Rabu, 29 Oktober 2014

Amri Idamkan Hatrik Di Pentas Final

Johor Bahru: Pemain berpengalaman, Mohd Amri Yahyah (gambar) tidak mahu melepaskan peluang mendakap Piala Malaysia buat kali ketiga dalam kariernya Sabtu ini.

Andai berjaya menumbangkan Pahang pada final di Stadium Nasional Bukit Jalil berkenaan, Amri jelas mencapai kepuasan tersendiri.

“Piala Malaysia itu bakal menjadi kejuaraan ketiga saya sekali gus melengkapkan koleksi kejuaraan Liga Super, Piala FA dan Sumbangsih yang sudah dimenangi sebanyak tiga kali sepanjang berkecimpung dalam kancah bola sepak tempatan,” kata pemain tengah Johor Darul Ta’zim (Johor DT) itu.

Ketika mewakili Selangor selama 13 tahun, Amri menjulang semua kejuaraan berkenaan bermula 2001 hingga 2010 dan kejayaan membantu Johor DT muncul juara Liga Super musim ini melengkapkan kejayaan diraih pada 2009 dan 2010.

Lebih istimewa pemain kelahiran Tanjung Karang itu berusia 33 tahun musim ini.

“Ia bakal menjadi final impian buat saya. Memang saya teruja selepas 12 tahun menanti kerana final ini adalah salah satu sasaran saya bersama pasukan baru.

“Saya harap rakan sepasukan dapat memberikan komitmen tinggi untuk perlawanan ini,” katanya yang menyertai Harimau Selatan pada musim ini.

Amri pernah menjulang Piala Malaysia pada 2002 dan 2005.

Mengenai ketiadaan kapten dan tonggak pertahanan, Mohd Aidil Zafuan Abd Radzak, Amri menjelaskan ketiadaannya umpama ‘sebuah kapal tanpa nakhoda’.

“Saya harap sesiapa saja yang menggantikannya mampu memberikan komitmen dan membuka laluan untuk kemenangan kami dengan bermain bersungguh-sungguh,” katanya.

Tiada ulasan: