Selasa, 9 Mac 2010

Bank Rakyat bantu pelajar luar bandar

BANK Kerjasama Rakyat Malaysia Bhd (Bank Rakyat) melalui Yayasan Bank Rakyat akan memberi tumpuan meningkatkan pencapaian keputusan peperiksaan pelajar terutama di kawasan luar bandar.

Bagi mencapai matlamat itu, Pengurus Besar Yayasan Bank Rakyat, Abdul Lidzam Muhammad Alias, berkata kerjasama dilakukan dengan Berita Harian Sdn Bhd bagi menganjurkan seminar teknik menjawab soalan peperiksaan Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR), Penilaian Menengah Rendah (PMR) dan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) kepada pelajar terbabit.


“Seminar berkenaan mampu memberi peluang kepada pelajar terutama di kawasan luar bandar memahami teknik menjawab soalan, sekali gus meningkatkan pencapaian mereka di dalam peperiksaan awam.

“Bank Rakyat sentiasa memberikan yang terbaik bagi meningkatkan kecemerlangan akademik pelajar, “ katanya ketika ditemui selepas merasmikan Seminar Skor A UPSR anjuran Bank Rakyat dengan kerjasama Berita Harian Sdn Bhd di Institut Latihan Perindustrian (ILP) Sandakan, Sabah.

Turut hadir, Pengurus Yayasan Bank Rakyat, Rafidah Yaakob, Pengarang Pendidikan Berita Harian, Zainor Said, Pengurus Bank Rakyat Cawangan Sandakan, Hamza Ali dan Pegawai Pelajaran Daerah (PPD) Sandakan, Sharif Mahada Sharif Attar.
Seramai 270 pelajar UPSR dari 21 sekolah di Sandakan menyertai seminar sehari itu. Antara sekolah terbabit ialah Sekolah Kebangsaan (SK) Tanjung Papat 2, SK Sibugal Besar, SK Batu 16 Gum-Gum, SK Bandar 2 dan SK Bukit Garam.

Abdul Lidzam berkata, Bank Rakyat dengan kerjasama Berita Harian sudah menganjurkan seminar berkenaan sejak 2003 dan merancang menambah lagi bilangan seminar pada masa depan.

“Terdapat 53 siri seminar bertujuan mendedahkan peserta mengenai strategi mengulang kaji pelajaran dan menjawab soalan peperiksaan secara tepat dan berkesan bagi mata pelajaran Sains, Matematik dan Bahasa Inggeris, “ katanya.

Sementara itu, guru SK Tanjung Papat 2, Duloress Juanico mencadangkan penganjur supaya menambah masa setiap sesi ceramah, terutama bagi mata pelajaran penting bagi meningkatkan pemahaman calon.
"Maklumat diperoleh dalam seminar ini sangat berguna untuk membolehkan mereka membuat persediaan menghadapi peperiksaan September depan," katanya.

Ghani Uyong dari SK Batu 16 Gum-Gum, berkata usaha Bank Rakyat melaksanakan tanggungjawab sosial itu harus dicontohi institusi kewangan lain.

"Saya harap Bank Rakyat dan Berita Harian membuka peluang kepada lebih murid untuk menyertainya," katanya.

Tiada ulasan: