Rabu, 24 April 2013

Cardiff City ‘Sasar kekal lama di Liga Perdana’


Kuala Lumpur: Pemilik kelab Cardiff City yang bakal naik ke Liga Perdana musim depan, Tan Sri Vincent Tan (gambar) meletak sasaran awal kelab itu untuk kekal di liga paling elit itu lebih lama dan bersaing di kelompok pertengahan liga.

Beliau juga memberi jaminan akan terus menggunakan nama ‘Malaysia’ di jersi mereka.

“Ini bagi menunjukkan kepada negara dan dunia, saya rakyat Malaysia yang patriotik. Kami akan mengekalkan perkataan Malaysia pada jersi Liga Perdana kami.

“Saya sudah lakukan ini (mempromosi Malaysia) untuk beberapa tahun dan mungkin kali ini kerajaan Malaysia menerusi Kementerian Pelancongan akan turut serta sebagai penaja kami,” katanya.

Menurut Vincent, sasaran kini adalah bersaing dalam kelompok pertengahan EPL musim depan, mungkin kedudukan ke-13, 14 atau 15 dan mahu mencontohi satu lagi kelab Wales, Swansea City.

“Swansea melakukan tugas mereka dengan baik. Kami ibarat musuh setempat namun tetap menjadikan mereka sebagai contoh yang baik. “Namun untuk melakukannya, kami perlu dapatkan beberapa pemain yang bagus untuk memperkuat pasukan dan bersaing dengan pasukan ternama EPL.” Ketika ini, kelab masih mencari pemain terbaik dan semuanya bergantung kepada pengurus Malky Mackay, namun perbincangan akan tetap dilakukan dari sudut kewangan.

“Sebagai pemilik kelab, saya rasa mereka hendaklah sentiasa menyokong apa yang diingini pengurus pasukan,” katanya.

Beliau turut berharap Queens Park Rangers (QPR) tidak tersingkir daripada Liga Perdana bagi merealisasikan impian melihat dua kelab dimiliki rakyat Malaysia dalam EPL.

Tiada ulasan: