Rabu, 29 Oktober 2014

Conti Sedia Bedil JDT


Temerloh: Penyerang import Pahang Matias Conti melaungkan amaran betapa dia masih dahagakan kejuaraan Piala Malaysia dan bersedia untuk ‘membedil’ kubu Johor Darul Ta’zim (Johor DT) pada aksi final di Stadium Nasional Bukit Jalil Sabtu ini.

Pemain kelahiran Santa Fe, Argentina itu sudah membuktikan dia kini berada di prestasi terbaik dengan melakukan hatrik ketika membantu skuad Tok Gajah menewaskan Kedah 5-0 pada aksi separuh akhir kedua untuk menempah tiket ke final buat kali kedua berturut-turut menerusi agregat 6-3.

Biarpun sedar bakal ‘dirantai’ pertahanan skuad Harimau Selatan, Conti tetap berharap mampu mengulangi kejayaan tahun lalu apabila dia menyumbat gol tunggal kemenangan menewaskan Kelantan 1-0 di perlawanan akhir.

“Kami mahu menang. Kami akan berikan yang terbaik kerana ini perlawanan terakhir musim ini. Kami adalah juara bertahan dan sudah pasti mahu mengekalkan trofi itu,” katanya yang sudah meledak lima gol sepanjang kempen Piala Malaysia ini.

Conti, 24, yang dijangka bergandingan bersama ‘orang besi’ Dickson Nwakaeme di bahagian serangan pasti dapat menghidu kelemahan juara Liga Super Johor DT yang kehilangan tonggak pertahanan tengah Mohd Aidil Zafuan Abd Radzak kerana penggantungan perlawanan.

Namun dia tidak mahu memperkecilkan pihak lawan kerana menganggap pasukan lawan itu tetap memiliki pertahanan mantap.

“Semua pasukan di Malaysia mempunyai pertahanan bagus. Johor DT juga bagus dan begitu juga kami,” katanya yang mahu memastikan Pahang juara berganda musim ini selepas menjulang Piala FA Jun lalu.

Dalam pada itu final kali ini juga bakal mempertemukan penyerang Argentina terbaik dalam Liga Malaysia iaitu Conti dan Luciano Figueroa serta Jorge Pereyra Diaz dari Johor DT.

“Figueroa dan Diaz pemain Argentina yang bagus dan mereka mempunyai persefahaman baik antara mereka. Tapi saya akan berikan yang terbaik untuk kemenangan Pahang,” katanya.

Sumber : Harian Metro

Tiada ulasan: