Isnin, 3 November 2014

Pahang Juara Piala Malaysia 2014


Pahang berjaya mengekalkan Piala Malaysia selepas mengalahkan Johor Darul Ta’zim (JDT) 5-3 menerusi penentuan penalti pada final penuh dramatik di Stadium Nasional Bukit Jalil di sini, malam kelmarin.

Pahang terpaksa berusaha keras untuk merangkul gelaran berganda musim ini apabila perlawanan diheret ke masa tambahan 30 minit sebelum penentuan sepakan penalti selepas terikat 2-2 pada masa perlawanan sebenar 90 minit.

Kemenangan tersebut menyaksikan Pahang muncul juara Piala Malaysia buat kali keempat selepas meraihnya pada tahun 1983, 1992 dan 2013. Pahang juga merangkul Piala FA musim ini.

Pada aksi itu, kedua-dua pasukan saling berbalas serangan sebaik sahaja pengadil, Nagor Amir Noor Mohamed meniupkan wisel perlawanan, namun nasib nyata menyebelahi Pahang yang membuka tirai jaringan pada minit ke- 15 menerusi penyerang import dari Nigeria, Dickson Nwakaeme.

Gol tersebut berpunca daripada sepakan percuma yang diambil oleh Azidan Sarudin sebelum ditanduk masuk oleh Dickson untuk menewaskan penjaga gol JDT, Muhd Al- Hafiz Hamzah.

Tersentak dengan gol tersebut, JDT kembali memperkemas jentera serangan bagi mencari gol penyamaan dan berjaya menembusi gol Pahang hasil sentuhan penyudah penyerang import dari Argentina, Jorge Pereyra Diaz pada minit ke-31.

JDT menggandakan jaringan selang tiga minit kemudian menerusi sepakan penalti yang disempurnakan oleh seorang lagi pemain import mereka, Luciano Figueroa.

Nagor Amir menghadiahkan penalti itu kepada skuad ‘Harimau Selatan’ selepas bola terkena lengan kapten Pahang, Mohd Razman Roslan sewaktu cuba menghalang Luciano daripada menjaringkan gol di dalam kawasan penalti Pahang.

Bersambung babak kedua perlawanan, Pahang dilihat lebih menguasai permainan namun berjaya diimbangi oleh barisan pertahanan JDT yang diketuai oleh pemain import dari Brazil, Marcos Antonio Santos.

Pahang terpaksa beraksi dengan 10 pemain pada minit ke-69 selepas pemain pertahanan Mohd Saiful Nizam Miswan dilayangkan kad merah oleh Nagor Amir kerana dikatakan mengasari pemain JDT, Mohd Amri Yahyah.

Ketiadaan seorang pemain nyata tidak menjejaskan semangat skuad ‘Tok Gajah’ yang berjaya menyamakan kedudukan menerusi Dickson, selang dua minit kemudian selepas beliau bijak melepasi perangkap ‘ofsaid’ yang cuba dipasang oleh JDT

Tiada ulasan: