Ahad, 10 Julai 2011

Perhimpunan haram: Pengangkutan awam lumpuh, kedai tutup


KEDAI melekatkan notis penutupan pada pintu premis berikutan perhimpunan haram di sekitar Kuala Lumpur, semalam.
Urusan harian, pusat beli-belah turut terjejas

KUALA LUMPUR: Pelbagai pihak mengalami kesukaran menjalankan urusan harian di sekitar ibu negara berikutan keadaan jalan raya sesak teruk gara-gara kumpulan yang mengadakan perhimpunan haram, di sebalik nasihat polis melarang mereka berbuat demikian.


Pengangkutan awam turut lumpuh dengan teksi enggan membawa penumpang ke ibu negara dan perkhidmatan LRT terjejas.
Malah kompleks beli-belah Sogo yang biasanya menjadi tumpuan orang ramai membeli-belah pada hujung minggu diarah polis untuk ditutup mulai jam 2 petang semalam setelah dibuka seketika pada sebelah pagi, bagi kepentingan keselamatan.

Kumpulan pengacau tetap berdegil walaupun banyak pihak mendesak mereka membatalkan rancangan itu kononnya bagi menuntut pilihan raya yang bersih.


Polis yang mengumumkan penutupan jalan utama ke pusat bandar raya kelihatan berusaha sedaya upaya untuk membolehkan orang ramai meneruskan urusan harian, seperti memberi panduan laluan alternatif bagi membolehkan mereka pergi ke tempat bekerja, premis perniagaan dan kediaman.

Kebanyakan premis perniagaan di sekitar pusat bandar seperti di Jalan Tuanku Abdul Rahman dan Jalan Bukit Bintang turut ditutup, menyebabkan pemilik perniagaan berdepan kerugian. 

Tinjauan Berita Minggu di Kompleks Beli-Belah Sogo sejak jam 9 pagi, mendapati semua kedai di sekitar kawasan berhampirannya masih ditutup termasuk kedai makan. Keadaan amat lengang pada sebelah pagi. 
Sehingga jam 2 petang, hanya pelancong yang dilihat berada di kompleks Sogo berbanding hari biasa yang sentiasa padat dengan pelanggan tempatan yang sibuk membeli-belah di situ, manakala kedai di kawasan luarnya masih banyak tutup, manakala jalan lengang. 

Tinjauan di kompleks beli-belah Midvalley, mendapati banyak kedai dan restoran dibuka namun keadaan lengang menyebabkan ramai peniaga merungut kerana tiada pelanggan. 

Pekerja kedai makan, Shwee Lin Tiai, 25, yang membuka kedai dari awal pagi, merungut apabila tiada pelanggan berkunjung sehingga waktu tengah hari.

“Jika pada hari perayaan masih ramai pelanggan datang tetapi hari ini memang tiada orang. Memang rugi berniaga hari ini,” katanya.


Pekerja kedai pakaian, Mohd Haikal Rahim, 31, berkata beliau boleh membilang berapa saja pelanggan yang datang membeli-belah di kedainya berbanding hari biasa.

Mohd Haikal berkata, majikannya sudah mengarahkan beliau menutup kedai jika keadaan hari ini dan esok masih sama seperti hari ini kerana hendak datang kerja pun sukar disebabkan banyak jalan ditutup pihak berkuasa.

Pemandu teksi, M Muthu, 38, berkata keadaan amat teruk disebabkan banyak jalan ditutup dan beliau hanya memperoleh dua penumpang sejak jam 9 pagi.


Tiada ulasan: