Isnin, 27 Oktober 2014

Mencari Pengganti Salibasic

Sarawak sudah mula berkira-kira mencari calon pengganti pemain importnya, Muamer Salibasic, 31, memandangkan kecederaan yang dialami pemain itu amat sukar dipastikan.

Ketua Jurulatih Sarawak, Robert Alberts berkata calon pengganti pemain tersebut sudah dikenal pasti sekiranya Salibasic terpaksa diketepikan ekoran kecederaan.

Bagaimanapun, harapan tinggi masih diberikan kepada Salibasic untuk kembali cergas kerana pemain kelahiran Bosnia itu mempunyai pengaruh kuat dalam pasukan Ngap Sayot.

“Buat masa ini, biar kita bincangkan mengenai Salibasic dahulu kerana kita masih belum mengetahui mengenai nasibnya.

“Namun, saya memang sudah mengenal pasti calon import asing untuk menggantikannya sekiranya Salibasic tidak dapat bermain musim depan,” katanya ketika dihubungi semalam.

Ketika ini, Sarawak mempunyai dua pemain import iaitu Ryan Griffiths dan Gabor Gyepes sementara nasib Salibasic masih tidak diketahui.

Tambah Alberts, pemain import asing yang bakal diambil untuk musim depan hendaklah bebas daripada kecederaan selain berkualiti tinggi.

“Kita juga perlu mencari pemain import bagi slot Asia. Kalau keadaan memaksa kita perlu mencari seorang lagi pemain bagi menggantikan Salibasic,” ujarnya.

Musim depan menyaksikan Sarawak kehilangan beberapa pemain utama seperti Junior Eldstal, S Chanturu, Rashid Aya, Mafri Balang dan Sani Anuar Kamsani.

Menurut Albert, pemergian beberapa pemain utama memaksanya mengubah taktik bagi menghadapi saingan musim baharu.

“Kita menghadapi cabaran getir musim depan. Jadi kita perlu mengubah taktikal dengan mengambil kira kemampuan pemain yang kita miliki,” katanya.

Sumber : Utusan Borneo

Tiada ulasan: