Jumaat, 2 Disember 2011

Mengurus Tekanan dan Masalah

Mula berfikir secara positif. Kita perlu tahu bagaimana mahu menguruskan masalah dan tekanan yang berlaku. Seperti yang diketahui, masalah dan tekanan dapat menyebabkan pemikiran dan sikap kita menjadi negatif. Ini akan menyebabkan kita berputus asa dan tidak berani lagi bagi mencuba dan berusaha ke arah kejayaan.


Tiada sesiapa pun yang dapat lari daripada tekanan dan masalah. Ia adalah lumrah bagi semua tanpa mengira kedudukan, agama, kepandaian dan keturunan. Tekanan dan masalah datang tanpa diundang tetapi pemergiannya sangat dialu-alukan. Lebih cepat ia pergi, lebih baik diri kita.

Disebabkan masalah dan tekanan adalah lumrah sesuatu yang tidak dapat dielakkan, oleh itu kita harus bersedia dengan pengetahuan mengenai masalah dan tekanan. Ia penting bagi membolehkan kita melihat perkara ini lain dari kebiasaan. Kemudian kita mampu menguruskannya dan seterusnya mengekalkan minda yang positif dalam diri.

Masalah adalah latihan minda dan landasan bagi kita mempelajari sesuatu yang baru. 



"Sesungguhnya sesudah kesulitan ada kemudahan." Allah memberitahu manusia bahawa setiap kesusahan yang dilaluinya seperti masalah, tekanan, kegagalan dan penderitaan yang dilalui pasti akan beroleh jalan penyelesaian dan ganjaran.

Islam memberikan beberapa panduan asa pengurusan tekanan dan masalah yang amat mudah tetapi jarang sekali diterokai dan diamalkan. Antaranya : 

  • Mengambil wuduk iaitu air sembahyang. Air sembahyang mampu menyejukkan hati dan membuang aura-aura negatif dari dalam diri kita.
  • Selain melakukan solat lima waktu, kita disarankan melakukan beberapa solat sunat yang lain yang mampu memberikan ketenangan dan merungkai masalah dan tekanan yang merantai diri kita ini. Antara solat sunat yang berkaitan adalah solat istikharah sebagai memohon petunjuk dan membuat pilihan, solat sunat hajat bagi meminta sesuatu termasuk penyelesaian dan solat sunat tahjud, sebagai jalan mendekatkan diri kepada Allah SWT.
  • Selain solat yang mempunyai waktu-waktu tertentu, kita juga dapat menguruskan tekanan dan masalah melalui bacaan Al-Quran dan Zikir bacaan al-Quran. Walaupun zikir senang dan ringkas tetapi keupayaannya bagi menenangkan hati tidak dapat dinafikan. 
  • Berdoa adalah senjata bagi seorang mukmin. Ketika diri dilanda keresahan kerana tekanan dan masalah. Berdoa adalah salah satu cara bagi memperolehi ketenangan dan mencari penyelesaian.
Sekiranya tekanan dikendalikan dengan baik, ia dapat menjadi pendorong atau perangsang yang dapat mengalakkan manusia membangun, membentuk dan menghadapi rintangan. Matlamat utama bukan bagi menghindari masalah tetapi menghadapi tekanan dengan bijak kerana setiap tekanan memberikan peluang memperbaiki diri.

Kita tidak seharusnya risau dan berfikiran negatif kepada masalah dan tekanan yang menimpa. Penting bagi kita mengetahui cara bagi merasionalkan fikiran dan berada dalam keadaan tenang.

Kesimpulannya, disebalik setiap tekanan dan masalah yang dihadapi terselit pelbagai hikmah bagi kita. Selagi kita berfikiran positif kepada tekanan dan maslah pasti kejayaan tetap milik kita.

Kehidupan manusia selalunya diuji dengan detik pengalaman hidup yang indah atau menyayat hati. Ketika menerima ujian seumpama ini, individu seharusnya bangkit kembali dengan kekuatan diri bagi mencari kebahagiaan dan kecermelangan hidup berteraskan kehebatan yang Allah SWT anugerahkan dalam setiap diri individu.


Sesungguhnya, kebahagiaan adalah rahsia disebalik kerelaan, ketenagan dan rasa aman serta ceria. Bagi terus berasa tenang dan bahagia, terima seadanya apa yang telah berlaku dan berusaha bersungguh-sungguh membina kejayaan daripada kegagalan dan kejayaan yang dilalui.

Matlamat akhir sebuah perjuangan menuju kejayaan bukan sekadar meraih kejayaan peribadi. Malah puncak kejayaan sebenar terletak kepada kejayaan yang dapat dikecapi oleh masyarakat keseluruhannya.

Tiada ulasan: