Rabu, 24 April 2013

Sukan Gol Adib buka pintu buat Selangor


Adib Aizuddin merai jaringan keduanya untuk Selangor ketika menentang East Bengal dalam saingan Piala AFCdi Stadium Shah Alam, malam tadi yang berkesudahan seri 2-2.
 
Shah Alam: Rembatan padu bek kiri, Adib Aizuddin Latif pada masa kecederaan menghasilkan gol penyamaan Selangor untuk mengikat East Bengal 2-2 di Stadium Shah Alam, malam tadi, sekali gus menghidupkan semula peluang Selangor untuk mara ke pusingan kedua kalah mati Piala AFC 2013.

Selepas lima perlawanan Kumpulan H, Selangor kekal di tangga ketiga dengan lima mata, di belakang East Bengal (11 mata) dan Sai Gon Xuan Thanh (8 mata). Tampines tercorot dengan dua mata.
Untuk layak, Selangor perlu menewaskan Tampines pada aksi terakhir di Stadium Jalan Besar, Selasa depan sambil mengharapkan East Bengal menewaskan Sai Gon di Kolkata.

Pada aksi malam tadi, jurulatih Selangor, Irfan Bakti Abu Salim hanya menurunkan barisan kedua tanpa Norazlan Razali, Nasriq Baharom, Francis Forkey Doe dan Afiq Azmi yang cedera manakala Amri Yahyah, Mahalli Jasuli, S Kunanlan, Solihin Kanasian dan S Veenod di bangku simpanan.

Adib penyelamat

East Bengal menggegar dulu apabila mendahului pada minit ke-22 menerusi rembatan Penn Orji dan pelawat terus selesa dengan gol kedua pada minit ke-53 menerusi rembatan Lalrindika Ralte yang gagal diselamatkan penjaga gol Selangor, Sharbinee Allawee Ramli.

Namun, East Bengal terpaksa beraksi 10 pemain pada minit ke-78 selepas penyerang gantian, Manandeep Singh yang baru empat minit dimasukkan melakukan terjahan keras terhadap Kunanlan dan tidak sampai seminit kemudian, Selangor berjaya merapatkan kedudukan 2-1 menerusi gol rembatan cantik Shukur Jusoh dari luar kotak penalti.
Usaha berterusan Selangor mencari gol penyamaan berhasil apabila sepakan percuma Amri pada masa kecederaan berjaya disudahkan menerusi rembatan kencang menarik Adib Aizuddin dari luar kotak penalti untuk mengikat kedudukan 2-2.

Tiada ulasan: