Ahad, 10 Julai 2011

Perhimpunan haram gagal raih sokongan rakyat


KUALA LUMPUR: Perhimpunan haram yang dirancang hari ini gagal meraih sokongan orang ramai apabila sasaran penganjur perhimpunan, BERSIH, sebuah badan tidak berdaftar untuk mengumpul 100,000 penyokong tidak kesampaian apabila hanya 10,000 orang "turun padang" sehingga petang ini. 

PERSIDEN PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang ditahan polis ketika menyertai perhimpunan BERSIH di KL Sentral hari ini. - Foto Amran Hamid

Ini memperlihatkan matlamat kumpulan itu kononnya untuk menuntut pilihan raya yang bersih dan adil tidak mendapat sokongan rakyat sepenuhnya memandangkan mereka sedar akan tujuan sebenar perhimpunan itu yang lebih bermotifkan politik.

Pemerhati politik Dr Sivamurugan Pandian berkata selain itu, perancangan teliti polis juga berjaya mengawal perhimpunan itu bagi mengelakkan sebarang kejadian yang tidak diingini.


PENASIHAT PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika menyertai perhimpunan BERSIH di KL Sentral. - Foto Amran Hamid

"Kalau benar-benar rakyat menyokong dengan apa yang diperjuangkan BERSIH ini, sudah tentu mereka juga akan hadir. Tetapi ia menjadi sebaliknya. Ini berbeza berbanding ketika reformasi pada 1998, HINDRAF dan BERSIH pada 2007 yang mendapat sokongan ramai ketika itu. 

PENGERUSI BERSIH, Datuk S Ambiga dipapah selepas terkena gas pemedih mata ketika menyertai perhimpunan di KL Sentral hari ini. - Foto Amran Hamid

"Ini sekaligus menunjukkan sambutan kepada perjuangan mereka (BERSIH) hambar kerana rakyat sudah melihat apakah sebenarnya matlamat yang hendak dicapai oleh kumpulan - tidak ada," katanya. 

Pensyarah Sains Politik Universiti Sains Malaysia (USM) Pulau Pinang itu yang berada di Kuala Lumpur sejak Rabu lalu bagi melihat sendiri perjalanan perhimpunan itu berkata kegagalan kumpulan haram itu mengadakan perhimpunan adalah hasil perancangan strategik polis untuk mengawal kemaraan kumpulan tersebut. 

Beliau berkata strategi kumpulan itu ialah dengan bergerak dalam kumpulan kecil dari beberapa lokasi bertujuan untuk mengaburi mata orang ramai supaya mereka dilihat lebih ramai daripada angka sebenar. 
"Saya setuju bahawa gerakan dalam kumpulan kecil ini berjaya mempengaruhi minda dan mata supaya mereka ini nampak banyak. Sebenarnya saya tidak nampak pun orang Cina turun dalam perhimpunan ini, sebaliknya banyak di kalangan anggota PAS," katanya. 

SEBAHAGIAN penyokong perhimpunan BERSIH melarikan diri selepas anggota polis melepaskan gas pemedih mata di Puduraya hari ini. - Foto Aizuddin Saad

Selain gagal meraih sokongan rakyat, BERSIH juga gagal mewujudkan gelombang kuning apabila polis berjaya merampas baju-T berwarna kuning yang tertera perkataan BERSIH sejak beberapa hari lalu sebelum perhimpunan itu diadakan. 

BERSIH juga hari ini mengaku gagal menyerahkan memorandum tuntutan mereka kepada Yang di-Pertuan Agong hari ini. 
PENYOKONG BERSIH bertindak balas berikutan anggota polis melepaskan gas pemedih mata ke arah mereka pada perhimpunan di Kuala Lumpur hari ini. - Foto Effendy Rashid

Bagaimana pun, Jawatankuasa Pemandu BERSIH menerusi laman web rasmi mereka www.bersih.org menyatakan, "kita akan mengatur langkah sewajarnya untuk menyampaikan memorandum itu apabila keadaan kembali tenang. 
PENYOKONG perhimpunan BERSIH 2.0 menuju ke Dataran Merdeka dari PAsar Seni hari ini. - Foto Syarafiq Abd Samad

"Perhimpunan hari ini tidak berakhir, ia adalah satu daripada langkah yang panjang bagi pilihan raya yang adil dan bersih di Malaysia. Kempen akan diteruskan bagi mendapatkan pembaharuan dalam daftar pemilih, pembebasan tahanan dan bagi menamatkan gangguan pihak berkuasa," kata laman web itu. 

PENYOKONG BERSIH menendang gas pemedih mata ke arah anggota polis di Jalan Melayu berdekatan Dataran Merdeka hari ini. - Foto Effendy Rashid

Sementara itu, menurut laman facebook Polis DiRaja Malaysia (PDRM) mereka yang ditahan kerana menyertai perhimpunan itu mendapat layanan yang baik dan profesional dari polis.


RUANG bagi mengerjakan solat disediakan untuk tahanan BERSIH. - Foto PDRM

Polis telah menyediakan beberapa keperluan seperti makanan, pemeriksaan kesihatan dan tempat bersolat untuk kumpulan yang ditahan. - BERNAMA 

Sumber : Berita Harian

Tiada ulasan: