Rabu, 19 Oktober 2011

Hasrat Jaga Bayi ditolak


Bayi yang menjadi mangsa, akibat kerakusan manusia

BETONG: Tindakan seorang pelajar perempuan tingkatan empat membunuh dengan mengelar bayi yang baru dilahirkan sehingga terburai perut di dalam asrama sebuah sekolah menengah di sini, kelmarin dikatakan akibat hilang pertimbangan selepas hasratnya untuk menjaga bayi itu dan berkahwin dengan teman lelakinya ditentang keras keluarga masing-masing.

Difahamkan, kekasih mangsa berusia 27 tahun dikatakan bersetuju mengahwini pelajar berusia 16 tahun itu selepas menyedari gadis itu mengandung hasil keterlanjuran mereka, namun mendapat tentangan daripada keluarga masing-masing dipercayai kerana faktor bawah umur.

Berikutan itu, pelajar terbabit dikatakan ‘naik hantu’ lalu membunuh bayi perempuan baru dilahirkan dengan mengelar sebanyak tujuh kali badan bayi malang itu menggunakan pisau pemotong sayur dalam bilik asrama sekolahnya.

Menurut sumber, maklumat awal daripada keluarga pasangan terbabit menjelaskan, mereka menyatakan hasrat untuk berkahwin beberapa hari sebelum kejadian.

“Mungkin disebabkan tekanan perasaan dihadapi selepas hasrat mangsa untuk berkahwin dengan lelaki yang bertanggungjawab menyebabkan dia mengandung ditolak keluarga kedua-dua belah pihak, pelajar terbabit mengambil jalan pintas dengan membunuh bayi tidak berdosa itu bagi melepaskan kemarahan,” katanya.

Harian Metro semalam melaporkan, seorang pelajar bertindak mengelar bayi selepas melahirkannya dalam bilik asrama kira-kira jam 7.40 pagi kelmarin.

Kejadian menggemparkan itu berlaku apabila bayi dilahirkan cukup sifat sebelum dia mengelar bayinya yang masih hidup itu dengan pisau pemotong sayur sepanjang 15 sentimeter.

Sebelum kejadian, pelajar terbabit dikatakan gagal hadir ke kelas sehingga menimbulkan rasa curiga seorang guru lelaki berusia 41 tahun yang kemudian ke bilik asramanya.

Sumber : Harian Metro

Tiada ulasan: