Rabu, 29 Oktober 2014

JKT Mohon Dilepaskan Dari Harimau Malaya




Mahu beri tumpuan dalam persediaan melangsungkan perkahwinannya pada 15 November ini

KUCHING: Penyerang kebangsaan, Joseph Kalang Tie terpaksa melupakan hasrat seketika mewakili skuad Harimau Malaya pada Kejohanan Piala Suzuki AFF 2014 yang bermula pada 23 November depan.

Ini selepas beliau memohon untuk dilepaskan daripada senarai kesebelasan utama skuad Dollah Salleh kerana mahu memberi tumpuan terhadap persediaan melangsungkan perkahwinannya pada 15 November depan.

“Saya memohon agar dilepaskan kerana tidak mahu mengganggu perancangan jurulatih. Namun, nama saya tetap diletakkan dalam senarai pemain simpanan.

“Memang impian saya untuk membantu negara, namun apa boleh buat perkahwinan ini penting bagi saya dan jurulatih juga faham dengan situasi tersebut,” katanya di sini semalam.

Menurut Joseph, beliau pada mulanya tidak menyangka akan dipanggil semula menyertai skuad negara untuk kejohanan peringkat Asia itu.

“Ini adalah peluang keemasan bagi saya lebih-lebih dalam mengembalikan semula keyakinan untuk beraksi di arena antarabangsa,” katanya.

Sehubungan itu, Joseph memberitahu beliau juga tidak akan menyertai skuad Sarawak memulakan latihan pada 10 November depan kerana mahu memberi tumpuan terhadap perkahwinannya itu.

Sementara itu, Sarawak akan menguji dua penyerang baharu dalam perlawanan persahabatan yang akan diadakan di Stadium Negeri Kuching petang ini.

Pemain terbabit ialah penyerang Kedah, Faizal Abu Bakar dan Khairul Naim yang bermain bersama DRB-Hicom.

Kedua-dua pemain itu akan menyertai skuad Piala Presiden menentang pasukan Yayasan Sarawak pada perlawanan persahabatan yang dijangka bermula pada jam 4.15 petang.

Sementara itu, Bernama melaporkan bahawa Ketua Jurulatih Harimau Malaya, Dollah Salleh memberi amaran kepada anak-anak buahnya supaya mengekalkan prestasi atau bakal digantikan dengan pemain-pemain baharu.

Justeru itu, pengendali kelahiran Melaka itu mengingatkan pemain yang dipanggil menjalani sesi latihan pusat skuad kebangsaan bermula semalam supaya menggunakan peluang itu sebaik mungkin.

“Macam kes Mohd Farhan Roslan dari Kedah yang dipanggil menggantikan pemain Pahang, Mohd Fauzi Rozlan… pertukaran ini normal kerana saya akan menguji setiap pemain.

“Sekarang agak sukar memilih senarai akhir 22 pemain ke Kejohanan Piala AFF Suzuki di Singapura pada November ini kerana semua pemain yang dipanggil cukup konsisten,” katanya ketika ditemui pada sesi latihan pertama skuad Harimau Malaya di Wisma FAM, Kelana Jaya semalam.

Dua daripada senarai awal 25 pemain yang dipanggil menjalani latihan pusat iaitu Mohd Farhan dan Mohd Badhri Mohd Radzi dari Kelantan tidak hadir dan akan melapor diri hari ini.

Dollah berkata, Johor Baharu dipilih sebagai lokasi kem motivasi skuad Harimau Malaya selepas mereka bersetuju menerima tawaran Presiden Persatuan Bola Sepak Negeri Johor (PBNJ), Tunku Ismail Sultan Ibrahim yang bersedia menanggung segala kos terlibat.

“Setakat ini, kita tidak akan menyertai sebarang perlawanan persahabatan sepanjang seminggu berada di sana (Johor) bermula 3 November ini, tetapi saya akan memastikan semua pemain kekal cergas,” katanya.

Dalam pada itu, Dollah tidak berganjak dengan keputusan asalnya bahawa skuad Harimau Malaya sepatutnya beraksi di padang rumput normal dan bukannya padang tiruan di Stadium Jalan Besar, Singapura yang bakal memberi kelebihan kepada tuan rumah pada kejohanan berkenaan.

Menurutnya berdasarkan perancangan awal Persatuan Bola Sepak Singapura (FAS), skuad negara dijangka beraksi dalam dua aksi awal peringkat kumpulan Piala AFF Suzuki di Stadium Jalan Besar sebelum beraksi di Stadium Nasional Singapura pada perlawanan ketiga.

“Saya sudah berbincang dengan (Setiausaha Agung FAM) Datuk Hamidin Mohd Amin yang turut bersetuju pasukan kita sepatutnya beraksi di padang rumput normal. Kita sudah membuat bantahan kepada AFF yang dijangka membuat keputusan dalam tempoh terdekat,” katanya.

FAM mengatur dua aksi pemanas badan skuad Harimau Malaya sebelum menyertai Piala AFF Suzuki iaitu berdepan Syria di Stadium Nasional Bukit Jalil pada 11 November ini dan pertemuan dengan Vietnam di Stadium My Dinh, Hanoi, beberapa hari kemudian.

Skuad Harimau Malaya berdepan laluan sukar pada Piala AFF Suzuki 2014 yang berlangsung dari 22 November hingga 20 Disember selepas diundi dalam Kumpulan B bersama-sama juara bertahan Singapura, juara tiga kali Thailand dan pemenang pusingan kelayakan, Myanmar.

Kumpulan A pula terdiri daripada Vietnam, Filipina, Indonesia dan Laos.

Sumber : Utusan Borneo

Tiada ulasan: