Alangkah indahnya kehidupan orang kaya. Cakap sahaja apa yang dimahukan, hampir semuanya boleh dapat. Malah, kalau pegi ke mana-mana, ada sahaja yang hendak memberikan layanan ala first class. Jadi kalau ditanya kepada sesiapa – mahukah menjadi papa ataupun muflis? Jawapannya sudah tentu tidak!
Namun, dalam pada ramai yang cuba mengelak daripada menjadi muflis di dunia, ada antaranya pula terlupa untuk mengambil langkah berjaga-jaga agar tidak bankrap di akhirat. Sebab itulah ada yang ghairah mengaut kekayaan dengan bermacam-macam cara sama ada ‘halal’ ataupun ‘haram’. Tetapi di celah-celah itu juga masih ada terselit segelintir orang yang begitu ghairah membuat persiapan untuk kaya di akhirat. Cuma sayangnya, mereka papa pula di dunia.
Menurut Prof Madya Hj Mohd Nor Mamat, pensyarah di Pusat Pemikiran & Kefahaman Islam, Universiti Teknologi MARA, Shah Alam, seorang Muslim bukan hanya perlu mengejar kemewahan duniawi, tetapi juga kekayaan akhirat. Ini bersandarkan kepada sepotong ayat yang terdapat dalam kitab al-Quran.
Allah SWT berfirman yang bermaksud: “Hendaklah tuntut kampung akhirat dengan (kekayaan) yang diberikan Allah kepada engkau dan janganlah engkau lupakan bahagian (nasib) engkau dari dunia, dan berbuat baiklah (kepada manusia) sebagaimana Allah telah berbuat baik kepada engkau dan janganlah engkau berbuat bencana di muka bumi. Sesungguhnya Allah tidak mengasihi orang-orang yang memperbuat bencana itu.” (al-Qashash:77)
Tegas beliau lanjut, penilaian kepada muflis di dunia adalah bersandarkan kepada harta, sementara akhirat pula adalah pahala. Justeru itu, untuk menjadi individu kaya di ‘hari kemudian’ kelak, kekayaan harta dunia itu perlu ditransformasi atau ditukarkan kepada bentuk pahala.
Lakukan transformasi
“Kita tidak boleh mengejar kekayaan hanya untuk di dunia atau hanya untuk di akhirat sahaja. Kita juga tidak boleh menjadi bankrap di dunia semata-mata hendak menjadi kaya di akhirat. Kita kena kedua-duanya sekali. Sebab manusia yang paling baik adalah yang kaya di dunia dan kaya juga di akhirat. Dengan kata lain, dia kaya harta dan kaya pahala,” hurai beliau.
Sambung Prof Madya Hj Mohd Nor, individu kaya beruntung kerana dia boleh menukarkan aset dunianya bagi membolehkan dia membuat pelaburan pahala di akhirat. Hal ini berbeza pula dengan orang yang kurang berada, apalagi seorang fakir. Namun, golongan yang berada harus ingat – kalau hari ini dia kaya di dunia, tidak mustahil dia boleh menjadi muflis di akhirat gara-gara gagal menggunakan hartanya secara berhikmah di jalan Allah. Dan boleh jadi harta itu juga akan menyebabkan dia lengah masuk syurga.
Namun, bagi yang kurang berada pula, walaupun peluang menggandakan pahala untuk akhirat tidak sebanyak orang kaya, dia juga sebenarnya turut beruntung. Ini kerana kata Prof Madya Hj Mohd Nor, kurang harta akan menyebabkan dia kurang berbuat dosa dalam proses pengendalian harta yang ada.
Tidak dapat dinafikan bahawa terdapat pelbagai cara untuk mengaut pahala demi kekayaan di akhirat. Bagi yang berkemampuan dari segi material, sudah tentu membelanjakan harta dalam bentuk yang diredai Allah boleh menukarkan ia kepada pahala. Bagaimanapun, tegas beliau, ada beberapa syarat yang perlu dipatuhi.
“Syarat pertama, benda yang kita belanjakan itu tidak termasuk dalam perkara haram. Kedua, niat mestilah ikhlas kerana Tuhan. Ketiga, kena melakukan dengan sedar. Jika tersilap bagi itu, itu termasuk dalam kategori tidak sedar. Jadi tidaklah mendapat pahala. Dan yang keempat pula tidak menafikan arahan-arahan Tuhan yang lain. Kalau cukup syarat tadi, perbelanjaan harta kita akan bertukar kepada pahala akhirat,” jelasnya sambil menambah semuanya itu turut dikenali sebagai syarat ibadah umum.
Mengulas perihal ada orang yang sanggup menghabiskan keseluruhan hartanya untuk bersedekah, Prof Madya Hj Mohd Nor berkata, itu bukanlah cara terbaik untuk membuat pelaburan di akhirat. “Kalau kita hendak mendapatkan banyak pahala sebagai saham di akhirat, janganlah pula sampai kita melarat, tidak boleh hidup di dunia… Kita kena tengok model Rasulullah SAW,” ujarnya.
>Mengulas lanjut, beliau memetik kisah yang berlaku pada zaman Nabi Muhammad. Baginda pernah bertanya kepada sahabat – siapa yang mahukan pahala di akhirat dengan menginfakkan harta benda mereka? Lantas Abu Bakar bangun dan berkata ya. Rasulullah bertanya berapa banyak? Dan Abu Bakar memberitahu ingin menginfakkan keseluruhan hartanya sehingga yang tinggal hanyalah rasul dan Tuhan.
Mendengar kata-kata Abu Bakar, Nabi Muhammad terus berkata tidak boleh. Kemudian Umar Al-Khattab pula menawarkan diri dengan menginfakkan separuh daripada hartanya. Ini turut ditolak oleh baginda. Sebaliknya Rasulullah menegaskan bahawa hanya satu pertiga sahaja yang boleh diinfakkan. Selebihnya adalah untuk diri dan keluarga.
Bersedekahlah kepada keluarga
Sambung Prof Madya Hj Mohd Nor lanjut, walaupun seseorang itu melakukan sesuatu demi meraih pahala untuk akhirat, dia tidak boleh meletakkan dirinya di dunia dalam jurang kemusnahan. Dengan kata mudah, seorang Muslim tidak boleh sengaja menyusahkan dirinya. Selain itu, beliau turut menegur sikap kebanyakan Muslim yang menganggap sedekah tidak boleh diberikan kepada keluarga. Tegasnya, ini merupakan antara salah faham yang perlu diperbetulkan.
“Bagi sedekah dalam Islam sebenarnya bermula dari kaum kerabat dulu. Maknanya kalau kita tidak beri cukup makan kepada keluarga kita, tetapi kita beri sedekah kepada orang lain walaupun anak yatim, itu sudah kira salah. Kita kena utamakan keluarga, kemudian baru kepada anak-anak yatim. Kalau emak kita miskin, kita kena bagi dulu kepada emak. Sebab sedekah kepada emak itu lebih perlu,” beritahunya.
Selain itu, untuk meningkatkan saham pahala di akhirat, seseorang itu juga perlu berilmu. Ini kerana dengan ilmu tersebut dia akan bijak membuat pilihan disebabkan dia tahu yang man satu harus menjadi keutamaan. “Ulama ada kata, orang berilmu buat benda sikit. Tetapi pahalanya banyak sebab dia tahu mana satu menjadi keutamaan. Dia bijak dalam mengenal peluang pelaburan.”
Tiada ulasan:
Catat Ulasan