Tawau menggunakan pesawat Charlie. Jenazah mereka tiba pada jam 7 petang.

Semasa sidang media di Manila, Presiden Filipina Benigno Aquino III berkata pentadbiran beliau akan meneruskan membantu menyelesaikan pencerobohan di Sabah melalui jalan keamanan.

5 Mac
Pada jam 7 pagi, pasukan keselamatan melancarkan serangan ke Kampung Tanduo. Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dalam satu kenyataan mengumumkan serangan itu adalah "bagi menjaga maruah dan kedaulatan negara".

Operasi diberi nama Ops Daulat.

Pada 11 pagi, Ketua Polis Negara Tan Sri Ismail Omar dalam sidang media bersama Panglima Angkatan Tentera Jen Tan Sri Zulkifeli Mohd Zin menyifatkan Ops Daulat itu mencapai objektif yang ditetapkan.

Dalam sidang media lebih kurang pukul 2 petang, Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein dan Menteri Pertahanan Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi mengesahkan tiada kematian dan kecederaan di pihak pasukan keselamatan.

Pada pukul 4 petang, Ketua Polis Negara mengadakan sidang akhbar mengatakan operasi susulan dan penggeledahan masih diteruskan kerana polis percaya masih ada musuh di kawasan itu.

Sehingga pukul 7 petang, polis belum mengesahkan jumlah kematian, kecederaan atau tangkapan di pihak anggota kumpulan penceroboh bersenjata itu.

6 Mac
Dalam satu sidang media bersama, Menteri Pertahanan, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi dan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein mengesahkan tiga belas mayat pengganas dari Selatan Filipina ditemui di Kampung Tanduo susulan operasi menggeledah.

Korban itu termasuk seorang pengganas yang ditembak mati dalam satu pertempuran pada 6.45 pagi Rabu.

Sembilan daripada mayat itu ditemui dalam sebuah kubur.

Polis juga telah menahan empat lelaki dalam lingkungan umur 20 hingga 50 tahun yang dipercayai mempunyai kaitan dengan kumpulan penceroboh di Kampung Sri Jaya Siminul, Semporna.

7 Mac
Jamalul Kiram III yang mendakwa dirinya sebagai waris Sultan Sulu, mengumumkan gencatan senjata pada pihak Kesultanan Sulu berkuatkuasa pukul 12.30 tengahari, menurut jurucakapnya, Abraham Idjirani.

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak yang melawat Lahad Datu, menolak gesaan gencatan senjata dan mahu pengganas itu meletakkan senjata tanpa syarat serta serah diri.

Najib juga mengumumkan pembentukan sebuah kawasan keselamatan khas yang meliputi wilayah pantai timur Sabah dari Kudat ke Tawau.

Kawasan itu merangkumi daerah Sandakan, Semporna dan Lahad Datu.

Tan Sri Ismail Omar pula berkata setakat ini 52 orang pengganas Sulu termasuk ketua kumpulan itu yang berpangkat ‘jeneral’, telah terbunuh dalam Ops Daulat.

Rakyat Malaysia telah meluahkan perasaan terkejut serta jijik dengan tindakan tidak berperikemanusiaan penceroboh Sulu di Sabah yang dilaporkan telah mencacatkan anggota pasukan keselamatan negara yang terbunuh dipertempuran di Kampung Sri Jaya Siminul, Semporna.

8 Mac
Tan Sri Ismail Omar berkata lebih 50 individu yang disyaki mempunyai kaitan dengan penceroboh militan di Lahad Datu ditahan mengikut Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012.

Ismail berkata kumpulan pengganas dari Selatan Filipina yang menceroboh Sabah dan berkubu di dua kampung dekat Lahad Datu belum menunjukkan tanda-tanda mahu menyerah diri dan meletak senjata.
Beliau berkata, sehubungan itu, gerakan memburu saki-baki anggota kumpulan itu diteruskan.

Panglima Angkatan Tentera Jeneral Tan Sri Zulkifeli Mohd Zin pihaknya masih menunggu Wisma Putra berkaitan perkembangan kumpulan penceroboh akan menyerah diri dan meletak senjata tanpa syarat.

9 Mac
 
Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa Bersatu, Ban Ki-moon mengadakan pertemuan dengan Wakil Tetap Malaysia ke PBB, Hussein Haniff bagi membincangkan perkembangan terkini di Sabah, pada Jumaat.

Pada pertemuan itu, Ki-moon mengambil maklum usaha yang sedang dilakukan oleh Malaysia dan Filipina bagi mencari penyelesaian damai kepada krisis pencerobohan di Lahad Datu.

Ki-moon berharap segala usaha diteruskan untuk memastikan hak asasi manusia dihormati serta mengelak lebih banyak korban jiwa.

Tiada ulasan: